Baiklah, seperti yang dijanjikan minggu ni barulah didedahkan rupa Wilson dan Trevor ni hehehe.
|
Wilson, Trevor dan aku (abaikan kekiutan aku ah...) Dalam trak yang sangat sempit, 2-seaters kami pegi masuk 3 orang. |
Minggu ni merupakan minggu kedua aku jadi wwoofer di Sonobe, Kyoto. Rasa agak sedih juga bila berpisah dengan Trevor yang berangkat pergi dari rumah Keiko pada 18 November 2015. Tapi itulah lumrah kehidupan, setiap pertemuan pasti ada perpisahan.
16 November 2015 (Isnin)
Seperti biasa aku bangun awal untuk solat subuh. Kemudian aku mandi dan bersiap dan selepas itu mengemas bilik tidur aku. Aku bersedia untuk keluar berbasikal kerana Keiko mengatakan sarapan akan diadakan jam 8.30 pagi.
Selepas memberitahu Keiko aku mau berjalan-jalan sekejap, aku pun menuju ke tepi garaj di mana basikal yang telah dibaiki Trevor berada. Aku pun mula berbasikal mengikut jalan menghala ke kolam air panas Ruri River. Asap berkeluaran dari mulut ketika berbasikal dan tangan pun rasa kebas kerana sejuk. Aku tidak pergi terlalu jauh takut banyak pula bukit yang perlu didaki. Aku pun berhenti sebentar di jambatan yang merentangi sungai.
|
Basikal Keiko di atas jambatan. |
|
View dari jambatan. Mentari baru naik. |
Selepas itu aku pun berbasikal balik ke rumah. Perjalanan balik lebih mudah kerana banyak menuruni bukit. Tambah kebas tangan aku dengan suhu dan kelajuan basikal tu menuruni bukit.
8.30 pagi, Keiko sudah siap menyediakan sarapan pagi kami hari ini. Nasi putih, ikan yang diperap dengan kicap dan gula lalu dibakar, sup miso dengan tauhu, dan pelbagai topping untuk dimakan bersama nasi.
|
Menu sarapan pagi. |
Kami diminta ke ladang pada jam 9.30 pagi. Kami membawa beberapa bekas untuk menyimpan hasil tuaian sayuran yang akan kami tuai petang nanti. Keiko menunjukkan banyak jenis tanaman yang mungkin akan dituai hari ini, tapi masih menunggu pesanan datang dari bos. Tugas kami pagi ni mudah sahaja iaitu membuang ulat-ulat yang memakan sayur kobis cina. Kemudian Keiko membawa kami ke tempat tanaman terung dan meminta kami mencabut pokok-pokok terung yang sudah habis mengeluarkan hasil. Sesudah itu Keiko meninggalkan kami di ladang untuk menanti ketibaan Chiaki dan Mr. Kaji.
Pagi ini keadaan adalah berbeza dari hari-hari biasa. Tiada sangat kerja ladang kerana ada lawatan budak-budak tadika dari Osaka. Aku, Wilson dan Trevor lama juga menanti ketibaan orang, jadi banyak la masa kami hanya bercerita. Kemudian Chiaki, Mr. Kaji dan seorang lagi rakan mereka iaitu peladang di Kyushu yang berasal dari Hokkaido pun sampai ke ladang.
Kemudian pemberita pun datang ke ladang untuk membuat liputan berkenaan acara lawatan kanak-kanak tadika ke sana. Kami pun diperkenalkan oleh Mr. Kaji kepada mereka.
|
Mr. Kaji, Trevor, Chiaki, Wilson, pemberita (Ms. Mori), aku dan rakan Mr. Kaji. |
Sambil menanti aku pun ambillah gambar-gambar tempat yang sangat indah ini. Tempat ni nda kurang cantiknya walau hari-hari aku tengok.
|
Air mengalir dari kawasan tinggi... |
|
...mengalir menuruni lembah. |
Melihat kamera yang dipakai jurukamera petugas media yang datang, Wilson merasa geram dan pulang ke rumah untuk mengambil kameranya. Agak lama juga kami sekadar berdiri dan bercerita-cerita sehinggalah rombongan kanak-kanak tadika pun sampai.
|
Rombongan dah sampai. Comel sangat! |
|
Kanak-kanak ni boleh menurut arahan dengan hanya tiupan wisel! |
|
Dalam formasi mengikut arahan cikgu. |
|
Sangat ramai kanak-kanak ni, semuanya berdisiplin. Ada yang semuda 2 tahun! |
Kanak-kanak ini kemudiannya mempersembahkan apa yang mereka diajar di tadika. Ya Allah, punyalah banyak yang dorang kena hafal seawal usia begini.
Kemudian kami bertiga pun diperkenalkan oleh Chiaki kepada semua kanak-kanak di sana. Chiaki ni nda bagitau awal-awal bah kami kena memperkenalkan diri, gabra juga sikit pasal Bahasa Jepun aku sudah berkarat.
Sesudah itu rombongan pun memulakan aktiviti, ada yang dibawa hiking, dan ada yang diajar cara-cara menanam bawang.
|
Kanak-kanak tadika mula hiking menuju ke bukit. |
|
Sekumpulan kanak-kanak dibawa ke tempat penanaman bawang. |
|
Kanak-kanak belajar cara menanam. |
Aku, Wilson dan Trevor menjadi pemerhati untuk aktiviti yang dijalankan ni. Mr. Kaji pun bagitau kami yang kami boleh balik untuk makan tengahari. Kami bertiga buat keputusan untuk berada di sana lebih lama lalu ikut hiking menaiki bukit.
|
Di bukit, di bawah pokok. |
|
Pepohonan renek. |
|
Trevor dan Wilson. |
|
Trevor dan aku. |
|
Wilson dan aku. |
Selepas bergambar-gambar, kami pun menuruni bukit tersebut. Beberapa ketika kemudian kami pun berangkat balik berjalan kaki ke rumah meninggalkan kemeriahan di ladang.
Dalam perjalanan balik kami berlimpas dengan dua ekor kambing yang dibawa dari ladang berhampiran akan menjadi kejutan buat kanak-kanak ni bila mereka telah keluar dari lost maze.
|
Dua ekor kambing BESAR! Punya wangi... |
|
Laluan lost maze. |
Sesampai di rumah aku pun membersihkan diri untuk solat zuhur. Sesudah solat, macam biasa aku lepak di ruang snek, makan-makan buah sambil memanaskan badan. Kami semua menunggu Keiko menyiapkan makan tengahari. Jam 1.20, makanan tengahari pun sudah siap dihidangkan.
|
Nasi putih, tumis sayur-sayuran, salad ubi kentang dan sup jernih sayuran. |
Aku dan Wilson makan terlebih dahulu kerana Trevor sibuk bertelefon. Dia nda dengar pun bila Keiko panggil makan. Keiko meminta kami kembali ke ladang pada jam 2.15. Bila Trevor datang untuk makan, aku dan Wilson sudah hampir habis jadi kami bagitau dia yang kami mau ke ladang lebih awal dari 2.15 petang untuk memerhatikan aktiviti kanak-kanak di ladang. Jadi kami meninggalkan Trevor sendirian untuk makan dan mengemas sesudah makan.
Aku dan Wilson berjalan kaki ke ladang. Terlihat bas tadika yang sangat comel terus teringat bas kucing dalam Totoro.
|
Bas kucing siap ada bunyi mengiau tu...! |
Sesampai di padang yang kami sediakan, kami perhatikan kanak-kanak tadika sudah selesai berkelah, mengemas dan bersiap-siap untuk pulang.
|
Kemas-kemas untuk balik. |
|
Mereka diajar seawal usia untuk bertanggungjawab untuk barang dan sampah sendiri. |
Apabila kanak-kanak ni lalu depan kami, cikgu dorang suruh ucapkan "sayonara" kepada kami. Cramp juga perut balik-balik tunduk ucap sayonara untuk kanak-kanak yang cukup ramai hahaha. Kemudian kami nampak Keiko yang sedang keberatan mengangkat hasil tuaian lalu kami menawarkan diri untuk membantunya. Kami pun membawa dua bekas hasil tuaian tu ke trak Keiko yang diletakkan di tepi jalan.
Keiko bersembunyi apabila bas-bas yang membawa kanak-kanak tadika tu lalu depan kami. Nda tau la mungkin Keiko ni nda berapa suka dengan kanak-kanak. Kami pun memanggil Trevor yang sedang berdiri nda tau mau buat apa di siring jalan. Kami pun kemudiannya balik ke garaj, menurunkan hasil tuaian dan juga empat biji tayar lama trak. Sudah ada tayar baru trak Keiko ni.
Kami kemudiannya kembali ke ladang untuk menuai tanaman seperti yang telah ditempah. Aku dan Wilson di depan dan Trevor dan Keiko di belakang trak. Keiko seolah rasa seronok duduk di belakang trak.
|
No roof! (Gambar diambil Trevor). |
Kami menuai beberapa tanaman seperti radish, lobak, sawi, dan salad. Selesai menuai kami membawa kesemuanya ke trak dan membawa balik ke garaj. Di garaj Keiko meminta kami mencuci radish dan lobak-lobak yang telah dituai. Hari ini kami berkerja sehingga lebih jam 5 pasal kami bermula lewat selepas makan tengahari.
Selesai mencuci, kami pun diminta Keiko untuk balik ke rumah dan berehat sementara dia menyediakan makan malam. Seperti biasa lepas aku solat, aku lepak memanaskan badan di ruangan snek. Kenapa aku suka lepak sini? Sebab banyak buah, teh, snek yang disediakan. Jadi kalau rasa lapar, mengensot ja sikit terus boleh makan. Ada snek baru lagi dari Mr. Kaji sebagai hadiah untuk kami wwoofer.
Jam 6.50 malam makan malam sudah tersedia. Menu malam ini adalah nasi putih, ikan salmon panggang, fishcake disumbat zucchini, salad ubi kentang, salad sawi putih, salad pomelo, dan jeruk radish.
|
Menu makan malam. |
Lepas makan lepak lagi depan alat pemanas. Macam jadi acara biasa sudah untuk aku dan Trevor buat begitu. Trevor pun tegur si Wilson yang jarang lepak depan alat pemanas. Wilson cakap dia nda berapa kesejukan tulah dia jarang lepak sana. Tapi dia datang juga lepak sama kami hehe.
Malam ini aku tidur awal. Begitu juga Trevor. Mungkin kepenatan tengok kanak-kanak yang ramai melawat ladang.
17 November 2015 (Selasa)
Setelah buat perkara-perkara yang biasa aku buat setiap hari, hari bersiap-siap untuk berbasikal. Hari ini aku memakai sarung tangan kerana apabila aku berbasikal kelmarin, rasa macam mau kebas jari-jari aku semua kerana sejuk. Aku berbasikal menghala ke laluan sama kelmarin. Seronok sangat rasa berbasikal sejuk-sejuk dengan asap berkeluaran dari mulut.
|
Bahagian sebelah bukit, kami tinggal di bahagian sebelahnya. |
|
Buah persimmon yang tumbuh di tepi jalan. |
Aku kemudiannya berpatah balik ke rumah. Memang seronok bila menaiki basikal menuruni bukit, laju ja. Tapi masa naik, seksanya Allah ja tau. Aku sampai di garaj dan melihat jam masih awal lagi jadi aku buat keputusan untuk berbasikal di jalan yang menghala ke Stesen Sonobe. Belum pun jauh aku berbasikal aku ternampak seekor rusa yang terperangkap dalam jerangkap.
|
Menurut makcik yang tegur aku, rusa ni masih anak lagi. Memang sekarang musim rusa kena buru. |
Kemudian aku teruskan lagi berbasikal dan ternampak satu tempat yang lawa di mata aku.
|
Mentari mula menunjukkan dirinya. |
|
Mentari menyuluh kawasan lembah. |
|
Pondok kecil di depan hutan, di tepi jalan. |
Aku kembali ke rumah dan dalam jam 7.40 pagi sarapan pagi telah siap dihidangkan Keiko. Menu sarapan pagi ini ala Western, tiga jenis roti berserat, jem blackberry, jem raspberry, sup cendawan dan sawi, labu panggang dan salad kacang tanah, tomato dan tuna.
|
Aku rindu sebenarnya makan roti. Alhamdulillah dapat juga makan roti pagi ni. |
Jam 9.00 pagi kami dibawa ke ladang oleh Keiko. Tugasan kami pagi ini adalah menanam semula bawang yang kanak-kanak tadika kelmarin tanam. Memang Keiko rasa geram sebab kanak-kanak tu main ikut suka hati ja menanam. Ya lah budak kan, mana lah dorang tau.
Memang kerja keras juga menanam semula bawang-bawang tu. Kami mencabut kesemua bawang di batas pertama dan memindahkannya ke batas-batas bersebelahan. Di batas pertama kami menanam 3 jenis bawang berbeza dan di batas-batas yang lain semuanya satu spesis. Keiko meninggalkan kami dan bila dia datang semula dia meminta kami membuat lubang di tempat-tempat yang ada ruang untuk menanam baki anak benih bawang. Bila tiada lagi ruang, Keiko meminta kami menambah satu anak benih ke bahagian tengah batas. Jadi di lubang bahagian tengah akan ada 2 anak benih.
Kemudian Keiko menunjukkan cara menabur sekam padi di lubang anak-anak benih. Dia pun meninggalkan kami dan meminta pulang berjalan kaki jika masuk jam 12 tengahari. Aku kesiukan menabur sekam padi, sampai dua tiga kali juga Wilson panggil aku untuk pulang ke rumah. Setelah mengemas baldi yang aku gunakan, aku dan Wilson serta Trevor pun berjalan kaki bersama.
|
Aku bercerita dengan Wilson. Si Trevor gambar curi. |
|
Memang jajal ni dua anak, bagus-bagus berdiri dorang mencangkung masa aku mau ambil gambar. |
Sesampainya di rumah aku pun membersihkan diri dan solat. Kemudian lepak di ruang snek. Wilson pun lepak sekali, mungkin sebab hari ni hari terakhir sudah lepak waktu tengahari sama Trevor.
Jam 12.40 petang, makan tengahari siap dihidangkan. Menu makan tengahari adalah inari sushi (nasi dibungkus dalam tauhu goreng), nasi berkacang tanah dan bilis halus, acar bilis goreng dan sup miso dengan bebola berprotein.
|
Menu tengahari. |
Berselera betul kami semua makan. Mungkin kerana kerja keras mencangkung menanam anak benih bawang dan menabur sekam padi. Kami berehat sebentar dan pada jam 1.30 petang dibawa Keiko ke ladang. Hujan turun renyai-renyai sepanjang perjalanan kami.
Sesampai di ladang tugasan pertama kami adalah untuk membakar rumput-rumput yang telah dikumpulkan pada dua hari lepas. Trevor ditugaskan untuk memulakan api dalam kebasahan hujan. Dia dan Keiko berusaha memarakkan api sementara aku dan Wilson hanya memerhatikan. Rasa gergitan juga dalam hati, pasal aku tahu aku boleh menyalakan api dalam kebasahan hujan dengan mudah. Tapi kepayahan betul Trevor dan Keiko aku tengok. Tapi aku mana lah mau kacau usaha orang kan. Mereka terus berusaha sehinggalah hujan makin lebat turun.
Kami kemudiannya menyambung menabur sekam padi di lubang anak-anak benih bawang. Kami melakukan tugas dengan pantas kerana hujan makin lebat. Setelah selesai kami cepat-cepat berkemas dan mula berangkat pulang. Trevor duduk di depan bersama Keiko, mungkin kerana inilah kali terakhir dia bersama Keiko di dalam trak. Aku pula di belakang trak berhujan bersama Wilson yang buat hal petang-petang.
|
Jajal nda jajal si Wilson ni? Bekas Sarjan tentera Taiwan tu... |
Sesampai kami di garaj, Keiko ada satu tugas buat kami iaitu mengeluarkan biji benih dari zucchini. Ada dua spesis berbeza yang bulat dan yang bujur. Kata Keiko biasanya yang bujur tu, lepas tiga hari berbunga boleh dituai sudah. Jadi yang besar dibuat bibit.
Trevor ambil tugas membelah zucchini sementara aku dan Wilson mengasingkan dan membersihkan biji benih. Lama betul si Trevor membelah, bikin takut tengok dia pegang pisau. Keiko bagitau lepas ambil biji benih buang ja zucchini tu, tapi Trevor rasa sayang mau buang dan mau rasa. Jadi Keiko pun ambil sedikit untuk cuba dimasak. Keiko meninggalkan kami dan berpesan kalau sudah siap dengan biji benih zucchini, tolong kemas garaj.
Setelah siap mencuci dan mentoskan biji benih dua spesis zucchini dan mengemas garaj, kami pun mengambil masa bercerita panjang. Masing-masing nda mau mensia-siakan sisa masa kami bertiga bersama yang semakin sedikit. Trevor banyak meminta nasihat tentang perhubungan daripada Wilson yang lebih pakar dalam bidang tu. Mau tanya aku, jangan harap lah dapat komen. Kami seolah nda mau habiskan sesi kami bersama di garaj tu tapi apakan daya hari semakin gelap, hujan dan sejuk semakin terasa.
Kami balik menaiki bukit ke rumah, aku seperti biasa membersihkan diri untuk solat asar dan kemudiannya solat maghrib. Aku bercuti dari menaip blog sebab mau meluangkan masa lepak sama Trevor dan Wilson.
Jam 6.25 malam, hidangan makan malam terakhir kami bersama siap dihidangkan. Menunya adalah nasi putih, tauhu dimasak bersama isi ikan kisar, roti dengan cecah baba ghanoush, salad tomato, salad suhun, salad zucchini (sedap juga tau), dan zucchini bakar (keras macam batu kulit dia).
|
Menu makan malam. Paling sedap tu tauhu dengan isi ikan tu. |
Lepas makan kami bertiga lepak di ruang snek. Biarpun kekadang semuanya diam dengan handphone masing-masing, semuanya rasa yang penting berada di sana bersama-sama. Lama juga kami bercerita, sehingga jam 10 lebih barulah kami masing-masing ke bilik, Trevor mengemas barang, Wilson menaip diari dan aku melayan Youtube.
|
Gambar kenangan kami berempat: Aku, Wilson, Keiko dan Trevor. |
18 November 2015 (Rabu)
Cuaca mendung pagi ini, namun aku tetap juga mencuci baju. Aku nda la berbasikal hari ini takut-takut hujan turun. Jadi banyak masa aku pagi tu sambil menunggu cucian siap adalah bermain handphone.
Jam 7.35 pagi, sarapan pagi terakhir bersama kami bertiga siap disediakan Keiko.
|
Nasi putih, bilis, salad suhun, kacang tanah dan rumpai laut kering. |
Kami semua buat seperti biasa, macam hari-hari biasa kami makan bersama. Aku dan Trevor menceritakan mimpi kami masing-masing. Dua-dua pun dapat mimpi pelik ahaha. Trevor punya mimpi lebih kepada wayang aksi, aku punya mimpi pula begini; dalam mimpi tu (dalam bahasa Inggeris tau) si Trevor dan Wilson bagitau aku pasal tempat ni. Tempat pelupusan sampah. Yang pelik, tapak pelupusan sampah tu cantik pula, ada tasik terbentuk sampai pelancong pun mau pegi sana mau tengok. Tapak pelupusan sampah, ada tasik, cantik ah... Pelik nda pelik tu? Mungkin aku bermimpi dalam bahasa Inggeris sebab si Trevor bertanya malam sebelumnya aku dan Wilson bermimpi dalam bahasa apa?
8.30 pagi Keiko membawa kami ke garaj. Aku dan Wilson mengetuk pintu Trevor menyampaikan salam perpisahan kami masing-masing. Sedikit sedih juga selepas 9 hari bersama, kena berpisah sebab dia mau pergi ke tempat lain lagi untuk bermeditasi 10 hari. Aku rasa kalau lagi lama bersama, lagi susah kami mengucapkan selamat tinggal nanti. Walau berlainan bangsa, warna kulit, ketinggian, agama, tapi kita manusia pasti ada persamaannya. Masalah kita adalah terlalu mementingkan perbezaan sehingga kita terlupa di dalam, kita semuanya sama; manusia!
Aku dan Wilson diminta Keiko untuk mencuci hasil tuaian seperti lobak dan radish. Memang itu ja lah kerja yang boleh dibuat kalau hujan.
|
Hasil tuaian menunggu untuk dicuci. |
|
Lobak pelbagai warna yang sudah siap dicuci. |
Kemudian Keiko meminta kami berhenti mencuci sekejap dan membantu dia membungkus pesanan sayur yang dia dapat. Kami tolong menyediakan kotak, mengira sayuran, mengeringkan dan membungkus sayuran dalam surat khabar dan memasukkan sayuran ke dalam kotak yang kami sediakan plastik. Kami sambung mencuci sayuran selepas itu, cucian ekspress kerana mau dibungkus sebelum pesanan diambil syarikat penghantaran waktu tengahari.
Dalam jam 11 lebih dalam kehujanan Trevor membawa beg-begnya menuju ke garaj untuk mengambil basikalnya. Kami meneruskan cucian sehinggalah siren jam 11.30 berbunyi, tanda masa bertugas kami tamat. Lupa bagitau di sini siren akan berbunyi pada jam 11.30 pagi dan 4.30 petang untuk memberitahu waktu kepada petani-petani yang sedang mengerjakan ladang mereka.
|
Trevor sedang bersiap sedia untuk pergi. |
|
Heartbreaking scene. Lain lah bah muka Keiko, nampak betul sedih dan risau dia untuk pemergian Trevor di kala hujan. |
Selepas mengucapkan selamat tinggal dan menoleh beberapa kali, Trevor terus pergi meninggalkan kami bertiga. Untuk seketika ada perasaan hiba tapi hidup harus diteruskan. Aku dan Wilson meninggalkan Keiko yang akan terus berada di garaj sehingga segala urusan selesai. Kami naik ke rumah, aku terus menyalin pakaian, membersihkan diri, wudhu dan solat zuhur.
Jam 12.20 tengahari Keiko siap menyiapkan makan tengahari kami. Menunya sungguh mudah, sup telur dengan nasi goreng yang dicampur sayur jeruk (kompom aku akan masak begini di Malaysia nanti, punyalah sedap!). Aku duduk di tempat Trevor selalu duduk iaitu berhadapan dengan Wilson. Life must go on kan...
|
Kadangkala yang mudahlah yang paling sedap... |
Jam 1.30 petang kami diminta Keiko untuk menyambung cuci baki sayuran yang belum siap di garaj. Kemudian kami membersihkan kawasan dan bekas-bekas yang kami gunakan semasa proses penyucian. Keiko pun menyuruh kami naik ke rumah dan membersihkan bilik masing-masing dan juga bilik Trevor.
Kami naik dan mula mengemas bilik masing-masing. Sementara Wilson memvakum biliknya aku pun menyapu ruang genkan (tempat buka selipar, atau kasut). Kemudian aku mula melipat futon dan comforter di bilik Trevor. Besar pula bilik dia tu, ada set sofa lagi. Pertama kali la tu aku masuk bilik dia (eh bukan bilik dia lagi), pasal nda bersambung bah part bilik dia dengan bilik aku sama Wilson. Bilik aku sama Wilson bersebelahan ja. Bilik Trevor kena limpas ruang genkan untuk masuk, jadi kena pakai dan buka selipar kalau mau ke bilik dia, malas tah aku ingau. Lagipun tiada urusan mau masuk bilik dia kan...
Selepas selesai mengemas dan memvakum bilik Trevor, bilik aku dan ruang snek, barulah selesai segala tugasan untuk hari ini. Aku kemudiannya solat Asar dan menanti makan malam yang sangat lama lagi. Hari hujan memang membataskan aktiviti di ladang, jadi kalau hari hujan memang Keiko bingung, kami pun ikut bingung nda banyak kerja. Oleh kerana aku sudah lama cuti menaip, jadi akupun sambunglah menaip dalam blog ni. Kerja keras!
Jam 6.25 malam, makan malam siap. Hidangan besar kami dapat, nasi putih, dua pinggan okonomiyaki sotong bercampur sawi, sosnya dan lobak merah kecil dimasak sebentar.
|
Menu makan malam. |
Keiko terhuyung hayang masa menghidangkan makanan. Awal dia minum malam ni, mungkin untuk menutup kesedihan pemergian Trevor dari rumah ni. Aku nda dapat bayangkan bila tiba masanya aku dan Wilson pula pergi. Betapa aku risau akan hari itu...
19 November 2015 (Khamis)
Pagi ini aku berbasikal. Awan kelam dan suhu sejuk menggamit sepanjang perjalananku. Tidak lama aku berbasikal hari ini kerana hujan mulai rintik-rintik turun. Aku kembali ke rumah secepat yang mungkin.
Sarapan pagi hari ini adalah pada jam 8. Menu yang dihidangkan Keiko adalah nasi putih, sup miso, ikan kembung, cendawan, peria, suhun, ubi kentang, lobak kecil dan kacang tanah.
|
Sarapan pagi terbaik! |
Jam 9.00 pagi kami dibawa Keiko ke ladang. Keiko telah siap menyediakan peralatan di belakang trak untuk tugasan kami pagi itu. Keiko dan Wilson duduk di depan trak, sementara aku di belakang. Sesungguhnya aku merasai pemergian Trevor ketika itu. Inilah kali pertama aku hanya sendirian di belakang trak. Biasanya bila aku dengan Trevor di belakang, kami akan berbual-bual kecil sehinggalah sampai ke ladang.
Di ladang, kami menurunkan peralatan dari belakang trak. Tugasan pertama kami pada pagi itu adalah cuba membakar rumput-rumput yang telah lama ditimbunkan. Mula-mula bikin semangat nampak api dan asap berkepul-kepul, tapi kerana timbunan itu masih basah kerana hujan, tidaklah ianya terbakar.
|
Harapan palsu betul api dan asap ni... pui! |
Kerana gagal memarakkan api kami pun beralah dan beralih ke tugasan kami yang kedua iaitu memotong rumput. Punyalah luas kawasan yang mau dipotong rumput ni, rumputnya bukan alang-alang panjang. Beberapa kali juga aku terhenti kerana rumput menyangkut di bilah mesin potong rumput.
Aku merasa keseronokan memotong rumput sehinggalah Wilson signal yang sudah sampai masanya untuk berhenti. Kecil sangat kawasan yang dapat kami potong rumputnya, mungkin 1 per 3 sahaja yang dapat kami buat. Kami pun berehat sementara menanti Keiko mengambil kami di ladang untuk balik ke rumah.
Sesampai di rumah, seperti biasa aku membersihkan diri dan solat zuhur. Kemudian memasang pemanas di meja di bilik aku dan baring sementara menanti waktu makan tengahari. Tepat jam 1 tengahari, makanan sudah siap dihidangkan Keiko.
|
Nasi putih yang ditabur lada hitam, okonomiyaki roti dan sayuran, salad pamelo dan sup labu putih. |
Beberapa kali juga nama Trevor naik masa kami makan. Yalah, sekarang kan kami sudah boleh menikmati telur dan produk tenusu. Kalau dia ada Keiko nda masak ni macam begini.
Kami berehat sebentar, sebelum dibawa ke ladang semula pada jam 2.00 petang. Kami cuba lagi membakar timbunan rumput, tapi ternyata sia-sia. Kami pun menuju ke tempat Keiko yang kemudiannya meminta kami menaburkan baja organik ke beberapa batas sayuran.
Setelah selesai, Keiko meminta kami membersihkan rumput di kawasan yang kami potong pagi tadi. Untuk kawasan yang kecil, sangat banyak rumput yang perlu dikumpulkan.
|
Tiga timbunan rumput. Ni baru di kawasan yang aku potong, belum lagi mula di kawasan Wilson potong. |
Setelah selesai mengumpulkan rumput, kami berehat. Aku pun cuba lagi membakar rumput. Buat seketika api marak, namun kelembapan timbunan itu menggagalkan usaha aku dan Wilson. Tunggu kau ah!
Kami nda pun kumpul rumput di tempat Wilson potong. Kalau tengok memang bikin stres, banyak betul rumput yang perlu dikumpulkan. Wilson buat-buat nda dengar ja bila aku bilang banyak betul kerja kami lagi. Haha nda tau kenapa dia dua hari ni, cepat betul habis bateri.
Keiko datang ke arah kami dan mengajak kami pulang. Dia meminta kami memunggah masuk anak-anak benih yang semakin membesar ke belakang trak. Kami pun menuju balik dan sesampai di garaj terus memunggah keluar anak-anak benih tersebut dan memasukkannya ke dalam garaj.
Kami kembali ke rumah, aku terus solat dan kemudian memasang alat pemanas di ruang snek. Kemudian aku mengangkat pakaian yang aku cuci di ampaian. Ada yang belum kering lagi sebab cuaca hujan.
Aku memasang alat pemanas di bilik aku dan menyangkutkan pakaian di sekeliling dengan harapan semuanya kering. Aku kemudiannya makan beberapa snek yang tersedia sementara menanti makan malam. Jam 6.20 malam makanan sudah disediakan Keiko. Menu makan malam adalah nasi putih, ikan putih bakar, salad sayur, sotong dan sayur tumis dan sup miso dengan bebola berprotein. Adui sedap betul ikan putih tu makan sekali dengan salad sayur.
|
Makan malam yang awesome! |
Aku meminta diri awal dengan Wilson untuk masuk ke bilik. Aku masukkan kaki ke bawa meja, baring dan tanpa sedar tertidur...
20 November 2015 (Jumaat)
|
Sarapan pagi yang awesome! |
Aku cuti lagi hari ini. Selepas bersarapan bubur nasi yang dicampur pelbagai jenis sayuran dan ikan bilis, jam 8.30 pagi Keiko membawa turun ke garaj. Wilson disuruh berjalan kaki ke ladang untuk melakukan tugasan membakar timbunan rumput yang degil nda mau terbakar.
Keiko menghantar aku ke Stesen Sonobe. Aku menggunakan mesin tiket untuk membeli tiket tren ke Stesen Kyoto. Aku singgah membuang air kecil, takut terkucil pula dalam tren hehehe. Keretapi sampai di Platform 1 dan tepat jam 9.21 pagi bertolak ke destinasi Stesen Kyoto.
|
Tren JR Sagano Line tiba di Stesen Sonobe. |
Sepanjang perjalanan pemandangan dari tingkap tempat duduk aku memaparkan keindahan Negara Matahari Terbit ni.
|
Bendang terbentang luas, sejauh mata memandang. |
Tren berhenti di beberapa stesen iaitu Yoshitomi, Yagi, Chiyokawa, Namikawa, Kameoka, Umahori, Hozukyo, Saga-Arashiyama, Uzumasa, Hanazono, Emmachi, Nijo, dan Tambaguchi sebelum sampai ke Stesen Kyoto.
|
Dari kejauhan sudah nampak Kyoto Tower, maksudnya sudah hampir sampai ke destinasi. |
Sampai di Stesen Kyoto ada beberapa pintu keluar. Aku memilih tempat yang sama aku keluar minggu lepas iaitu Central Gate. Dari Central Gate ni, belok kanan, jalan ja terus dan kamu akan jumpa Tourist Information Center di sebelah kiri. Aku membeli pas subway sehari di Tourist Information Center.
|
View di Central Gate. |
Oleh kerana aku tiada apa-apa rancangan untuk hari ini, membiarkan sahaja kakiku melangkah membawa diri. Aku rasa cara begini lagi baik supaya kita nda menaruh harapan tinggi untuk sesuatu tempat, kemudiannya kecewa jika harapan tidak tercapai. Mengembara secara spontan begini memang aku suka.
|
Antara bangunan tinggi terselit temple. Kereta tu bah, alololo comel. |
Aku meneruskan saja langkah kaki sehinggalah aku bertemu pagar yang besar. Biasanya kalau ada pagar besar begini mesti ada suatu tempat khas di dalamnya.
|
Pagar yang menggamit perhatianku. |
Ternyata pengembaraan tanpa tujuan aku tidak sia-sia. Aku terjumpa Nishi Hongwanji Temple. Pada tahun 1994 telah diiktiraf sebagai World Cultural Heritage Site.
|
Goeido Gate. |
|
Masuk ja Goeido Gate terus disapa pokok besar yang menguning dedaunannya. |
Dari Goeido Gate kita boleh nampak bangunan Goeido (Founder's Hall). Bangunan ini telah disiapkan pada tahun 1636.
|
Goeido. |
|
Pokok di depan Goeido. Mak aii besar betul pokok ni, dahan-dahan ditopang dengan kayu.
|
Di sebelah kanan bangunan Goeido adalah bangunan Amidado (Hall of Amida Buddha) yang siap dibina pada tahun 1760.
|
Amidado dengan koridor yang menghubungkannya dengan bangunan Goeido. |
|
Tepian Goeido dan Amidado |
|
Goeido dan Amidado. |
|
Dari kiri: Water fountain, Goeido Gate, pokok besar, Goeido dan Amidado. |
|
Pokok besar yang berhadapan Amidado dan Scripture Repository. |
Kemudian aku terus lagi meneroka tempat ni. Aku pergi ke sebelah kiri Goeido di mana adanya Karamon iaitu salah satu khazanah negara Jepun.
|
Karamon, bukan Pokemon, Digimon atau Doraemon. |
|
Shoin yang berhadapan Karamon. |
|
View di tepi Shoin. |
Selepas meneroka kompleks Nishi Hongwanji ni aku pun pergi ke tandas untuk berak. Hahaha itu pun mau kasi tau... Tapi ni kali pertama aku pakai tandas maju Jepun tu, tu yang mau kasi tau tu.
|
Best ja, suam-suam punggung kita masa duduk. |
|
Semuanya automatik, air paip, sabun dan pengering tangan. Semua dalam satu singki. Eh ada aku la hehehe. |
Aku ambil gambar lagi sebelum meninggalkan Nishi Hongwanji Temple. Memang puas hati aku berbanding pengalaman di Kyoto Imperial Castle minggu lepas.
|
Amidado Gate, berdepan dengan bangunan Amidado. |
|
Pokok besar bersebelahan Goeido Gate. |
|
Pokok-pokok bonsai. Aku pun nda tahu mungkin ada pertandingan ka atau apa. |
|
Bunga-bungaan yang diletakkan di sebelah kiri kalau masuk dari Goeido Gate. |
Aku pun keluar dari kompleks Nishi Hongwanji. Di hadapannya terdapat Ryukoku Museum.
|
View dari Goeido Gate |
|
Ryukoku Museum, di sebelah kanan kalau keluar dari Goeido Gate. |
|
Ada exhibition masa tu, jadi siapa-siapa yang berminat bolehlah masuk. Yuran masuk 1,200 yen atau RM 41.80. Sorry la, k bai! |
Aku terus membiarkan kakiku melangkah dari kejauhan aku boleh nampak bumbung bangunan lama, jadi aku bergerak menghala ke sana.
|
Dari lorong ni aku sudah nampak bumbung suatu bangunan. |
Ketibaan aku di tempat tu disambut seekor bangau. Nda pun lari bangau ni aku ambil gambar dekat-dekat.
|
Rasa-rasa kalau masak kari sedap ka ni? |
Rupanya aku sudah sampai ke Higashi Honganji. Higashi Honganji telah disiapkan pada tahun 1895. Ianya merupakan antara struktur kayu terbesar di dunia.
|
Papan tanda memperkenalkan Higashi Honganji. |
Aku masuk melalui Amida Hall Gate (Amida-do Mon). Kecantikan ukiran dan betapa lama pagar ni mempersonakan aku.
|
Amida Hall Gate. |
Di dalam aku perhatikan tempat ini dalam proses baikpulih. Jadi nda la berapa banyak gambar yang aku ambil. Namun masih cantik lagi di mata aku tempat ni walau ada khemah-khemah sementara yang didirikan.
|
Terlihat Kyoto Tower dan menara loceng di Higashi Honganji. |
Berhadapan dengan Amida Hall Gate adalah Amida Hall atau Amida-do ianya terletak di sebelah kiri The Founder's Hall.
|
Amida Hall. |
|
The Founder's Hall. |
|
Amida Hall dan The Founder's Hall. |
|
Pandangan panorama sekitar Higashi Honganji. |
|
Fountain di depan The Founder's Hall. |
Aku keluar semula menerusi Amida Hall Gate dan disapa dengan pepohonan yang sedang meluruhkan daun.
Setelah puas mengambil gambar, aku mula bergerak semula ke Stesen Kyoto kerana aku ingin menaiki subway untuk ke Masjid Kyoto. Aku menuruni anak tangga yang berhampiran dengan Higashi Honganji ini ke ruang bawah tanah yang sambung menyambung. Mula-mula takut juga pasal aku seorang ja yang berjalan dalam terowong bawah tanah tu.
Apa yang best adalah aku tengok dorang ni menggalakkan kekreatifan anak-anak dengan mempamerkan lukisan mereka di sudut pameran di bawah tanah.
|
Bikin takut juga ni jalan seorang... |
|
Pameran lukisan kanak-kanak. |
|
Banyak juga lukisan yang dipamerkan. |
Ruang bawah tanah yang sambung menyambung dengan bangunan-bangunan sekitar ni sangatlah memudahkan urusan orang. Nda payah risau hujan, panas, sejuk, bilang orang putih "just nice" bah.
|
Nama bangunan dengan jelas dipaparkan. |
Aku pun masuk ke bangunan Kyoto-Yodabashi (You dah basi, tau tak? Hihi). Masuk ja terus ternampak sesuatu yang menjadi kegemaran aku: Supermarket!
|
Supermarket berada di aras B2 ya para pembaca. |
Aku punya la kesiukan tengok barang sampai aku terlupa hari ini aku kena pergi Masjid Kyoto untuk solat Jumaat. Aku pun bergegas ke subway gate dan menanti tren.
|
Menanti tren subway di Platform 2. |
Aku turun di Stesen Marutamachi pasal aku ingat lagi masa ke Kyoto Imperial Castle minggu lepas, dari peta kita boleh turun di Stesen Imadegawa atau Stesen Marutamachi untuk ke Masjid Kyoto. Aku bergegas pergi ke masjid, namun aku tahu memang tidak akan sempat sampai. Sesampainya aku di masjid, orang sudah mula beredar pulang.
Aku menunaikan solat zuhur di Masjid Kyoto. Setelah solat aku singgah membeli roti halal yang dijual di aras 1 Islamic Culture Centre dengan harga 220 yen (RM 7.65) sebungkus.
|
Rindunya makan bread Kak Ari... |
Setelah itu aku bertanya dengan seorang lelaki Indonesia di mana ada supermarket yang berdekatan. Dia memberitahu tentang deretan kedai yang aku sudah pergi minggu lepas. Aku pun mengucapkan terima kasih kepadanya dan terus melangkah membiar diri dibawa kaki.
Jalan punya jalan, terus terhenti bila nampak Halal dipaparkan. Minggu lepas aku makan di Rose Cafe Restaurant, jadi kebetulan juga nampak restoran ni apa lagi singgah la. Restoran ini bernama Namaste Taj Mahal di Kawaramachi, Kyoto. Satu jalan ja ni dengan Rose Cafe Restaurant dalam 600 meter berjalan kaki atau lebih kurang 7 minit.
|
Dari luar restoran Namaste Taj Mahal. |
Di dalam aku disapa pelayan. Semuanya lelaki dalam restoran ni, yang perempuan dua orang pelanggan lain selain aku.
|
View di dalam. Betul ka ada makanan halal dalam ni, banyaknya gambar dewa-dewa. |
|
Dua cewek Jepun tu ngetest makanan India. |
Pelayan lelaki tu bawa aku cakap Jepun, aku balas dalam bahasa Inggeris dan automatik dia tukar pegi bahasa Inggeris. Dia bagi aku menu, segelas air sejuk dan tuala panas dan meninggalkan aku melihat-lihat menu.
|
Menu restoran. |
Lama juga aku tengok menu tu, kemudian pelayan tadi datang kembali. Aku pun tanya, mana satu makanan halal ni? Dia pun jawab, semua makanan halal. Aku pun memilih Set Lunch A yang mengandungi salad, kari ayam, nan, nasi mini dan 1 minuman. Kari tu boleh pilih tahap pedas dia dari 0. Double Mild, 1. Mild, 2. Normal, 3. Hot, 4. Double hot dan 5. Very hot. Aku memilih no. 3 iaitu hot dan minuman lassi.
Pelayan pergi dan sekejap sahaja datang kembali membawa salad aku. Salad ni punyalah sedap dressing dia sampai aku tanya kepada pelayan tu dressing apa dorang pakai. Dia jawab, dressing salad. Astaga... ketara la bah nda tau apa mau jawab. Malas mau panjangkan aku pun bilang, hmmm sedap!
|
Salad sayuran dengan dressing sorga. |
Beberapa ketika kemudian, pelayan tadi membawakan pesanan aku. Terkejut juga tengok saiz roti nan tu yang sangat besar!
|
Set Lunch A berharga 875 yen (RM 30.50) |
Roti nan ni rangup dan lembut, kari ayamnya lemak manis, nasi lembut dan sedap dan minuman lassi sangat sedap. Sebab terlampau besar roti nan tu, aku makan 1 per 3 ja, yang baki aku suruh pelayan tadi potong-potong dan bungkus untuk aku makan. Aku membayar bil dan mengambil chopsticks untuk memudahkan aku makan nanti. Berbaloi datang sini, set ni rasanya cukup untuk dua orang jadi bolehlah berjimat kalau datang Kyoto ni.
Setelah makan, seperti biasa aku membiarkan kaki melangkah. Dan seolah takdir bertemu satu tempat yang rupanya seperti roti nan yang aku makan.
|
Was it just a coincidence? Maybe... or maybe not. |
Tempat ini dikenali sebagai Kamo River atau Kamo-gawa. Ianya pertemuan sungai Kamo dan juga sungai Takano. Terdapat batu-batuan yang diletakkan di sungai sebagai titian untuk menyeberang dari satu tebing ke tebing berhadapan. Aku pun ambil kesempatan melintasi sungai ini dengan melangkah batu-batu yang kadangkala di ukir menjadi penyu.
|
Menyeberangi sungai Kamo. |
Selepas menyeberangi sungai aku melihat peta yang ditempatkan di tepi tebing. Dan terlihat ada tokong berdekatan jadi aku pun melangkah untuk pergi ke sana.
|
Walau kotor peta ni, masih boleh baca lagi. |
|
Kedai menjual bunga di depan peta tadi. |
Setelah beberapa minit perjalanan aku pun sampai ke tempat yang dituju. Ianya adalah Shimogamo Shrine iaitu salah satu tokong Shinto tertua di Kyoto. Juga diiktiraf UNSECO sebagai World Heritage Site. Seronoknya mengembara begini, jalan-jalan ja macam-macam boleh dijumpai.
|
Sepasang gerbang Torii di Shimogamo Shrine. View depan. |
|
View belakang dari gerbang Torii. |
|
Beberapa kemestian kalau di tokong Shinto. |
Aku pun masuk ke kompleks pertama dari gerbang Torii. Memang lama sangat sudah bangunan ni, lumut menumbuhi namun cantiknya tidak kurang.
|
Bagai berada di zaman dahulu kala. |
|
Ingin mendapatkan hajat. |
Kemudian aku keluar dan terus meneroka kawasan ini. Dan keindahan terus menerjah ke mata aku.
|
Tanah yang dipenuhi daun gugur. |
|
Jalan ni menghala Tadasu no Mori (Forest where lies are revealed). |
|
Sinaran mentari di balik pokok. |
Aku terus berjalan sehinggalah aku sampai ke tokong utama Shimogamo Shrine.
|
Gerbang ke bangunan utama Shimogamo Shrine. |
|
Romon. |
|
Pandangan belakang Romon. |
|
Taikobashi Bridge |
|
Just marvellous! |
|
Jambatan Taikobashi (Baca: Tai kau basi hehe) |
Aku meninggalkan Shimogamo Shrine dengan perasaan sangat berpuas hati. Memang ada sesetengah tempat dalam ni, kalau pegi ja terus pening ah... Kuat betul jin dia...
Aku kemudian singgah semula ke Masjid Kyoto. Maksudnya hari ini aku pergi 1 masjid, 3 tokong. Hmm, tadi aku makan pun 1 pertiga roti nan tu. It all seems connected!
Aku menuju ke stesen subway Marutamachi. Perjalanan ke sana akan melalui Kyoto Gyoen National Garden (di sinilah terletaknya Kyoto Imperial Castle yang aku pegi minggu lepas).
|
Keindahan di Kyoto Gyoen National Garden. |
|
Pemandangan di salah satu shrine yang terdapat di taman ni. |
Aku pun terus pergi menuju ke stesen subway Marutamachi yang betul-betul dekat dengan pintu masuk ke taman.
|
Tangga menuju ke Stesen Marutamachi. |
Setelah sampai ke Stesen Kyoto aku pun pergi ke supermarket di Kyoto-Yodabashi. Aku membeli pisang dan juga jajan untuk dimakan di rumah nanti. Hari ini aku sungguh bertuah kerana berpeluang melihat persembahan cahaya sepertimana yang diceritakan Wilson. Memang cantik!
|
Persembahan cahaya di hampir semua 171 anak tangga di Kyoto Station ni. |
Aku kemudian menaiki ekskalator menuju ke puncak. Aku ingin menikmati makan malam aku di sana. Apa lagi, baki roti nan dan kari ayam waktu tengahari tu la menu aku. Sedap juga masih roti dan kari tu walaupun sejuk. Kemudian aku ambil gambar suasana malam dari atas Kyoto Station.
|
Alhamdulillah diberi kesempatan melihat keindahan ini. |
Aku kemudiannya berjalan lagi, kali ini menuju ke Sky Walk Kyoto Station. Best sangat-sangat!
|
Dua gambar atas: lorong sky walk, gambar bawah, biasan persembahan cahaya di cermin bangunan. |
Panjang juga Sky Walk ni. Aku mula-mula sangka pendek sahaja. Kita boleh tengok bangunan Kyoto Tower yang bertentangan dengan Kyoto Station secara terus dari sini.
|
Laluan Sky Walk yang dihiasi lampu kelip-kelip |
|
Kyoto Tower dari Sky Walk Kyoto Station. |
Aku menuruni Sky Walk dengan ekskalator yang cukup tinggi.
|
Ekskalator naik dan turun ke Sky Walk. |
Setelah puas meneroka, aku pun mula turun ke bawah untuk membeli tiket pulang. Mesin tiket JR Lines dan subway adalah bersebelahan. Setelah aku membeli tiket, aku pun lama berdiri di hadapan mesin tiket subway untuk memilih siapakah yang beruntung hari itu untuk mewarisi pas sehari subway aku hehehe. Tunggu punya tunggu akhirnya, seorang gadis menjadi pemenangnya! Mula-mula takut juga dia masa aku tegur, aku bagitau dia aku mau pulang sudah, ambillah pas ni. Edeh punya dia main happy.
Aku pun kelam kabut, hampir berlari menuju ke platform 33. Ketika itu tinggal 4 minit lagi sebelum tren ke Sonobe akan bertolak. Alhamdulillah aku antara orang akhir yang sempat menaiki tren tersebut. Secara kesimpulannya hari ni merupakan hari yang menggembirakan untuk aku, hari yang cukup panjang dan hari yang bikin panas bila ditaip dalam blog.
21 November 2015 (Sabtu)
Hari ini adalah hari cuti buat Wilson. Pada jam 7.40 pagi kami bersarapan bersama dengan menu nasi putih, telur dadar, ikan bakar, sup miso bertauhu, kacang tanah, ulam radish dan ulam sayur dengan bonito.
|
Menu sarapan. |
Jam 8.30 pagi kami diajak turun ke garaj oleh Keiko. Dia menyuruh aku berjalan kaki sendiri ke ladang dan berusaha untuk membakar timbunan rumput yang telah gagal Wilson lakukan dihari kelmarin. Aku meninggalkan Keiko dan Wilson yang menuju ke Stesen Sonobe.
Aku memakai earphones dan mula mendengar musik sepanjang perjalanan. Seandainya boleh berterusan hidup begini aku pasti bahagia. Hidup yang aman damai tanpa banyak tekanan.
Aku pun sampai di ladang. Keiko telah menyediakan kertas dan mancis untuk aku memulakan api. Aku pun mula memasang api dan ternyata senang sahaja. Aku dapat membuat dua timbunan pembakaran. Nda sia-sia aku suka main api dulu hahaha.
|
Wuhuu! Terbakar juga kamu akhirnya! |
Keiko datang semula selepas menghantar Wilson dan gembira melihat timbunan rumput yang mulai terbakar. Dia kemudiannya membuat kerja-kerja di ladang sementara aku terus menjaga api, membakar rumput-rumput lembab dan basah.
Ketika waktu untuk pulang, Keiko berpesan kepada aku supaya mengecilkan api dan kemudian berjalan kaki pulang kerana dia ada urusan. Aku pun mengecilkan api, cuba menutup seberapa banyak asap yang aku boleh sebelum pulang ke rumah.
Sekembali di rumah aku membersihkan diri dan solat. Kemudian menyambung usaha menyiapkan tulisan blog off day aku yang cukup panjang sementara menanti makan tengahari. Pada jam 12.50 petang Keiko sudah siap menyediakan makan tengahari aku. Lain juga rasa makan sendirian ni bila sudah terbiasa makan bersama orang untuk hampir dua minggu.
Menu makan tengahari aku adalah nasi putih, ikan sardin dengan radish, tauhu dengan telur dan bonito, acar turnip dan sup miso. Banyak sangat makanan ni, manalah aku dapat makan. Lainlah kalau dulu, licin tu semua.
|
Simple yet delicious! |
1.45 petang Keiko mengajak aku ke ladang semula di mana dia meminta aku sambung membakar timbunan rumput. Petang itu aku tambah lagi satu timbunan pembakaran, jadi ada tiga la timbunan yang perlu aku jaga.
|
Berkerja sambil ditemani sang rerama. |
Sepanjang hari hanya menjaga timbunan pembakaran sahaja kerja aku. Di akhir waktu kerja Keiko meminta aku membantunya mengecilkan api dan mengurangkan asap. Kami mengangkat rumput-rumput basah dan menimbunkannya ke atas timbunan. Lama juga kami berusaha, kuat betul api yang aku kasi hidup. Bilang Keiko, "Sugoi fire power!" Hehehe kambang oh kena puji.
Kami pulang, aku pergi mandi kerana berbau asap dan kemudiannya wudhu dan solat. Sambung kerja blog dan menanti makan malam. Alhamdulillah nda banyak aktiviti hari ini, kalau nda tambah stress pula makin banyak mau ditaip hahaha.
Menu makan malam sendirian berhad aku adalah nasi putih, ikan bakar, jeruk radish, ulam wasabina, tauhu dengan sawi tumis dan sup miso. Sedaplah bah ikan bakar tu...
|
Menu makan malam aku. |
Keiko ke ladang lagi untuk memastikan api yang aku mulakan tidak marak. Kemudian dia ke Stesen Sonobe untuk menjemput Wilson. Aku menunaikan solat isyak dan sambung menaip di blog.
Sekembalinya mereka, Wilson meletakkan snek-snek yang dia beli di ruangan snek. Takut betul kami lapar. Aku pun simpan snek yang aku beli di ruang snek kelmarinnya. Kami nda bercerita lama sebab urusan menaip blog aku yang nda pandai selesai.
22 November 2015 (Ahad)
Agak lewat juga aku bangun hari ini iaitu pada jam 5.45 pagi. Aku bergegas solat subuh. Setelah itu mandi dan bersiap. Kamu mesti kelanguan sudah ni, tapi macam biasa aku sambung lagi kerja menaip blog aku untuk hari Jumaat yang nda pandai selesai tu... bikin panas! Yang bikin lama tu pasal aku ambil gambar sampai 200 lebih bah. Mana mau memilih lagi mana gambar yang sesuai masuk blog, mana mau cerita back story untuk setiap gambar lagi, mau bagi fakta yang tepat lagi. Kamu ingat cincai ka aku taip ni blog hahaha.
Jam 7.35 pagi Keiko siap menyediakan hidangan sarapan. Pagi ini menu kami adalah nasi putih, tauhu dengan telur dan bonito, telur puyuh dijeruk sebentar, acar turnip, acar wasabina, kacang tanah, salad sayur dan bonito dan sup miso bertauhu.
|
I could have this everyday! |
Kami diminta Keiko berjalan kaki sendiri ke ladang kerana dia hendak ke pasar komuniti. Ada dua tugasan kami pagi itu, membakar timbunan rumput dan memotong rumput. Alhamdulillah dua dari tiga timbunan rumput yang aku buat kelmarin banyak telah membakar perlahan rumput-rumput. Satu timbunan telah habis sepenuhnya api yang membakar.
Kami mulakan kerja membongkar satu timbunan rumput yang telah lama dikumpulkan dengan harapan ianya lebih kering bila kami mau bakar nanti. Kemudian kami pun mula memotong rumput. Kami mengambil tempat masing-masing dan terus memotong sehinggalah aku tengok Wilson berhenti. Aku pun turut sama berhenti. Aku pun cakap, mari kita mulakan api! Aku pun memulakan api, dan meminta Wilson menjaganya sementara aku memulakan satu lagi api.
|
Wilson dengan timbunan pembakarannya. |
|
Timbunan pembakaran kami berdua. Satu lembah berasap oleh kami. |
Kami selang seli antara menjaga api dan memotong rumput sementara Keiko menuai tanaman di ladang. Dalam jam 11.15 Keiko meminta kami supaya mengurangkan asap dengan menimbun rumput-rumput basah sebelum berjalan kaki ke rumah. Memang dalam hati memberontak juga, pasal kalau boleh mau terus tengok api tu marak. Tapi apakan daya, Keiko kan bos kami, mesti dengar cakap bos! Setelah cuba sedaya upaya mengurangkan asap (ya ka? Hehehe), Kami pun bergerak pulang ke rumah. Aku membersihkan diri dan solat dan menyambung kerja kedua aku iaitu blogging.
Jam 12.40 petang Keiko siap menyediakan makan tengahari kami iaitu spaghetti dalam sos tomato, dan salad telur. Senang, sedap, noktah!
|
Silalah cemburu... |
Pada jam 1.30 petang, Keiko mengajak kami ke garaj di mana tugasan kami petang itu adalah mencuci hasil tuaian yang Keiko tuai sepanjang pagi tadi. Memang banyak juga perlu kami cuci.
|
Bersedia untuk mandi! |
Suhu sejuk membuatkan tangan kami agak kebas. Kami berehat sebentar lalu naik ke rumah sambil membawa dua gelen minyak tanah sebagaimana yang dipesan Keiko. Minyak tanah ni adalah untuk alat pemanas yang kami gunakan. Aku mengambil kesempatan masa rehat untuk menunaikan solat asar.
Kami kemudiannya turun semula ke garaj dan sambung mencuci hasil tuaian. Wilson memberi aku kejutan petang ini apabila girlfriend yang dia ceritakan selama ini kepada aku dan Trevor sebenarnya sudah menjadi tunang dia pada bulan September lalu. Romantik juga orangnya si Wilson ni, macam wayang ja cara dia propose tunang dia.
Kami berterusan mencuci sehinggalah Keiko kembali dari ladang yang bermaksud waktu kerja kami telah tamat. Kami terus mencuci sehingga semuanya selesai. Kemudian kami mencuci bekas-bekas yang kami gunakan. Keiko risau dengan api timbunan rumput lalu kembali semula ke ladang untuk memastikan api benar-benar padam.
Kami naik ke rumah, aku mandi, wudhu dan solat maghrib dan sambung marathon menaip entry blog untuk hari Jumaat. Wilson pun balik-balik tanya perkembangan penulisan aku pasal aku balik-balik mengadu dengan dia yang kerja kedua aku ni nda pandai siap-siap.
Jam 6.40 malam kami menikmati makan malam. Menunya adalah nasi dengan lobak merah dan lada hitam, sup miso, ikan goreng, akar teratai goreng dan salad turnip dengan bonito dan bijan.
|
Ikan goreng dan akar teratai goreng tu... wow! Sedapnya! |
Selepas mengemas tempat makan, aku meminta diri dengan Wilson untuk ke bilik buat blog. Lewat juga barulah blog untuk hari Jumaat siap. Kemudian disambung blog hari Sabtu dan sekarang menaip ini la...
Minggu depan adalah minggu terakhir aku sebagai wwoofer di Sonobe, Kyoto. Dalam hati sudah terasa sedikit rasa sedih untuk meninggalkan semua ini. How will I cope? Apa kisahnya bila aku kembali ke Osaka minggu depan?
To be continued: Japan Story - Week 5
No comments:
Post a Comment