Monday, January 18, 2016

Japan Story - Week 12

Fuh! Sudah 12 minggu aku berada di negara Jepun ni. Masa berlalu sangat pantas sampai sangat sukar dipercayai sudah begitu lama aku berada di sini. Minggu lepas banyak juga aktiviti yang aku buat, walaupun kebanyakannya aktiviti yang aku sendiri ja yang rancang. 

Ada sesuatu yang membuatkan blog minggu lepas lambat siap. Biasalahkan, kita hanya mampu merancang, tapi Allah yang menentukan. Alhamdulillah masih juga hari Selasa aku upload blog aku seperti yang aku bagitau Mong, tapi jam 11.30 malam lah hehehe.  Apa sebab aku lambat siapkan blog? Dan apa pula aktiviti aku minggu ni? Marilah sama-sama kita baca...


11 Januari 2016 (Isnin)

Hari ini aku akan turun ke Bandar Osaka. Aku sudah merancang untuk tidak berpuasa hari ini sebab aku mau berjalan puas-puas di bandar nanti dan makan ja bekal yang aku buat. Aku bawa juga sandwich tuna dan sandwich coklat yang nda habis dimakan semasa kami ke Kobe kelmarin.

Sebenarnya hari ini aku akan berjumpa dengan seorang lelaki bernama Guillermo Campos, orang Amerika yang tinggal di Jepun ni. Dia jual kasut Nike dia di Osaka Sayonara Sales di Facebook dengan harga hanya 1,500 yen (RM 55.90). Dia beli di Macy's Department Store di San Francisco. Saiz kasut 11.5, jadi aku yang memang susah mencari kasut bersaiz besar ni memang sangat tertarik untuk membeli dari dia. Dia cakap dia nda pakai pun sebab sempit.

Kami menetapkan akan berjumpa di hadapan Stesen Kintetsu Tsuruhashi di Bandar Osaka pada jam 1 petang. Aku keluar agak awal dari rumah jadi aku pergi jalan-jalan dulu di Supermarket Gyomu untuk tengok-tengok barang. Beg aku sudah berat dengan makanan yang aku bawa dari rumah. Tapi pasal nafsu kan, aku beli juga pisang dan kuih mochi sebagai bekal masa jalan-jalan di bandar nanti. Aku singgah juga di Food Net Mart dan Co-op Supermarket berdekatan Stesen Hotarugaike untuk mencari air minuman untuk bekalan di bandar. Tapi tiada yang menepati citarasa aku.

Aku membeli tiket yang berharga 220 yen (RM 8.20) menuju ke Stesen Hankyu-Umeda. Adoi duit kita makin jatuh pula... Masih ingat lagi masa aku mula-mula bagitau pasal harga tiket ke Stesen Hankyu-Umeda ni dalam blog minggu ke-2, 220 yen bersamaan RM 7.80. Oh aku lupa pula bagitau kamu, kadar tukaran yen ke ringgit tu adalah yang terkini semasa aku sedang menaip dan aku bundarkan ke gandaan 10 sen terdekat. Jadi masa kamu baca mungkin sudah berubah kadar tukaran dia.

Sesampai aku di Stesen Hankyu-Umeda, aku singgah sebentar di Supermarket Seijo Ishii untuk membeli air mineral. Syukur ada jenama yang aku cari tu di sana. Kemudian aku segera menuju ke Stesen JR Osaka untuk menaiki tren ke Tsuruhashi. Tambangnya adalah 180 yen atau RM 6.70 sehala. 

Setelah sampai aku pun segera mencari pintu masuk sebelah timur untuk Kintetsu Lines. Lama juga aku mencari sebab lorongnya kecil dan Encik Google Maps pun nda berfungsi dengan baik dengan lorong-lorong kecil sebegitu. Sebenarnya di Tsuruhashi ni terdapat Korea Town, hehehe aku pun baru tahu sebab masa tengok Google Maps memang tertulis Korea Town. Kiri kanan memang jual makanan Korea saja. Adoi bestnya kalau ada yang halal... Tapi aku tahu memang agak mustahil tu mau jumpa. Kalau limpas kaki benda tu atau daging-daging dia, kompom aku tahan nafas. Ada satu lorong tu agak panjang juga, benda tu ja kena jual... Mau biru juga muka aku tahan nafas hahahaha.

Setelah aku memastikan pintu timur Kintetsu Lines aku pun mula mencari tempat untuk makan tengahari. Aku membuka Google Maps dan mencari taman. Taman yang paling dekat adalah Sanadayama Park yang terletak 800 meter sahaja atau 9 minit berjalan kaki. Sebab masih ada masa sebelum jam 1, aku pun menghala ke sana. Sampai ja di taman tu aku terus duduk di kerusi yang kena matahari dan terus makan separuh dari bento aku. Cepat juga aku makan sebab aku takut lambat kembali ke stesen tempat aku akan berjumpa Guillermo. 

Aku kelam kabut pergi ke pintu timur Stesen Tsuruhashi Kintetsu Lines dan merasa lega sebab aku sampai dengan masa berbaki 2 minit sebelum jam 1 petang. Dalam beberapa minit kemudian Guillermo datang. Aku memang cam muka dia dari profil Facebook dan dia juga ada mesej aku yang dia akan pakai topi hitam. Kami bersalaman dan dia terus menunjukkan kasut tu. Kasut Nike Air Monarch berwarna hitam. Memang nampak baru lagi walaupun sudah tiga bulan dia beli. Kebetulan ada kerusi di depan stesen tu jadi aku pun terus duduk dan mencuba. Alhamdulillah memang muat dengan kaki aku. Dia masa tu pun sedang pakai kasut yang sama tapi saiz 12. Aku pun terus sahaja bersetuju untuk membeli kasut tersebut dari Guillermo. Aku memberikan wang kepada dia dan kami berpisah. 

Itulah kisahnya orang yang aku mau jumpa tu... Hihihi macam best ja kono aku bagitau minggu lepas, rupanya cerita hampas haha. Tapi yang penting aku puas hati dapat lagi kasut Nike original kena beli di Amerika tapi made in China. Tapi sangat murah la bah kasut original dia jual ni. Di Jepun ni kalau di butik Nike, walaupun made in China ka, made in Vietnam ka kasut Nike tu harga kurang-kurang pun 10,000 yen atau RM 378.20. Mati lah mahal!

Kasut baru Nike Air Monarch IV aku!

Oleh kerana semasa dalam perjalanan menaiki tren ke Stesen Tsuruhashi tadi aku nampak ianya limpas Stesen Osakajokoen, aku pun memasang Google Maps untuk berjalan kaki ke sana. Encik Google Maps memberitahu ianya sejauh 3.1 km sahaja dan mengambil masa selama 38 minit.

Aku pun mula berjalan kaki dan memerhatikan kawasan yang aku limpas tu sangat sunyi untuk suatu tempat yang begitu hampir dengan bandar. Dapat aku bayangkan kawasan tu sebagai suatu scene dalam wayang hantu Jepun.

Aku sampai ke Osakajokoen iaitu tempat yang ada Osaka Castle tu dan terus mencari tempat duduk untuk makan baki bento yang aku bawa. Makan dengan pemandangan indah di depan mata memang best ja rasa. Aku nda kisah pun orang limpas-limpas di depan aku mengambil gambar, peduli lah bukan aku kenal pun kamu, aku lapar ni biar aku makan hehehe.

Setelah makan nasi putih, telur mata, sambal, nugget ayam dan serunding aku tadi tu, aku pun rasa lega sikit sebab beg aku sudah ringan sikit. Tapi perut pula rasa berat hehe. Aku berjalan menuju ke Osaka Castle dan mula mengambil gambar. Lucu juga sebab dua minggu lepas aku pergi sini pun pada hari Isnin.

Osaka Castle dari jauh.

Aku mencari tempat duduk yang betul-betul sunyi, tiada orang langsung. Aku mula membuka beg aku dan mula makan sekali lagi dalam usaha mengurangkan berat beg aku tu hehehe. Berat bah, mula-mula berat sebab banyak makanan, ditambah lagi dengan kasut yang baru aku beli makinlah berat. Banyak juga aku cuba makan, tapi nda dapat juga sebab perut aku kan sudah kecil. Nda apalah, kira senaman juga ni bawa benda berat-berat dalam beg.


Berehat sekejap makan pisang dengan pemandangan ini di depan mata.


Osaka Castle with its reflection on the pond.

Bandar Osaka dari kawasan Osaka Castle.

Jambatan Gokuraku-bashi dan Osaka Castle.

Pemandangan panorama dari tempat berhampiran Aoyamon Gate (warna putih).

Dari Osaka Castle aku menuju ke Stesen Osakajokoen. Aku menaiki tren dari sana untuk sampai ke Stesen Osaka.

Stesen Osakajokoen.

Stesen Osakajokoen, perhentian seterusnya Kyobashi.

Di stesen ada yang menanti tren dengan pakaian moden, ada juga yang menunggu dengan berpakaian kimono.

Aku menaiki tren Osaka Loop Line menuju Stesen Osaka. Sampai di destinasi aku segera pergi pula ke Stesen Hankyu-Umeda di bangunan bersebelahan. Aku membeli tiket dengan mesin tiket dan segera ke Platform 5 untuk menaiki tren menuju ke Stesen Hotarugaike. Malangnya aku terlewat dalam beberapa saat dan tren sudah bergerak. Mujur tren seterusnya akan bertolak 10 minit kemudian. Apabila tren sampai, aku masuk dan duduk dan terus buka bekas yang berisi sandwich yang aku bawa. Lapar sudah jadi aku pun makan lah. Aku terus ja makan sampai lah ada orang duduk di sebelah aku. Tren berlepas tepat pada masanya dan terus menuju ke destinasi.


12 Januari 2016 (Selasa)

Hari ini aku sambung berpuasa semula. Aku bersahur dengan nasi arab yang Kak Ari masak semalam. Aku tidur semula setelah solat subuh dan terjaga pada jam 7 pagi kerana aku sudah set untuk pergi hiking di Satsukiyama Park hari ini. Setelah bersiap, aku pun segera bertolak menuju ke sana.

Oleh kerana aku sudah pernah pergi ke sana pada minggu ke-7 aku di Jepun, aku tidak berapa memerlukan bantuan Encik Google Maps. Sampai saja di kaki bukit aku terus mendaki ke atas. Aku merasa kepanasan dan membuka baju sejuk aku dan meneruskan pendakian. Betapa berbezanya sudah aku berbanding yang dulu. Kalau dulu terpaksa lah kau heret aku untuk pergi hiking segala. Nada hati aku mau pegi hiking dulu oi! Badan berat betul, mau berjalan pun cepat betul ngos-ngos, apa lagi mau naik bukit? Sekarang ni mau hiking ka, jalan jauh-jauh macam best ja aku rasa. Matlamat seterusnya mungkin mendaki Gunung Kinabalu. Insya Allah jika dimurahkan rezeki aku akan sampai juga di puncak Kinabalu.

Pendakian aku sampai ke tempat tinjau. Dari sana Osaka Plain boleh kita lihat terbentang luas di hadapan mata. Baru perasan bahawa dari sini juga kita boleh nampak Bandar Kobe. Aku sudah kenal beberapa bangunan di Bandar Kobe sebab aku sudah sampai di sana baru dua hari lepas.

Osaka Plain dari tempat tinjau di Satsukiyama Park. Bandar Kobe terletak di sebelah bukit di bahagian kanan gambar.

Abaikan muka orang nda mandi terus pegi hiking ni hehehe.

Setelah puas menggambar di sana, aku pun meneruskan pendakian menuju ke Hinomaru Observation Point. Di puncaknya aku sekali lagi mengambil gambar panorama Osaka Plain. Bezanya dulu masa aku di sini ianya musim luruh dan sekarang adalah musim sejuk.

Dulu dedaunan masih cantik dengan pelbagai warna dan sekarang kebanyakannya telah luruh.

Aku turun dari Hinomaru Observation Point dan mempunyai misi sendiri untuk mengambil gambar Jambatan Big Harp dari atas bukit Satsukiyama Park ni. Aku berjalan mengikut jalan raya dan kadangkala mengikut laluan hiking mencari tempat tinjau yang boleh nampak Jambatan Big Harp.

Aku singgah di tempat tinjau berdekatan Atago Shrine yang mana kita boleh melihat kawasan Kawanishi yang berada di seberang sungai.

Kawanishi dan kawasan-kawasan berhampiran boleh kelihatan dari sini.

Kemudian aku berjalan menuruni bukit mengikut laluan hiking dan akhirnya bertemu dengan tempat tinjau yang boleh nampak Jambatan Big Harp dengan jelas.

Tercapai juga misi aku sendiri untuk melihat Jambatan Big Harp dari atas.

Selepas itu aku pun terus turun menuruni bukit dan keluar dari Satsukiyama Park. Aku terus memasang Google Maps dan setkan haluan pulang. Aku nda boleh terlampau lama berjalan hari ni sebab blog untuk minggu ke 11 aku belum siap taip lagi. Yalah kelmarin nda sempat menaip sebab sibuk pergi ke Bandar Osaka. Hari ni pula mula-mula niat mau pergi tempat tinjau pertama ja kemudian terus balik. Tapi aku pergi 4 tempat tinjau hehehe... Alang-alang bah sudah sampai kan, sayang juga kalau nda pergi semua tempat.

Aku berjalan mengikut arah yang ditunjukkan Encik Google Maps. Dalam perjalanan nampak pula anting-anting sebelah. Aku nda tau betul ka palsu ni. Aku kutip dan terus tertanya dalam diri aku, patut aku biarkan saja di sana atau aku hantar ke pondok polis. 

Anting-anting yang aku jumpa. Rasanya gold-plated saja ni tapi mungkin mutiaranya asli.

Aku mesej juga Kak Ari tanya pendapat dia. Dia pun bilang bagi ja lah polis. Aku pun rasa begitu juga. Jadi aku pun pergi ke Stesen Ikeda sebab aku tau di stesen tren selalunya ada pondok polis.

Di pondok polis aku segera memberitahu polis di sana yang aku ni orang asing dan aku jumpa satu anting-anting. Mujur aku sebelum pergi ke sana sudah awal-awal ambil gambar di mana aku jumpa anting-anting tu, gambar kedai terdekat, serta gambar bangunan yang senang dikenali berhampiran depan kedai di mana aku jumpa anting-anting. Aku juga screenshot peta Google Maps lokasi aku berada ketika itu. Yalah aku sudah awal-awal terfikir pasti susah mau tunjuk di mana aku jumpa dengan polis pasal aku nda pandai cakap Jepun dan dorang pun nda aku tau kefasihan Bahasa Inggeris dorang.

Aku boleh faham sikit-sikit soalan polis tu sama aku. Tapi memang komunikasi antara kami agak sukar sikit. Lama juga dia cuba berkomunikasi dengan aku, akhirnya dia menggunakan khidmat penterjemah melalui telefon. Penterjemah tu lah yang akhirnya dapat merungkai masalah komunikasi antara kami. 

Lama betul pula proses melapor barang yang kita jumpa ni. Banyak juga benda yang akan berlaku sekiranya ada atau tiada orang melaporkan anting-anting hilang. Aku malas mau taip kasi cerita benda ni jadi kita abaikan ja lah. Setelah sangat lama aku berada di pondok polis tu, aku pun mengucapkan terima kasih kepada polis yang bertugas. Dia pun mengucapkan terima kasih juga kepada aku. Aku bersalaman dengannya dan keluar dari pondok polis tu dengan perasaan lega dan gembira.

Sebenarnya insiden aku jumpa anting-anting tu lah yang membuatkan aku lambat menyiapkan blog minggu lepas. Kalaulah aku nda jumpa anting-anting tu sudah pasti aku dapat siapkan blog aku lebih cepat. Aku segera mempercepatkan langkah aku pulang. Kaki aku sudah merasa sakit, kesan naik turun bukit tadi. Kepala aku juga ada rasa sakit. Tapi sebab aku puasa nda dapatlah aku makan ubat untuk mengubatinya.

Sampai di rumah, aku terus solat zuhur. Kemudian aku pun terus masuk tidur dengan harapan sakit kepala aku berkurangan. Hmm sudahlah blog aku belum siap, sakit kepala pula datang. Aku tidur sampailah jam 4 lebih. Masih juga ada sakit kepala aku. Aku segera menunaikan solat asar dan menanti masuknya waktu maghrib. Masuk ja waktu maghrib aku segera berbuka dan makan ubat sakit kepala. Aku solat dan kemudiannya turun untuk makan. Menu yang Kak Ari sediakan adalah nasi putih dengan ayam masak kicap dan taugeh tumis. Alhamdulillah sedap semuanya. 

Menu buka puasa.

Selepas makan sakit kepala rasa sedikit lega jadi aku cuba untuk sambung menaip blog minggu lepas. Tiba-tiba aku rasa degupan jantung aku sangat laju, aku rasa kurang sihat. Rasanya tekanan darah aku sangat tinggi masa tu. Jadi aku tutup laptop dan cuba berehat dan tidur dengan harapan degupan jantung aku berdegup dengan kadar lebih normal.

Aku terjaga kemudiannya dengan degupan jantung lebih normal. Aku merasa lebih sihat untuk menyambung misi menyiapkan blog. Aku terus lah menaip sehingga siap untuk di upload lebih kurang jam 11.30 malam waktu Malaysia. Aku nda mungkir janji, Mong!


13 Januari 2016 (Rabu)

Sebelum aku mulakan blog hari ini, mesti ada pembaca aku yang tertanya siapa bah Mong ni? Beberapa minggu sudah nama Mong ni timbul tapi tiada pun cerita pasal dia. Hehe sebenarnya dia ni rakan sekelas aku di SMK. Majakir, Papar masa tingkatan 1 dan tingkatan 2. Kemudian kami lain-lain kelas, sehinggalah kami sama-sama sekelas semula bila masuk tingkatan 6 rendah dan tingkatan 6 atas. Nda sangka 20 tahun sudah kami kenal... Uina tuanya sudah aku!

Hari ini aku berpuasa juga. Selepas bersahur dan solat subuh aku tertidur semula. Bangun dari tidur aku mula menaip blog untuk minggu ini. Aku nda mau pisang berbuah dua kali, tapi kalau berbuah dua kali itu rezeki namanya hehehe.

Bila aku turun ke bawah, Kak Ari tanya aku apa menu untuk berbuka nanti. Aku cadangkan kari kepala ikan. Kak Ari pun setuju dan menyuruh aku membeli bahan di supermarket. Selepas mandi, bersiap dan solat zuhur aku pun mula berjalan kaki ke Gyomu Supermarket di Hotarugaike. 

Cuaca agak sejuk juga dengan angin bertiup dan awan kelihatan berarak di langit. Aku betul-betul berharap aku akan dapat melihat salji turun di Osaka ni. Sampai di Gyomu, aku terus mencari barang-barang yang Kak Ari minta belikan. Malangnya bahan utama untuk menu petang nanti iaitu kepala ikan hanya tinggal satu pek sahaja yang berharga 215 yen. Nda apalah, aku kemudian membeli barang-barang lain dan berfikir akan mencari lagi kepala ikan di kedai lain.

Dari Gyomu aku terus sahaja ke Food Net Mart yang berdekatan dengan rumah. Hujan renyai-renyai turun sekejap-sekejap. Awan hitam yang aku harapkan membawa salji, membawa air hujan pula.  Sampai di Food Net Mart aku perhatikan di sana cuma ada satu pek sahaja kepala ikan yang dijual dengan harga 194 yen. Aku terus membeli dan kemudian merancang pula untuk pergi ke Mandai Supermarket, juga untuk mencari kepala ikan. Hujan tiada lagi tapi angin yang betul-betul sejuk kuat meniup. Dalam hati dan terkumat-kamit mulut aku mengharapkan salji hehehe. Hujan renyai-renyai pula yang turun.

Bila aku sampai di Mandai Supermarket, aku terus mencari kepala ikan. Memang ada, tapi mahal gila! Nda apalah, sebelum balik aku mencuba nasib lagi cuba mencari di Food Net Mart. Alhamdulillah mereka telah top up balik stok kepala ikan. Aku ambil satu ja dari 2 pek yang dorang letak di display shelf. Setelah membayar aku pun segera balik ke rumah.

Aku meletakkan barang-barang yang aku beli tadi di dapur. Kemudian aku berwudhu dan solat asar. Setelah solat barulah aku mula masak kari kepala ikan. Lama nda masak-masak di dapur ni, rasa macam siok pula. Aku siap masak, Kak Ari lagi sambung masak kubis cina tumis dan buat sambal belacan. Dia juga panaskan ayam masak kicap kelmarin.

Masuk waktu berbuka, minum air dan aku merasa masakan aku. Tawar! Pedulilah, perut sudah lapar jadi aku terus ja makan. Sihat bah makanan nda banyak garam ni hehehe. 

Atas sebab-sebab yang aku sendiri tau, tiada sebarang gambar berjaya dirakam hari ini. Sekian terima kasih hihihi.


14 Januari 2016 (Khamis)

Aku terjaga sebelum alarm pada handphone aku berbunyi. Kak Ari hantar mesej dengan aku untuk mengisikan minyak alat pemanas di bawah sebab dia mahu bersahur. Aku segera turun dan terus mengisi minyak yang telah habis tu.

Hari ini bersahur dengan makanan berbuka kami semalam. Nasi putih, kari kepala ikan, sayur kubis cina tumis dan sambal belacan. Hari ini aku merancang untuk pergi berjalan kaki ke Bandar Osaka sekali lagi. Destinasi pilihan adalah Shinsaibashi. Ianya adalah syurga membeli belah kepada orang yang banyak duit. Yang nda banyak duit tu, telan liur ja lah...

Sebenarnya aku ada misi untuk membersihkan but Timberland aku. Minggu lepas aku ternampak satu kedai di Shinsaibashi yang tulis 500 yen untuk servis dorang jadi di situlah arah tuju aku. Selepas bersiap, aku pun mula bergerak. Jarak Shinsaibashi Station dari rumah Abang Amin di Shibahara ni adalah sejauh 15.9 kilometer atau 3 jam 12 minit berjalan kaki.

Aku memakai sarung tangan serta stokin tebal kerana suhu waktu pagi masih rendah. Asap sentiasa berkeluaran dari mulut kerana suhu yang sejuk tu. Hingus pun nda berhenti mengalir hehehe. Alhamdulillah kerana sudah pergi minggu lepas, aku masih ingat jalan untuk ke Bandar Osaka. Memang senang ingat, jalannya nda banyak belok kiri kanan, lurus ja.

Aku hanya berhenti sekejap-sekejap untuk mengambil gambar apa yang menarik bagi aku.

Satu lorong berdekatan Stesen Juso.

Bandar Osaka dari seberang Sungai Yodo.

Merpati di hutan konkrit.

Minggu lepas aku bagitau pasal rumah dan kedai bawah jambatan. Kali ini tempat membeli belah bawah flyover! 

Setelah sekian lama berjalan, akhirnya akupun sampai di tempat yang dituju iaitu Shinsaibashi. Shinsaibashi ni memang banyak kedai yang menjual pelbagai barangan. Dari yang branded sampailah yang memang tiada brand hehehe. Jadi ianya satu destinasi wajib bagi pelancong. Tapi yang bikin panas selalu kalau ada pelancong dari China. Dorang punya bising ni ah, edeh satu lorong boleh dengar bah. 

Di Shinsaibashi.

Jalan punya jalan sambil melihat-lihat kedai di kiri dan kanan, tergugat juga iman aku yang berpuasa ni bila berlimpas dengan kedai Subway. Nampak lagi menu yang terpampang di tepi kedai, aduh... Aku kuatkan semangat dan teruskan misi mencari kedai yang aku nampak minggu lepas tu.

Akhirnya aku pun jumpa la kedai tu... Aku pun bertanya kepada pekerja sana berapa lah harga kalau kasih bersih but biar nampak baru. Dia pun jawab 3,250 yen atau RM 121.70! Astaga... Kasut tu pun kena beli baru 1,620 yen (RM 60.65). Dua kali ganda kos kasi bersih berbanding harga kasut! Aku pun bilang nda apalah sama pekerja tu dan terus memulakan langkah menuju ke Stesen Hankyu-Umeda sebab aku mau balik menaiki tren.

Aku menggunakan laluan berbeza hari ini. Dan dari sana aku mendapat pemandangan berbeza Osaka Station dan juga Hankyu-Umeda Station.

Osaka Station

Hankyu-Umeda Building di mana stesennya berada.

Aku membeli tiket dan menaiki tren yang berlepas pada jam 11.41 pagi menuju ke Stesen Hotarugaike di Platform 5. Sampai di Stesen Hotarugaike aku segera ke Supermarket Co-op sebab Kak Ari minta belikan beberapa bahan untuk menu esok. Cili padi dan lada hijau pedas lah yang susah untuk cari. Cili padi memang kompom la tiada jadi aku cuba cari lada hijau pedas. Tiada di Co-op aku cuba cari di Food Net Mart berdekatan Stesen Hotarugaike, pun tiada juga. Jadi aku pun cuba pula cari di Gyomu Supermarket. Alhamdulillah di sana berjumpa juga dengan lada padi pedas tapi harganya pun memang pedas; 380 yen (RM 14.20) satu pek!

Aku kemudiannya pulang dan bila sampai Kak Ari tanya aku ada baca ka mesej dia baru hantar? Aku bilang belum, tapi sebelum apa-apa aku cakap nanti aku jalan balik hehehe. Rajin pula aku mau jalan-jalan sekarang ni. Lepas solat zuhur aku tertidur pula. Aku bangun dan solat asar. Selepas itu barulah aku berbasikal ke Gyomu Supermarket untuk membeli daun sup dan tomato yang Kak Ari minta beli.

Aku balik ke rumah dengan baki beberapa minit lagi sebelum berbuka puasa. Aku duduk di meja makan dengan makanan yang sudah sedia terhidang.

Nasi ayam yang osem untuk berbuka puasa!

Berbuka puasa dengan Kak Ari hari ini aku makan agak banyak juga. Kantung perut aku rasanya sudah membesar sejak di Jepun ni. Malam ni aku akan membuat persediaan untuk bento esok; Nasi Ayam Hainan.


15 Januari 2016 (Jumaat)

Terjaga pada jam 4 pagi aku terus sahaja bangun kerana aku perlu masak Nasi Ayam Hainan hari ini. Aku mula masak ayam, kemudian membuat kicap. Setelah ayam siap dimasak barulah aku mula masak nasi. Kak Ari sudah membuat sos cili semalam. Dia juga membantu memotong tomato dan timun untuk bento.

Setelah semuanya siap barulah kami mula membungkus nasi ayam untuk 14 orang pelanggan dan yang ke-15 untuk Abang Amin. Oleh kerana aku nda mau ulangi kesilapan lalu, aku betul-betul berhati-hati dengan penggunaan garam hari ini. Takut masin untuk selera orang di Jepun ni.

Nasi Ayam Hainan ready for customers!

Sebenarnya hari ini aku merancang untuk ke Bandar Kobe, Hyogo. Aku nda sangka yang hari ini kena masak nasi ayam jadi perancangan aku sudah berubah sedikit. Mulanya aku merancang untuk pergi ke Kobe awal pagi supaya aku dapat meneroka lama di sana. Tapi memandangkan aku kena siapkan dulu masakan dan juga membantu membungkus, agak lewat dari perancangan juga aku bertolak dari rumah.


Kak Ari memberi aku pakai kad ICOCA nya agar aku mudah ke sana sini dengan menggunakan tren. Tapi aku sudah ada rancangan untuk menggunakan Hankyu Tourist Pass yang akan aku beli di Stesen Hankyu-Umeda nanti. Aku menggunakan kad ICOCA untuk menaiki monorel dari Stesen Shibahara ke Stesen Hotarugaike dan juga menaiki tren dari Stesen Hotarugaike ke Stesen Hankyu-Umeda.

Sampai sahaja aku di Stesen Hankyu-Umeda aku terus pergi ke Hankyu Tourist Center Osaka-Umeda di tingkat 1. Kalau pandai baca dan ikut saja papan tanda, memang senang cari tempat ni.

Hankyu Tourist Center di Osaka-Umeda.

Aku pun membeli Hankyu Tourist Pass yang berharga 1,200 yen (RM 45.40) yang akan memberikan aku kebebasan untuk menaiki semua tren Hankyu di Osaka, Kyoto dan Nara untuk 2 hari. Memang jauh lebih jimat kalau kita pakai pass ni. Dua hari tu bukan secara berturut-turut, jadi boleh rancang bila kamu mau pakai.


Hankyu Tourist Pass.

Setelah membeli pass, aku segera ke Platform 7 di mana tren untuk ke Stesen Kobe-Sannomiya sudah sedia menunggu. Kadar tambang dari Stesen Hankyu-Umeda ke Stesen Kobe-Sannomyia adalah 320 yen atau RM 12.10. Tren akan berhenti di empat stesen iaitu Juso, Nishinomiya-Kitaguchi, Shukugawa dan Okamoto sebelum sampai ke Stesen Kobe-Sannomiya.

Sesampainya aku di Kobe, aku disapa suhu yang sejuk. Boleh rasa suhu lebih sejuk di sini berbanding di Osaka dengan angin yang bertiup. Aku segera membuka Google Maps kerana aku ingin pergi ke Masjid Kobe untuk solat Jumaat. Aku sudah awal tanya dengan Encik Google waktu solat Jumaat di Masjid Kobe dan ia memberitahu aku khutbah bermula jam 12.30 tengahari dan solat bermula jam 1 petang.

Aku berjalan sahaja mengikut arah yang ditunjuk Encik Google Maps dan dalam jam 12 tengahari aku sampai di hadapan Masjid Kobe. Ramai juga orang Malaysia bergambar-gambar di sana masa tu. Aku seperti biasa, diam ja lah malas mau tegur. Aku kan pemalu orangnya, macam Jamal... 

Sempat juga bercerita sekejap dengan seorang lelaki yang ada tiga passport; Arab Saudi, Kuwait dan New Zealand. Peramah orangnya jadi apa yang dia tanya aku jawablah. Aku pun meninggalkan lelaki tadi untuk mengambil gambar masjid tu.

Masjid Kobe.

Masjid Kobe dilimpahi cahaya matahari.

Setelah mengambil gambar aku pun masuk ke dalam dan membersihkan diri dan berwudhu. Kemudian aku pun masuk ke ruang solat sementara menanti solat Jumaat diadakan.

Jemaah melakukan iktikaf masjid.

Ruang solat utama.

Orang Malaysia semua depan aku ni.

Sebelum azan berkumandang, seorang lelaki menyampaikan kisah tauladan zaman Nabi SAW. Memang siok dengar dia menyampaikan kisah tu. Aku mula-mula ingat dia sudah mula baca khutbah, tapi dia duduk saja. Rupanya bukan hehehe. Dia jugalah yang melaungkan azan. Khatib membaca khutbah dalam Bahasa Arab. Macam ada kesinambungan dengan kisah yang dibacakan tadi dalam Bahasa Inggeris mengenai kepentingan berdakwah.

Alhamdulillah, antara matlamat aku iaitu menunaikan solat Jumaat di Masjid Kobe telah tercapai hari ini. Seronok rasanya bila jemaah dari pelbagai negara, pelbagai bangsa sama-sama bersolat kepada Tuhan Yang Esa.

Para jemaah bersosial selepas menunaikan solat Jumaat.

Masjid pertama dan tertua di Jepun yang dibina pada tahun 1935.

Aku meninggalkan masjid dan mula mencari tempat untuk makan tengahari. Perut aku sudah mula lapar dalam perjalanan ke Kobe lagi hehehe. Aku mencari tempat yang sesuai untuk makan bento aku. Aku mula buka Google Maps dan mencari taman, nampak satu kawasan warna hijau terus aku pun pergi ke sana.

Rupanya tempat tu adalah Ikuta Shrine, salah satu tokong Shinto tertua di Jepun!

Aku batalkan niat aku untuk makan di sana sebab aku tengok ramai yang keluar masuk untuk bersembahyang. Ndakan lah aku pergi sana, duduk-duduk makan kan... hihihi. Jadi aku pun setkan destinasi pada Google Maps aku untuk pergi ke matlamat kedua aku untuk ke Bandar Kobe ini iaitu Kobe Port Tower.

Perjalanan dari Ikuta Shrine ke Kobe Port Tower hanya 1.9 km sahaja atau 23 minit menurut Encik Google Maps. Aku pun hanya mengikut haluan yang ditunjukkan dan apabila menghampiri tempat tujuan, terus mencari tempat sesuai untuk makan bento aku.

Aku memilih pagar batu yang dilimpahi cahaya matahari, betul-betul menghadap Kobe Port Tower. Aku seolah-olah mendapat kerusi terbaik dengan pemandangan yang ada di depan mata.

Kobe Port Tower di depan mata.

Bento aku. Aku makan separuh untuk tengahari dan separuh lagi untuk makan malam.

Setelah makan, aku pun mula berjalan-jalan di sekeliling kawasan berhampiran dengan Kobe Port Tower seperti Meriken Park dan halaman Kobe Maritime Museum.



Panorama Mosaic Harborland, Kobe Port Tower dan Kobe Maritime Museum.

Forever alone... Pigeons under the publicly displayed boat at Kobe Maritime Museum.

Yamato1: Superconducting Electromagnetic Propulsion Boat.

Kobe Maritime Museum.

Kobe Port Tower, bumbung Kobe Maritime Museum dibingkaikan dengan dua sauh yang terdapat di Meriken Park.

Surreal!

Techno Super Liner 'Hayat'.

Kerana masa sangat mencemburui aku, waktu asar telah masuk. Aku mempertimbangkan untuk solat sahaja di taman ni tapi angin yang bertiup agak kuat dan sejuk. Jadi aku membuat keputusan untuk pergi semula ke Masjid Kobe untuk solat asar. Perjalanan ke Masjid Kobe melepasi Motomachi Shopping Street yang merupakan syurga membeli belah kepada yang suka membeli belah.

Motomachi Shopping Street.

Siok betul nama kedai ni kan..?

Sampai di Masjid Kobe aku membersihkan diri dan berwudhu. Kemudian aku pun menunaikan solat. Selepas solat asar aku rasa lebih baik aku menanti sahaja solat maghrib dahulu sebelum pergi ke mana-mana. Aku duduk beriktikaf di masjid dan membaca Al-Quran dengan handphone aku. Aku sebenarnya nda juga dapat berjalan terlalu lama sebab paha aku ni pedih akibat jangkitan kulit yang aku dapat daripada binatang liar di Nara tempohari.

Setelah sembahyang berjemaah untuk solat maghrib aku segera pergi ke Kobe Port Tower semula kerana aku ingin melihat kawasan sekitar Bandar Kobe dari menara tersebut. Tiket masuk adalah berharga 700 yen (RM 26.50). Ada juga tiket berharga 1,000 yen (RM 37.85) untuk Kobe Port Tower dan juga Kobe Maritime Museum. Tapi pasal masa yang nda mengizinkan aku siang tadi aku buat keputusan untuk pergi masuk ke Kobe Port Tower sahaja untuk melihat pemandangan malam.

Tiket masuk boleh dibeli melalui mesin tiket atau menerusi kaunter tiket di Tingkat 1. Lif untuk naik ke Tingkat Tinjau (Observatory) berada di Tingkat 2. Di Tingkat 2 kita akan dibawa menaiki lif oleh salah seorang pekerja yang sedia menanti di lif. Lif akan berhenti di Tingkat 4 Observatory dan kita akan melihat pemandangan sekitar bandar dan pelabuhan Kobe.

Harborland dari Tingkat 4 Observatory Kobe Port Tower.

Setelah puas melihat pemandangan dari Tingkat 4, aku naik pula ke Tingkat 5. Tingkat 5 adalah untuk orang yang mau romantik-romantik, pencahayaan pun gelap ja. Ada beberapa pasangan lah yang dating-dating sana, yang forever alone macam aku paling-paling ambil gambar pemandangan ja la hehehe.

Pemandangan panorama dari Tingkat 5 Observatory.

Aku kemudian menuruni tangga menuju ke Tingkat 1 Observatory untuk merasai sendiri pengalaman berdiri di Observatory Sky Walk. Malangnya cahaya lampu malam dari bawah membuatkan pemandangan jelas dari lantai kaca akrilik agak kabur.

Tangga putar besi di Tingkat Tinjau.

Berdiri di atas Observatory Sky Walk.

Kemudian aku menanti lif untuk menuruni Tingkat Tinjau dan turun ke Tingkat 2. Aku pun keluar dari Kobe Port Tower dan mencari tempat untuk makan bento aku. Selepas menjumpai tempat yang sesuai aku pun makan. Nasib baik suhu tidak terlalu sejuk untuk aku makan di luar waktu itu. Selepas makan aku menuju ke jejambat yang menghubungkan banyak tempat di sekitar kawasan Kobe Port Tower untuk menikmati pemandangan malam

Panorama malam sekitar Kobe Port Tower.

Kapal Concerto sedang berlabuh.

Selepas menikmati pemandangan malam aku pun pergi ke Pusat Membeli-belah umie untuk window-shopping. Itu ja lah yang termampu dibuat hehehe. Aku pergi ke Supermarket Izumiya di dalam pusat membeli belah tu dan kagum melihat ada kaunter tempat pelanggan membayar dan membungkus barangan sendiri. Sendiri kira, sendiri bayar dan sendiri bungkus.

Ada 6 kaunter semuanya untuk kira, bayar dan bungkus sendiri barangan yang dibeli.

Dari umie Mall, aku pun menetapkan pada Google Maps arah ke Stesen Kobe-Sannomiya. Dalam perjalanan aku ke stesen, aku dihentikan oleh seorang lelaki dari sekumpulan orang dalam 7 orang semuanya. Kenapa pula dia mau aku berhenti dan bercakap dengan dia ni? Rupanya dia dan rakan-rakan sesat dan sedang mencari tempat penginapan mereka.

Mereka adalah kelasi dari Vietnam yang kapal mereka berlabuh sebentar di Kobe. Jadi malam ini mereka ada night-out lah. Tapi malangnya dorang nda tau jalan balik ke tempat penginapan. Mereka risau sebab jika mereka lambat dari jam 9 malam, mereka nda akan dibenarkan masuk ke sana. Aku taip nama tempat penginapan mereka iaitu The Mission to Seafarers Kobe dan Encik Google Maps menunjukkan ianya hanya 5 minit berjalan kaki dari kami berada ketika itu. Aku tengok pun dorang ni macam terdesak sangat, kesian juga aku tengok dorang jadi aku pun bagitau dorang aku akan jalan sekali sama dorang untuk pergi ke tempat penginapan tu. Dalam hati aku, kalau dorang mau rompak aku ka atau serang aku, aku serahkan ja sama Allah. 

Jalan punya jalan sampailah tempat yang dorang sudah cam. Mereka pun sangat-sangat berterima kasih sama aku. Alhamdulillah semuanya selamat! Dalam perjalanan tadi sempat juga yang mula-mula hentikan aku tu cerita yang dorang sudah pernah singgah di Sandakan dan juga Kuching. Dorang semua bersalaman dengan aku. Bangga juga dapat menolong orang dalam kesusahan ni...

Selepas tu aku pun menyambung perjalanan aku ke Stesen Kobe-Sannomiya. Rupanya tempat penginapan dorang tinggal tu adalah di Nankinmachi atau Kobe Chinatown. Ada hikmah juga aku hantar dorang tadi, kalau nda memang nda la aku pergi sana tu.

Lorong di Nankinmachi. Kedengaran lagu Kantonis berkumandang di lorong ni.

Sudah begitu hampir dengan stesen yang aku tuju, terlihat satu tempat membeli belah yang memang aku kenal sangat namanya. Orang Malaysia memang tau nama ni, tapi aku nda tau pula ianya berasal dari Jepun!

Pusat Membeli Belah Sogo di Kobe.

Kawasan sekitar berhampiran Stesen Kobe-Sannomiya.

Aku segera menuju ke Stesen Kobe-Sannomiya yang dikendalikan Hankyu Kobe Line. Harga tiket dari Stesen Kobe-Sannomiya ke Stesen Hotarugaike adalah sebanyak 370 yen atau RM 14. Jadi untuk hari ini aku sudah menggunakan perkhidmatan tren Hankyu sebanyak 690 yen (RM 26.10) tapi mujur dengan Hankyu Tourist Pass aku ianya tidak perlu lagi dibayar. Dan aku ada satu lagi hari ekstra untuk menggunakan Hankyu Lines sesuka hati aku!

Menunggu tren di platform.

Aku turun di Stesen Juso dan menanti tren menuju ke Hibarakigaoka-hanayashiki yang akan membawa aku Stesen Hotarugaike. Sampai di Stesen Hotarugaike aku berjalan kaki pulang ke rumah. Aku mengakhiri malam aku dengan makan lewat malam dengan lauk-lauk yang Kak Ari masak khas untuk tetamu yang datang bertandang malam ni.


16 Januari 2016 (Sabtu)

Aku tidur semula setelah subuh hari ini. Agak lewat juga aku bangun semula, mungkin kepenatan dari perjalanan semalam. Sebenarnya aku merasa kurang sihat hari ini. Selepas zuhur aku pun tidur semula, cuba untuk mengurangkan rasa demam dengan berselimut sehingga menutup kepala dan berbaju sejuk dan memasang alat pemanas.

Aku bangun di waktu asar mandi untuk menyegarkan diri dan merasa lebih sihat berbanding yang aku rasa tengahari tadi. Kak Ari sebenarnya telah pergi untuk tadarus Al-Quran di Suita. Jadi hari ini anak-anak dijaga oleh Abang Amin. Aku bangun-bangun ja tadi aku terus diminta Akif untuk buatkan susu untuk dia. Aku juga buatkan susu buat Akil yang aku tengok sudah mengantuk. 

Setelah maghrib, aku keluar sebentar untuk mengambil angin. Mungkin kerana terbiasa berjalan, aku masih mau berjalan juga hari ini. Aku mula-mula berjalan ke Food Net Mart yang berhampiran. Selepas pusing-pusing buat beberapa ketika, aku pun menghala pulang. 

Namun dalam perjalanan pulang aku mengubah pula haluan menuju ke Mandai Supermarket. Aku mau tengok-tengok barang di sana. Suhu sejuk masih boleh aku tahan sebab baju aku dan seluar aku memang berlapis-lapis masa aku keluar tadi. Sampai di Mandai, terus ternampak di bahagian jual murah pisang yang dijual dengan harga 100 yen sahaja untuk pisang yang banyak. Aku membeli dua pek pisang tersebut supaya Kak Ari boleh membuat kuih jemput pisang untuk kami semua hehehe.

Aku kembali ke rumah dan terus sahaja mula menyediakan bahan-bahan untuk masak sayur campur. Abang Amin sedang membakar ikan di dalam oven jadi kenalah ada sayur untuk menu yang seimbang. Cewah! 

Abang Amin keluar sebentar untuk mengambil Kak Ari sambil mengisi minyak kerosene yang sudah kosong. Pulang dari mengambil Kak Ari dan mengisi minyak, Abang Amin mengeluarkan ikan dari oven. Apabila semua sudah masak dan tersedia di atas meja, aku pun terus sahaja ajak makan sebab aku sudah lapar!


17 Januari 2016 (Ahad)

Hari ini awal lagi tahu yang kami semua akan ke rumah Rias untuk makan. Ada acara house-warming hari ini di rumah dia. Hari ini seperti dua hari lepas, aku buat sup kosong untuk anak-anak buah. Kesian juga selera dorang ni, suka makan sup kosong ja.

Selepas zuhur kami bergerak ke Shinimazato di pinggir Bandar Osaka yang mengambil masa lebih kurang 1 jam pemanduan sebab Abang Amin dan Kak Ari mau mengambil barang yang mereka tempah dari Osaka Sayonara Sales. Orang tu jual banyak pakaian termasuk beg, topi dan tali pinggang dengan harga 1,000 yen  atau RM 37.85 sahaja.


Semasa perjalanan ke Shinimazato.
Setelah selesai berurusniaga, kami pun terus pergi ke rumah Rias di Suita. Kami tiba hampir tepat dengan masa mula acara house-warming iaitu jam 2.30 petang. Sebagai tetamu pertama, kami dapat ruang letak kereta Rias. Hehehe nda perlulah mau bayar lagi.

Hari ni aku bawa kamera aku, tapi terlupa pula bawa bateri yang aku sudah cas di rumah. Jadi gambar hari ni memang nda lawa lah sebab pakai kamera handphone aku yang memang teruk warna dia kalau di tempat kurang pencahayaan. Nasib juga ada Whatsapp, dapatlah aku sedut gambar-gambar yang dikongsi bersama. Jadi gambar-gambar berkumpulan tu memang bukan aku yang ambil, copy paste ja hehehe.

Kami menaiki lif di bangunan yang sedang dibaik pulih ke Tingkat 5. Hampir setiap penjuru bangunan dibungkus dengan plastik, menunjukkan ketelitian orang Jepun berkerja.


Macam dalam wayang hantu ja...

Rombongan dengan perut lapar sedang menanti di muka pintu.

Kami disambut isteri Rias dan dipelawa masuk ke dalam. Luas juga rumah Rias ni siap ada balkoni lagi. Setelah makanan siap terhidang, kami pun terus ja terjah!

Nasi minyak, capati, bihun goreng, kari ayam, kari sayuran, kentang, acar dan bubur.

Capati asli India yang sangat osem!

Rasa bubur ni sangat familiar... Sedap!
Tetamu pertama yang datang.

Sedang menikmati makanan yang sangat sedap!

Rias (Baju coklat berbelang), ibu dan isteri, kami dan keluarga Sulaiman (di tengah).

Lepas makan, layan cerita Tamil dulu tapi nda faham, layan cerita Hindustan pula.

Gambar kenangan sebelum berangkat pulang.
Kami mula berangkat pulang ngam-ngam bila Azrul dan keluarga sampai. Kami sudah berada di sana dari 2.30 petang sampailah jam 5.00 petang. Dua jam setengah tu! Kami pulang dengan perut yang kenyang, alhamdulillah. 

****************************************************************

Sesuatu yang menarik insya Allah akan berlaku minggu depan. Masa aku menaip ni aku masih sedang berusaha untuk menjadikannya suatu kenyataan. Apa yang menarik tu? Tunggulah minggu depan ya... Terima kasih kerana sudi membaca!


Last episode: Japan Story - Week 13