Monday, November 30, 2015

Japan Story - Week 5


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Minggu ni sudah masuk 5 minggu aku berada di Jepun, dan minggu ni juga merupakan minggu terakhir aku menjadi wwoofer kepada Keiko. Secara keseluruhan minggu yang ada pahit manisnya. Untuk kisah minggu ke-4 klik di sini.


23 November 2015 (Isnin)

Aku bangun agak lewat hari ini dalam jam 5.25 pagi. Aku segera bangun untuk solat subuh. Tangan dari semalam masih juga sejuk nda pandai panas-panas. Aku memasang alat pemanas dan tidur kembali. Mungkin kerana penat menyiapkan blog minggu lepas yang aku buat sehingga jam 1 pagi.

Entah lah tapi aku rasa malas pula mau mandi pagi ni, mungkin kerana cuaca sejuk ni bikin menyampah ja kalau tengok air paip. Memang siok mandi air panas, tapi lepas tu kau jaga, kalau nda kau mengatar nda la aku tau hahaha. 

Keiko siap menghidangkan sarapan pagi pada jam 7.35 pagi. Pagi ini kami bersarapan nasi putih, sup miso dengan bebola berprotein, tauhu dan sawi yang dicelur sebentar, kepingan rumpai laut dan topping nasi (cendawan, bilis, radish, turnip, dan ikan kembung).


Menu sarapan.

8.30 pagi Keiko mengajak kami ke garaj. Tugasan kami hari ini adalah membungkus sayuran mengikut jenis ke dalam kotak.


Nda capai piawaian, jadi nda kena bungkus.

Sayur-sayuran yang menanti untuk dibungkus.

Sayur-sayuran terpilih akan dibersihkan sedikit, kalau basah ditoskan, dibungkus dalam surat khabar dan dimasukkan ke dalam kotak yang telah dilapisi plastik. Sedikit tanah pada sayuran adalah okey bagi menunjukkan ianya segar baru dipetik dari ladang.


Sayur-sayuran yang telah siap dimasukkan ke dalam kotak.

Keiko juga meminta kami mencuci berberapa jenis sayuran yang benar-benar kotor. Kalau terlampau kotor, mana ada orang mau beli. Awal kami menyelesaikan tugasan kami pagi itu. Kami pun mengemas barang-barang yang kami gunakan.

Wilson mencuci bekas-bekas yang kami gunakan.

Keiko pun tiada idea lagi mau suruh kami buat apa, jadi dia menyuruh kami naik ke rumah untuk berehat. Pasal terlampau awal lagi, jadi aku pun cari kerja sendiri. Aku pun mula mengakai (mengumpul) dedaunan yang luruh di halaman rumah. Wilson pula memvakum biliknya. Aku teruskan kerja itu sehinggalah siren jam 11.30 berbunyi. 

Aku kemudian berbaring di bawah kotatsu dan tanpa sedar terlelap. Bila aku bangun aku membersihkan diri dan solat zuhur dan menanti dengan penuh sabar waktu makan tengahari.

Jam 12.40 petang kami menikmati makan tengahari. Satu lauk satu sayur sahaja pun cukup menyelerakan kami.

Ikan yang dimasak dengan telur ayam dan sayuran, salad akar teratai (sesame paste + soy sauce + sugar + mayo dressing) dan spicy radish bersama nasi  putih dan sup miso.

Keiko mengajak kami ke ladang pada jam 1.30 petang. Tugasan kami petang itu sekarang sudah menjadi antara kegemaran aku, membakar timbunan rumput! 

Aku sukakan cabaran. Cabaran untuk membakar rumput-rumput lembab sampai habis. Setelah gagal beberapa kali minggu lepas aku telah berjaya sejak hari Sabtu lalu. Ada pengajaran yang boleh kita ambil dengan proses membakar rumput lembab ni. Pertama, kalau sukar kita boleh cuba berpindah ke tempat baru dan cuba lagi. Jangan hanya tersekat di suatu tempat dan terus gagal dan tidak mahu mencuba. Aku nyalakan api di sebelah timbunan api, menambah rumput sedikit demi sedikit dan sentiasa menjaga apinya supaya sentiasa ada. 

Kedua, perlahankan sedikit hidup kita. Walau pun lambat namun pasti akan sampai ke destinasi. Biarlah nampak asap saja banyak, tapi kita tahu di dalam, api sedang membara dan membakar rumput-rumput yang sukar dibakar. Jangan kita hanya mahu nampak api, tapi di dalam langsung tidak terbakar dan akhirnya gagal. Jadi perlahanlah caranya jika ingin membakar rumput yang lembab. Slow and steady wins the race!

Mulanya Wilson ikut memulakan api sepertimana yang aku tunjukkan kelmarin. Namun lama kelamaan Wilson mula ingin melihat api sahaja, jadi dia menimbunkan rumput-rumput kering ke atas timbunan rumput basah. Memang besar api yang dia buat, tapi perlu banyak tenaga ke hulu ke hilir mengangkat rumput kering. Aku pula bila ternampak api marak, aku timbunkan dengan rumput lembab kemudian lapis dengan rumput kering sedikit dan lapis lagi dengan rumput lembab. Memang makan asap ja la, tapi aku tahu asap tu petanda rumput-rumput lembab semakin mengering dan makin mudah terbakar.

Aku membakar tiga timbunan rumput, menjaga mereka bergilir-gilir untuk memastikan api sentiasa ada dalam sekam. Wilson memulakan pembakaran timbunan kedua bila melihat api besar dari timbunan pertamanya. Bila dia menjaga timbunan keduanya, api di timbunan pertama padam sama sekali dan dia terus sibuk dengan timbunan kedua. Bila dia berhenti berehat, api di timbunan kedua pula padam. Dia langsung nda gunakan cara yang aku tunjuk bila cuba menyalakan timbunan pertamanya semula. Terus aku teringat dengan Gaffar dengan gelagat dia cuba menyalakan api dengan pelbagai cara. Lucu pun ada kesian pun ada. Tapi pasal lelaki kan, ego tu memang ada. Macam lain ja rasa masa dia limpas sama aku yang masih ada ketiga-tiga timbunan yang masih membakar. 

4.20 petang Keiko menyuruh kami meletakkan rumput-rumput basah untuk mengurangkan api dan asap dari timbunan pembakaran. Kuat betul api dalam sekam aku sampai perlu disimbah air baru la kurang asap yang keluar. Tapi dalam hati aku, biarlah api di dalamnya terus hidup dan membakar sehingga habis semuanya.

Kami kemudian pulang ke rumah dengan aku seperti biasa mengambil tempat duduk di belakang trak. Sudah rasa terbiasa sudah sendirian di belakang trak tu dengan melayan perasaan sendiri, kekadang menyanyi dengan perlahan sambil melihat pemandangan. I could do this forever!

Sesampai di garaj kami menurunkan beberapa alat yang kami gunakan untuk sesi bakar-membakar tadi kemudian naik ke rumah. Keiko membawa 3 biji ubi keledek manis yang aku bakar dalam timbunan rumput tadi. Keiko memang sediakan dari rumah, ubi manis yang dibalut kertas lembab kemudian dibalut dengan kertas aluminium untuk dibawa ke ladang.

Aku terus mandi pasal badan berbau asap. Berwudhu dan solat. Keiko menghidangkan ubi manis bakar kepada kami di ruangan snek sementara dia masak makan malam.


Marvellous betul! Makan begitu saja pun sedap!

Aku menyalakan alat pemanas di ruang snek dan lepak di sana sambil membuat teh dan makan ubi. Aku terus lepak sehinggalah Keiko siap menghidangkan makan malam pada jam 6.35 malam. Menunya adalah tauhu tiga cara, ikan bakar dan nasi.


Dari kiri: Oden tauhu (hot pot tauhu dan sayuran), mochi kinchaku (tauhu goreng disumbat mochi) dengan sayur sawi, ikan bakar dengan jeruk radish, tauhu goreng disumbat telur dengan kicap cair dan nasi putih.

Satu perkataan untuk makan malam hari ini adalah, sorga! Aku lepak sekejap di kotatsu dalam bilik Wilson untuk memanaskan kaki aku. Setelah cukup panas aku minta diri untuk ke bilik sendiri, memasang alat pemanas,  duduk di kotatsu, pasang wayang di laptop dan tanpa sedar terlelap.


24 November 2015 (Selasa)

Hari ini aku bangun sangat lewat. Jam 6.00 pagi baru aku bangun. Aku cepat-cepat menunaikan solat subuh dan kemudiannya sambung menonton wayang yang semalam aku nda habiskan kerana terlelap.

Aku kemudiannya mengemas bilik dan mengumpulkan pakaian untuk dicuci.


Mesin basuh automatik di luar rumah, di sebelah kiri kalau keluar dari pintu dapur.

Betul-betul berhadapan pintu dapur adalah tempat tinggal Keiko.

Agak lewat Keiko menyiapkan sarapan pagi hari ini kerana dia terlebih tidur. Semalam pun dia masuk tidur awal. Mungkin penat sangat dia menguruskan hal-hal ladang dan juga makan minum aku dan Wilson. Pagi ini kami bersarapan dengan nasi putih, sup miso, tauhu dan sawi dicelur sebentar, ubi manis semalam yang dimasak dengan bijan hitam dan topping nasi seperti jeruk radish, jeruk daun perilla, kacang tanah, dan rumpai laut berperisa.

Menu sarapan pagi.

Kami diminta berjalan kaki ke ladang pada jam 9.00 pagi dengan membawa semua peralatan untuk tugasan kami iaitu membakar rumput. Memang Keiko ada satu misi untuk aku dan Wilson, iaitu ingin memotong rumput di kawasan yang sangat luas itu sampai habis dan membakar rumput-rumput yang dipotong. Dia berharap kami dapat selesaikan tugasan itu sebelum kami habis menjadi wwoofer (pekerja sukarela) dia. Kami pun sangat berharap dapat membantu dia sebanyak yang kami boleh. Keiko ni sebenarnya kurang sihat, baru juga menjalani pembedahan untuk membuang kanser di bahagian perut. Aku pun nda tau kanser apa, sebab aku pun takut juga mau tanya macam-macam. 

Mungkin pasal itulah aku mau berkerja lebih untuk Keiko. Aku kasihan dengan dia yang mempunyai tanggungjawab besar menjaga sebuah ladang yang luas dengan pelbagai tanaman. Memang Chiaki ada mengiklankan jawatan peladang untuk bekerja bersama-sama Keiko. Namun, kurang sambutan kerana tiada yang sanggup mahu tinggal di kawasan terpencil, terutamanya golongan muda. Aku cakap dengan Keiko, kalau diberi peluang aku pun mahu jadi pekerja di sana.

Aku dan Wilson mula membuat timbunan pembakaran masing-masing. Wilson sambung bakar timbunannya yang terpadam kelmarin. Manakala aku pula membuat satu timbunan pembakaran baru. Seronoknya tengok api yang menjulang tinggi, membakar rumput kering dan juga rumput lembab. Keiko kemudiannya sampai di ladang dengan membawa tiga mesin rumput. Dia cakap lepas bakar, boleh sambung potong rumput.

Keiko mula memotong rumput sementara aku dan Wilson terus membakar rumput yang telah lama bertimbun di padang. Apabila aku tengok api aku cukup besar untuk membakar semua rumput yang aku timbunkan, aku pun mula memotong rumput dengan mesin yang Keiko bawa. Wilson pula masih lagi menyambung usaha membakar rumput.

Wilson sedang membakar rumput dan Keiko sedang memotong rumput.

Keiko kemudiannya meninggalkan aku dan Wilson di ladang kerana dia ada urusan lain. Aku terus memotong rumput sementara Wilson sudah mula usaha mengurangkan api dan asap kerana kami akan habis waktu kerja sesi pagi pada jam 12.00 tengahari. Wilson memberikan isyarat kepada aku menunjukkan masa kerja kami sudah tamat. Kami pun berjalan kaki kembali ke rumah. Cuaca sejuk sudah terasa dan seperti kata Keiko, musim sejuk telah tiba.

Aku lepak di depan alat pemanas setelah aku solat zuhur, menanti dengan sabar untuk makan tengahari. Jam 12.45 petang Keiko telah siap menghidangkan makanan.

Udon dengan fishcake dan cucur lobak merah kecil dengan onigiri.

Akhirnya merasa juga aku makanan asli Jepun iaitu udon. Mee nya liat-liat, kenyal-kenyal sedikit membuatkannya sangat sedap untuk dimakan. Kuah jernih tapi rasanya memang penuh (full flavor bilang orang putih). Aku makan sampai habis udon tu. Aku pun nda tahu kalau jenis mee berkuah begini memang dapat limpas perut aku dengan mudah. Kalau di Malaysia, bihun sup memang senanglah aku makan. Nda rasa menyangkut atau tersekat pun di kantung perut aku yang kecil ni. 

Hujan mulai turun bila kami berehat selepas makan. Jadi Keiko yang mempunyai rancangan awal ingin kami memotong rumput di ladang terpaksa mengubahnya. Keiko pun meminta diri untuk mengambil mesin-mesin rumput yang masih berada di ladang. Sekembalinya Keiko di rumah, dia meminta kami turun ke garaj kerana sudah ada tugasan buat aku dan Wilson. 

Tugasan kami petang itu adalah membersihkan ubi-ubi kentang pelbagai warna yang Keiko, aku, Wilson dan Trevor tuai dua minggu lepas (Baca entry Japan Story - Week 3 pada 12 November 2015). Setelah dibersihkan, ubi kentang itu dimasukkan ke dalam beg kertas mengikut jenis masing-masing. Keiko berpesan kepada kami sebelum dia pergi ke pekan setelah siap membersihkan ubi kentang, kami bolehlah naik dan membersihkan bilik masing-masing.

Ubi kentang merah jambu sedia untuk dibersihkan.

Ubi kentang warna ungu.

Kami hampir siap membersihkan ubi-ubi kentang bila Keiko kembali dari pekan. Dia kemudiannya meninggalkan kami semula untuk mengurus bil-bil di bahagian kawasan larangannya di rumah. Setelah aku dan Wilson siap membersihkan dan memasukkan ubi-ubi kentang ke dalam beg kertas, kami pun mengemas sedikit garaj dan kemudiannya naik ke rumah.

Oleh kerana kelmarin Wilson sudah memvakum biliknya kelmarin dan aku punya bilik pula selalu bersih, aku pun menyapu bahagian genkan. Kemudian aku mengangkat pakaian yang aku cuci di ampaian dan memasukkannya di bawah kotatsu (meja dengan pemanas di bawahnya). Baru juga aku temui cara bagus untuk memastikan pakaian betul-betul kering ni. Di sini walau baju kering susah mau pastikan ianya kering ka lembab pasal kalau kering pun, kalau kita pegang sejuk juga rasanya.

Kemudiannya aku mandi dan solat Asar. Sesudah itu aku pun lepak di hadapan alat pemanas yang telah siap sedia Keiko pasangkan di ruang snek. Wilson pun ikut lepak sebentar. Pertama kali aku tengok dia duduk betul-betul dekat dengan alat pemanas. Mungkin dia merasa sejuk hari ini.

Setelah menunaikan solat maghrib, aku membawa kusyen dan bantal di hadapan alat pemanas dan lepak di sana sehinggalah masa untuk makan malam.

Kare raisu (Nasi kari) dengan ikan dan sayur digril.

Alhamdulillah, hari ini dapat merasa dua hidangan ikonik Jepun iaitu udon masa makan tengahari dan kare raisu masa makan malam. Untuk pencuci mulut Keiko menghidangkan limau tangerin beku. Mula-mula pelik juga pasal musim sejuk pun hidang makanan beku. Tapi lepas rasa macam best pula makan benda sejuk-sejuk ni bila kaki kita panas di bawah kotatsu. Rasa limau tangerin beku ni seperti kita makan sherbet oren. Best!

Oren tangerin beku untuk dessert.

Keiko juga hidangkan buah oren tangerin segar yang baru sampai dihantar rakan dari Shikoku. Manis betul buah oren tu. Aku bercerita dengan Wilson sambil menikmati buah oren. Aku memberitahu dia kod host di Sasayama, Hyogo yang aku terpaksa aku tolak. Wilson memang mau cari kerja-kerja selain ladang untuk mempelbagaikan pengalaman wwoofing dia di Jepun. Selepas lepak di biliknya aku pun kembali ke bilik sendiri.


25 November 2015 (Rabu)

Untuk kesekian kali aku bangun agak lewat. Lebih tepat aku bangun pada jam 5.39 pagi (pasal aku check handphone, tu pasal la aku tau). Biasanya aku awal bangun kerana aku belum solat isyak. Sudah beberapa hari aku awal tunaikan solat isyak, jadi nda la aku bangun di tengah malam untuk menunaikannya. 

Sesudah solat subuh, benda pertama aku buat adalah membuka laptop. Check ada ka orang baca blog aku hari ni, check berapa orang pembaca dan juga mengedit entry mana tau ada typo di mana-mana. Okey juga la buat blog ni. Sekurang-kurangnya dapat mengisi masa aku yang sangat panjang berlalu di rumah ni. Yalah, sejak sampai di Jepun belum pernah lagi tengok tv. Rumah Kak Ari tiada sambungan tv, rumah Keiko pun sama. Aku pun seolah terbiasa sudah dengan keadaan begini. Biasanya kalau di Malaysia, aku akan pasangkan tv, pilih saluran, kemudian main game di handphone. Bukannya tengok pun tv tu, dengar suara ja. Nda ka membazir elektrik tu?

Aku pergi berbasikal sementara Keiko menyediakan sarapan pagi. Aku memakai tiga lapis baju dan juga sarung tangan untuk mengelakkan sejuk. Aku berbasikal menerusi jalan lain selain yang selalu aku gunakan.


Sinar mentari mula kelihatan.

Aku berbasikal sehinggalah sampai ke persimpangan besar. Di sebelah kiri ke Yashiro dan Sasayama, Hyogo dan sebelah kanan ke Sonobe dan Kameoka, Kyoto.


Di persimpangan.


Sebenarnya aku hampir dapat host lain di Sasayama, Hyogo. Namun aku terpaksa tolak kerana kerjanya melibatkan daging khinzir di kedai pizza yang menggunakan bahan organik. Host yang pertama setuju aku jadi wwoofer dia adalah dari Wakayama. Jauh betul Wakayama ni dari Osaka. Kerjanya di ladang oren. Tapi bila aku hubungi dia melalui Line nda pula dia membalas. Jadi sudah takdirlah aku mendapat Keiko sebagai host aku. And I wouldn't change it for the world.

Aku sampai ke rumah ngam-ngam bila Keiko mau hidang sarapan pagi. Menu sarapan nasi putih, ikan bakar, sup miso dengan radish, sawi dicelur dan rumpai laut dijeruk.


Style sini makan habis dulu sup baru makan nasi dan lauk pauk tu.

Jam 8.30 pagi kami diminta Keiko untuk turun ke garaj. Tugasan kami pagi ini adalah mencuci lobak pelbagai warna dan juga radish dan turnip. Okey, cuba bayangkan kamu order ais kosong di restoran. Kamu guna air tu bikin basuh tangan kamu, sejuk kan? Ah... begitulah sejuk air yang kami guna bikin basuh sayur-sayuran ni. Bergegar perut, begirik kita pasal sejuk tu.

Aku dan Wilson kemudian diminta mengeringkan sedikit sayuran yang kami basuh tadi dan membungkusnya mengikut jenis dalam surat khabar dan kemudiannya memasukkan ke dalam kotak. Ada penghantaran sayuran hari ini, jadi kami kena bantu Keiko menyiapkan pesanan.

Sayur-sayuran siap dibungkus, menanti diambil syarikat penghantaran.

Kemudian aku dan Wilson diminta ke ladang untuk menyambung misi ulung kami iaitu memotong dan membakar rumput. Keiko tinggal di rumah kerana ada urusan berkaitan bil jadi Wilson memandu trak ke ladang. Kami menurunkan semua peralatan untuk memotong dan juga membakar rumput dari trak. Kami bermula dengan membakar rumput, dan bila api sudah cukup besar kami mula memotong rumput. Kami berhenti-henti memotong rumput untuk memastikan timbunan pembakaran kami cukup bahan bakarnya. Aku memasang api di timbunan pembakaran yang telah beberapa hari Wilson cuba selesaikan. Setelah aku tengok api tu boleh bertahan, aku pun sambung memotong rumput. Masa berlalu dengan pantas bila kami membuat dua kerja dalam satu masa. 

Jam 11.30 pagi, Wilson memberikan isyarat berhenti. Kami pun duduk di tengah padang sambil memerhati api yang menjulang tinggi. Aku katakan pada Wilson, sekarang ni kita seolah dalam mimpi. Sekembalinya kita ke negara masing-masing itulah baru realiti sebenar. Ya begitulah apa yang aku rasa sekarang ni, semuanya ini adalah satu mimpi dan suatu hari nanti aku kena bangun dan hadapi kehidupan sebenar.

Kami menaiki trak setelah meletakkan semua peralatan di belakang. Di pertengahan jalan kami terserempak dengan Keiko yang berjalan kaki ke ladang. Mungkin dia risau kerana kami balik sedikit lambat. Keiko kami yakinkan bahawa api terkawal di ladang tidak perlu risau. Keiko percaya dan naik ke belakang trak. Kami semua pun balik bersama, kembali ke rumah.

Seperti biasa, sesampai di rumah aku membersihkan diri dan solat zuhur. Kemudian berehat sementara menanti makan tengahari. Jam 12.35 petang, hidangan tengahari telah siap oleh Keiko. Ianya adalah hidangan Donburi yang menggunakan mangkuk besar. Letak nasi dalam mangkuk dan tuang stew sotong.

Brokoli dicelur dan digaul bonito flakes, stew sotong dengan pelbagai sayuran organik, jeruk ikan (tulang lembut, boleh ngap semua) dan nasi putih.

Jam 1.30 petang kami diminta ke ladang sendiri kerana Keiko masih mempunyai urusan bil. Bila sampai di ladang, baru perasan aku lupa membawa sarung tangan. Jadi Wilson berpatah balik untuk mengambil sarung tangan di garaj. Aku segera sambung membakar rumput-rumput kerana risau hari hujan. Setelah berpuas hati dengan api yang dinyalakan barulah aku sambung memotong rumput.

Alhamdulillah hari ini kami telah berjaya menyiapkan 5 per 6 keluasan padang. Insya Allah esok, selesailah kerja kami memotong lalang di padang di ladang ni. Aku dan Wilson sama-sama gembira melihat pencapaian kami. Kami berdua nda sabar menanti hari esok untuk menyelesaikan semuanya.

Kami pulang bersama Keiko yang telah datang ke ladang berjalan kaki, membawa trak ke pejabat pos dan kembali mengambil kami. Aku bergegas menunaikan solat asar sekembali di rumah kemudian solat maghrib. Aku pun memasang alat pemanas di bilik aku. Sejuk suhu petang ni, 9 darjah celcius. Sejuk-sejuk pun aku kena mandi pasal bau asap (sehari sekali ja mandi hehehe). Setelah bersiap aku pun memasang pemanas di kotatsu di bilik aku dan duduk menghadap laptop sementara menanti makan malam...

6.25 malam Keiko siap menghidangkan makan malam. Menu makan malam hari ini adalah cucur tauhu (dicampur sotong, telur, lobak merah dan rumpai laut), salad labu merah, sawi dicelur dan sup miso dengan bebola berprotein. Cucur tauhu tu ah... susah mau cakap...

Dinner yang awesome!

Aku nda bercerita dengan Wilson lepas makan. Selepas mengemas meja, aku pun terus ke bilik. Kehabisan modal bercerita sudah kami ahahaha.

Malam ini aku menerima mesej peribadi melalui wwoofjapan. Ada kemungkinan aku akan diterima menjadi wwoofer lagi, kali ini di Nara kerja di ladang teh organik. Memang tempat ni antara pilihan awal aku masa memilih host dulu. Lama sudah hantar mesej sama dia, baru hari ini dia balas. Alhamdulillah juga timing dia ngam-ngam dengan masa aku hampir habis bersama Keiko. Adakah aku akan diterima host di Nara? Hanya masa yang boleh menentukan...


26 November 2015 (Khamis)

Aku bangun lantas memasang alat pemanas dalam bilik aku. Yalah sebagai persediaan kesejukan selepas ambil wudhu untuk solat subuh. Suhu diramal semakin menurun, jadi rasanya lebih keraplah alat pemanas di bilik ni akan dihidupkan. Pedulilah semua baju aku berbau asap dan minyak tanah, yang penting nda begirik kesejukan.

Aku berjalan-jalan di sekitar kawasan rumah sementara menanti sarapan disiapkan Keiko. 


Hampir habis daun gugur dari pokok ini.

Jambatan kecil menuju ke rumah jiran.

Kon amaran memberitahu jambatan ni kurang selamat.

Mendaki bukit ke rumah jiran.

Rumah Keiko.

Anak sungai yang mengalir di hadapan rumah Keiko.

Solar panel rumah jiran. Jauh di pedalaman pun maju bah Jepun ni.

Tebing di tepi rumah Keiko yang dilitupi lumut.

Tangga yang hari-hari ku daki untuk ke rumah Keiko.

Puas meneroka, aku masuk kembali ke rumah. Keiko siap menghidangkan sarapan pagi pada jam 7.35 pagi.

Nasi putih, sup miso, salad rumpai laut, salad akar teratai, ikan jeruk dan halwa radish.

Jam 8.30 pagi kami ke garaj dan seperti hari-hari yang sebelumnya kami ditugaskan menyelesaikan misi utama kami iaitu memotong dan membakar rumput.


Peralatan untuk memotong  dan membakar rumput. Sisa sayuran tu untuk dijadikan baja kompos.

Sesampai di ladang kami menurunkan semua peralatan dan mula memotong rumput. Alhamdulillah hari ini kami berjaya menamatkan misi memotong rumput di padang (sebenarnya tapak tanaman yang dipenuhi lalang kerana tidak ditanam apa-apa) yang aku rasa seluas 1 ekar. Kami kemudiannya mula membakar rumput, masing-masing menjaga satu timbunan pembakaran. Membakar rumput dan menjaga api ni kerja yang mengkhayalkan. Seronok ja tengok asap berkepul-kepul sambil menanti api melawan kelembapan pada rumput.

Tanpa sedar masa cepat sangat berlalu dan Keiko pun mengajak kami balik ke rumah. Gembira betul dia bila kami bagitau kami sudah selesai memotong semua rumput. Sampai di garaj aku menurunkan dua-dua mesin rumput untuk dimasukkan ke garaj. Secara nda sengaja, bilah satu mesin rumput tu terkena satu kaca pada pintu garaj lalu pecah. Keiko rileks ja, dia bilang cermin tu memang lembut, mudah pecah. Kena angin kuat, bergegar pun boleh pecah. Aku yang rasa bersalah sangat, cepat rasa lega dengan kenyataan Keiko.

Di rumah aku makan sebiji onigiri yang Keiko sediakan di ruang snek sebelum aku membersihkan diri dan solat zuhur. Sesudah solat aku pun berehat-rehat menghadap laptop dengan kaki aku di bawah kotatsu. Betapa seronoknya perasaan tu..!

Makan tengahari disiapkan Keiko pada jam 12.15 petang. Menu miso nikomi udon yang menggunakan sanuki udon yang liat-liat, kenyal-kenyal. Kuah udon ni menggunakan baki cucur tauhu semalam. Keiko juga hidangkan salad labu merah dan salad rumpai laut dengan dressing goma dofu. Tekstur udon tu bah, ya Allah nikmat betul mau dimakan!


Miso nikomi udon (ada cucur tauhu, fishcake, telur sebiji dan bebola berprotein di dalamnya).

Jam 1.30 kami ke garaj. Keiko meminta kami menyelesaikan misi hehehe. Keiko menghantar aku dan Wilson ke ladang kemudian dia pergi meninggalkan kami, katanya untuk 2 jam. Aku dan Wilson pun terus menyambung tugasan kami.


Rumput-rumput yang mau dibakar.

Banyak betul rumput-rumput ni.

Wilson sedang memulakan pembakaran.

Wilson seperti biasa cuma mau tengok api. Beberapa kali dia mencuba memarakkan api namun gagal. Akhirnya dia mengalah dan meminta aku menolongnya memulakan api. Bila api sudah marak, kami seolah berpesta asap dan api. 5 timbunan pembakaran kami buat.

Ready, set...

Go!

Mentari sedikit lagi kelihatan di atas bukit. Betapa sinarannya membawa kelegaan dalam kesejukan.

Tidak semua rumput-rumput dapat kami bakar kerana masa mencemburui kami. Kami sangat berharap hari esok cuaca baik untuk kami menyelesaikan misi terakhir buat Keiko. Bila aku tanya adakah padang ini akan ditanam apa-apa beberapa hari lepas, Keiko menjawab mungkin tidak pasal dia hanya seorang untuk mengurus ladang yang sangatlah luas. Tapi nampak nda bagus jika dibiarkan penuh lalang begitu bagi jiran-jiran peladang lain.

Lambat sedikit kami balik petang tu kerana Keiko menyediakan tanaman-tanaman di ladang dengan cuaca sejuk yang diramal pada Jumaat mencapai suhu -1 darjah selsius... Keiko juga menuai ketumbar kerana ianya tidak tahan cuaca sejuk.

Kami balik menaiki trak Keiko. Aku yang berada di belakang trak benar-benar sudah merasa perubahan suhu, memang lebih sejuk berbanding selalu. Selepas meletakkan peralatan ke dalam garaj, Keiko menyuruh aku dan Wilson naik ke rumah dulu. Wilson pun menggesa aku supaya mandi terlebih dahulu sebab aku kena solat. Alhamdulillah, sangat bertimbang rasa Wilson ni. Insya Allah semoga persahabatan kami berpanjangan selepas ini.

Selepas mandi dan solat, aku memasang alat pemanas di ruang snek. Bawa kusyen, charger handphone dan lepak di depan alat pemanas sehinggalah makan malam dihidangkan.

Menu makan malam hari ini adalah nasi cendawan kinoko, ikan digril, jeruk turnip, sawi dicelur dan tauhu, dan sup miso bersama fucuk. Nasi bercendawan itulah hidangan utama dan sememangnya osem!!!

Awesome dinner!

Sesudah makan, aku keluar sekejap untuk merasai sendiri suhu 3 darjah selsius. Terang betul bulan malam ni, cuaca indah, bulan penuh. Suhunya masya Allah, masuk ke rumah terus mengatar (mengigil). Aku segera ke bilik dan duduk dengan kaki di bawah kotatsu dan merasai kehangatan alat pemanas yang telah awal lagi aku pasang.


27 November 2015 (Jumaat)

Hari ini dalam jam 4 pagi aku terjaga. Alat pemanas aku sudah kehabisan minyak, dan aku merasa kesejukan. Aku cuba menyelimuti seluruh tubuh aku dengan selimut tebal namun kesejukan tetap terasa. Aku pun periksa cuaca di handphone dan ianya -1 darjah selsius! It's officially winter now!


Suhu negatif... aduhai...

Bilik aku ni ada sliding door terus keluar kira macam tingkap yang besarlah. Kaca separa jernih, jadi kalau hantu ka apa yang limpas masa malam-malam memang nampak. Pintu ni nda boleh buka, sudah tersekat. Tapi angin dari luar memang dapat masuk dari celah-celah pintu. Sebab tulah bilik aku ni sejuk betul.

Aku tahan dulu kesejukan, sebab lebih baik aku nda pegang minyak tanah untuk mengisi semula alat pemanas aku sebelum aku solat subuh. Nanti payah lagi cuci tangan, lepas tu kesejukan hehehe. Selesai ja solat subuh aku pun segera mengisi minyak tanah ke dalam alat pemanas dan terus memasangnya. Terus aku merasa lega.

Aku macam si palui mau juga cuba macamana rasa -1 darjah selsius ni. Jadi aku pun keluar rumah dan terus dihambat kesejukan! Sekejap sahaja badan mulai menggeletar. Aku cuba merasa suhu dengan tangan aku yang sebelumnya ku masukkan dalam poket dan ternyata perbuatan palui hahaha... Sejuk gila macam pegang ais! Aku pun segera masuk ke dalam rumah semula, masuk ke bilik aku yang sudah panas kerana alat pemanas.


Jam 7.35 pagi Keiko siap menghidangkan sarapan. Menunya adalah ikan bakar, jeruk radish,  acar radish, sawi celur, salad rumpai laut, salad lada benggala, sup miso dan nasi putih.


Menu sarapan.
8.30 pagi kami bergerak ke garaj. Suhu masih sangat sejuk, walau mentari menyinari tetap juga terasa. Aku memakai 5 lapis baju dan 2 lapis seluar. Suhu pagi adalah 1 darjah selsius.

Sebenarnya ni gambar kedua, gambar pertama ada hingus meleleh ahahaha.

Aku dan Wilson menyambung misi utama kami iaitu membakar rumput. Wilson di hujung sebelah, aku di hujung yang satu lagi.

Rumput-rumput yang perlu dikumpulkan sebelum dibakar di bahagian aku.

Jam 11.30 pagi kami berhenti dan bertekad akan menghabiskan misi ini disebelah petang pula. Keiko membawa kami pulang. Langit yang cerah dengan matahari yang bersinar tidak membawa sebarang haba. Aku yang berada di belakang trak menggeletar kesejukan.

Langit biru, matahari terang, suhunya masya Allah!

Sesampai di rumah aku makan snek terlebih dahulu kemudian barulah membersihkan diri, berwudhu dan solat zuhur. Tangan dan kaki susah betul mau panas, jadi bertapa lah aku di depan alat pemanas. Wilson juga memasang alat pemanas di biliknya. Ini kali pertamalah dia pasang, mungkin dia sudah mulai merasa kesejukan.

12.30 petang, Keiko menghidangkan bihun yang digoreng dengan paste pad thai. Dia juga menyediakan nasi yang diletak minyak kelapa dan kelapa parut sekiranya kami masih lapar. Selain itu jus lemon dan nampla (sos ikan) juga disediakan Keiko di atas meja.

Bihun goreng pad thai, jus lemon dan nampla. Punya sedap campur dua bahan ni pada bihun!
Kami berehat sebentar sebelum dibawa Keiko ke ladang semula. Misi kami yang belum tamat harus diteruskan!

Sebelum memulakan sesi terakhir di ladang.

Wilson, the ex-army guy.

Dalam 4.20 kami telah menyelesaikan tugasan kami. Senyuman Keiko apabila melihat hasil kerja kami memang priceless! Kami bangga dapat menolong Keiko!

Mission accomplished! 

But getah yang banyak berjasa sepanjang aku di ladang.

Sebelum balik kami mengambil gambar kenangan sebagai tanda berakhirnya tugasan kami sebagai wwoofer. Sedih juga kerana habis sudah kerja kami di ladang ni... Insya Allah diberi kesempatan aku ingin membantu Keiko lagi!

Wilson dan Keiko.

Keiko dan aku.

Last view from behind the truck. Two planes leaving vapor trails.

Aku dan Wilson sama-sama menutup pintu pagar ladang. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada ladang seolah-olah ianya seorang manusia. Terasa sebak juga kerana hampir tiga minggu sudah aku di sana, menjelajah hampir keseluruhan ladang, bergelumang dengan kekotoran, kepanasan, kesejukan dan kepenatan. Alhamdulillah pengalaman yang aku dapat adalah tidak ternilai!

Sampai di rumah aku berehat sekejap sebelum berwudhu dan menunaikan solat asar. Aku menanti giliran sementara Wilson mandi. Sesudah aku mandi dan solat maghrib, aku pun terus duduk di hadapan alat pemanas untuk memanaskan kaki dan tangan aku yang nda pandai panas.

Malam ini adalah malam terakhir kami makan malam bersama. Keiko turut makan bersama pada makan malam pertama aku yang ketika itu ada Trevor, dan pada makan malam terakhir kami. Sepanjang berada di sini hanya dua kali ni la Keiko duduk bersama-sama menikmati hidangan.

Aku merasa sebak apabila Keiko sanggup memandu jauh untuk membeli ayam dan nugget ayam halal di Sasayama, Hyogo. Patutlah dia pergi lama kelmarin, rupanya dia mempunyai misi mencari makanan halal untuk kami nikmati bersama. Ya Allah, kau berikanlah Keiko kesihatan, luaskan rezekinya dan balaslah kebaikannya dengan kebaikan.

Menu makan malam perpisahan kami adalah ayam dalam sos tomato, nugget ayam goreng dengan daun salad, salad ubi kentang, sup miso sayuran dan nasi putih. Aku makan sebanyak yang aku mampu sebagai penghargaan buat Keiko.

Farewell party dinner.


28 November 2015 (Sabtu)


Hari ini aku akan balik ke Toyonaka, Osaka. Awal juga aku bangun, satunya kerana agak teruja bila suhu diramal jatuh hingga ke -2 darjah selsius. Alhamdulillah bilik aku cukup panas dengan alat pemanas namun masih dapat aku rasa suhu sejuk yang masuk melalui celah-celah pintu yang cuba melawan haba.

Sesudah subuh aku mula mengemas sedikit barangan aku. Pagi ni kompom aku nda mandi dengan suhu yang terlampau sejuk tu. Dalam jam 7 pagi aku keluar dari rumah untuk menikmati suhu yang sudah naik sedikit ke 2 darjah selsius sambil mengambil gambar akhir sekitar rumah Keiko.

Cuaca indah dengan suhu melampau.

Laluan yang kulalui setiap hari dari pintu depan rumah Keiko.

Dedaunan yang gugur di atas lumut.

Titisan air yang mengeluarkan bunyi yang menenangkan hati.

I'll really going to miss this house!

Aku masuk ke dalam rumah dengan tangan yang mulai membiru dan jari-jari kaki yang mulai kebas. Kesejukannya bukan alang-alang!

Jam 7.30 pagi Keiko telah menghidangkan sarapan pagi bersama terakhir aku dan Wilson. Menu sarapan adalah daging luncheon ayam halal yang dimasak bersama telur, sup sawi dan tauhu, acar radish, sawi celur dan kepingan rumpai laut.

Menu sarapan pagi terakhir aku dan Wilson.

Selepas bersarapan Keiko meletakkan semua stok snek yang ada dan menyuruh aku dan Wilson bungkus untuk dibawa bersama. Betapa baiknya Keiko ni... Dia cakap dia nda berapa makan benda-benda begitu. Keiko mengatakan pada jam 8.30 pagi dia akan pergi ke pasar komuniti. Dia meminta kami supaya tolong membersihkan bilik masing-masing. Dia juga memberikan peta sebuah shrine kecil yang boleh aku dan Wilson tengok sebelum berangkat pergi.

Snek-snek yang mau ditapau.

Setelah kami bagi-bagi snek tu, aku mula memvakum bilik dan juga ruang snek. Setelah aku bagi vakum tu pada Wilson aku pun mula menyapu ruang genkan. Kesian juga, banyak tanah dan kotoran jadi lebih baik aku tolong bersihkan. Setelah siap membersihkan, aku pun mengajak Wilson untuk berjalan kaki ke shrine Ohyamadumi yang Keiko tunjukkan. Aku memang tahu sudah tempat tu pasal aku sudah nampak semasa aku menaiki basikal.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 25 minit berjalan kaki. Suhu yang sejuk sangat-sangat memberikan cabaran buat kami.

Pintu gerbang ke shrine Ohyamadumi.

Kecil sahaja shrine ni di celah-celah pokok di atas bukit.

Wilson berhenti sembahyang sekejap bila nampak ni.

View dari shrine Ohyamadumi.

Aku dan Wilson pun berpatah balik ke rumah Keiko. Kami berdua benar-benar ingin menikmati pemandangan indah yang terbentang di depan mata selama yang boleh. Alhamdulillah sinaran mentari membawa kehangatan dan juga menambahkan keindahan alam.

Bayangan Wilson dan aku di bawah lembayung sinaran mentari.
Rusa dewasa yang terperangkap di kebun jiran.

Beautiful sun, beautiful view!

Road that leads to somewhere...

Sampai di rumah, aku pun bersedia untuk mandi. Aku menggosok gigi dan terdengar Wilson memanggil aku, katanya Kak Ari sudah sampai! Aku segera bergegas dan berjumpa Kak Ari yang menanti di ruang genkan. Rupanya kami miscommunication, aku sangka dorang akan ke Arashiyama dahulu baru ambil aku di rumah Keiko selepas aku makan tengahari. Kak Ari pula ingat mau ambil aku sekali ke Arashiyama. Memandangkan dorang sudah sampai, aku pun segera memakai baju, nasib la sejuk badan nda berbau (atau aku ja nda perasan ahaha). Agak lama juga aku mengemas barang sebab aku sangka aku masih ada lebih kurang 2 ke 3 jam lagi sebelum berangkat pergi dari rumah Keiko. Kak Ari juga membawa tiga jenis kuih tradisional Malaysia sebagai cenderahati buat Keiko. Jauh mengembara kuih cincin Papar, Sabah ke Kyoto, Jepun.

Setelah memastikan semua barangan aku ada, aku pun turun ditemani Wilson menuju garaj di mana abang Amin telah sedia menunggu dengan pintu belakang kereta sedia terbuka. Anak-anak buah, Aliah, Ariana, Akif dan Akil seperti biasa macam rusa masuk kandang ops macam rusa masuk kampung ke hulu ke hilir bermain (ke bergaduh) di depan garaj. Lama kami menunggu ketibaan Keiko yang aku sangka sedia ada di garaj.

Aku pun berbasikal sebentar menuju ke ladang mana tahu Keiko ada di sana. Dari jauh aku perhatikan traknya tiada di ladang jadi aku berpatah balik. Ngam-ngam aku sampai ke garaj, Keiko juga sampai.

Bila mendapat tahu aku akan pergi, Keiko segera bergegas naik ke rumah dan mengambil jeruk radish dan bilis yang ingin dia berikan pada aku.


Jeruk pemberian Keiko.

Aku pun memberikan kuih muih tradisional Malaysia buat Keiko sebagai cenderahati. Keiko merasa dua jenis kuih itu di sana juga, sedap katanya. Dia puji juga kuih cincin Papar yang dia cakap nda terlampau manis, menarik!

Aku berterima kasih kepada Keiko atas segalanya yang telah dia berikan pada aku. Sesungguhnya pengalaman hampir tiga minggu di Sonobe, Kyoto adalah tidak ternilai. Aku pun bersalam cara Malaysia dengan Keiko. Aku cium tangannya seperti aku mencium tangan kakak-kakak perempuan aku. Dia layak menerima penghormatan sebegitu...

Abang Amin pun memandu kereta pergi, aku bawa sebentar untuk melihat lokasi ladang. Jauh di lubuk hati memang sakit untuk meninggalkan tempat ini, tapi hidup perlu diteruskan. Dari ladang kami menghala ke Arashiyama, tempat yang gagal kami pergi semasa aku mula-mula hendak ke Sonobe dulu.

Dalam terowong, menuju ke Arashiyama.

Ternyata apabila hampir tiba di Arashiyama, dari jauh kami boleh perhatikan tempat itu dibanjiri orang ramai dan kenderaan sudah sesak. Jadi kami batalkan niat ke Arashiyama dan mengambil keputusan untuk ke destinasi kedua iaitu restoran Ayam-YA.

Dengan berpandukan GPS dan Google Map, kami pun sampai di destinasi. Tidak sangka sama sekali restoran Ayam-YA ni di tengah bandar Kyoto! Satu jalan dengan Nishi Hongwanji yang aku pergi minggu lepas. Restoran Ayam-YA di bandar Kyoto menyajikan makanan yang ditanggung halal.

Pandangan hadapan Restoran Ayam-YA.

Mula-mula sekali kalau ramai orang, kena duduk dululah tunggu giliran dapat meja. Sambil-sambil tu, tengok menu yang ada.

Senarai menu yang ada.

Pengenalan asas menu.

Selepas mengenal pasti menu yang berkenan di hati (dan juga di dompet), pergilah ke mesin order makanan.

Mesin order makanan di Ayam-YA.

Masukkan wang yang mencukupi untuk pesanan anda, tekan butang menu pilihan, tiket makanan akan keluar dan putar ke kanan punat sebelah tempat masuk syiling untuk mendapatkan wang baki. Senang ja. Jadi masa kamu sudah dapat tempat duduk, kamu bagi tiket makanan tu sama pelayan dan mereka akan terus buat pesanan kamu.

Ini order aku, "Noko" Tori Ramen Shoyu, 750 yen (RM 26).

Menunggu order sampai.

Abang Amin dan Ariana sedang menikmati hidangan.

Rasa hidangan biasa saja bagi aku. Yalah, baru lepas habis dari suatu tempat yang menghidangkan makanan gourmet setiap hari kan... Kak Ari dan Abang Amin komplen masin makanannya.

Restoran Ayam-YA ada menyediakan ruang solat berasingan untuk lelaki dan perempuan. Jadi buat umat Islam, tempat ni sangat memudahkan bagi kita yang payah mau cari tempat solat.

Ruang solat terletak betul-betul berhadapan pintu masuk. Di dalamnya ada tempat berwudhu dan ruang solat untuk seorang. Satu ruang solat untuk lelaki dan satu untuk wanita.

Kami meninggalkan restoran ini dengan banyak lagi makanan berbaki. Aliah, Ariana dan Akif nda makan pun makanan dorang, lagi satu mangkuk dia ni bapak punya besar, memang banyak betul mee dia dan saiz besar kalau minta tidak dikenakan apa-apa caj.

Abang Amin, Kak Ari dan anak-anak di depan restoran Ayam-YA.

Setelah makan, kami pun terus pulang menuju Toyonaka, Osaka. Selamat tinggal Kyoto, helo Osaka! Sebenarnya dari bandar Kyoto ke Toyonaka, Osaka tidaklah jauh, pemanduan lebih kurang 45 minit sahaja. Maksudnya kalau ingin melawat banyak lagi tempat-tempat menarik di Kyoto, sekejap sahaja boleh sampai.

Kami sampai ke rumah Abang Amin sekitar jam 4 petang. Setelah meletakkan barang di bilik, aku pun mandi untuk menyegarkan badan (kan last mandi petang kemarin hehehe). Setelah itu aku solat asar, kemudiannya menanti maghrib.

Jam 7.15 malam Kak Ari siap menghidangkan makan malam. Akhirnya setelah sekian lama, makanan Malaysia masuk juga ke perutku. Alhamdulillah...

Ikan goreng, ikan bakar, air asam, sambal belacan, sayur campur tumis dan nasi putih.  Yummy!


29 November 2015 (Ahad)

Hari ini aku bangun sangatlah lewat sampai solat subuh pun terlepas. Jam 9 pagi baru aku terjaga. Semalam lewat tidur kerana menanti Abang Amin dan Kak Ari yang mengambil orang di Kansai International Airport. Dorang lambat balik pasal mencari rumah sewa orang yang baru sampai tu. Mereka gagal jumpa rumah tersebut jadi Abang Amin dan Kak Ari ajak mereka bermalam di rumah. 

Suhu sejuk benar-benar terasa kerana tiada alat pemanas dalam bilik aku di rumah Abang Amin dan Kak Ari ni. Tapi suhunya masih boleh aku tahan berkat latihan di Sonobe, Kyoto hehehe.


Sinaran mentari hangat membawa haba yang dirindui.

Aku membasuh pakaian kerja aku pagi ini. Pakaian yang bergelumang dengan kekotoran dan asap selama hampir seminggu.


Mesin basuh yang terletak di luar rumah. Berfikir juga musim suhu betul-betul sejuk mau cuci baju ka nda.

Daun maple sesat dekat mesin basuh.

Hari ini aku bersarapan bihun goreng. Aku makan sekali dengan jeruk radish dan bilis pemberian Keiko. Memang ngam rasa dia... Fusion Malaysia dan Jepun!


Bihun goreng Kak Ari dan jeruk Keiko.

Selepas bersarapan, Abang Amin dan Kak Ari serta Akil menghantar Hafiz, Khasmi (yang sambung PhD) dan anak mereka Harris mencari rumah sewa mereka. Aku tinggal di rumah bersama Aliah, Ariana dan Akif.

Aku sapu ruang tamu dan dapur Kak Ari, mungkin masih terbiasa mencari kerja yang boleh dibuat seperti di rumah Keiko. Aku kemudiannya masak sayur campur, lama sudah tidak beraksi di dapur. Selepas itu aku pergi mandi dan kemudiannya solat zuhur.

Selepas zuhur aku pun makan tengahari. Menu tengahari simple ja gulai ayam dan sayur campur yang aku masak. Aku ajak anak-anak buah makan sekali tapi mereka lebih tertumpu pada iPad dan laptop. Jadi aku makan sendirian.


No more miso soup for me...

Aku menyuruh Aliah dan Ariana supaya solat zuhur. Setelah melihat mereka dua-dua sudah solat baru rasa lega. Aku terlelap seketika setelah aku menunaikan solat asar. Terjaga dan mendengar suara Kak Ari di bawah, aku segera bersiap untuk keluar. Memang aku menanti ketibaan mereka pulang agar aku dapat keluar sekejap. 

Semasa aku turun ke bawah, Kak Ari, Khasmi, Hafiz dan Abang Amin sedang bersedia mau makan tengahari yang betul-betul sudah lewat. Aku meminta diri dengan mereka dan berangkat menggunakan basikal ke kedai 100 yen berhampiran Stesen Hotarugaike.

Perjalanan menggunakan basikal jauh lebih pantas berbanding berjalan kaki. Sesampainya di kedai 100 yen aku pun segera mencari beberapa barang keperluan (sebenarnya lebih kepada kehendak hehehe). Di sana aku juga beli satu pek biskut cip coklat buatan Malaysia. Memang ada beberapa jenis biskut buatan Malaysia yang dijual di kedai 100 yen. Baca isi kandungan dengan bantuan Google Translate, ditambah fakta ianya dibuat di Malaysia jadi aku yakin untuk beli dan makan. Lain kali mau cuba beli jenis-jenis lain pula. Hehe nanti nda pasal-pasal naik pula berat badan aku ni.

Sesampai di rumah aku pun berehat sebentar sementara menanti waktu maghrib. Selesai solat, Kak Ari mengajak aku makan kerang bakar.

Kerang bakar dengan perencah dari Muar.

Setelah makan kerang bakar sambung pula dengan keropok lekor yang dibawa Hafiz dan isteri.

Keropok lekor yang osem!

Kesimpulan makanan aku sepanjang hari ini adalah balas dendam! Betul-betul kurang sihat berbanding pemakanan aku di rumah Keiko yang kebanyakan masa menggunakan bahan organik dan cara masakan sihat. Ok la kira cuti la aku hari ni hehehe.

Abang Amin pulang dengan membawa alat pemanas minyak tanah yang baru dia beli. Aku betul-betul nda sangka akan berjumpa lagi benda ni selepas pergi dari rumah Keiko. Alhamdulillah pengalaman menggunakan alat pemanas ni di Sonobe, Kyoto ada juga gunanya. Aku membantu Abang Amin menyalakan alat pemanas tu untuk pertama kalinya.

Alat pemanas minyak tanah yang Abang Amin baru beli di bilik aku. Terima kasih!

Abang Amin kemudiannya menghantar alat pemanas baru tu ke bilik aku. Memang terbaiklah host aku orang-orang Malaysia di Jepun ni hehehe. Insya Allah malam ni aku tidur lena, tapi nda la terlampau lena sampai nda terbangun solat subuh!

****************************************************************
Walaupun akhiran blog aku minggu ni agak anti-climax sikit tapi begitulah kehidupan. Kita nda tahu apa yang tersusun buat kita sama ada esok, lusa, minggu depan dan bila-bila pun. Kita nda tau jika satu hari biasa boleh berubah menjadi luar biasa dalam sekelip mata. Dan kita hanya boleh berharap...


To be continued: Japan Story - Week 6