Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Hanya dengan kekuasaanNya lah aku berada di Jepun untuk ke-13 minggu. Blog minggu ni rasanya adalah sangat panjang, gambar pun sangat banyak, jadi aku nda paksa kamu baca sampai habis, boleh ja tekan butang "x" di browser tab kamu tu hehehe.
Dan ya, minggu ni minggu terakhir aku berada di Jepun! Banyak betul aktiviti aku buat dalam minggu terakhir ni jadi blog pun agak panjang lah untuk kasi tau semua aktiviti aku yang agak padat. Selamat tinggal Negara Matahari Terbit, helo Negeri Di Bawah Bayu!
Bagi yang baru pertama kali membaca siri Japan Story ni, di sini link untuk episod pertama.
18 Januari 2016 (Isnin)
Aku sudah secara rasminya habis berpuasa di Jepun ni. Insya Allah sampai di Malaysia sambung balik. Paling ngam masa-masa mau review jumpa doktor hehehe. Hari ini aku akan buat blog stail photo blogger. Memang aku minat juga ambil-ambil gambar ni, tapi ambil masa bah kalau gambar-gambar yang ada stail-stail ni.
Pagi ini aku telah berhubung dengan Keiko sebab aku mau melawat dan tinggal dengan dia untuk semalam sebelum aku kembali ke Malaysia. Alhamdulillah dia bersetuju untuk aku datang ke rumahnya hari Rabu. Kalau ikut hati mau juga pergi hari Selasa tapi aku ada exam online untuk SPA pula hari Selasa.
Hari ini aku berjalan-jalan ke Senri Chuo. Tiada juga apa-apa yang aku mau buat di sana cuma untuk bersenam membakar sedikit kalori. Kak Ari seperti biasa mengirim roti putih dari kedai Little Mermaid, tapi hari ini dia hanya minta beli 3 bantal.
Aku sampai di Senri Chou dan aku nda terus ke Little Mermaid tapi pergi ke Labi Senri untuk tengok-tengok barangan yang ditawarkan di sana. Siok ni kalau kamu pergi sini, barangan elektronik terkini ada ditawarkan. TV besar 4K bersusun ja baris demi baris, kualiti gambar jangan cakap lah memang sharp gila!
Aku tau kedai Hard-Off/Off-House terletak nda jauh dari Senri Chou ni jadi aku setkan Google Maps aku menghala ke sana. Ianya hanya 43 minit atau 3.4 km sahaja menurut Encik Google Maps. Sambil-sambil berjalan menikmati pemandangan baru aku mengambil gambar sedikit.
|
Two abandoned bicycles. |
|
Human will always be human: Aluminium can on a weep hole. |
Sampai di Hard-Off/Off-House aku pun terus sahaja tengok-tengok barang yang ada di sana. Nda lah shopping, sekadar untuk belek-belek yang ditawarkan di kedai tu. Antara yang aku suka buat adalah mencuba kasut. Kaki besar aku ni mana lah ada saiz. Kalau ada pun memang jarang betul lah mau jumpa. Kalau pun ada, biasanya berjenama dan harga pun agak tinggi. Memang baiklah nasib aku bila dapat jumpa but Timberland yang ada saiz pada minggu ke-2 aku di Jepun dengan harga 1,620 yen (RM 58.35) masa tu.
Selepas puas pusing-pusing di Hard-Off/Off-House aku pergi pula ke 2nd Street yang dekat sahaja sebenarnya, dalam 9 minit berjalan kaki. Seperti tadi, aku hanya pusing-pusing tengok barang. Mana baju yang smart tu aku cuba-cuba lah, saja mau try. Hmm... di Malaysia ramai lah ekor kau kalau dalam kedai, dorang buat muka menyampah ikut kau, kau pun menyampah tengok dorang. Di Jepun ni pekerja kedai dia bagi ja kebebasan untuk kita pusing-pusing tengok barang sendiri. Jika kita perlu bantuan ja dorang akan datang bantu. Lagi satu, tiadanya pekerja yang sibuk main handphone. Kebanyakannya fokus berkerja bila waktu berkerja. Kita di Malaysia, kerja ka rehat ka handphone tetap juga kena guna.
Setelah kedua-dua tingkat kedai 2nd Street tu aku tengok aku pun berjalan kembali ke Senri Chuo untuk membelikan 3 bantal roti putih untuk Kak Ari. Sepanjang perjalanan kembali ke Senri Chuo aku mengambil gambar lagi.
|
The Golden Egg. |
|
Biasa ni, jam 9 pagi hingga jam 25 (1 pagi) keesokan hari. Dorang suka simpan masa begitu kadang-kadang sampai 27:00 |
|
Di bahagian lebih berseni di Mino, papan tanda dia pun berseni. Macam alien ja aku tengok. |
|
They can think! |
|
Tiang-tiang pemadam api ada di mana-mana. |
Setelah membeli roti putih di kedai Little Mermaid, aku pun berjalan pulang ke rumah.
|
Di sini kalau orang panggil talian kecemasan, semua akan turun; polis, bomba, ambulans. |
|
Mengharap awan tebal membawa salji. |
Selepas maghrib kami semua keluar. Pertama sekali ke Bandar Osaka sebab Kak Ari ada mau ambil barang dari penjual di Osaka Sayonara Sales. Aku menemani Kak Ari pergi ke rumah orang tu yang akan berhijrah ke Amerika untuk kerja. Dorang sebenarnya berasal dari India, orang Islam.
Selepas dari sana kami pergi ke sebuah kedai sushi Muten Kura Sushi di Minoo. Sushi yang halal-friendly tapi yang boleh dimakan adalah jenis makanan laut sahaja serta beberapa item lain. Yang daging-daging hendaklah dielak begitu juga dengan kicap yang disediakan. Sushi conveyor-belt style, jadi kita ambil ja la apa yang ada limpas-limpas meja kita. Kalau mau order lain atau mau cepat sampai, boleh order melalui skrin sentuh yang ada di tepi meja.
|
Best sangat! Salmon, sotong kurita dan tuna. |
|
Abang Amin, Aliah, Ariana dan Akil menikmati makanan di Muten Kura Sushi Minoo. |
|
Aku, Akif dan Kak Ari. Akif makan sushi jagung ja malam ni. |
Banyak betul aku makan sushi malam ni. Berpinggan-pinggan aku ambil dari conveyor belt. Terima kasih Abang Amin dan Kak Ari!
19 Januari 2016 (Selasa)
Hari ini aku merancang untuk pergi ke Kyoto untuk menggunakan baki sehari Hankyu Tourist Pass berharga 1,200 yen (RM 43) yang aku beli minggu lepas. Jumaat minggu lepas jumlah tiket perjalanan aku semasa berjalan-jalan ke Kobe berharga 690 yen (RM 24.70) sudah. Perjalanan aku hari ini adalah rahsia untuk Kak Ari. Jadi terbongkarlah rahsia yang aku pergi ke Kyoto bila aku taip entry ni hehehe.
Aku terbangun lebih kurang jam 3.45 pagi, lain rasa sejuk hari ini dan aku membuka tingkap dan dapat melihat salji turun. Walaupun nda lebat tapi teruja juga bila melihat salji turun di Osaka ni. Maksudnya sepanjang aku di Jepun ini baru kali kedua aku melihat salji turun. Dan kedua-duanya dalam kegelapan malam dan awal pagi.
Setelah menyiapkan bekal makanan, aku mandi dan bersiap. Aku keluar dari rumah pada jam 7.20 pagi. Terlihat saki baki salji yang turun semalam berada di kereta Abang Amin.
|
Ini ja lah salji yang ada hahaha. |
|
Projek rumah yang semakin menghampiri penyiapan. |
Aku berjalan kaki menghala ke Stesen Hotarugaike. Arah tujuan aku adalah Arashiyama sebab semalam bila aku buat kajian sedikit, jika aku buat pertukaran tren di Arashiyama ianya merupakan pilihan paling murah untuk ke rumah Keiko di Sonobe, Kyoto. Jadi hari ini adalah untuk aku recce masa yang diperlukan untuk perjalanan dari satu stesen ke satu stesen. Aku ada bagitau Keiko yang aku akan sampai di Stesen Sonobe dalam jam 8 hingga 9 pagi.
Dari Stesen Hotarugaike ke Stesen Arashiyama harga tiket tren adalah sebanyak 470 yen (RM 16.80). Aku menaiki tren dari Hotarugaike iaitu Hankyu-Takarazuka Line menuju Hankyu-Umeda. Aku turun di Stesen Juso untuk menaiki tren Hankyu-Kyoto Line menghala Kawaramachi. Aku mula-mula naik tren local, tapi di satu stesen aku pindah ke tren express. Dengan tren itu aku turun di Stesen Katsura dan menaiki pula tren Hankyu-Arashiyama menghala ke Arashiyama.
|
Menanti tren ke Arashiyama di Platform 1C. |
|
Dalam tren menuju ke Stesen Arashiyama. |
|
Sampai di platform Stesen Arashiyama. |
|
Stesen Hankyu Arashiyama. |
|
Papan tanda Arashiyama di hadapan Stesen Arashiyama. |
Kemudian aku berjalan kaki menuju ke Stesen Saga-Arashiyama di bawah kendalian JR West. Menurut Encik Google Maps ianya terletak 1.6 km atau 19 minit berjalan kaki.
|
Togetsukyo atau Moon Crossing Bridge di Arashiyama. |
|
Katsura River. |
Setelah mengenalpasti kedudukan Stesen Saga-Arashiyama dan memastikan harga tiket ke Sonobe (410 yen), aku pun mula berjalan-jalan sekitar Arashiyama. Destinasi pertama adalah hutan buluh yang menjadi tarikan pelancong di Arashiyama ni. Memang ramai betul pelancong, susah juga mau ambil gambar lawa-lawa kalau ada ja pelancong yang berdiri di tengah laluan untuk bergambar. Jadi kebanyakan gambar aku memang yang main snap ja kalau tiada orang atau orang jauh sikit.
Dari hutan buluh aku mencari tempat untuk aku makan bekalan makanan yang aku bawa. Aku hanya membiarkan kaki membawa diri.
|
Pemandangan dari Observatory Point. |
|
Juga dari Observatory Point di Arashiyama. |
|
Penduduk tempatan memberi makan itik liar. |
|
Dari tempat aku duduk menikmati bento. |
|
Ketika makan bot membawa pelancong ni limpas, jadi aku kelam kabut snap gambar. |
Setelah makan aku pun menyambung penjelajahan aku di Arashiyama ni. Best juga kalau jalan-jalan ja tanpa hala tuju ni, kita pun nda stress terkejar-kejar mau pergi sana sini.
|
Bot penduduk tempatan berlabuh. |
|
Pemandangan panorama Togetsukyo Bridge, Katsura River dan Arashiyama. |
|
Di persimpangan jalan. |
Dari seberang jambatan ni aku boleh nampak bumbung sebuah tokong jadi aku pun mula melangkah menuju ke sana. Melalui bantuan Encik Google, tempat ini bernama Hōrin-Ji iaitu sebuah tokong Buddha.
|
Patung lembu di depan Main Hall. |
|
The gate. |
|
Pagar yang benar-benar menunjukkan usianya. |
|
Bunga sakura di musim sejuk. Alhamdulillah ada kesempatan melihat sendiri. |
|
Main Hall. |
|
Bumbung pagoda ni lah yang membuatkan aku pergi ke sini. |
Setelah agak lama berada di Hōrin-Ji, aku pun menghala ke Stesen Arashiyama sebab aku ada niat juga dari semalam untuk pergi ke Fushimi Inari-taisha. Noam pernah cadangkan untuk pergi ke sana, jadi hari ini aku mau pergi melihat sendiri tempat tu.
Selepas puas melawat kawasan percuma di Tōfuku-ji ni aku pun memulakan langkah menuju ke Fushimi Inari-taisha yang hanya memerlukan 15 minit berjalan kaki.
Sampai ja di tempat yang ditujui disambut dengan persekitaran yang dipenuhi pelancong. Memang dalam hati, susah betul lah mau dapat gambar yang cantik di tempat ni. Berbeza betul dengan Tōfuku-ji sebelum ni yang betul-betul nda ramai pengunjung dia.
Fushimi Inari-taisha adalah tokong penting Shinto yang terletak di Bukit Inari. Fushimi Inari adalah yang paling penting berbanding ribuan tokong lain yang didedikasi untuk Inari, tuhan agama Shinto untuk beras.
|
Gerbang pertama di Fushimi Inari-taisha. |
|
Ornate lamp. |
|
Dua laluan torii (gerbang) yang dipanggil Senbon Torii. |
|
Journey though the torii path. |
|
A lamp at the torii path. |
|
Biasanya di belakang torii ni tertulis nama penderma pembinaannya samada individu atau kumpulan. |
|
Torii path. |
|
Torii path as far as the eyes can see. |
Sebenarnya masa berada di antara tiang-tiang tu salji sedang turun. Nda lebat, tapi bila dibiaskan dengan cahaya matahari memang cantiklah pemandangan tu. Nda dapat tangkap pun gambar salji tu turun sebab kecil sangat.
Untuk mengelakkan perasaan kurang puas hati aku disebabkan terlampau ramai pelancong untuk mendapat gambar yang cantik, aku mengambil jalan hiking yang langsung tiada orang. Aku nda tau pun hiking trail ni akan menghala ke mana tapi peduli apa. Mana tau dapat pemandangan yang cantik.
|
Bamboo groove at Fushimi Inari-taisha. |
|
From the pine forest to the bamboo groove. |
|
Tempat persemadian orang tersayang. |
|
Memang tiada pelancong masa aku berada di sini. |
|
Kitsune atau musang sebagai penjaga. |
|
Gerbang ni kononnya untuk kesejahteraan mereka di alam sana. |
Aku terus ja berjalan mengikut laluan yang ada. Setelah penat baru lah aku mula menghala semula ke Stesen Kawaramachi. Awal perjalanan salji masih turun membuatkan aku perlu memakai baju hujan aku bagi melindungi baju sejuk aku yang tidak kalis air.
|
Kyoto Tower di kejauhan. |
|
Beberapa kali sudah nampak ketam besar begini di depan kedai. |
|
Stesen Hankyu Kawaramachi. |
Tambang dari Stesen Kawaramachi ke Stesen Hotarugaike adalah sebanyak 470 yen (RM 16.80). Maksudnya hari ini aku menggunakan jumlah tambah sebanyak 1,160 yen (RM 41.60). Campur dengan jumlah tambang untuk aku berjalan-jalan di Kobe sebanyak 690 yen (RM 24.70), semua sekali 1,850 yen (RM 66.30). Aku membayar 1,200 yen (RM 43) untuk Hankyu Tourist Pass jadi aku telah menjimatkan sebanyak 650 yen (RM 23.30).
Sampai di Stesen Hotarugaike, aku terus pergi ke Gyomu sebab aku mau beli buah tangan untuk Keiko esok. Aku beli bahan-bahan masakan halal untuk dia. Dia suka masak jadi aku rasa dia mesti suka. Lagipun aku berniat supaya dia dapat hidangkan nanti untuk orang Islam yang mungkin akan datang ke rumah dia tanpa ragu-ragu.
Malam ni aku ada exam online untuk jawatan PTD. Aku langsung tiada belajar dan nda berharap sangat pun untuk lulus. Rasanya aku akan gagal sebab separuh dari soalannya aku main tembak ja.
Aku mula mengemas sedikit sebab esok aku akan pergi ke rumah Keiko selepas subuh.
20 Januari 2016 (Rabu)
Bangun lebih kurang jam 4 pagi untuk membuat persiapan terakhir sebelum berangkat ke Sonobe, Kyoto. Aku menyediakan sedikit sandwich coklat untuk diri aku sendiri dan juga air suam sebagai bekalan.
Aku bertolak keluar dari rumah selepas sahaja aku selesai solat subuh. Mulanya aku memakai kasut sukan, tapi setelah mempertimbangkan ramalan cuaca yang mengatakan Sonobe akan bersalji aku tukar memakai but Timberland aku. Salji turun agak lebat juga semasa perjalanan aku menuju ke Stesen Shibahara. Aku berjalan pantas sambil menepis-nepis emping salji yang jatuh di baju sejuk aku yang tidak kalis air.
Aku merasa lega sebaik sahaja sampai di Stesen Shibahara. Aku menaiki monorel yang bertolak dari Stesen Shibahara ke Stesen Hotarugaike pada jam 6.12 pagi. Harga tiket tren monorel dari Stesen Shibahara ke Stesen Hotarugaike adalah 200 yen (RM 7.20). Sampai di Stesen Hotarugaike aku menuju ke mesin tiket Hankyu untuk membeli tiket ke Stesen Arashiyama yang berharga 470 yen (RM 16.80).
Aku menaiki tren Express Umeda yang menuju ke Stesen Hankyu-Umeda melalui Hankyu-Takarazuka Line. Turun di Stesen Juso dan naik pula tren Express Kawaramachi menuju Kawaramachi dengan Hankyu-Kyoto Line. Salji terus turun sepanjang perjalanan aku. Kelihatan bumbung-bumbung bangunan sudah bertukar menjadi putih kerana dilitupi salji. Pemandangan yang sangat berbeza berbanding kelmarin bila aku membuat perjalanan yang sama.
Aku turun di Stesen Katsura dan disambut dengan salji yang turun dengan sangat lebat. Angin bertiup dengan kuat membuatkan salji pasti akan kena sesiapapun yang menunggu tren di platform. Aku memasang baju hujan aku untuk melindungi baju panas aku yang tidak kalis air masa menunggu ketibaan tren Hankyu-Arashiyama Line menuju ke Arashiyama.
|
Menanti tren di Stesen Katsura. |
|
Semuanya berubah wajah bila dilitupi salji. |
Tren sampai dan membawa aku dan penumpang lain ke Stesen Arashiyama melalui Hankyu-Arashiyama Line. Salji makin kuat turun semakin menghampiri Arashiyama. Aku turun di Stesen Arashiyama dengan pemandangan yang jauh berbeza berbanding kelmarin. Aku memulakan langkah menuju ke Stesen Saga-Arashiyama.
|
Papan tanda Arashiyama yang nampak berbeza berbanding kelmarin. |
|
Bersyukur sangat dengan keputusan aku untuk memakai but hari ini. Kalau nda memang bekulah kaki aku. |
|
Salji tebal dengan salji yang turun dengan lebat. |
Aku tersenyum sendirian sebab selama ini aku betul-betul berharap salji turun, sekalinya kena bagi ribut salji. Punyalah payah mau berjalan dengan salji yang turun begitu lebat. Nasib juga aku ni memang selalu bawa payung ke sana sini. Payung lipat yang aku pakai pun memang aku bawa dari Malaysia. Aku meneruskan perjalanan ke Stesen Saga-Arashiyama sambil berwhatsapp dengan adik beradik aku dalam group. Susah juga menaip kalau berjalan dalam salji ni.
|
Hehe kalau kelmarin ramai sudah orang jalan-jalan di sini. |
|
Akhirnya sampai di Stesen JR Saga-Arashiyama dengan salji yang lebat. |
Aku menepis-nepis salji yang ada di baju aku ketika menaiki eskalator. Aku pun membeli tiket ke Sonobe dengan mesin tiket dan terus menuju ke Platform 3. Tapi sebelum sampai aku naik semula tangga sebab mau ke tandas. Setelah selesai membuang apa yang aku mau buang aku pun turun semula. Salji turun dengan lebat dan melitupi platform tempat menunggu. Jadi aku menunggu tren di tangga, tempat yang nda terkena tempias salji.
|
Menanti tren yang dijangka lewat 7 minit dari jam 8.11 pagi yang dijadualkan. |
Tren berlepas tepat jam 8.18 pagi dan terus menuju ke destinasi yang aku tujui iaitu Stesen Sonobe. Semakin mendekati destinasi aku perasan salji ni nda berkurangan malah seperti makin lebat. Aku akhirnya sampai di Stesen Sonobe lebih kurang jam 8.50 pagi.
Aku segera menghantar mesej kepada Keiko untuk memberitahu dia yang aku sudah sampai di Stesen Sonobe. Keiko agak terkejut sebab dia sangka aku akan naik tren yang berlepas dari Stesen Saga-Arashiyama pada jam 9.01 pagi. Aiyo mungkin dia lupa yang aku ada bagitau dia yang aku akan sampai di Stesen Sonobe antara jam 8.00 hingga 9.00 pagi. Dia meminta maaf dan minta aku untuk tunggu dia sampai. Aku pun menyuruh dia supaya memandu perlahan-lahan sebab jalan yang dilitupi salji lebih licin dan merbahaya.
Aku makan sandwich yang aku bawa sementara menunggu Keiko. Kemudian, berjalan-jalan di dalam stesen dan mengambil gambar sedikit.
|
Sonobe, putih dilitupi salji. |
|
Panorama dari jambatan yang menghubungkan West Exit dengan East Exit di Stesen Sonobe. |
Aku memerhatikan emping salji yang besar turun. Aku nda pernah tahu salji boleh turun dengan saiz sebegitu besar. Pertama kali nampak benda ni jadi memang aku ada sifat ingin tahu. Jam 9.40 pagi Keiko mengambil aku di East Exit Stesen Sonobe. Aku sangat gembira berjumpa semula dengan Keiko. Rasa seolah-olah aku nda pernah pun pergi dari Sonobe ni.
Kami bercerita di sepanjang perjalanan. Di kiri kanan pemandangan Sonobe telah berubah seolah-olah winter land, semuanya putih. Aku nda mengambil gambar cuma menikmati pemandangan itu dengan mata aku sendiri.
Sampai di garaj, Keiko nda mau aku turun dengan but aku, jadi dia mengambil but getah yang ditinggalkan Wilson untuk aku pakai. Mana lah muat tapi untuk sementara sahaja sampai ke rumah. Aku berjalan di belakang Keiko mengikut tapak kaki yang ditinggalkannya ketika meninggalkan rumah untuk mengambil aku di stesen. Tebal juga salji yang terkumpul di sana dalam 8 ke 9 inci. Pemandangannya memang lebih cantik berbanding waktu musim luruh dulu.
|
But getah Wilson. Terkejut dia bila aku hantar gambar ni sama dia. |
Lepas meletakkan barang, Keiko terus ajak aku ke rumah jiran sebab dia mau pinjam gunting panjang. Aku mengeluarkan but getah yang memang aku ada bawa sebab aku memang mau menolong Keiko sementara aku ada di sini.
Jiran ni baru jugalah berhijrah di kampung ni dalam setahun sudah. Nama keluarga, Takakusa. Masuk rumah terus diterpa anjing sangat besar, gebu betul bulu dia. Cepat-cepat lelaki yang ada di sana pegang anjing tu dan mengikatnya. Manja betul anjing tu, tu yang menerpa orang tu. Geram ja aku tengok bulu dia yang gebu tu. Perempuan yang ada di rumah tu adalah pakar makrobiotik, mak kepada lelaki tadi. Pernah ada restoran sendiri tapi sudah bersara. Sekarang dia buat kelas ja untuk orang-orang belajar pasal makrobiotik. Di rumahnya guna bahan-bahan organik sahaja.
|
Keiko bercerita dari jauh. |
|
Takakusa, pakar makrobiotik sedang menyediakan makanan untuk anaknya dengan dapur tradisional Jepun. |
|
Kami dihidangkan kopi yang airnya ditanak dengan kayu api. Aromanya memang sungguh sukar dinyatakan. |
Kami diberikan setiap seorang sebotol kicap organik yang Puan Takakusa buat sendiri. Keiko beritahu aku kami sangat beruntung sebab kicap tu sebenarnya agak mahal dalam lingkungan 2,000 yen ke 3,000 yen (RM 70.90 ke RM 106.20) sebotol.
|
Kicap organik yang aku dapat. Botol kaca, jadi memang aku akan bagi Kak Ari lah ni. |
Selepas menerima gunting panjang yang dipinjam kami pun kembali ke rumah. Setelah berehat sebentar, Keiko mengajak aku ke ladang. Aku menukar pakaian aku ke baju kerja. Kami pun menuju ke garaj di mana trak diletakkan. Aku membantu Keiko mengalihkan salji tebal yang berkumpul di atas kanvas belakang trak.
Setelah itu baru kami bergerak ke ladang. Betapa aku rindukan tempat ni, perasaan aku bercampur baur ketika kami menghampiri ladang. Rupanya memang berbeza dengan salji yang melitupi tapi masih boleh kukenali rupa bentuk muka buminya.
|
Sayur-sayuran habis dilitupi salji. |
Aku membantu Keiko mengalihkan salji yang berkumpul di atas plastik yang melindungi sayur-sayuran. Beberapa baris sayuran yang di tutup plastik tidak dapat menahan berat salji, jadi plastiknya jatuh menimpa sayuran. Yang begitu, kami nda dapat buat apa-apa sebab salji pun lebat betul turun. Dengan sarung tangan yang nipis, rasa macam mau beku ja tangan aku mengalihkan salji dari plastik-plastik yang masih kuat melindungi sayuran.
Aku bertanya mengenai bawang yang aku, Trevor dan Wilson ada tolong tanam. Jadi Keiko membawa aku ke sana. Alhamdulillah, bawang-bawang itu masih tumbuh dengan sihat walaupun dilitupi salji.
|
Melawat sekejap ja sebab lebat betul salji yang turun. Jadi kami pun cepat-cepat balik ke rumah. |
Betul-betul sekejap kami berada di ladang lebih kurang 10 minit sahaja. Lagipun tiada juga kerja boleh dibuat dengan salji yang turun dengan lebat tu. Kami pun kembali ke rumah.
|
Keiko meredah salji tebal untuk naik ke rumah. |
Sampai di rumah Keiko terus masuk untuk menyediakan makan tengahari manakala aku bagitau dia aku mau ambil gambar dulu di luar.
|
My feet on the snow. |
|
Litupan salji di depan rumah. |
|
Salji masih turun dengan lebat. Membuatkan semuanya nampak putih. |
|
Selfie dulu sebelum masuk ke dalam. |
Aku masuk setelah kesejukan mula terasa di kaki. Aku duduk di ruang tamu (bilik aku) dan memberitahu Wilson melalui Line yang aku berada di rumah Keiko. Dia berharap dia pun berada di sana juga ketika itu.
|
Limau mikan, jajan dan minuman serta jag berisi air panas yang disediakan Keiko untuk aku. |
Dalam jam 12 tengahari Keiko siap menghidangkan makan tengahari iaitu hidangan udon. Ka mi makan bersama sambil bercerita. Kebanyakan topik kami adalah mengenai makanan dan masakan.
|
Kitsune Udon yang memang sedap! |
Setelah makan, Keiko menunjukkan kepada aku guni yang berisi kacang soya. Dia cakap kalau aku boring tiada apa-apa mau dibuat, boleh tolong asingkan kacang soya yang buruk dari yang baik.
|
Kacang soya. |
Keiko memberikan aku kebebasan sepenuhnya untuk membuat apa sahaja yang aku mahu sementara menanti salji yang turun reda. Aku solat dan mula memilih kacang soya yang buruk dan mengasingkannya ke dalam satu bekas. Dalam jam 1.30 tengahari, Keiko mengajak aku skup salji dari laluan. Dia takut orang akan tergelincir sebab licin.
|
Alat untuk buat kerja! |
|
Ok mula! |
|
Laluan ke rumah jiran yang perlu dibuang salji. |
Setelah selesai membuat laluan di kawasan yang dilitupi salji, kami masuk ke rumah. Aku kemudiannya meminta kebenaran dengan Keiko untuk berjalan-jalan. Aku mula-mula berjalan kaki di kawasan seberang jalan. Sama
betul dengan apa yang aku lakukan masa hari pertama aku sampai di Sonobe ni.
Aku mula-mula ingin balik ke rumah, tapi sebaliknya aku membuat keputusan untuk berjalan ke ladang.
|
Panaromic view of the garage and the path leading to the house. |
|
Salji tebal merubah landskap. |
|
Sudah ada laluan. Keiko cakap masa dia turun ke Stesen Sonobe untuk ambil aku, jalan semuanya dilitupi salji. |
|
Air sungai tetap mengalir. |
|
Pemandangan panorama kawasan ladang dan lembah di mana ia berada. |
|
Kawasan yang akan sentiasa menjadi kenangan aku dan Wilson; misi potong rumput dan bakar. Sekarang dilitupi salji. |
|
Sayur bawang yang kuat melawan sejuk. |
|
Keiko cakap sayur bawang ni memang akan bertahan dalam suhu sejuk. |
|
Selfie di ladang sayur. |
|
Salji turun dengan lebat semula. |
|
Bukit sudah putih dengan salji lebat yang turun. |
|
Laluan yang dibuat Keiko. |
Aku pulang ke rumah dan disambut wajah lega Keiko. Rupanya dia menanti aku pulang sebab dia mau minta tolong aku tutup pagar ladang. Haha kalaulah aku tau tadi, memang aku akan tutup. Aku keluar semula dan mengambil keputusan untuk menaiki basikal Keiko yang dibaiki Trevor dulu untuk ke ladang.
|
Best sangat berbasikal di atas salji. |
|
Selesai tugasan singkat! |
|
Berbasikal jauh sedikit untuk menikmati pemandangan lembah. |
Setelah puas menggambar, akupun berbasikal pulang dengan salji yang semakin lebat turun.
|
Rumah Keiko dari jambatan kecil dengan laluan yang aku buat tadi. |
Aku masuk berehat di ruang tamu/bilik aku. Apabila salji reda sedikit, Keiko mengajak aku memetik buah limau yuzu yang banyak di pokok di hadapan rumah dengan gunting panjang yang kami pinjam di rumah jiran Takakusa pagi tadi.
|
Limau yuzu yang banyak berbuah di depan rumah. |
Aku memetik seberapa banyak buah limau yuzu yang aku dapat. Namun salji turun semakin lebat membuatkan ianya sukar kerana salji masuk ke mata. Keiko pun risau aku mungkin akan tergelincir dan meminta supaya aku berhenti. Keiko menyuruh aku berehat sementara dia menyediakan makan malam.
|
Mengeringkan stokin, beanie dan sarung tangan aku di depan heater. |
Masuk waktu maghrib, aku solat dan kemudiannya aku terus berehat sambil menanti waktu makan malam. Dalam jam 5.30 petang, makan malam telah tersedia dihidang Keiko. Nasi putih, labu merah dengan bijan hitam, stew radish dengan ayam, sup miso sayuran, tauhu dengan konnyaku dan salad rumpai laut yang menggunakan limau yuzu yang aku petik petang tadi. Mangkuk di tengah dengan sudu putih tu adalah sanshou atau nama saintifiknya Zanthoxylum piperitum. Sejenis rempah yang membawa rasa pedas sedikit berasal dari keluarga citrus. Sanshou ni yang tumbuh di depan rumah, abang Keiko yang tolong dia jadikan serbuk.
|
Dinner yang sangat osem! |
Stew radish dan ayam dimasak di atas alat pemanas untuk masa yang lama menjadikannya sangat lembut dan sedap. Salad rumpai laut tu sedap betul sebagai pembuka selera dengan rasanya yang masam-masam.
Setelah makan dan Keiko selesai mengemas meja, aku memasukkan kaki aku di bawah kotatsu dan tanpa sedar terlelap. Mungkin sudah terlalu penat sebab telah berjaga sejak jam 4 pagi.
Aku terjaga semula pada jam 9 malam. Aku membuat minuman halia dan makan snek yang telah disediakan Keiko. Sebab mata sudah rasa segar, aku pun buat kerja mengasingkan kacang soya yang buruk dari yang baik. Aku seolah-olah merasakan ianya satu misi untuk memilih seberapa banyak kacang soya buruk yang aku dapat setelah mendengar penerangan Keiko yang dia ingin menderma sebahagian kacang soya ni untuk kanak-kanak yang terjejas dengan bencana nuklear di Fukushima yang mempunyai aktiviti membuat miso. Kanak-kanak tu kena keluar dari kawasan Fukushima mungkin satu atau dua hari untuk mengelakkan risiko radioaktiviti.
Aku begitu asyik memilih kacang soya dan masa berlalu begitu pantas. Tanpa sedar aku membuat kerja tu untuk 3 jam. Dalam jam 12 aku berhenti, berwudhu dan solat dan kemudiannya bersedia untuk tidur.
21 Januari 2016 (Khamis)
Agak lewat aku bangun hari ni, lebih kurang jam 6 pagi. Aku segera berwudhu dan solat subuh. Aku mula mengemas sedikit pakaian aku. Selepas itu aku mandi untuk menyegarkan badan.
Kemudian aku pun keluar untuk mengambil gambar sekitar kawasan rumah. Keiko merasa terkejut melihat aku keluar untuk ambil angin diwaktu pagi. "Unbelievable" dia cakap. Hehehe aku kan teruja dengan salji, jadi memang betul-betul ambil kesempatanlah ni untuk menikmati pemandangan salji dan suhu sejuknya.
|
Laluan di hadapan rumah yang dilitupi frost. |
|
Tapak kaki binatang liar, mungkin raccoon. |
Lebih kurang jam 8.10 pagi, Keiko siap menyediakan sarapan pagi. Menu sarapan adalah ikan bakar dengan limau yuzu dan parutan radish, sup miso, jeruk radish dan tauhu dengan kicap yang diberikan kelmarin.
|
Simple yet delicious! |
Selepas makan aku pun meminta izin dengan Keiko untuk berjalan-jalan. Aku berbasikal menuju ke ladang. AKu hanya memakai seluar satu lapis, baju pun tidak tebal sangat. Rasanya badan aku sudah terbiasa sedikit dengan suhu yang sejuk ni.
|
Jalan ke ladang. |
|
Snow covered. |
|
Puncak bukit yang selalu menjadi penghibur ketika berehat. |
|
Panaromic view of the farm. |
|
Snow flakes. |
Kemudian aku meneruskan berbasikal mengikut jalan yang menuju ke Ruri River Hot Springs.
Bila puas menggambar, aku pun berbasikal balik ke rumah. Memang seronok bila basikal bergerak laju menuruni bukit.
Lebih kurang 9.30 pagi, Keiko mengajak aku ke ladang untuk melakukan kerja sedikit. Kiranya kerja terakhir aku untuk dia. Kami sama-sama menuju ke garaj setelah aku ke tandas sebentar dan memakai seluar kerja.
|
Tapak kaki rusa atau sika. |
|
Air dalam besen yang menjadi ais. |
|
Kanvas di belakang trak yang dilitupi salji dan ais. |
Kami pergi ke ladang dengan trak dan terus menuju ke kawasan penanaman sayur. Keiko ingat ianya seperti kelmarin iaitu plastik yang melindungi sayuran dilitupi salji. Tapi tidak, semuanya okey kecuali beberapa bahagian yang jatuh kerana berat menampung salji dan ais yang terkumpul. Salji agak keras hari ini mungkin kerana kelmarin ianya sudah mencair tapi suhu sejuk semalam membuatkannya keras semula.
|
Jalan menuju ke kawasan sayuran. |
Dari kawasan penanaman sayuran kami menuju ke kawasan penanaman bawang dan rumah hijau.
|
Pemandangan panorama kawasan penanaman bawang dan rumah hijau. |
|
Bawang menghasilkan suhu sendiri untuk mencairkan salji di sekeliling daunnya. |
Kerja yang kami lakukan bersama adalah memetik kacang soya dari tangkai yang dikeringkan. Banyak kami bercerita masa memetik kacang soya tu. Pasal Bahasa Inggeris Keiko yang baik, pasal pengalaman dia menguruskan Airbnb dan pasal kehidupan serba sedikit.
|
Keiko memetik kacang soya dalam rumah hijau. |
Nda lama juga kami membuat kerja di rumah hijau tu. Lebih kurang 30 minit sahaja. Keiko mengajak aku pulang sebab dia mau menyediakan makan tengahari. Aku bawa Keiko bergambar dulu sebelum berangkat pergi.
|
Bergambar di ladang yang seolah snow park. |
|
Keiko dengan bawang-bawang yang tahan cuaca sejuk. Sukar dipercayai dia ni berusia 52 tahun! |
Aku katakan kepada Keiko supaya pulang dulu dan aku akan berjalan sendiri pulang. Aku ingin menikmati pemandangan salji ini sepuas hati aku dan meluangkan seberapa banyak masa di ladang sebelum aku kembali ke Osaka.
|
Bawang, berusaha okey! |
|
Green house. |
Setelah puas bermain salji sendirian aku pun mula bersedia untuk berjalan balik ke rumah. Aku tutup pagar yang aku buka masa kami sampai ke ladang tadi dengan hati yang agak berat. Aku tahu inilah kali terakhir aku berbuat begini di sini. Nda tahu bila lagi ada peluang untuk datang ke ladang di Sonobe, Kyoto ni.
|
Pemandangan terakhir dalam perjalanan balik. |
Sesampai di rumah, aku berehat-rehat sebentar sementara menanti Keiko menyiapkan makan tengahari kami. Aku mula mengambil gambar barangan yang ada di ruang tamu tu.
Lebih kurang jam 12.20 tengahari, Keiko siap menghidangkan makanan. Menu makan tengahari terakhir kami bersama adalah nasi dengan tiram, telur yang digoreng dengan tauhu, bunga kubis dicelur dengan cecah sos mustard dan madu serta sup miso rumpai laut dan tauhu.
|
Cecah sos mustard tu memang osem! |
Setelah makan, aku memeriksa jadual tren yang berlepas dari Stesen Sonobe menuju ke Stesen Kyoto. Aku memilih tren yang berlepas pada 2.15 petang supaya aku ada masa untuk bersiap dan mengemas barangan aku. Aku solat dan kemudiannya menukar pakaian. Malas mau mandi sebab pagi tadi sudah mandi. Sebelum berangkat pergi meninggalkan rumah pada jam 1.45 petang, aku mengambil gambar ruang tamu/bilik aku yang banyak memberikan kenangan buat kali terakhir.
|
Banyak kenangan yang indah di sini bersama Keiko, Wilson dan Trevor. |
Sampai di Stesen Sonobe, memang rasa sedih untuk meninggalkan Keiko dan tempat ini sendiri. Aku bagitau Keiko aku akan berusaha untuk dapat datang semula ke sana. Sebelum keluar dari trak, Keiko memberikan aku onigiri nasi tiram tadi sebagai bekalan makan aku. Aku mengucapkan selamat tinggal kepada Keiko dan terus naik untuk membeli tiket di mesin tiket.
Tepat jam 2.15 tengahari, tren meninggalkan Stesen Sonobe menuju ke Stesen Kyoto. Aku turun di Stesen Saga-Arashiyama dan terus menuju ke Stesen Hankyu Arashiyama. Pemandangan berubah lagi berbanding kelmarin yang semuanya dilitupi salji bila semuanya sudah mencair.
|
Payung yang dijual di Arashiyama. |
|
Menanti tren di platform yang dihiasi lampu-lampu. |
|
Cuaca mendung membuatkan lampu dipasang awal. |
|
Onigiri yang diberikan Keiko. |
Jam 3.15 petang tren berlepas ke Stesen Katsura di mana aku bertukar tren menuju Stesen Juso. Dari sana aku menaiki tren ke destinasi akhir, Stesen Hotarugaike.
22 Januari 2016 (Jumaat)
Jujurnya bila aku menaip ni, aku langsung nda ingat apa yang aku buat untuk hari ini. Nasib ada gambar, itupun di waktu petang. Dapatlah aku ingat sikit-sikit beberapa aktiviti aku hari ini.
Selepas zuhur aku pergi ke kedai 100 yen berhampiran Stesen Hotarugaike. Aku pergi ke sana untuk membeli beberapa barangan untuk orang-orang yang penting dalam hidup aku. Beli barang murah-murah ja, nda mampu mau beli yang mahal-mahal.
Aku berjalan pulang dengan perlahan hari ini sebab aku tahu hari ini adalah hari terakhir aku berjalan-jalan di Toyonaka ni. Rasa sedih juga sebab aku sudah merasa tempat ni sebagai tempat tinggal aku.
|
Penutup pembetung Toyonaka. |
|
Laluan yang selalu aku lalui. |
|
Pemandangan panorama laluan biasa aku. |
|
Cermin jalan untuk lalu lintas. |
|
Tomare, berhenti! |
|
Road mirror for narrow road. |
|
Tiang tempat pengumpulan sampah. Tempat aku tolong Kak Ari buang sampah selalu. |
Selepas maghrib kami pergi ke rumah Azrul dan Ayin. Mereka menjemput kami untuk makan malam di rumah mereka. Alhamdulillah, kiranya makan malam perpisahan lah ni. Menu makan malam adalah nasi putih, kari ayam, ayam goreng, sayur campur tumis dan sambal campak yang memang osem!
|
Menu yang memang sedap. Betul-betul rasa Malaysia. |
|
Azrul dan Ayin yang sentiasa ceria. |
Balik di rumah aku mula sibuk mengemas barang sebab esoknya
aku akan berangkat pulang balik ke Malaysia.
23 Januari 2016 (Sabtu)
Agak lewat aku bangun hari ini, mungkin sebab semalam agak
lewat aku tidur kerana mengemas barangan untuk dibawa balik ke Malaysia. Setelah subuh aku membawa pakaian yang aku mau cuci. Yalah, flight malam kan jadi memang sempat ni untuk kering.
Aku bersarapan dengan nasi putih, telur mata lembu dua biji dengan kicap manis. Aduhai, menu paling senang beginilah yang paling sedap aku rasa. Sambil menanti cucian siap, aku mula buat cucur bawang. Tiba-tiba rindu pula mau makan cucur bawang.
Selepas menyidai pakaian yang aku cuci, aku ambil selfie untuk membezakan antara masa baru sampai dengan masa mau kembali ke Malaysia.
|
27 Oktober 2015 vs. 23 Januari 2016. |
Dalam jam 2.45 petang aku dan Kak Ari mula makan ambuyat dari sagu terakhir yang ada di sana.
|
Bestnya makan ambuyat. Banyak betul aku makan hari ni. |
Masa terlalu pantas berlalu, aku mengemas semua pakaian aku setelah semuanya kering. Banyak barangan yang aku bawa tapi kebanyakannya barang kiriman Kak Ari untuk orang-orang di Sabah. Satu beg aku penuh dengan baju sejuk sahaja. Tebalkan, jadi memang penuh satu beg lah. Selepas maghrib kami bergerak ke Kansai International Airport (KIX).
Agak awal kami sampai di KIX dan kaunter untuk Airasia belum dibuka lagi. Ianya hanya akan dibuka pada jam 8.30 malam. Oleh kerana masa sangat lama lagi, jadi kami pergi makan dulu. Restoran pilihan adalah The U-don yang mendapat sijil halal JAKIM. Ianya terletak bersebelahan Pintu Balai Ketibaan Domestik di Tingkat 2, Terminal 1.
|
Cara-cara order makanan. |
|
Menu yang ada. |
Aku memilih udon berharga 670 yen dan dua onigiri berharga 150 yen setiap satu. Di sini self-service, jadi kita bagitau apa kita mau, dorang buat order, bawa makanan yang sudah dibuat ke kaunter pembayaran, bayar, dan ngap lah di tempat duduk kamu.
|
Habis semua udon ni aku makan. Onigiri tu satu ja aku makan, lagi satu buat bekal. |
|
Selesai makan. |
Lepas makan, aku mengambil barangan dari kereta yang sebenarnya sudah kami kasi keluar masa sampai di airport tadi. Tapi pasal lama lagi mau check-in luggage, kami kasi masuk balik ke dalam kereta. Aku pun membawa barangan dengan diiringi Kak Ari dan keluarga menuju ke kaunter Baggage Drop.
|
Dalam barisan. Pic by Kak Ari. |
|
Panjang juga barisan ni untuk menunggu giliran. |
|
Pemandangan bumbung tempat menunggu giliran. |
Selepas check in barangan aku, aku pun terus menuju ke Pintu Berlepas. Sebelum ke sana aku bersalaman dengan semua anak buah, Kak Ari dan Abang Amin. Aku juga menyerahkan simkad DMM yang sudah berkhidmat dengan aku hampir tiga bulan di Jepun ni kepada Abang Amin.
|
Mengeluarkan simkad untuk diserahkan kepada Abang Amin. Pic by Kak Ari. |
|
Lambaian sebelum masuk ke dalam. |
Selepas melepasi pemeriksaan keselamatan dan imigresen, aku pun terus menuju ke Pintu 32, tempat penerbangan Airasia D7 535 ke Kuala Lumpur International Airport 2 akan berlepas. Aku menaiki monorel yang menghubungkan Bangunan Utama Terminal 1 dengan South Wing di mana Pintu 32 berada.
|
Di dalam monorel. |
|
Boarding pass aku. |
Agak awal aku sampai di tempat menunggu di Pintu 32, lebih kurang 1 jam sebelum masa boarding. Jadi kebanyakan masa aku hanya duduk sambil menanti kapal terbang untuk ke KLIA2 sampai.
|
Ruang menunggu di Pintu 32. |
|
Kapal Airasia D7 535. |
|
Panorama ruang menunggu Pintu 32. |
Boarding ke dalam kapal berjalan dengan lancar. Aku duduk di kerusi aku iaitu 22K yang bersebelahan tingkap. Dan sebab merasa agak penat, terlelap apabila kapal mula mendaki selepas berlepas tepat jam 11.35 malam.
24 Januari 2016 (Ahad)
Terjaga selepas tidur lebih kurang 30 ke 40 minit sahaja. Aku ni jenis yang susah mau tidur balik bila sudah terjaga jadi kebanyakan masa selama 6 jam penerbangan tu aku berjaga.
Penerbangan sampai awal di KLIA2. Aku betul-betul sudah sampai di Malaysia bila melihat wajah pegawai Kastam dan juga Imigresen yang marung berkerja awal pagi. Aku hanya tersenyum sebab memang sahlah aku berada di Malaysia dengan keadaan begini.
Tiada lagi budaya sopan santun seperti di Jepun yang aku alami selama hampir tiga bulan. Sekarang aku sudah sampai di negara sendiri di mana kebanyakannya lebih mementingkan diri sendiri dan bukan mementingkan masyarakat seluruhnya. Di mana sampah atau puntung rokok lebih rela dibuang di celah pokok daripada tong sampah yang kurang 1 meter dari tempat mereka berada. Di mana troli supermarket dibiarkan di tempat letak kereta, laluan kecemasan digunakan untuk lebih cepat memotong barisan dan pelbagai lagi kelakuan yang menjadikan mereka orang Malaysia tipikal.
Masa sungguh banyak lagi sebelum penerbangan aku seterusnya ke Kota Kinabalu International Airport Terminal 1. Jadi mula-mula sekali aku mencari tempat makan. Dan pilihan aku adalah KFC! Aku makan KFC ni dengan sebiji onigiri yang aku bawa. Lupa bagitau semalam Aliah ada bagi aku dua biji onigiri dia yang dia nda makan. Terima kasih Aliah!
|
KFC Spicy. Nyum2! |
Betul-betul lama lagi sebelum aku akan boarding jadi aku pun pusing-pusing lah di shopping mall yang ada di KLIA2 ni. Aku cari juga Pejabat Pos sebab aku kena hantar satu barang untuk adik Abang Amin, tapi malangnya aku nda jumpa pula Pejabat Pos. Nda apa, balik Sabah nantilah aku hantar barang tu.
Sebenarnya aku merasa sangat kepanasan sebab baju yang aku pakai dari Jepun adalah baju untuk musim sejuk. Aku segera mencari tandas untuk menukar pakaian. Sudah terbiasa hampir 3 bulan dengan tandas yang kering, basah betul bagi aku tandas Malaysia ni. Hehehe pelik juga aku rasa kenapa tandas di lapangan terbang boleh jadi basah sebegini padahal tandas tu ada paip dalam mangkuk tandas untuk membersihkan diri selepas buang air besar.
Selepas menukar pakaian, aku pun meluangkan masa sekadar berjalan-jalan di shopping mall di KLIA2 ni. Sudah puas pusing-pusing aku pun mencari tempat yang ada power outlet untuk cas telefon aku. Jumpa satu tempat, aku pun meletakkan beg aku dan duduk ja di lantai sambil mengecas telefon.
|
Panorama dari tempat aku duduk bersila. |
Aku singgah di Burger King untuk membeli burger sebelum pergi ke Balai Pelepasan. Setelah melepasi pemeriksaan keselamatan dan imigresen, aku segera pergi berjalan menuju ke pintu pelepasan. Aku singgah untuk membeli roti Gardenia untuk dibawa pulang ke Sabah.
Aku pun terus menuju ke pintu pelepasan dan menanti untuk boarding kapal AK 5136 yang akan berlepas ke KKIA T1 pada jam 10.20 pagi.
|
Ruang menunggu di KLIA2 yang nda kalah berbanding KIX. |
|
Kapal Airasia AK 5136 bersedia untuk berlepas. |
Tepat jam 10.20, kapal terbang mula mengundur dan bergerak menuju landasan untuk berlepas. Kapal AK 5136 berlepas dengan lancar menuju Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Negeri kelahiran aku yang tercinta.
****************************************************************
Maka berakhirlah siri Japan Story aku. Terima kasih kepada semua yang sudi membaca dari minggu pertama sampailah minggu terakhir ni. Berakhirlah kehidupan seolah di alam mimpi aku, dan sampailah aku di alam realiti. Terima kasih kepada abang aku Irzan dan adik angkat Rafhanah yang menjadikan trip ke Jepun ni sebagai kenyataan. Memang hadiah kejutan hari jadi terbaik buat aku! Terima kasih juga kepada Abang Amin dan Kak Ari yang banyak membantu aku ketika berada di Jepun dari segi kewangan, makanan, tempat tinggal dan semualah. Aku rasa aku nda akan dapat bertahan lama tanpa kamu di sana.
Terima kasih juga kepada Mong dan suami yang menjadi pendorong aku untuk menulis siri Japan Story ni. Memang menjadi kerja aku ni menulis blog ni untuk kamu, dan sememangnya ia tidak mudah. Dan minggu ini agak mencabar kerana aku kurang sihat, dan talian internet tidak begitu berkerjasama dengan aku untuk aku menyiapkan dan memuatnaik blog ini lebih awal.
Insya Allah mungkin ada satu lagi entry blog khas sebagai kesimpulan kembara aku di Jepun. Nantikan (kalau sudi) ya!
Terima kasih sekali lagi... どうもありがとうございます!