Monday, January 4, 2016

Japan Story - Week 10

Siapa menyangka sudah 10 minggu aku berada di Jepun. Tiket balik Malaysia pun sudah ada tapi bila tarikhnya, tunggulah di blog-blog seterusnya ya... Setelah lama berada di luar Malaysia ni, sebenarnya aku rindukan tanah air sendiri. Walau tidak sempurna, ada cacat cela, tapi itulah tanah kelahiran aku, tempat aku dilahirkan dan dibesarkan. DIBESARKAN dengan makanan... aku rindu makanan Malaysia!

Bagi kisah minggu ke-9 klik sini. Kalau kamu baru pertama kali baca blog aku di Jepun ni sila klik cerita minggu pertama di sini. Lepas tu kalau kamu kesiukan membaca, klik ja la link di siring-siring tu, bukannya susah pun... hehehe.

Lupa pula, Selamat Tahun Baru 2016 kepada semua! Semoga tahun ni kita dapat berubah menjadi lebih baik dari tahun lepas. Azam tahun baru hanyalah satu panduan buat kita. Jangan buatkan diri anda tertekan hanya untuk mencapainya, jadi lebih relaks dan insya Allah semuanya akan teratur dengan sendiri.


28 Disember 2015 (Isnin)

Maka bermulalah minggu baru hari ini. Seperti mana aku baru balik dari Sonobe hari itu, sekarang juga aku berada dalam fasa peralihan daripada perlu bangun awal, buat bento makan tengahari dan menyediakan sarapan sebelum berkerja setiap hari kepada hanya bangun makan tidur. Memang pelik rasanya.

Awal aku bangun hari ni, sebabnya adalah untuk menyiapkan blog minggu lepas. Beberapa hari sudah aku nda menaip blog, mungkin penat dan mungkin juga malas. Kepada pembaca blog aku terima kasih kerana sudi membaca. Siri Japan Story ni nda lama lagi tamat. Ada beberapa minggu lagi. Berapa minggu? Hehe tunggulah ya... 

Balik di Malaysia nanti aku malaslah mau tulis blog lagi. Di sana tu sudah alam realiti. Perlu kerja untuk cari duit. Kalau malar memblog siapa mau kasi makan aku? Lagi satu apa juga cerita mingguan aku di Malaysia nanti? Cerita pengembaraan mencari kuih pisang atau menjahit seluar di Pasar Pelipin? Tiadanya orang mau baca tu. Tapi kalau ramai yang request untuk aku sambung buat blog, mungkin akan dipertimbangkan. Mungkin...

Setelah subuh aku terus sambung buat blog aku sehinggalah Kak Ari minta aku buang sampah burnable di tempat pengumpulan sampah. Pakai baju sejuk sehelai, pakai selipar dengan rambut serabai aku pegi membuang sampah. Uish ada pula orang lain, malu aku hehehe. Dia ucap ohaiyou aku pun cakap ohaiyou, aku letak sampah di bawah jaring dan terus balik ke rumah.

Sebenarnya hari ini aku akan berjumpa dengan Wilson di Bandar Osaka. Dari semalam kami betul-betul kompom tempat dan masa untuk berjumpa. Selepas bersarapan aku mandi dan bersiap. Aku merancang untuk pergi berjalan kaki ke Stesen Hotarugaike dan menaiki tren ke Stesen Hankyu-Umeda. Oleh kerana masa tidak mengizinkan, aku menaiki monorel ke Stesen Hotarugaike. Dari sana aku menaiki tren ekspress yang hanya berhenti di Stesen Toyonaka dan Stesen Juso sebelum sampai ke Stesen Hankyu-Umeda.

Sesampai ja aku di Stesen Hankyu-Umeda, aku terus bergegas ke tempat pertemuan yang kami janjikan. Ianya adalah sebuah restoran bernama Malaysia Boleh di Oyodominami, Kita-ku, Osaka. Nda jauh pun kalau jalan dari Stesen Osaka dan Hankyu-Umeda tu. Dari jauh sudah ternampak kelibat Wilson yang sudah menunggu aku dalam 10 minit sebab dia sampai awal.

Restoran Malaysia Boleh.

Gembira juga dapat bertemu semula kawan yang tinggal dan kerja sama-sama selama 3 minggu di Sonobe, Kyoto. Dia baru juga habis wwoofing di Shiga manakala aku baru habis wwoofing di Nara. Kami masuk ke dalam restoran dan duduk berhadapan cermin.

Aku dan Wilson. 

Kami memilih makanan kami masing-masing dari menu. Aku order ntah apa nama dia tu, lupa sudah hehehe tapi asasnya mee dengan makanan laut lah. Hmm rasa hidangan tu, hmmm... Hampa. Tapi nda apa, yang penting dapat meluangkan masa bertanya khabar dengan Wilson.

Lunch set berharga 850 yen (RM 30.30). Sepatutnya aku order benda lain... hmm...

Setelah makan aku pun tiada apa-apa rancangan mau dibuat, jadi aku ikut ja lah si Wilson pergi mana-mana dia mau pergi. Aku cakap, kalau dia mau halau aku, boleh halau hahaha. Kami pergi ke Stesen Osaka di mana Wilson membeli bun yang popular gila di Taiwan. Yang perlu berbaris panjang bila mau beli. Tapi di Jepun ni nda berapa popular. Wilson pergi ja terus beli, nada orang pun berbaris.

Selepas tu kami menuju ke stesen subway. Destinasi tujuan adalah Stesen Namba sebab hotel Wilson berada berdekatan sana. Dia sudah checkout tapi barang-barang dia semua masih di hotel. Kami berpisah di satu persimpangan jalan. Selepas bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kami pun pergi ke arah berlainan. Terima kasih Wilson kerana sudi hang out dengan aku walaupun untuk seketika. Insya Allah jika diberikan kesempatan kita akan bertemu lagi, mungkin di Jepun, mungkin di Taiwan dan juga mungkin di Malaysia. Siapa tahu?

Seperti biasa aku membiarkan kaki aku melangkah, mengembara bandar Osaka. Lucu juga setelah dua bulan di Jepun inilah kali pertama aku berjalan-jalan di bandar ni. Aku terjumpa satu kawasan yang kiri kanan kedainya menjual pakaian yang hip. Pemakaian orang di sana pun trendy saja aku tengok. Aku nda tau apa nama tempat dan aku tiada pun ambil gambar. Hanya menyerap dengan mata aku sendiri kemeriahan tempat ni.

Alang-alang di bandar Osaka baik aku pergi ke Osaka Castle. Aku buka Google Maps dan cari lokasi Osaka Castle. Jarak ianya berada dari tempat aku berada ketika itu adalah 4.3 km atau 52 minit berjalan kaki. Ok, aku pun tiada apa-apa rancangan jadi aku pun mula berjalan kaki ke sana.

Betul-betul berhadapan taman yang ada Osaka Castle ni ada Osaka Museum of History yang bersambung dengan NHK Osaka Hall.

Osaka Museum of History (kiri) dan NHK Osaka Hall (kanan).

Di seberang jalan ni lah ada Osaka Castle. Aku malas mau taip cerita panjang jadi bagi gambar ja lah ah...

Benda paling penting, gambar peta dulu.


Rokuban-yagura Turret.

Otemon Gate.

Mau bah pagar begini...

Pandangan hadapan Osaka Castle.

Pandangan tepi Osaka Castle.

Kesian juga orang travel sorang-sorang ni... Selfie ja la... Mau minta orang ambil gambar, malu.

Macam piramid pula pandangan dari sini.

Pandangan belakang Osaka Castle.

Dinding batu yang gila besar. Gila pun nda sebesar ini.

Gambar nda dapat menunjukkan betapa besarnya pagar ni.

Pagar besar dicat hitam, mengagumkan.

Sengan-yagura Turret (warna putih).

Jalan masuk melalui Otemon Gate.

Penutup pembetung dengan ukiran Osaka Castle.

Sebenarnya kaki aku sakit betul sudah masa jalan-jalan ni. Silap juga aku pakai but hari ini. Kalau aku pakai kasut sukan aku baru syok jalan sana sini. Sebab kaki nda boleh sudah berjalan jauh, aku pun cari Stesen Hommachi yang aku ada limpas masa dalam perjalanan ke Osaka Castle tadi. Stesen yang ditujui adalah Stesen Yotsubashi sebab masa aku jalan kaki aku ternampak sebuah kedai menawarkan menu vegetarian. Aku sudah lapar jadi ke sanalah destinasi aku.

CoCo Ichibanya Curry House. 

Aku pilih Tomato and Asparagus Curry. Harga 748 yen (RM 26.70) sebab aku minta tambah pedas lagi. Memang jauh lebih puas hati berbanding ketika makan di Restoran Malaysia Boleh tengahari tadi.

Setelah makan aku pun berjalan kaki ke Stesen Hankyu-Umeda. Sakit kaki pun sudah berkurang jadi perjalanan sejauh 3.9 kilometer atau 47 minit itu kiranya untuk membakar kalori yang aku baru ngap tu lah hehehe.

Besarnya bandar Osaka ni. Banyak lagi aku kena teroka. Sehari macam nda cukup untuk tengok apa yang bandar ni tawarkan. Ok bandar Osaka, kita dating lagi lain hari ok!


29 Disember 2015 (Selasa)

Rasa sangat penat dengan pengembaraan aku hari kelmarin, jadi hari ini aku merancang untuk berehat sahaja di rumah. Kalau berehat, nda perlu ambil gambar, kalau tiada gambar, blog pun nda panjang hehehe.

Lama juga lah aku tidur siang. Tapi malangnya aku ni buka jenis yang boleh tidur terlampau lama, sakit badan. Jadi selepas maghrib aku merancang untuk berjalan-jalan kaki. Destinasi pilihan adalah Senri Chou. Kak Ari mengirim roti putih Little Mermaid sebanyak 5 bantal. Ok jugalah ada juga tujuan aku berjalan ke sana. 

Perjalanan ke sana aku memakai earphones aku dan memasang lagu dari playlist Soundcloud aku sendiri. Langkah aku perlahan menuju ke destinasi, agak berat juga melangkah. Aku merasai suatu perasaan pelik, janggal. Rasanya aku sedang mengalami "withdrawal" bukan untuk dadah ka apa tapi untuk kesibukan berkerja. Yalah daripada kesibukan kerja dari pagi sampai petang untuk dua minggu lepas kepada langsung nda buat apa-apa. Aku seolah rasa hilang punca. Tiada lagi kawan makan, bercerita, berkerja sama-sama. Rasanya aku rindu suasana di Nara. Keadaan rumahnya, tempat kerjanya dan juga orang-orangnya. Terutama sekali Noam dan Takumi yang sudah menjadi rapat dalam 2 minggu kami bersama. 

Langkah aku semakin cepat bila aku semakin menghampiri destinasi. Aku terus menuju ke kedai Little Mermaid untuk membeli roti putih 5 bantal. Panas-panas lagi baru keluar dari oven. Selepas tu aku pergi ke kedai Daikoku Drug yang ada menjual barangan 100 yen dengan harga memang 100 yen! Dorang sudah letak harga yang bila digenapkan cukainya menjadi 100 yen.

Lama juga aku pusing-pusing sekitar Senri Chuo, window shopping lah yang banyak sebab aku mana ada income, mau beli barang ka apa ka semuanya wang ehsan Abang Amin dan Kak Ari. Malu aku weii! Insya Allah balik Malaysia nanti sambung balik bisnes makanan aku. Mudah-mudahan pelanggan aku ada yang menunggu kepulangan aku nanti. Tunggu ya, aku bertapa dulu di Jepun cari ilmu supaya aku dapat tawarkan makanan yang sedap (insya Allah) untuk kamu.

Pusing punya pusing akhirnya aku terjumpa lah kedai yang seolah seekor rare Pokemon... Subway! Ntah beberapa kali aku pergi Senri Chuo nda pernah jumpa kedai Subway ni. Akhirnya aku berjumpa juga. Teruslah aku order makanan sandwich sayuran dengan cheese. Sedapnya...

Puas hati oh makan ni!

Setelah perut kenyang aku pun melangkah balik ke rumah, suhu sejuk tidak terasa, langkah sudah semakin pantas, semangat dalam diri bertambah, selamat tinggal Nara, akan ku semat dikau dalam kenangan.


30 Disember 2015 (Rabu)

Aku bangun awal hari ini. Semalam Kak Ari ada bagitau yang hari ini kami akan pergi ke Universal Studio Japan, Osaka (USJ). Bagusnya lah bah host aku ni, makan minum, tempat tinggal ditanggung. Percutian pun kena kena tanggung juga! Mudah-mudahan Allah memurahkan rezeki buat kalian sekeluarga.

Aku membantu Kak Ari membuat sandwich tuna, sandwich telur dan sandwich coklat sementara dia masak untuk bento kami di USJ nanti. Setelah menyiapkan semua bekal makanan dan minuman dan juga anak-anak buah, kami bertolak dari rumah dalam jam 8.45 pagi.

Kereta dilitupi frost. Tunggu cermin clear dulu baru gerak.

Perjalanan ke USJ sejauh 23 km (menurut Encik Google Maps) mengambil masa lebih kurang 37 minit. Setelah meletakkan kereta di aras 2 kami pun terus berjalan kaki menuju ke pintu depan USJ.

The arch is like a beacon calling all to come.


Pintu gerbang USJ.

Abang Amin memberikan aku duit dan juga kad pas tahunannya kepada aku. Harga tiket biasa untuk orang dewasa adalah sebanyak 7,200 yen atau RM 256.85. Dengan menunjukkan kad pas tahunan dapatlah diskaun sikit jadi harga tiket sehari aku adalah 6,800 yen (RM 242.60). Kelagi jua mahalnya kan... Terima kasih sekali lagi buat Abang Amin dan Kak Ari, ntah apalah sumbangan aku sama dorang ni sampai kena tanggung segala-gala. 

Selepas ja masuk, kami pun berpisah. Aku diberikan kebebasan sepenuhnya hari ini untuk meneroka USJ dan menikmati semua yang sempat dikunjungi. Aku hanya berjalan sambil melihat peta pada buku panduan yang boleh diambil selepas masuk di pintu masuk. Aku nada pun tanya Encik Google apa-apa tarikan dalam USJ ni. Jalan punya jalan nampak signboard untuk show Terminator 2: 3-D jadi aku pun pergi sana.

Bangunan Cyberdyne Systems tempat show Terminator 2: 3-D.

Aku masuk ke dalam, nampak masa menunggu adalah selama 80 minit dan kemudiannya mencari hujung barisan. Rupanya barisan bermula dari luar. Punyalah panjang!

Nasib juga lah menunggu di bawah matahari, nda juga terlampau kesejukan.

Barisan ni bersambung sehinggalah masuk ke dalam. Aku tersenyum sendirian melihat dan mendengar video yang ditayangkan tentang "kemajuan" Cyberdyne ni. Video dan musik latar ala 90-an memang nostalgia betullah!

Shownya di buat dalam panggung yang besar dengan skrin besar. Memang best! Rasa kita turut berada dalam wayang Terminator 2 dengan efek 3-D dan juga cahaya dan angin yang dihembus kepada kepada kita. Efek 3-D tu kan nampak macam keluar dari skrin ja apa-apa yang ditayangkan. Yang duduk sebelah aku goyang-goyang badan dia cuba mengelak kono hahaha.

Setelah tamat aku pun keluar menghala ke Jurassic Park: The Ride. Malangnya ianya ditutup untuk kerja-kerja naik taraf. Oleh kerana perut pun sudah lapar, aku pun cari tempat yang ada cahaya matahari untuk makan tengahari. Buka bento yang dibekalkan Kak Ari ada nasi dengan ikan goreng. Sudu dengan sayur ada sama dorang. Hihihi macamana aku mau makan tanpa sudu? Jadi aku pun simpan lah balik bento tu dan mengeluarkan kontena berisi sandwich yang aku buat pagi tadi. Banyak tu sandwich, konon aku bawa dalam beg untuk kami semua makan bersama. Tapi macam sudah takdir ianya menjadi makanan aku hari ini.

Jalan-jalan sekejap menikmati pemandangan di sekitar USJ ni. Wow! besar betul tempat ni. Nasib aku pakai kasut sukan hari ni kalau nda memang melecet kaki aku.

Roller coaster Jurrasic Park yang dinaik taraf... Sedih...


Nyanyian live. Nda best pun suara dorang ni... best lagi orang kampung aku nyanyi karaoke orang kawin.

Kepada yang mau solat ketika dalam USJ ni boleh pergi ke Amity Village. Boleh cari kerusi yang betul-betul menghadap kiblat (check pakai handphone ok) dan nda berapa ramai orang. Tandas untuk ambil wudhu pun ada berdekatan sana tapi selalunya ramai orang. Solat duduk ja, senang. Lagi satu wudhu nda payah mau buka stokin, musim sejuk begini sapu atas stokin ja. Untuk lebih lanjut mengenai wudhu sapu stokin ni boleh klik sini.

Aku mendapatkan tiket masuk bermasa (timed entry ticket) dari mesin tiket ke The Wizarding World of Harry Potter di taman berhadapan persembahan live tadi. Scan ja barkod pada tiket masuk USJ tu dan pilih masa. Masa terawal aku boleh masuk adalah pada jam 7.10 malam. Fuh lama betul lagi! Setelah itu aku pun menghala ke Hollywood Dream: The Ride. Teruja juga ni mau naik roller coaster.

Hollywood Dream: The Ride.

Setelah menyimpan beg dalam loker dengan deposit 100 yen, aku pun ikut berbaris dalam barisan. Masa menunggu yang dipaparkan adalah selama 230 minit! Sikit lagi 4 jam tu! Tapi memandangkan inilah kali pertama aku akan menaiki roller coaster, 4 jam pun 4 jam lah!

Sabar ja menanti...


Barisan yang berselirat dengan wayar yang memisahkan.

Tempat roller coaster akan bermula nanti.

Alhamdulillah lebih kurang 2 jam ja menunggu dalam barisan sampailah giliran aku menaiki roller coaster. Dua perkataan; best gila! Rasa macam mau terhumban ja dari kerusi tu, laju betul sekejap ja habis sudah. Memang berbaloi menunggu berjam-jam. Aku mula-mula anggar masa asar akan tamat masa aku dalam barisan. Alhamdulillah lepas aku menaiki roller coaster tu masa asar masih panjang lagi.

Kemudian aku pun berjalan-jalan lagi di USJ ni. Aku menghala ke pokok Krismas yang gila punya besar!

Tinggi betul pokok Krismas ni.


Dapat Guiness World Record untuk lampu terbanyak pada pokok Krismas tiruan.

Selepas itu aku pun pergi ke The Amazing Adventures of Spiderman: The Ride. Masa menunggu yang terpampang adalah 110 minit, hampir 2 jam juga. Seperti juga dua tarikan yang aku pergi tadi, tabah ja lah menanti giliran.

Gila baie panjang barisan ni... naik turun tangga, dua tingkat barisan menunggu di luar. Belum lagi sambung barisan di dalam!


Matahari pun semakin melabuhkan tirai.

Barisan menunggu limpas pejabat dalam Daily Bugle kononnya.

Apa yang best depan belakang aku ada cewek Jepun dengan geng masing-masing. Kena apit la aku ni, tapi masalahnya aku ni masih lagi pemalu orangnya. Mau bawa bercerita takut pula nda pandai cakap Inggeris dorang ni. Jadi sunyi ja la aku hihihi.

Bila sampai giliran, aku duduk sebaris dengan cewek Jepun yang di depan aku tadi dengan kawan-kawannya lagi dua orang. Satu baris kerusi tu untuk 4 orang. Lucu juga bila start ride tu teriak-teriak dorang hahaha. Tapi memang best sangat-sangat The Amazing Adventures of Spiderman: The Ride ni. Kita seolah-olah dalam wayang Spiderman, rasa haba api, kena percikan air. Best gila la! Selepas tamat ride tu, aku pun keluar dan mencari tempat untuk makan. Makan apa lagi, sandwich lah hehehe.

Masih lagi waktu maghrib, aku menghala ke Amity Village dan selepas itu hanya menanti untuk masuk ke The Wizarding World of Harry Potter yang terletak berhampiran. Lama jugalah menunggu jam 7.10 malam dan bila orang mula berbaris aku pun ikut berbaris.

Orang yang minat gila dengan dunia Harry Potter memang akan teruja dengan tempat ni. Hogsmeade dibarisi kedai-kedai seperti dalam wayang jadi banyak yang boleh dilihat di sini.


Hogsmeade.

Hogwarts Express.

Bola untuk game Quidditch.

Broomstick dan baju untuk game Quidditch.

Hogwarts walaupun tidak mengikut skala, masih nampak grand juga... Panjang sangat barisan untuk menaiki ride Harry Potter and The Forbidden Journey in 4K3D jadi aku memilih Flight of The Hippogrif yang masa menunggunya hanya 40 minit.

Hogwarts.

Dalam barisan untuk roller coaster Flight of The Hippogrif, kita akan lalu rumah Hagrid.

Hagrid's Hut.

Sekejap sangat ride roller coaster ni. Hehehe lebih sesuai untuk kanak-kanak rasanya, tapi perempuan dewasa tetap juga jerit-jerit masa naik ride ni. Selepas dari ride ni aku pun mula bergegas untuk balik ke rumah. Malam ini ada meeting keluarga melalui whatsapp. Bateri kamera aku pun ngam-ngam habis berdekatan pintu keluar The Wizarding World of Harry Potter. Macam tau-tau ja aku mau pulang.

Aku pun meninggalkan Universal Studio dengan rasa agak berpuas hati. Dapat tengok 1 show dan 3 ride untuk seharian sudah lebih dari cukup. Insya Allah jika ada kesempatan lagi aku akan datang lagi!


31 Disember 2015 (Khamis)

Hari ini sebenarnya aku nda mau buat apa-apa. Yalah kalau aku jalan lama-lama, gatal pada kulit ni datang balik. Geram ja rasa mau menggaru. 

Sarapan lewat hari ni Kak Ari masak special, Nasi Arab Kabsah. Jauh tu aku bawa dari Muar, Johor bawa balik ke Papar, Sabah kemudian sampai ke Toyonaka, Osaka.

Brunch dengan Nasi Arab.

Waktu malam Abang Amin ajak keluar. Katanya mau ambil printer jet yang dia beli dengan harga 1,000 yen (RM 35.70). Murah gila! Nda pernah pakai lagi printer tu. Kami singgah mengambil Abang Sarizam di International House kemudian mengambil Rias di Ibaraki. 

Kami singgah di farmasi untuk membeli ubat sebab gatal pada kulit aku ni belum baik. Nasib baik Abang Sarizam ni pandai cakap dan baca tulisan Jepun, dialah yang memilih dan bertanyakan ubat masa di sana.

Ubat sapu dan ubat makan yang dibeli.

Dari farmasi kami pergi ke tempat yang dijanjikan untuk mengambil printer. Besar betul printer tu untuk harga 1,000 yen. Selepas selesai urus niaga kami pun bergerak ke Restoran Saizeriya yang ada menawarkan beberapa menu halal friendly.

Aku memilih pasta yang dimasak dengan dakwat hitam sotong. Pertama kali makan, selalunya nampak dalam tv ja. Ok jugalah rasa laut-laut sikit. Minuman di sini kalau kita pilih drink bar, minumlah sepuas hati, boleh refill seberapa banyak yang kamu mau dengan harga 190 yen (RM 6.80).

Hitam kan... hehehe.

Abang Amin, Abang Sarizam dan Rias bila cerita masuk bab engineering dan fizik aku diam ja lah... Engineer dengan pensyarah bercerita, kau tukang masak apa yang kau boleh jawab hahaha. Tapi nasib jugalah dulu ada belajar subjek fizik jadi nda lah terlampau terlopong mulut tu.

Abang Amin, Abang Sarizam dan Rias bercerita. Aku jadi pendengar setia.

Begitulah akhiran makan malam terakhir aku di tahun 2015. Nda sangka pula makan di luar hari ini. Selepas menghantar Rias balik ke rumahnya, kami singgah sebentar mengambil alat pemanas dan gelen minyak dari kereta Abang Sarizam di International House. Musim ni dia nda pakai, jadi dia bagi pakai dulu untuk Abang Amin.

Aku dan Abang Amin memasukkan alat pemanas dan gelen minyak yang berisi itu ke dalam kereta yang diletakkan di luar pagar. Sudah kena tutup pagar International House tu bila kami sampai tadi. Kami pun bergerak pulang menuju ke tahun baru 2016.


01 Januari 2016 (Jumaat)

Tahun baru! Yay! Hehehe nada feeling pun sebenarnya tahun 2016 ni. Aku banyak tidur mungkin sebab kesan ubat yang aku makan untuk kulit aku yang gatal ni. Aktiviti pun betul-betul bermula selepas asar bila kami bergerak ke kedai 2nd hand.

Dua rumah yang siap sepanjang aku berada di Jepun ni. Yang tengah tu baru mau naik.


Baru perasan Umeda Sky Building boleh nampak pula dari parking lot rumah ni!

Destinasi pertama kami adalah 2nd Street. Memang lama sangat kami berada di sana. Solat maghrib pun kami buat dalam kereta di parking lot. Aku kena belanja lagi beg luggage besar dan satu beg bagpack.

Beg Samsonite harga 1,000 yen (RM35.70) dan bag pack berharga 1,600 yen (RM 57.10)

Dari 2nd Street kami pergi pula kedai Hard-Off/House-Off. Shopping sakan Kak Ari, aku tengok-tengok barang ja la. Nda kan aku ni malar mau kena belanja kan. Takut terlebih timbangan pula bila balik Malaysia nanti.

Setelah selesai membeli belah di sana, Abang Amin pun membawa kami pergi ke restoran semalam iaitu Saizeriya. Malam ni aku order pasta juga, semalam yang hitam hari ni yang putih. Hehe pasal dua pasta ni ja yang halal friendly.

Pasta for new year dinner!


Ahli rombongan ke Saizeriya.


Akil nda teranah tu yang blur gambar tu.

Selepas makan, kami singgah ke stesen minyak untuk mengisi minyak tanah untuk alat pemanas. Blog pun sebenarnya sudah beberapa hari nda ditaip, peduli lah aku sudah penat, aku mau tidur! Hahaha.


02 Januari 2015 (Sabtu)

Hari ini Abang Amin, Kak Ari dan anak-anak pergi ke Kobe. Dorang ada ajak aku tapi aku nada hati mau ikut sebab aku malas mau jalan-jalan dengan kulit aku yang pandai datang gatalnya tu. Jadi dengan logik fikiran aku sendiri, kalau aku stay di rumah ja, tidur, nada la rasa gatal yang perlu untuk digaru.

Memang best ja rasa tidur sebab mengantuk makan pil gatal. Aku bangun dengan keadaan sunyi sepi sebab rombongan ke Kobe telah pun pergi. Aku turun ke bawah dan makan nasi goreng yang ditinggalkan Kak Ari di kuali dengan ayam bakar di dalam oven.

Setelah makan aku menonton wayang. Terasa seolah aku kembali di Papar buat seketika sebab memang begini la keadaan aku di sana. Sendirian, buat hal sendiri sama ada main game atau tengok wayang.

Selepas tengok wayang aku pun menyapulah sedikit kawasan rumah dan tangga. Biar bersih sedikit bila dorang balik dari Kobe. Masa agak perlahan berlalu, selepas asar aku pun terlelap seketika. Sebelum waktu maghrib aku terjaga dan aku terus mandi, kemudian wudhu dan solat. Kak Ari ada balik untuk membawa aku makan di luar tapi aku tiada hati mau pergi mana-mana hari ini. Aku mau tinggal di rumah sahaja lagipun aku kena sapu ubat gatal selepas mandi yang mengambil masa agak lama untuk siap.

Setelah Kak Ari pergi semula dengan Abang Amin dan setelah siap aku menyapu ubat gatal, aku turun ke bawah dan mula makan malam. Menu nasi putih dengan ayam bakar dan sosej goreng. Semuanya sudah tersedia, tinggal makan ja terus. Selepas makan aku bersihkan sedikit dapur tempat masak sebab aku tengok banyak sudah minyak yang terkumpul. Ala bukan susah pun, lap-lap ja bersihlah dia.

Hari ini aku merasa sungguh tenang, dapat banyak tidur dan berehat. Gambar sekeping pun nda aku tangkap hari ini. Kiranya mau cuti sepenuhnya lah ni. Mungkin juga antara sebab aku nda ikut ke Kobe adalah untuk mengelak kerja menaip yang banyak untuk entry hari ini hehehe. Nda bah, memang aku mengelak dari rasa gatal yang mungkin datang bila berjalan-jalan. Bila aku garu takut melarat, bila melarat garu lagi, melarat lagi. Itu yang aku cuba mau elak. Semoga kulit gatal yang disebabkan tanooki atau kitsune ni cepat sembuh. Doakan ya!


03 Januari 2016 (Ahad)

Setelah subuh aku memulakan kerja-kerja menaip entry blog yang sudah beberapa hari aku elak. Makin aku elak, makin bertambahlah yang mau ditaip. Jadi aku kena bersemangat agar aku dapat mencapai deadline aku sendiri iaitu hari Isnin kena publish sudah blog aku ni.

Hari ini aku bersarapan pagi dengan Maggi kari, nasi putih dan serunding daging. Hehe lucu juga pasal baru juga balas komen Mong yang cakap makanan yang aku makan di Bandar Osaka tempohari nampak macam Maggi kari. Mong, memang ada mee Maggi di rumah ni... Tapi penggunaannya terhad sebab takut cepat habis stok. Biasanya akulah yang hantar dari Sabah untuk Kak Ari di Jepun ni. Insya Allah balik Malaysia nanti aku kirim lagi mee Maggi untuk dorang ni.

Maggi kari dengan fishcake.


Nasi putih dengan serunding daging.

Hehehe memang nda cukup protein aku punya sarapan ni. Keseluruhannya untuk beberapa minggu pengambilan kalori aku kurang teratur. Agak sukar juga kalau kita tidak punya kuasa sepenuhnya dalam pemakanan kita. Balik Malaysia nantilah barulah aku cuba yang terbaik untuk mengikut kuota kalori harian aku. Sana lebih mudah, harga makanan mentah pun rata-rata lebih murah.

Agak pantas kesan ubat gatal yang aku minum. Lepas makan pil tu aku akan rasa mengantuk dan aku pun tidur. Aku bangun semula, mandi dan solat zuhur. Selepas menyapu ubat gatal, aku pun bersedia untuk keluar. Penat sudah aku berkurung sejak kelmarin. Aku tahu risiko kulit aku akan jadi gatal tapi bosan betul sudah aku duduk di rumah sahaja.

Aku tengok dulu keadaan suhu dengan bertanyakan Encik Google. Suhu hari ini agak tinggi, seperti suhu di musim luruh jadi aku hanya memakai t-shirt dan sehelai baju sejuk nipis. Nampak besar betul pula baju sejuk tu bila aku nda pakai baju berlapis-lapis macam biasa.

Langkah kaki aku halakan ke kedai 100 yen berdekatan Stesen Hotarugaike. Aku mau ke sana sebab berdekatan sana ada kedai gunting rambut. Mau survey harga potong rambut di sana sebab masa aku ke Bandar Osaka tempohari aku ada nampak kalau potong rambut sahaja bayarannya adalah 1,100 yen (RM 39.40). Panjang sudah rambut aku, bida betul sudah aku rasa hehehe.

Sesampai berdekatan kedai gunting rambut tu aku nampak dari jauh ianya tutup. Aku lupa kebanyakan kedai cuti tahun baru dari 1 Januari sampailah 3 Januari. Nda apalah, lain hari aku datang lagi untuk tanya... Bukan jauh sangat pun berjalan kaki.

Aku kemudian pergi ke kedai 100 yen. Antara aktiviti yang aku suka buat kalau di sana adalah membaca isi kandungan makanan yang dijual dengan menggunakan Google Translate. Setelah betul-betul yakin ianya tiada bahan yang meragukan aku akan beli dan ngap hehehe. Biasanya biskut buatan Malaysia memang ok tiada bahan meragukan. Begitu juga biskut jenama Bourbon. Ok lain kali aku akan bagi gambar makanan yang halal friendly ni kepada kamu ya. Lain kali kalau kamu ke Jepun, pergi kedai 100 yen boleh cari makanan-makanan yang akan aku syorkan dalam blog seterusnya (insya Allah).

Setelah membeli snek aku pun berjalan menuju ke Supermarket Gyomu. Semasa dalam perjalanan Kak Ari hantar mesej melalui Whatsapp bertanyakan keberadaanku. Setelah aku menjawab aku di Hotarugaike dia minta belikan pelindung aluminium untuk dapur. Aku yang berada agak jauh sudah ketika itu dari kedai 100 yen mengatakan ok. Aku pun berpatah balik ke kedai 100 yen untuk membelikan barang yang dikirim Kak Ari.

Selepas membeli aku pun terus melangkah menuju ke Supermarket Gyomu yang aku rindui. Jalan punya jalan, menaiki jejambat, nampak dari jauh ianya tutup! Eh aku lupa dorang masih bercuti hari ini... Aku senyum sendirian kerana kesilapan aku sendiri. Tapi nda apa, senaman kan... Aku pun segera berjalan pulang ke rumah sebab sudah masuk waktu Asar. 

Suhu agak panas hari ini, sampai di rumah aku dapat rasa yang aku berpeluh. Benda yang jarang terjadi kalau aku berjalan-jalan kaki di musim sejuk ni dan juga di musim luruh lepas. Setelah asar, aku makan tengahari dengan menu nasi putih dengan ayam panggang. Sayur nada pasal teda masak hehehe. Kemudian aku makan ubat gatal dan seperti pagi tadi cepat kesannya membuatkan aku mengantuk dan aku terlelap dengan handphone di tangan.

Aku bingkas bangun apabila menyedari hari sudah gelap dan sudah masuk waktu maghrib. Selepas solat aku membentang tilam, baring dan sambung tidur. Alat pemanas aku nda pasang sebab panas, selimut yang mula-mula aku pakai pun aku tolak tepi sebab kepanasan. Kalau aku bagitau kamu suhu yang aku bilang panas ni mesti kamu rasa nda percaya. Suhunya adalah dalam 13 darjah selsius. Nampak sejukkan suhu tu, tapi kalau badan kamu sudah agak terbiasa dengan suhu lebih rendah, suhu yang belas-belas ni kamu akan rasa agak panas. Heater kalau dalam kereta biasanya Abang Amin set ke suhu 19 ke 21 darjah selsius. Bagi kita di Malaysia suhu tu sejuk sudah, macam dalam aircond sudah. Tapi di sini, jika suhu persekitaran, 6 ke 7 darjah selsius atau lebih rendah suhu 19 darjah selsius tu cukup panas sudah tu untuk membuatkan kita rasa selesa.

Tahun lepas aku rasa panas hati ja bila Kak Ari selalu komplen panas dengan suhu yang jauh lebih rendah berbanding Malaysia. Tapi setelah aku merasai sendiri apa yang dimaksudkan barulah aku percaya. Jangan percaya pada nombor, percaya apa yang kamu rasa sendiri.

Aku bangun semula untuk solat isyak. Melihat mesej Kak Ari mengajak makan malam aku pun turun. Nasi kena tunggu lagi untuk siap masak, aku solat dulu kemudian main game sementara menanti nasi masak. Menu makan malam hari ini adalah nasi putih dengan lauk ikan sardin, telur dadar dan sayur campur. Rindunya aku makan ikan sardin dalam tin! Terima kasih Kak Ari untuk menu yang awesome!

Setelah makan aku pun naik ke atas ke bilik. Malam ni aku mau tengok wayang anime. Layan cerita Studio Ghibli secara online. Kalau kamu mau juga tengok kartun bersiri atau wayang bolehlah klik sini. Aku pun baru malam ni jumpa site ni. Barang baik mestilah dikongsi-kongsi kan... Hehehe.

Sebelum tidur sempat juga aku chat dengan Keiko melalui Line. Dia berada di kampung halamannya bersama ibu bapa sempena tahun baru. Dalam hati aku, memang aku rindukan Sonobe, Kyoto. Aku rindukan ketenangan di sana, kereta yang jarang-jarang limpas di jalan raya. Orang yang jarang-jarang kita boleh nampak. Noam ada bagi pendapatnya pada aku. Dia cakap aku ni lebih sesuai tinggal di bandar. Oh tidak, aku budak kampung dan aku jauh lebih sukakan kampung berbanding bandar. Kampung Pengalat Kecil, Papar, aku benar-benar rindukanmu!


To be continued: Japan Story - Week 11

No comments:

Post a Comment