Monday, December 28, 2015

Japan Story - Week 9

Assalamualaikum semua. Minggu ni sudah 9 minggu aku berada di Jepun. Minggu ni juga minggu terakhir aku jadi wwoofer untuk Kenichi di Nara. 26 Oktober aku tiba di Osaka dan pada 26 Disember, ngam-ngam genap 2 bulan aku berada di Negara Matahari Terbit ni aku kembali ke sana. Toyonaka, aku merindui supermarketmu hehehe.

Untuk cerita minggu ke-8 klik sini.


21 Disember 2015 (Isnin)

Hari ini Takumi membawa aku dan Noam menaiki van ke kilang pemprosesan makanan untuk melakukan beberapa kerja. Takumi meninggalkan aku dan Noam setelah meninggalkan arahan apa yang perlu dibuat.

Aku dan Noam diminta memasukkan kulit Mikan kering yang kami (aku, Yuka, Takashi dan Masayuki) ada kupas minggu lepas ke dalam beg plastik.

Kulit Mikan @ oren yang telah dikeringkan.

Siap!

Setelah siap memasukkan kulit Mikan ke dalam plastik, kami bergilir mencuci tray biru tempat kulit-kulit tadi diletakkan.

Noam sedang mencuci tray biru.

Kemudian kami membersihkan kawasan tersebut dan berehat sementara menanti Takumi datang semula. Noam pergi ke tandas dan bila dia keluar dia bagitau kari yang dia makan semalam sudah keluar. Kurang asam punya budak, itu pun mau bagitau ka?

Kami terus berehat dan Noam menuangkan aku teh Sannen Ban Cha yang dibawanya dari rumah. Sejak berada di sini aku sudah buat apa yang kebiasaannya aku nda akan buat iaitu berkongsi gelas atau cawan orang. Aku ni lain sikit, geli aku memikirkan ada liur orang di gelas ka, sudu garfu ka atau botol minuman. Jangan haraplah aku mau berkongsi kalau ada pilihan. Tapi di sini aku kenalah berubah, ndakan masa kena pelawa minum aku cakap: "Nda lah... geli aku sama air liur kau." Hehehe.

Takumi datang ketika aku dan Noam menikmati teh panas dengan membawa tiga kotak halia. Halia-halia itu adalah untuk tugasan kedua kami iaitu persediaan untuk proses pengeringannya. Halia mula-mula dicuci, kemudian dihiris dengan mesin penghiris dan kemudian diratakan pada tray biru yang kami cuci tadi dan dimasukkan ke dalam mesin pengering.

Noam lebih banyak berkerja mencuci halia sementara Takumi pula bertugas dengan mesin penghiris dan aku meratakan halia yang telah dihiris pada tray dan memasukkannya ke dalam mesin pengering. Kami berkerja pantas, seperti mesin dan dalam jam 11 lebih kami sudah habis melakukan tugas kami dan terus melakukan kerja pembersihan.

Kami pun meninggalkan kilang pemprosesan makanan dan menuju ke pekan kerana Kenichi minta beli filter untuk pemprosesan teh. Sempat juga Noam dan Takumi bergaduh kecil sebab Takumi dengan pemikirannya yang simple tu, mau filter berat yang dibeli diletakkan pada paha Noam. Padahal barang-barang dalam van tu kalau disusun baik-baik memang boleh muat filter tu. Tu yang Noam panas sekejap. Aku sebenarnya nda dengar pun dorang gaduh kecil tu, sibuk main handphone hehehe. Noam lah yang bagitau aku. Setelah Takumi siap membeli dan melihat ada ruang untuk filter tu disimpan di belakang, balik-balik dia minta maaf dengan Noam. Nda lama pun, sekejap ja dorang pun baik seperti biasa.

Sebenarnya aku agak stres sedikit sebab blog untuk minggu lepas belum habis aku taip. Jadi sepanjang hari ini memang itu ja lah yang berada dalam fikiran aku. Ditambah lagi semalam aku nda cukup tidur, balik lewat dari tengok Star Wars lepas tu bangun awal untuk subuh dan nda sambung tidur lagi.

Kami kembali ke rumah dan mengeluarkan barang-barang yang kami gunakan di kilang pemprosesan makanan tadi serta kulit Mikan yang sudah dikeringkan masuk ke dalam rumah. Kami pun terus berehat makan tengahari di rumah. Hujan yang turun sejak pagi terus turun menaikkan suhu sedikit. Menu makan tengahari aku adalah nasi putih, salad ubi manis dan telur goreng bersama sedikit nori.

Menu makan tengahari.

Kami berehat agak lama hari ini, sebab Takumi terlelap di kotatsu dan aku dan Noam masing-masing sibuk buat hal masing-masing di ruang tamu tu. Siok dapat solat dengan berwudhu air panas di rumah ni. Kalau di kilang pemprosesan teh mengatar lah kau lepas wudhu. Mana ada pemanas air di sana oi! Jadi kepada orang Islam yang mau buat wwoofing dengan Kenichi ni, jangan risau sentiasa ada ruang masa untuk solat. Masa aku di sini, masa rehat pendek ngam-ngam ja waktu solat zuhur dan solat asar. So don't worry!

Setelah Takumi terjaga dari lelapnya kami pun berangkat pergi ke kilang pemprosesan teh. 

Hujan masih turun semasa kami berangkat ke kilang, membawa bersama kabus dingin.

Di kilang pemprosesan teh ada Nishio dengan kumpulan mentally challenged dia yang membantu kerja pembersihan pokok teh di kilang. Tugas aku petang tu adalah membantu membersihkan pokok teh. Aku terus membuat tugasan tu dan hanya berhenti bila ada waktu rehat pendek dan bila waktu mengemas dan membersihkan kawasan. Nishio dan kumpulannya seperti biasa pulang pada jam 4.30 petang.

Sebelum jam 5 juga kami (aku, Yuka dan Noam) siap kerja-kerja pembersihan kawasan. Hari ini ada kawan Kenichi dari China datang. Lama sudah tinggal di Jepun jadi Bahasa Jepun dia memang gila lancar. Kenichi menunjukkan proses-proses yang terlibat dalam penghasilan Sannen Ban Cha.

Hari sudah gelap dan kami pun menanti untuk sama-sama pulang. Memang sudah jadi amalan di sini, jalan sama-sama  dan balik pun sama-sama. Kenichi dan kawannya tinggal lebih lama di kilang apabila kami berangkat balik.

Yuka menanti waktu pulang.

Sepanjang perjalanan balik aku menguatkan semangat akan menyiapkan blog minggu lepas. Noam pun bagi sokongan untuk aku menyiapkan blog. Dia cakap balik nanti aku teruslah mandi, rehat dan buat blog dan nda payah risau pasal makan malam.

Tapi aku macam biasa suka melengah, sempat lagi rebus ubi manis bila sampai rumah. Kemudian aku mandi, wudhu dan solat. Aku terus menanti waktu isyak dan berfikir hanya turun untuk mengambil ubi manis yang aku masak tadi.

Aku turun dan terus dipelawa Kenichi untuk bersama-sama dia, kawannya dari China, Noam dan Ahoyama untuk merasa teh yang dibawa kawannya itu dari China di kawasan berhampiran pendiang api. Alhamdulillah dapat juga merasa teh mahal malam ini bila dihidangkan satu teh yang berharga 2000 yen (RM 71) untuk 8 gram teh oolong. Satu lagi teh oolong dibuat dari pokok yang berumur 1000 tahun! Memang boleh rasa perbezaan teh-teh yang Kenichi bancuh ni. Teh terakhir adalah teh kocha (black tea). Aku suka teh kedua yang aku cuba, teh oolong yang secara kasar diterjemah "pelana kuda orang pergunungan" yang mana pokok-pokok tehnya tumbuh di batu-batu yang mempunyai mineral. Ketiga-tiga teh yang kami rasa ada rasa manis semulajadi. 

Memang bersyukurlah aku dapat pengalaman sebenar merasai teh di sini! Takumi hanya sempat merasai kocha sebab dia telah pergi ke klinik haiwan untuk membuka stapler kecederaan Yuki Kaze dan juga membuka kolar perlindungan di lehernya.

Selepas Kenichi dan kawannya pulang, aku ikut serta Noam, Takumi dan Ahoyama lepak berdekatan pendiang api. Memang lama betul kami lepak di sana. Aku hidang juga dorang ubi manis yang aku masak tadi. Lepak punya lepak sampai aku lupa aku belum siapkan blog minggu lepas! Aku pun meminta diri dengan dorang dan naik untuk menyiapkan urusan yang nda pandai selesai.


22 Disember 2015 (Selasa)

Ahoyama sebenarnya agak teruja akan berkerja bersama-sama aku di pejabat Tsutsui perniagaan teh ni. Namun di awal pagi rancangan kerja telah berubah. Ahoyama ditugaskan memotong rumput dan aku, Takumi, Masa-san dan seorang lagi watak baru Ume-chan ditugaskan menuai pokok teh di ladang. Noam dan Yuka bertugas di kilang pemprosesan teh dan Nobu pula bercuti. 

Aku mengikut Takumi ke ladang sementara Masa-san membawa trak yang satu lagi dan Ume-chan membawa keretanya sendiri. Matahari yang bersinar terik membawa kelegaan dalam suhu yang dingin pagi ini.

Sinar mentari yang didambakan.


Kami memulakan tugasan menuai pokok dengan Takumi dan Ume-chan menuai, aku mengangkat hasil tuaian ke trak, dan Masa-san meletakkan hasil tuaian di belakang trak.

Ume-chan sedang meletakkan hasil tuaian untuk aku angkat ke trak.


Setelah trak penuh, Masa-san mengikat dengan kemas pokok-pokok teh yang dituai agar ianya tidak berterbangan semasa dibawa ke kilang pemprosesan teh nanti.

Masa-san mengikat pokok teh dengan kemas sambil dibantu Takumi.

Kami pun berehat setelah siap. Ketiga-tiga mereka menghisap rokok gulung sementara aku makan buah epal.

Epal yang kekal segar sebab suhu sejuk. Lama sudah ampai-ampai di dapur rumah ni.


Setelah berehat, Masa-san membawa hasil tuaian ke kilang. Takumi dan Ume-chan menyambung menuai pokok teh sementara aku mengangkat hasil tuaian dan meletakkan mereka di tepi jalan untuk memudahkan kerja memasukkan ke belakang trak kelak.

Setelah selesai kerja menuai, kami pergi ke rumah Ume-chan yang berhampiran untuk menikmati bento makan tengahari kami masing-masing. Rumah Ume-chan ni dia bina sendiri dan mengambil masa dua tahun. Dia ni ada workshop sendiri membina perabot dan juga kelengkapan untuk hidangan teh. Apa-apa penghasilan dia memang one of a kind. 

Kami makan bersama-sama di ruang hadapan. Memang unik rumah Ume-chan ni, rasa seperti rumah tradisional tapi moden dalam masa yang sama. Ume-chan menghidangkan kopi kepada kami setelah habis makan. Memang nikmat minum kopi di Jepun ni, rasa kopinya berbeza dan dorang jarang simpan gula. Kalau ada gula pun sikit betul dorang simpan. Jadi memang betul-betul kita rasa kopi tu sendiri. In a word; marvellous!

Menikmati kopi yang osem!


Tandas maju gila! Pakai remote control wei!

Takumi dan Ume-chan di hadapan rumah yang dibinanya sendiri.

Workshop Ume-chan.

Aku dan Ume-chan di hadapan rumahnya. Bestnya duduk di kerusi goyang tu!

Perabot hasil tangan Ume-chan.

Ruang tempat kami makan. Kerusi belah kanan tu pun Ume-chan buat.

Barangan antik dan tanda nama di hadapan rumah Ume-chan.

Betapa bersyukurnya aku dengan pertukaran kerja hari ini. Kalau nda, mana mungkin aku ada peluang ke rumah Ume-chan yang sangat-sangat menarik ni! Setelah berehat, kami pun berangkat dalam satu trak ke kilang pemprosesan teh. Kami menurunkan hasil tuaian ke dalam stor dan kemudiannya menghala kembali ke ladang untuk menuai lebih banyak pokok teh.

Setelah selesai menuai, kami menghantar Ume-chan balik ke rumahnya dan aku dan Takumi kembali ke kilang. Kami menurunkan hasil tuaian dengan dibantu Shige. Aku selepas itu membantu Yuka membersihkan pokok teh sehinggalah masa untuk mengemas dan membersihkan kawasan sampai. Aku membantu Yuka dan Noam yang banyak berkerja di mesin chipper hari ini dalam kerja membersih. Setelah selesai kami semua pun pulang. Noam memandu van, Masa-san memandu trak, Yuka memandu keretanya sendiri dan aku mengikut Takumi yang memandu trak yang ada buggy miliknya di belakang. Dia akan memandu buggy tersebut bila dia balik kampung di Shiga, Sabtu nanti.

Sekembali kami ke rumah, Takumi terus membawa Yuki Kaze berjalan-jalan menaiki van. Noam kemudian mengajak aku ke supermarket untuk membeli barang dapur. Kami membeli barang dapur di Supermarket Takeyoshi kemudian aku membawa Noam singgah di kedai 100 yen yang terletak bersebelahan supermarket tersebut. Aku pun belilah beberapa biskut buatan Malaysia yang ada dijual di sana.

Kemudiannya Noam membawa aku singgah membeli sayur di tempat yang menjual dengan harga lebih murah. Kemudian kami singgah-singgah kedai yang ada di kawasan yang seperti R&R di Malaysia tu tapi jauh lebih besar. Kami diberi cuba minum air rebusan kombu dan juga beri serta sesungut sotong. Memang semuanya sedap!

Kami pulang ke rumah dan mula masak untuk makan malam. Noam mula masak sup sayur dan tauhu sementara aku mula memotong ikan. Aku masak ikan pan fried hari ini dengan hanya 5 bahan; ikan, lada hitam, serbuk jintan manis, garam dan sedikit minyak. Kami makan malam bertiga apabila Takumi kembali dari membawa Yuki Kaze berjalan-jalan. Happy ja aku bila melihat Noam dan Takumi menikmati ikan yang aku masak!

Hari yang cukup panjang tapi sangat menyeronokkan!


23 Disember 2015 (Rabu)

Noam cuti hari ini. Dia ada rancangan bertemu kawannya di Kyoto. Aku pergi kerja menaiki van yang dipandu Masa-san bersama Nobu dan Yuka. Takumi pula pergi ke ladang teh untuk menuai pokok teh.

Tugas aku hari ini adalah membersihkan pokok teh. Pagi itu aku bersama-sama Yuka. Sebelum mula, Yuka memberikan aku minum kopi dan juga biskut vegetarian. Lain la bah nikmat minum kopi panas-panas dipagi yang sejuk ni.

Banyak juga kami bercerita sambil membersihkan pokok teh tu. Perkara utama buat aku adalah mendengar dari cerita sebelah pihak lagi. Semalam Noam dan Takumi menceritakan perihal kenapa Yuka keluar dari rumah tempat kami tinggal sekarang. Dengan kecampinan aku, aku pun mau mendengar dari mulut Yuka sendiri kenapa dia keluar. Memang siok juga la, aku dapat membayangkan sebuah drama di tv dengan cerita dorang ni. Tapi yang sekarang ni adalah realiti. Aku pun nda tau kenapa orang mudah meluahkan apa yang terbuku di hati dorang sama aku. Dulu masa di kolej pun, housemate akan masuk bilik aku, kunci pintu, dan mula meluahkan masalah dorang. Apa dorang ingat aku ni ahli psikologi ka?

Perbualan kami terhenti apabila Nobu turut serta membersihkan pokok teh. Hari ini Nishio, Koyama, Atsushi, Sakano dan dua lagi yang aku nda tau nama turut datang ke kilang pemprosesan teh untuk membantu membersihkan pokok teh. Apa yang siok kalau ada Nishio ni kan, dia akan pasang lagu dari iPhone dia dan sambung dengan bluetooth speakar. Jadi enjoy juga lah kerja dengan diiringi lagu tradisional Jepun yang selalu dia pasang.

Kami berhenti rehat pada jam 12 tengahari. Aku pun makan bento aku yang aku sediakan pagi tadi.

Nasi yang digaul bilis halus dan bijan hitam, telur mata lembu, tauhu dan salad kubis cina.

Selepas makan tengahari aku sambung lagi membersihkan pokok teh. Memang bosan gila kerja ni tapi kebosanan aku hilang apabila Nishio mula pasang lagu Tamil remix Hindustan! Terus aku gembira dan senyum-senyum aku kerja selepas tu. Rupanya Nishio ni minat wayang Bollywood, barang Shah Rukh Khan, Chennai Express dan Om Shanti Om dia sebut. Terima kasih Nishio kerana merubah hari yang bosan menjadi hari yang menggembirakan aku!

Dalam jam 4.45 petang kami mula mengemas dan membersihkan kawasan. Nishio dan kumpulan telah pergi lebih awal. Megumi ada di kilang hari ini, dia ada membantu juga membersihkan pokok teh sambil mengeringkan kulit Mikan. Sebelum kami pulang, dia memberikan kami mochi berinti kacang merah setiap seorang. Memang sedap! Tapi nda sempat aku ambil gambar sebab aku sudah ngap hehehe.

Aku pulang ke rumah sama seperti rombongan pagi tadi. Sampai di rumah aku terus mandi untuk menyegarkan badan. Ketika mandi, Takumi memberitahu aku dia akan ke bandar Nara untuk mengambil Noam. Aku cakap, ok!

Selepas bersiap dan solat, aku pun turun ke ruang tamu dan mula lepak di kotatsu. Pakai beanie, pasang earphone dan on lagu, malapkan lampu dan mula berlayar. Aku bingkas bangun semula  apabila mata sudah silau terkena lampu yang dipasang Noam dan Takumi yang sudah kembali dari bandar. Lama juga aku menyesuaikan silauan mata dengan lampu yang kena pasang. Yalah mata tertutup rapat dengan beanie, tiba-tiba ada lampu terang, sakit bos!

Noam mempelawa aku minum teh yang dia bancuh. Punyalah pahit! Banyak betul daun teh yang dia pakai. Teh kedua yang dia bancuh pun pahit. Baiklah, bangun terus sudah aku pasal teh tu, terus marak mata hahaha. 

Bangun-bangun, perut rasa lapar. Jadi pergilah dapur tuang sup yang Noam masak kelmarin, kaut nasi ambil ikan bilis dan serunding dan terus makan. Sioknya dapat makan ja terus nda payah lagi mau masak-masak. Sini kalau masak sup banyak, 4 hari ampai-ampai pun masih ok nda basi. Yalah suhu pun macam peti ais, tiadanya bakteria mau hidup.

Lama jugalah aku lepak di ruang tamu bersama Noam yang sedang menghadap komputer dan Takumi yang sedang tidur. Setelah cukup lama aku rasa aku lepak, aku pun naik ke bilik aku dan mula buat kerja kedua aku; taip blog!


24 Disember 2015 (Khamis)

Takumi jatuh sakit dan tidak dapat berkerja hari ini jadi dia tinggal di rumah untuk berehat. Aku dibawa Noam menaiki trak menuju ke salah satu kilang pemprosesan teh lain milik Kenichi. Kami bersama Hideo akan membersihkan kilang tersebut. Setelah memberitahu akan tugasan yang perlu kami lakukan, Hideo pergi untuk mengambil mesin blower/vaccuum dan juga kompresor gas. Noam mula membersihkan mesin pemprosesan teh sementara aku pula mula membersihkan sawang lelabah dengan menggunakan buluh yang diikat kain dihujungnya. 

Hideo datang semula lebih kurang jam 10 pagi dan mengajak kami berehat sebentar.

Hideo dan Noam sedang berehat.


Pandangan tepi kilang teh.

Setelah berehat, aku membantu menurunkan mesin kompressor gas dari trak Hideo. Kami menolaknya masuk ke dalam kilang. Kami pun memulakan semula kerja pembersihan. Hideo menggunakan blower untuk membersihkan mesin-mesin dan dinding kilang sementara aku dan Noam menggunakan penyapu untuk membersihkan mesin masing-masing. Megumi pun turut datang membantu membersihkan kilang.

Kami terus berkerja sehinggalah kami berhenti rehat makan tengahari. Megumi pergi makan di tempat lain jadi aku, Noam dan Hideo makan bersama-sama di ruang yang diwujudkan Noam; satu trolley dijadikan meja dan beberapa kerusi lipat untuk kami duduk.

Kami menyambung semula kerja pembersihan dan seolah mendapat semangat baru selepas makan, kerja dalam kelajuan hyperdrive. Dalam jam 2.20 petang kerja pembersihan telah kami selesaikan.

Kilang teh setelah dibersihkan.


Hujung kanan tu lah mesin kompresor yang Hideo guna. Berat woi!

Bestnya kalau melihat mesin-mesin ni dalam operasi. Tapi sayangnya sekarang bukan musim untuk mesin-mesin ni digunakan.

Noam dan Megumi membersihkan pula kawasan luar pintu kilang. Terus berubah wajah kilang ni berbanding pagi tadi. Kami memuatkan kesemua sampah ke belakang trak yang Noam pandu. Setelah berehat sebentar kami mengucapkan selamat tinggal kepada Megumi yang tidak mengikut kami untuk menguruskan sisa-sisa teh yang dikumpulkan semasa proses pembuatan teh.

Perjalanan menuju ke suatu destinasi yang Noam dan aku tidak ketahui mengambil masa yang agak lama kerana Hideo menggunakan jalan lain yang tidak pernah kami lalui. Noam pun nda kenal jalan tapi terus sahaja memandu mengikut belakang trak Hideo. Rupa-rupanya kami sebenarnya menghala ke ladang teh di mana kami selalu menuai pokok teh untuk Sannen Ban Cha.

Setelah sampai, kami mula menabur sisa-sisa teh di kawasan yang telah dituai pada musim-musim lalu. Sisa-sisa teh ini akan memberikan nutrien secara semulajadi kepada pembesaran pokok teh. Nda perlulah segala baja kimia tu.

Sisa-sisa teh sebagai baja organik.

Hideo cakap kerja hari ini sudah tamat selepas dia telefon Kenichi. Hideo bertanya aku adakah aku ni jurugambar sebab aku selalu ambil gambar. Aku jawab nda, aku ni ambil gambar untuk kerja blog ja. Dia pun cakap ada satu tempat cantik untuk ambil gambar. Tapi nda sangka pula dia terus ja ajak aku dan Noam menghala ke sana!

Destinasi tujuan adalah salah satu lagi ladang milik Kenichi. Ianya terletak di atas bukit dan kita boleh melihat bandar Nara dari sana!

Tea farm overlooking Nara City.


Pokok-pokok teh yang tersusun rapi.

Cuaca indah, sangat menenangkan.

Bunga teh dimusim sejuk.

Seolah diatur cara Noam dan Hideo berdiri!

Aku di ladang teh!

Setelah lama menikmati pemandangan dari atas ladang teh ni kami mengucapkan selamat tinggal kepada Hideo dan kami berpisah dengannya untuk kembali ke rumah. Memang seronok rasanya dapat balik awal. Dapatlah solat Asar dengan keadaan lebih bersih di rumah.

Aku sebenarnya mau makan luar hari ini, malas mau masak. Tapi memandangkan Takumi kurang sihat, nda dapatlah kami turun ke bandar sebab lesen memandu antarabangsa si Noam sudah tamat tempoh. Setelah aku maghrib aku pun mulalah buat sesuatu dengan ubi manis yang sudah aku mula rebus masa balik rumah tadi. 

Aku kupas dan mula melecek beberapa ubi manis, mencincang isi ikan dan mencampurkannya, tambah garam, lada hitam, serbuk jintan manis, ikan bilis kecil, bijan hitam dan daun basil kering. Aku gaulkan sebati, kepal-kepal menjadi cakera bulat kemudian salut dengan telur yang telah dipukul. Dan goreng pada minyak yang sedikit. Jadilah begedil ikan fusion yang aku main hantam ja bikin.

Aku ajak Noam makan sekali. Aku masak 9 ketul begedil semua sekali tapi sayangnya Takumi nda dapat join sekali sebab nda larat dia mau keluar bilik. Aku sediakan juga kicap dan mayonis sebagai pencecah begedil ikan aku. Kicap sebagai penimbal kemanisan ubi manis dan mayonis untuk memberi rasa lemak. One word, delicious! Teringat balik, kecur liur aku mau makan...

Lama juga aku lepak sama-sama Noam di ruang tamu tu. Kami kemudiannya buat hal masing-masing, aku dengan handphone dan dia dengan laptop. Setelah puas lepak memanaskan kaki di kotatsu aku meminta diri dan naik ke atas. Aku pasang alat pemanas dan terus baring dan terlelap.


25 Disember 2015 (Jumaat)

Hari Krismas di Jepun ni tiada cuti. Hari ini secara rasminya adalah hari terakhir aku berkerja untuk Kenichi di Kenichi Shizen Nouen. Nda sangka masa sangat cepat berlalu. Betapa aku berharap aku boleh berada di sini lebih lama...

Aku menaiki van yang dipandu Masa-san bersama Nobu dan Abe. Noam memandu trak dan pergi bersama Shige dan Ume-chan yang memandu sebuah lagi trak. Aku nda tau apa tugasan dorang hari ini. Takumi pula masih lagi sakit dan tinggal di rumah.

Tugasan aku yang pertama hari ini adalah membersihkan baki pokok teh yang ada di stor. Nobu pula bertugas memasukkan pokok teh ke dalam mesin chipper di bangunan utama.

Tinggal ini ja pokok teh yang perlu dibersihkan hari ini.

Setelah menghantar pokok-pokok teh yang telah dibersihkan ke bangunan utama, aku mula membersihkan kawasan dalaman dan luaran stor. Aku bersihkan sebaik yang aku mampu supaya apabila mereka semua kembali selepas bercuti selama seminggu, mereka akan merasa teruja dengan kebersihan yang aku tinggalkan. Itu ja yang mampu aku berikan buat dorang yang kerja di kilang pemprosesan teh ni.

Setelah itu aku mengambil masa sebentar berehat. Jadi aku berjalan-jalan sebentar, kiranya untuk menikmati pemandangan kali terakhir di tempat ini.

Reflection of the sky.


Nunome Dam di mana kilang pemprosesan teh Kenichi berada di tepian.

Nobu sempat panik sekejap sebab aku tiba-tiba menghilang dari kilang tanpa memberitahunya. Ternampak kelibat aku dari jauh, dia berlari menuju ke tempat aku, dan aku mempercepatkan langkah kaki aku. Rupanya dia mencari aku untuk menyuruh aku makan tengahari lebih awal sebab tengahari nanti dia mau aku ganti kerja dia memasukkan pokok teh ke mesin chipper.

Aku pun segera ke stor di mana beg aku berada dan mengeluarkan bento aku. Kesian juga hari terakhir berkerja di sini, makan tengahari sorang-sorang.

Nasi multigrain, salad ubi manis, telur goreng dan bilis halus.

Nda sampai sejam aku berhenti rehat sebab Masa-san memanggil aku untuk membantu Nobu. Nobu segera menunjukkan cara-cara mengendalikan mesin chipper tu. Walaupun aku hanya faham lebih kurang 7% sahaja apa yang dia cakap (berbanding 5% di awal-awal pertemuan), aku boleh tangkap apa yang Nobu cuba sampaikan.

Memang best sangat memasukkan pokok-pokok teh tu ke dalam mesin chipper. Nobu duduk berdekatan makan tengahari, sambil memerhatikan aku kerja. Mungkin dia risau sebab hari ini merupakan hari pertama (dan terakhir) aku mengendalikan mesin chipper. Sekejap ja Nobu berehat makan kemudian dia mula berkerja semula. Dia mengangkat serpihan pokok teh dan membawanya ke mesin pengasingan yang akan mengasingkan serpihan mengikut saiz yang dikehendaki dari serpihan pokok dan daun yang tidak diperlukan.

Nobu menuang serpihan pokok teh ke mesin pengasingan.

Di hari terakhir barulah aku dapat memerhatikan semua proses yang terlibat dalam penghasilan Sannen Ban Cha. Sambil menanti Nobu menyiapkan kerjanya aku mengambil gambar sekitar dalam kilang.

Serpihan teh yang akan dipanggang.

Daun teh ini juga akan dipanggang.

Abe-san dan Masa-san sedang menjaga api pemanggang pokok dan daun teh.

Asap yang terhasil bila produk akhir dikeluarkan dari pemanggang.

Abe-san sedang menyejukkan serpihan pokok teh yang baru dikeluarkan dari pemanggang.

Produk akhir dibungkus dalam beg kertas.

Aku dan Nobu bersama-sama memasukkan pokok teh ke mesin chipper. Kami berhenti sebentar apabila kami hendak membantu Masa-san memasukkan produk akhir Sannen Ban Cha ke dalam van. Mereka bertiga senyum gembira bila melihat produk akhir sedia untuk dihantar. Masa-san pun pergi dengan van membawa Sannen Ban Cha ke tempat yang aku tidak ketahui.

Hari ini aku dan Nobu banyak kali berhenti rehat. Satu sebabnya, dia perlu ada kepastian dari Abe sama ada masih perlu menghasilkan serpihan pokok teh untuk dipanggang. Yalah takut terlebih banyak pula serpihan pokok teh sebab dorang ni akan mula cuti panjang bermula esok untuk seminggu. Dalam masa rehat aku dan Nobu cuba untuk mengenali lebih mengenai diri masing-masing. Walaupun komunikasi kami terbatas namun alhamdulillah kami boleh faham sedikit apa yang masing-masing cuba sampaikan.

Tugasan akhir kami adalah membersihkan kawasan. Dan seperti apa yang aku buat di kawasan stor pagi tadi, aku cuba bersihkan sebaik-baiknya agar bila dorang kembali masuk berkerja, mereka mendapat semangat baru! Seolah takdir benda terakhir yang aku buat hari ini adalah sama dengan hari pertama aku sampai di sini. 

Sebelum jam 5 kami sudah pergi meninggalkan kilang pemprosesan teh. Di dalam van yang dipandu Masa-san ada Abe, Nobu, Hideo dan aku. Hideo ada sekali sebab malam ini ada parti hujung tahun. Parti yang dikenali sebagai bōnenkai yang boleh diterjemah secara kasar sebagai "parti untuk melupakan tahun tersebut".

Sesampai di rumah, aku terus mandi, bersiap dan solat sebab kami akan bertolak ke tempat parti pada jam 6 petang. Ramai kami berkumpul di rumah hari ini sebelum berangkat ke sana. Kami berangkat di dalam tiga kenderaan berbeza. Aku menaiki van yang dipandu Shige bersama abangnya Abe, Ahoyama dan Noam. Sayangnya Takumi masih belum sihat, kesian dia nda dapat join sekali.

Tempat parti adalah sebuah restoran steamboat atau nabemono dalam Bahasa Jepun atau nabe nama panggilan biasanya. Aku tahu hari ini aku mungkin nda dapat makan apa-apa, sebab ada daging-daging yang tuuuut. Tapi aku hanya mau merasai pengalaman parti cara orang Jepun.

Masuk-masuk ja di restoran tu, Abe terus bagitau pelayan tu aku prefer menu vegetarian sebab aku ni Muslim. Terima kasih Abe-san! Susah bah mau kasi terang hukum halal haram sama dorang ni, kasi terang dalam Bahasa Inggeris kurang faham, terpaksalah pakai Bahasa Jepun broken aku. Intipati penerangan aku adalah binatang yang dimakan harus disembelih dengan betul. Aku bukan vegetarian dan hanya nda boleh makan daging semasa di Jepun (khasnya di Nara ni lah, di Osaka berlambak ayam halal). Satu perkara pokok aku bagitau dorang, babi memang haram nda boleh makan. Yang lain-lain macam lembu, kambing, rusa, arnab, ayam, itik semua aku boleh makan. Yalah untuk menunjukkan Islam ni sebenarnya tidak menyusahkan penganutnya.

Kami menanti semua orang untuk datang dulu sebelum acara dimulakan. Hampir kesemua watak yang aku jumpa masa aku berkerja untuk Kenichi hadir malam ini. Ada Abe, Shige, Ume-chan, Hideo, Noam, Ahoyama, Takeshi, Yuka, Masa-san, Kenichi, Yuko, Megumi, Nobu dan tiga lagi watak yang baru bertemu hari ini. Aku nda ada kesempatan pun berkenalan dengan dorang.

Satu periuk steamboat adalah untuk empat orang. Aku duduk bersama Shige, Ume-chan dan Noam. Aku kompom nda boleh makan steamboat ni sebab dalam pinggan besar yang tersusun rapi bahan-bahan untuk steamboat terdapat daging ayam dan daging oing-oing. Sabar ja lah...

Nasib juga ada hirisan ikan yang kena hidang dulu. Aku juga ambil tauhu mentah takut lapar hehehe. Mereka semua memesan minuman keras malam ni, yalah parti bōnenkai ni memang tujuannya untuk minum-minum sampai mabuk bagi melupakan sebarang kesukaran pada tahun tersebut di tempat kerja. Aku pesan jus oren ja. 

Kenichi memulakan acara dengan memberikan ucapan ringkas. Setelah selesai mengangkat cawan dan mengucapkan "kampai", semua pun ikut ucap kampai dan melaga-lagakan cawan dan gelas masing-masing termasuk aku hehe. Selepas itu acara makan-makan pun bermula. Kembang juga tekak aku bila melihat daging oing-oing kena steamboat depan mata, nasib juga hidung tersumbat. Aku fokus kepada ikan segar yang dimakan mentah di hadapan aku. Cecah dengan kicap yang diperahkan limau, memang heaven gila! Aku habiskan juga tauhu yang awal-awal aku ambil tadi. Memang kenyang!

Shige merasa kesian melihat aku nda dapat makan apa-apa, jadi dia pesan french fries untuk aku. Kemudian dia order lagi tempura (tapi kena minta izin Kenichi dulu lah, sebab dia yang belanja hehehe). Aku cakap aku ok ja untuk makan kalau dorang guna minyak baru.

Sebenarnya nda perlu pun order makanan-makanan tu, sebab Kenichi memang ada order makanan-makanan sampingan yang aku memang boleh makan seperti sushi. Sedapnyalah bah sushi asli buatan orang Jepun! Mula-mula risau juga kalau dorang campur alkohol dalam nasi sushi tu, tapi dorang bilang nda. Kebanyakan makanan yang aku makan aku nada ambil gambar. Satu sebabnya sebagai menghormati majlis, yang kedua sebab nda sempat ambil gambar aku sudah ngap hahaha.

Sushi platter kedua, yang pertama nda sempat ambil gambar.

Tempura campur. Hahaha nda sempat ambil gambar masa dia baru kena hidang.

Apabila semua sudah kenyang-kenyang barulah acara karaoke bermula. Bilik tempat makan ni juga ada menyediakan sistem karaoke. Yuko memulakan nyanyian pada malam ini, memang best sangat suara dia!

Meriah acara makan-makan.

Yuko mendendangkan lagu.

Hideo duduk disamping Kenichi dan Ume-chan dengan seorang lagi yang aku nda kenali. Yang bersama Noam tu taukeh kaya yang banyak merubah kehidupan watak-watak yang ada di sini. Ahoyama bercerita dengan Nobu dan Masa-san.

Hampir semua orang menyumbangkan lagu malam ini termasuklah aku. Aku nyanyi lagu Utada Hikaru berjudul First Love. Memang lucu sebab aku lupa mengeja tulisan Jepun, jadi di sesetengah tempat aku mumbling saja hahaha. Dorang tetap juga bagi semangat untuk aku terus menyanyi. Wah bestnya perasaan tu...

Bergilir-gilir orang menyanyi malam ni. Suara Shige pun best juga manakala Abe kalau menyanyi dari hati. Yang lain-lain hehehe... mabuk bah. Nda sangka lagu aku menjadi lagu terakhir pada malam tu sebab sudah jam 10 malam. Lagu penutup yang aku rasa kebetulan ngam-ngam iaitu My Way dari Frank Sinatra. Memuji betul konon dorang dengan nyanyian aku yang bagi aku sendiri belum mencapai kuasa sebenar. Oh well, I'll accept! Hehehe.

Sebelum parti tamat, Kenichi memberikan setiap seorang hadiah sebagai tanda penghargaan kepada semua. Beruntunglah aku, dapat juga hadiah hehe.

Hadiah-hadiah pemberian Kenichi buat semua.

Pelbagai teh dalam pek-pek kecil.

Napkin dan kek coklat.

Aku bersalaman dengan hampir semua watak yang ada sepanjang dua minggu aku berada dia sana. Masa-san dan Kenichi sama-sama memeluk aku. Bangga aku rasa bila kerja aku diiktiraf mereka. Nobu pun balik-balik dia salam aku, walau kami sukar berkomunikasi namun aku boleh rasa penghargaan yang dia berikan kepada aku.

Sesi mengucapkan terima kasih sesama mereka bersambung sampailah di luar restoran. Megumi mengucapkan penghargaannya kepada aku. Aku turut bersalaman lagi dengan Kenichi dan berterima kasih kepadanya kerana memberikan aku peluang untuk berkerja dan tinggal di Nara. Dia meminta aku datang kembali, yang lain-lain pun minta untuk aku datang kembali. Insya Allah, jika diberikan rezeki aku akan datang semula!

Perjalanan balik dengan van yang dipandu Shige aku duduk bersama 3 lagi orang di belakang van. Memang sempit, tapi nasiblah badan aku yang sekarang ni. Kalau masih lagi badan aku yang dulu jangan haraplah boleh muat. Abe duduk di kerusi penumpang di depan manakala Noam, aku, Ahoyama dan Hideo duduk di belakang. 

Kami nda berhenti bercerita sepanjang perjalanan. Kami menurunkan Hideo di bahu jalan menuju ke rumahnya. Ok jugalah pemanduan Shige ni walaupun ada mabuk sikit. Sampai di rumah, Abe minta alamat rumah di Malaysia. Dia cakap kalau dia pergi Malaysia ada sudah tempat kawan yang dia boleh pergi. Dia minta aku tulis alamat dan bagi ja pada Noam. Aku bersalaman dengan Abe dan Shige dan mengucapkan selamat tinggal buat mereka.

Ahoyama terlalu mabuk untuk memandu balik malam ini jadi dia pun menumpang tidur di rumah. Nda lama kami bercerita sebab masing-masing penat dan aku akan kembali ke Toyonaka, Osaka keesokan harinya.


26 Disember 2015 (Sabtu)

Setelah subuh aku mula mengemas barang-barang aku. Kemudian aku mandi untuk menyegarkan badan. Cuaca yang sangat baik pagi ini memungkinkan aku mengambil gambar di sekitar rumah yang bakal aku tinggalkan.

Pemandangan dari sebelah hadapan pelantar rumah.

Pemandangan dari sebelah belakang pelantar.

Pandangan panorama rumah aku untuk 2 minggu.

Pemandangan dari bahu jalan.

Tingkap atas kiri bilik aku, tingkap atas kanan bilik Noam dan tingkap bawah kiri bilik Takumi.

Rumah (tengah) kepunyaan Kenichi di Shimofukawacho, Nara tempat aku tumpang berteduh.

Buah kiwi yang bergantungan milik jiran.
Aku menyediakan sarapan terakhir kami bersama. Menu mudah ja, inari sushi yang aku main campur-campur ja bahan dan juga ubi manis rebus. Kami bertiga makan sarapan bersama pagi ini. Alhamdulillah Takumi sudah pulih hari ini.

Inari sushi yang aku tabur hirisan telur dadar dengan ubi manis rebus.
Walaupun makan ni nda banyak, tapi kami tiga-tiga bersama menikmatinya adalah lebih penting. Our last meal together... Takumi menuangkan Sannen Ban Cha yang Noam tanak pagi ini dan kami sama-sama minum.

Setelah bersarapan, aku sambung mengemas barangan aku. Aku juga membersihkan lantai dalam bilik menggunakan vakum. Aku ingin meninggalkan legasi kebersihan di rumah ini!

Dalam jam 10.30 pagi Abang Amin, Kak Ari dan anak-anak sampai di Shimofukawacho. Aku segera membawa barangan aku turun setelah Abang Amin meletakkan kenderaan di jalan raya. Takumi membantu aku mengangkat kotak yang berisi pakaian aku. Setelah memasukkan barangan ke dalam kereta, kami mengambil gambar kenangan bersama.

Noam, Ahoyama, aku dan Takumi.

Aku peluk Noam bila dia mula membuka tangan untuk memeluk aku. Kemudian aku peluk pula Takumi. Nda sangka masa singkat bersama kami memberikan aku dua kawan baru. Aku akan merindui mereka! Sesungguhnya perpisahan memang menyakitkan tapi apakan daya itulah lumrah kehidupan.

Abang Amin memandu kereta pergi dan memberi lambaian akhir. Aku nda sangka, aku akan merasa sedikit sedih. Mungkin sebab kami bertiga banyak berkongsi cerita antara satu sama lain. Mungkinkah aku akan kembali di sini? Hanya masa yang akan menentukan.

Abang Amin berhenti sebentar di bahu jalan, set GPS ke Nara Park dan terus memandu ke sana. Kami singgah sebentar di kedai bakeri yang pernah aku pergi dulu untuk tumpang buang air.

Kedai bakeri yang sebenarnya berhampiran dengan kilang pemprosesan teh. Lebih kurang 2 ke 3 minit perjalanan menaiki kereta.

Kami terus sahaja meneruskan perjalanan menuju ke Nara Park selepas itu. Sampai di Nara Park, kami mencari lokasi sesuai untuk berpiknik dalam suhu sejuk hehehe. Kami menjumpai tapak yang kami rasa cantik bila kami lalu masa berada dalam kereta.

Kak Ari, Abang Amin dan Akil mengambil gambar kenangan di Nara Park.

Having brunch with this kind of view. What more can I say?

View di depan mata.

Brunch dengan nasi goreng kerang dan ikan goreng. Osem!

Geng piknik di Nara Park.

The sun shining through the leafless tree.


Selfie time... Anak-anak semuanya bertempiaran tu pasal nda masuk sini.

Rusa-rusa yang pok makanan... Kesian...

Kami meninggalkan Nara Park dan menghala balik ke rumah. Siapa sangka hari ini genap 2 bulan aku di Jepun. Dan seolah takdir aku mula-mula sampai di Toyonaka, Osaka pada 26 Oktober dan kembali dari Nara pula pada 26 Disember. 

Sesampai di rumah aku jamak takhir solat asar dan zuhur. Jarak dari Shimofukawacho, Nara ke Toyonaka, Osaka adalah sejauh 87 km jadi memang bermusafirlah aku. Selepas solat aku segera keluar semula, bukan apa... sebenarnya paha aku terjangkit penyakit kulit dari binatang tempohari tu! Punyalah gatal, memang kalau ikut hati mau garu ja berterusan. Tapi aku tahu berdasarkan pengalaman makin kita garu, makin dia merebak. Jadi aku tahan ja la kegatalan itu untuk beberapa hari.

Aku ambil gambar paha aku supaya senang aku bagitau farmasi nanti pasal jangkitan pada kulit aku tu nanti. Aku berjalan kaki menuju ke farmasi kecil berhampiran. Aduhai punya susah mau berkomunikasi dengan orang di farmasi ni. Orang di sana pun suruh aku cari kawan yang boleh cakap Jepun. Jadi aku pun pergi dan singgah di Server iaitu kedai besar seperti Guardian atau Watson di Malaysia tapi jauh lebih besar dan banyak pilihan barang termasuk beberapa barangan runcit.

Di sana, aku lebih mudah memberitahu keadaan kulit aku. Aku boleh faham apa dia cakap dan dia boleh faham Bahasa Jepun broken aku. Dia pun mengesyorkan aku satu krim yang berharga 1335 yen (RM47.65). Mahal oii!

Krim yang aku harap dapat mengubati penyakit kulit dari kitsune atau tanooki tu. Aduhai dapat cenderahati yang nda diingini pula dari dia... 

Balik rumah aku segera mandi, wudhu dan solat. Lepas maghrib baru aku sapu krim pada kulit aku. Cepat-cepatlah sembuh! Kata orang di Server tadi, krim ni hendaklah disapu selepas mandi di waktu pagi dan malam. Semoga ianya berkesan.

Menu makan malam kami hari ini adalah istimewa. Ambuyat!!! Wah bestnya makan ambuyat... Tapi nada ambil gambar pasal aku nda ingat sudah hehehe. Lepas makan ambuyat makan keropok lekor pula. Made in Japan punya keropok lekor. Orang Malaysia buat di Jepun, jual dengan harga 500 yen (RM 17.85) satu pek. Ok juga rasa dia, tapi sos pencicah nda berapa best lah.

Keropok lekor made in Japan!

Lepas makan, aku naik ke atas dan mula membentang tilam. Rasa penat dengan hari yang cukup panjang... 

Selamat tinggal Nara, hello Osaka!

Gambar sehari sebelum pergi ke Nara dan selepas kembali ke Osaka. Berat aku hari ini adalah 84.6 kg.


27 Disember 2015 (Ahad)

Hari terakhir di minggu ke sembilan aku di Jepun. Aku sudah berada semula di Toyonaka, Osaka. Bangun awal pagi sebelum subuh dengan memikirkan blog yang belum siap ditaip untuk entry beberapa hari. Memang stress jika difikirkan jadi baik jangan fikir dan terus ja buat! Ni aku lakukan untuk pembaca setia aku...

Hari ini aku kira mau cuti dari mengambil gambar. Puas sudah mengambil gambar sepanjang minggu ni. Guna handphone, guna kamera... Memori di laptop pun makin bertambah dengan gambar-gambar yang aku ambil setiap hari.

Hari ini aktiviti kami adalah pergi ke kedai second hand di sebuah kedai yang sudah masuk di Hyogo. Aku lupa mau memperkenalkan kawasan Kansai ni terbahagi kepada beberapa Prefecture iaitu Mie, Nara, Wakayama, Kyoto, Osaka, Hyogo dan Shiga.

Dalam jam 11 pagi juga kami bergerak ke kedai tu. Sampai di kedai, telah masuk waktu zuhur jadi kami zuhur dulu. Selepas ja zuhur kami pun masuk ke dalam kedai dan terus berada di sana sampailah masuk waktu asar. Wow! Punya lama kami di sana!

Kena belanja lagi beli beberapa barang di kedai tu, terima kasih Abang Amin dan Kak Ari... Kami solat asar dulu sebelum balik ke rumah. Tapi sebelum bergerak makan-makan dulu sandwich tuna yang Kak Ari bawa. Lapar sudah perut terlampau lama tengok barang hehehe. Kami singgah sebentar di International House untuk mengambil heater yang diberikan secara percuma kepada Abang Amin dan Kak Ari. Kemudian pergi ke stesen minyak untuk mengisi minyak kereta dan juga minyak tanah untuk alat pemanas. Kemudian kami pun bergerak pulang ke rumah.

Sesampainya di rumah, Kak Ari dan Amin memulakan kerja masak makan malam. Aku pun keluar selepas solat maghrib untuk mengambil angin. Rindunya aku berjalan-jalan kaki di Toyonaka ni... Jadi kaki secara automatik menghala ke kedai 100 yen di Hotarugaike. Kesejukan nda terasa bila hati rasa girang sepanjang perjalanan.

Sampai di kedai 100 yen, tengok-tengok barang dan terus balik ke rumah. Kiranya senaman la ni. Ok la dapat berjalan lebih kurang 45 minit. Sampai di rumah, perut sudah lapar terus ja makan makanan yang siap terhidang di meja. Nda payah lagi masak memasak macam di Shimofukawacho, Nara. Terima kasih kepada Abang Amin dan Kak Ari yang masak ikan siakap stim limau dengan ikan basung besar goreng. Memang sedap!

Abang Amin membawa alat pemanas yang baru diberi ke bilik aku. Ianya alat pemanas yang menggunakan elektrik untuk menyebarkan haba dan juga set fungsi. Namun ia masih perlu minyak tanah sebagai sumber bahan api.

Aku menghabiskan banyak masa melawan mengantuk menaip blog. Tapi rasa mengantuk ni susah betul dilawan. Aku bentangkan tilam, memasukkan komputer ke sleep mode, matikan lampu, berbaring dan terlelap.

****************************************************************

Aku berada dalam persimpangan. Adakah aku akan teruskan masa aku di Jepun dengan wwoofing atau menghabiskan sisa masa aku yang kurang dari sebulan ini hanya berada di Toyonaka? Hanya masa yang boleh menentukan.


To be continued: Japan Story - Week 10

No comments:

Post a Comment