Tuesday, May 3, 2016

Weight-loss Journey: Plastic Surgery - Brachioplasty


(Amaran: Terdapat gambar yang mungkin menyebabkan sesetengah pembaca merasa kurang selesa.)

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada pembaca semua. Lama nda update dalam blog ni. Jadi sebab aku ada rajin sikit, aku tulislah entry kali ni.

Kali ini aku akan menceritakan tentang pembedahan yang aku jalani pada 23 April lalu. Sebelum tu aku mau bagitau lah kenapa aku memilih untuk menjalaninya. Apabila aku menurunkan berat badan, aku antara yang secara genetiknya kurang bernasib baik kerana keanjalan kulit tidak pulih. Setengah orang pula lebih beruntung bila mereka turun berat badan, kulit pun anjal kembali. Jadi aku yang mempunyai kulit kurang elastik ni terpaksalah berhadapan dengan kulit berlebihan di sana sini. Di lengan, dada, perut, paha, betis dan sebagainya.

Aku jadi kurang selesa dengan kulit aku sendiri. Bilang orang putih; not comfortable in my own skin. Jadi di situlah bermulanya kembara aku dengan pembedahan plastik di Hospital Queen Elizabeth. Dr. Siti telah merujuk aku ke Klinik Plastik dan pada 17 Februari 2016 aku telah bertemu Dr. Syamil (maaf kalau salah eja) dan Mr. Ramesh (pakar bedah plastik aku).

Sedang menanti giliran di Klinik Plastik.

Mr. Ramesh memberitahu aku pelan untuk menangani kulit berlebihan aku ni. Mereka akan menjalankan pembedahan brachioplasty (lengan) dan abdominoplasty (perut) terlebih dahulu barulah akan beralih ke pembedahan dada di suatu tarikh yang berbeza. 

Pada permulaannya mereka setkan tarikh pembedahan pada 5 April 2016 dan aku perlu masuk wad pada 4 April 2016. Tapi pada hari sama aku ada temujanji dengan dorang, jururawat telah menelefon aku dan memberitahu tarikh pembedahan telah dianjak ke 23 April dan perlu masuk ke wad pada 22 April. Maksudnya aku mempunyai masa selama 2 bulan untuk bersedia secara mental dan emosi untuk menghadapi pembedahan.


Masuk Wad

Pada 22 April 2016, aku mendaftar masuk di Hospital Queen Elizabeth 1. Aku masuk ke Wad Pembedahan Am 2 di Aras 8, Bilik 8, Katil 1.

Katil aku.

Tanda nama dan jarum IV.


Hari masuk wad ni nda banyak yang aku buat. Tandatangan surat kebenaran bius dan pada lewat malam baru berjumpa dengan doktor untuk kebenaran pembedahan. Bang Man datang melawat aku malam tu dan membacakan ayat-ayat suci Al-Quran agar pembedahan berjalan lancar.

Bang Man dan aku.

Esok aku dijadualkan sebagai orang kedua untuk dibedah. Budak 14 tahun yang di katil sebelah aku yang akan dibedah dahulu. Aku diminta berpuasa bermula 12 tengah malam. Aku disambungkan dengan air garam dan kemudiannya masuk tidur. 


Hari Pembedahan

Aku bangun awal untuk solat subuh. Pelbagai perasaaan muncul, teruja dan gementar silih berganti. Joshua, budak di sebelah katil aku dibawa pergi ke Dewan Bedah agak awal juga. Aku hanya berada di katil aku sambil menanti giliran dipanggil pula.

Aku diminta oleh nurse untuk menukar pakaian sebagai persediaan ke Dewan Bedah. Lama juga aku menanti dengan baju putih aku ni.

Selfie dulu... Pakcik di belakang tu 3 minggu sudah tinggal di wad ni.

Dalam jam 9.20 pagi, abang aku Irzan (Paci Zan) dan anak buah Asyran (Acan) datang ke wad. Kami masing-masing layan handphone sambil menanti aku dibawa ke Dewan Bedah.

Acan, Paci Zan dan aku.

Dalam jam 10.20 nurse menerima panggilan telefon untuk membawa aku ke Dewan Bedah, aku yang sedang khusyuk main game cakap dengan nurse tu, kejap ah... sekejap lagi game ni habis. Hehehe.

Khusyuk. Ish ish, bukannya baca Quran ka apa, main game pula!


Lebih kurang jam 10.25 pagi aku mula dibawa untuk pergi ke Dewan Bedah. Sempat jugalah pergi tandas sebelum tu. Risau kena pasang cateter, ngilu tu oi!

Sebelum nurse bagitau nda boleh ambil gambar, sudah Paci Zan snap hehehe.

Sebelum mula bergerak, satu lagi nurse menunjukkan borang-borang keizinan yang aku tandatangani semalam. Aku mengesahkan akulah yang tandatangan dan kemudian aku pun mula dibawa menuju ke Dewan Bedah di Aras 3. Paci Zan mengiringi aku yang dibawa dengan stretcher sehinggalah ke pintu lif. Mesti dia risau masa tu, terima kasih Paci Zan! Lega rasa bila ada yang merisaukan tentang diri ini. Yalah selepas ketiadaan ibu bapa, adik beradiklah peneman di kala suka dan duka.

Di Aras 3, aku diserahkan pula kepada nurse yang bertugas di Unit Dewan Bedah. Seperti tadi aku diminta mengesahkan tandatangan aku. Aku mengucapkan terima kasih kepada dua orang nurse yang menghantar aku dari Aras 8.

Aku kemudiannya dibawa ke tempat menunggu. Luas betul pula tempat ni, tempat menunggu ni lengkap dengan segala-gala yang boleh digunakan selepas orang dibedah. Mungkin untuk menstabilkan pesakit selepas dibedah.

Agak lama juga aku menunggu di sana. Mr. Ramesh pun singgah sebentar berjumpa aku selepas dia selesai pembedahan pertama. Dia tengok tangan dan perut aku dan cakap, banyak juga yang mahu dibuang ni. Dia kemudiannya pergi untuk berehat sebelum pembedahan aku pula. Masa tu aku betul-betul rasa mau kencing. Yalah semalaman bersambung dengan air garam, sejuk lagi tempat tu, aku pun panggil nurse yang menerima aku di Unit Dewan Bedah tadi untuk membawa aku ke tandas.

Dia membawa aku ke tandas dengan kerusi roda. Jauh jugalah tandas tu dari tempat menunggu aku tadi tu. Selepas melepaskan hajat, aku pun merasa lega. Nurse tadi pun membawa aku kembali ke tempat menunggu. 

Doktor bius berjumpa dengan aku di tempat menunggu. Dia membantu aku membuka baju dan kemudian membenarkan nurse membawa aku ke Dewan Bedah. Dalam jam 11 pagi jugalah aku dibawa ke Dewan Bedah tu.

Dalam Dewan Bedah sekali lagi aku diminta untuk mengesahkan tandatangan aku. Selepas itu mereka berbincang sebentar untuk kelancaran pembedahan kelak. Aku diminta duduk  sementara mereka bersedia. Ada yang mengira peralatan ada yang berbual sementara menunggu masa untuk melakukan tugasan mereka.

Aku diminta berdiri apabila Dr. Zara mula menyapu cecair kuning (iodin) ke seluruh badan aku. Aku berusaha menutup kemaluan kerana keseluruhan badan akan dilitupi dengan cecair tu. Oleh kerana banyak kawasan yang perlu disapu, nurse pun turut serta membantu Dr. Zara. Bila tiba waktu untuk menyapu ke bahagian sulit, terpaksalah, bogel keseluruhannya. Memang bergegar juga badan aku bila disapu tu, lain sejuknya. Dalam hati aku, di Jepun dengan salji pun aku boleh tahan, ni kan pula cuma aircond. Tapi nda bos, cuba ko bogel, kena sapu cecair dalam aircond, nda kau mengeletar?

Jam 11.25 pagi badan aku habis disapu dengan cecair kuning, kemudian aku pun diminta naik ke meja bedah. Tangan di letakkan di tempat yang disediakan, kaki dibungkus setelah dipasang blood pressure cuff, doktor bius memakaikan topeng oksigen ke muka ku, seorang lagi doktor memasukkan ubat bius dalam salur IV dan kelam, aku sudah tidak sedarkan diri.


Post Op

Aku sedarkan diri  dengan keadaan yang agak mamai di bahagian recuperation. Dalam keadaan belum sedar betul dorang beritahu aku yang abdominoplasty tidak dijalankan sebab nda cukup masa pembedahan dan ada berlakunya pendarahan. Aku merasa pedih di dada, dengan kepala yang belum waras aku buat kesimpulan sendiri dorang nda buat perut mesti dorang buat dada. Hahaha bengong!

Tangan yang masih agak sukar digerakkan kutujukan ke arah perut. Aku cuba merasa, ya memang betul kulit berlebihan di perut ku masih ada. Apabila aku betul-betul sudah sedar, aku dibawa semula ke Aras 8. Dalam jam 3.30 petang aku sampai di Katil 1, Bilik Lapan, Wad Pembedahan Am 2. Paci Zan dan Acan sudah menanti aku di sana.

Kak Amy, Intan, Luqman dan Arif pun datang untuk melawat aku. Kak Amy memesan kepada Acan untuk selalu lap-lap muka aku dengan tuala basah.

Muka high kesan ubat bius. Di tangan aku tu butang untuk morphine, kalau rasa sakit baru tekan.


Drain untuk cecair yang keluar dari tempat yang dibedah. Drain ada di kedua belah tangan.


Pergerakan tangan aku agak terhad juga selepas pembedahan tu. Tangan dibungkus sehingga bahu membuatkan pergerakanku seakan robot. Acan lah yang menyuapkan aku makan dan minum, menguruskan keperluan diri, menyempurnakan wudhu aku. Aku solat dengan berbaring sahaja, tetap bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk terus berada di dunia fana ini. Allah itu Maha Adil, dulu masa Acan masih bayi akulah antara pembantu arwah mama untuk menjaganya. Comel betul ni budak masa baby, selalu kena rebut kalau bawa ke klinik. Sekarang bujang betul sudah, single but not available hehehe.

Hari pertama post op (24 April 2016 - Ahad). Sama seperti hari sebelumnya semua keperluan aku Acan lah yang uruskan. Syukurlah kebetulan dia bercuti semester ngam-ngam masa aku kena bedah. Satu lagi aku rasa ada hikmah pembedahan abdominoplasty nda jadi dijalankan sebab kalau sekaligus, tentu lebih susah. Dan bila aku jalani abdominoplasty kelak, aku ada tangan yang baik untuk mengurus diri sendiri.

Acan menyuapkan aku makan.


Abang Irwan, Kak Manisah dan Iman melawat aku.

Hari kedua post op (25 April 2016 - Isnin). Hari ini buat kali pertama aku melihat tangan aku setelah dibedah. Bandage dibuka dan luka dibersihkan sedikit sebelum disembur dengan gam.

Bandage dibuka dan menanti untuk luka dibersihkan dan disembur gam.


Kak Afizah, abang aku Irfan (Paci Pan) dan anak buah Haziq datang melawat. Abang Surahman di luar bersama Acan dan Sajjad serta Paci Zan.

Selepas bandage dibuka, tangan lebih mudah bergerak jadi dapat makan sendiri.

Hari ketiga post op (26 April 2016 - Selasa). Hari ini aku banyak mengurus diri aku sendiri. Ketika Acan masih tidur, aku berus gigi, cuci muka dan syampu rambut sendiri di kamar mandi. Rasa sangat segar bila melakukannya. Hari-hari sebelumnya Acan lah yang terpaksa buat untuk pakciknya ni.

Hari ini Dr. Syamil memberikan green light untuk aku discaj. Alhamdulillah nda lama aku kena tahan di hospital. Perkara yang aku nantikan adalah masa untuk drain dikeluarkan. Memang menyusahkan betul membawa drain tu ke hulu ke hilir.

Menanti masa drain dikeluarkan.


Drain dicabut, nurse menyediakan urusan discaj dan aku menghubungi Paci Zan. Alhamdulillah bil semuanya telah diuruskan. Inilah kelebihan menjadi tikus mondok hehehe. Acan aku suruh pergi mengambil ubat di farmasi. Sementara itu aku membersihkan diri, mencuci muka dan bersyampu. Aku juga menukar pakaian aku. Setelah Acan datang kembali, kami pun mengemas semua barangan dan bersedia untuk pergi.


Packed and ready to go home!

Aku mengucapkan terima kasih kepada nurse yang ada. Aku katakan kepada mereka, sampai jumpa lagi!

Aku dan Acan menaiki teksi ke Sabah Oriental Hotel di mana Paci Zan sedang menunggu. Kami berehat sebentar sementara menanti Paci Pan sampai dari Papar untuk membawa kami pulang.

Sudah berada di rumah. Abang Mohamad, Kak Amy dan anak-anak datang melawat.

Hari ke-9 post op. 2 Mei 2016 (Isnin) adalah tarikh staples aku dibuka. Gaffar yang tidur semalam di rumahku membawa aku ke Hospital Papar pada jam 8 pagi. Aku pergi ke Bilik 9 tapi nurse tu cakap tiada peralatan jadi dia menyerahkan aku kepada Unit Kecemasan untuk membuka staples tersebut.

Macam Frankenstein da....


SN Fazila di Unit Kecemasan Hospital Papar sedang mencabut staple dari tangan aku. Gambar curi guna tangan kiri.

Setelah membuka kesemua staples di tangan kanan dan kiri, aku dan Gaffar pergi ke Kinarut untuk mengambil bajunya. Kemudian kami bersarapan bersama di Lydia's Cafe. Kami seterusnya pergi membeli beberapa barangan untuk dibawa ke Mini Reunion FiScA2000 di rumah Cikgu Dayang Sabariah.

Kami balik ke rumah dahulu supaya aku dapat mandi dan seterusnya solat zuhur. Rasa sangat segar apabila dapat mandi keseluruhan badan. Setelah solat aku pun mula memakai pakaian untuk majlis reunion. Bila sahaja aku membutangkan baju, darah mencurah-curah keluar dari bahagian ketiak kanan aku. Aku menanggalkan semula pakaian aku dan memakai t-shirt dan seluar basahan. Aku meminta Gaffar untuk membawa aku ke Unit Kecemasan Hospital Papar. Aku katakan kepadanya agar pergi sahaja ke majlis tu tanpa aku.

Di Unit Kecemasan, petugas di sana meletakkan gauze dan membalut lengan aku. Kemudian aku mendaftar dan menunggu giliran berjumpa doktor. Apabila sampai giliran aku, darah sudah berhenti mengalir dan Doktor Edwin membekalkan aku dua pek gauze dan berpesan kepada aku sekiranya darah keluar lagi, letak di tempat darah keluar dan kenakan tekanan di sana. 

Aku menghantar mesej kepada Gaffar yang aku sudah ok. Terharu juga dia sanggup mau ambil aku di hospital dari rumah Cikgu Dayang Sabariah di Kinarut. Sementara menanti Gaffar sampai, aku menunaikan solat Asar di hospital.

Gaffar sampai dan kejutannya dia datang bersama Acho dan Rincent. Wah meriahnya! Aku lebih banyak mendengar ja cerita dorang, mungkin sebab baru tumpah darah hehehe.

Kami sampai di rumah Cikgu Dayang Sabariah dan cikgu terus mempelawa aku duduk di sofa. Baru sahaja mula bercerita, darah aku bocor lagi. Membuak-buak darah keluar dan cikgu merasa panik. Cikgu memberikan aku tisu dan kain untuk mengelap darah yang keluar. Baju dan seluar aku basah dengan darah. Aku meminta Gaffar mengambil gauze yang diberikan Doktor Edwin tadi dari dalam kereta. Setelah mendapat gauze, aku terus meminta diri ke tandas untuk cuba menghentikan pendarahan.

Aku meletakkan gauze dan mengepit tangan aku. Aku cuba siram lantai tandas yang bertitikan dengan darah. Adoi, bau darahlah rumah orang pasal aku! Setelah darah kurang keluar aku pun menyertai semula majlis. Acho membacakan doa dan kami pun makan-makan. 

Mini Reunion FiScA2000 dengan aku yang berbau darah hahahah.

Agak lama juga kami makan-makan sambil bercerita. Tangan aku sebenarnya terasa sakit ketika itu, tetapi aku nda mau merosakkan majlis. Aku akan tahan sehinggalah majlis tamat.

Kek untuk reunion dan juga untuk Cikgu Dayang dan Gaffar yang meraikan harijadi pada bulan April. Tangan aku tu begitulah, aku kepit ja hehehe.

Setelah selesai semuanya kamipun mengucapkan selamat tinggal. Kemudian aku dan Gaffar dalam perjalanan ekspres ke Unit Kecemasan Hospital Papar. Aku sangat-sangat berterima kasih kepada Gaffar yang akan meneruskan perjalanan balik ke Kuala Penyu.

Di Unit Kecemasan aku terus ja dibawa ke bilik prosedur. Bila balutan dibuka rupanya tempat bocor bukan di ketiak tapi bukaan di tengah lengan. Terpaksalah diberi dua jahitan untuk menghentikan pendarahan. Baru juga dibuka staples pagi tadi, malamnya dijahit lagi hehehe.


UPDATE:

Hari ke-10 post op (Selasa - 03 Mei 2016). Bandage yang membaluti tangan nampak dibasahi darah. Aku letakkan gauze di hujung bandage untuk elakkan darah atau apa-apa cecair dari mengalir keluar. Aku sekali lagi ke Unit Kecemasan Hospital Papar dan terus diminta ke Bilik 9 untuk luka aku diperiksa. Bila bandage dibuka, darah masih mengalir dan sister di sana meminta lelaki yang buka bandage aku tu untuk memanggil doktor. 

Doktor masuk memeriksa luka aku, lega bila dia suruh dressing saja dan tekan sedikit di bahagian yang mengeluarkan darah dengan gauze.


Hari ke-11 post op (Rabu - 04 Mei 2016). Aku ke hospital lagi hari ini sebab semalam aku tengok bandage aku masih basah dengan darah. Jadi aku risau la sikit takut kurang pula darah aku nanti hehe. Aku menunggu giliran di Unit Pesakit Luar dan alhamdulillah aku pesakit pertama untuk Bilik 7.

Doktor Ling meminta aku pergi ke Bilik 9 supaya dia dapat memeriksa luka. Bila bandage dibuka nurse di Bilik 9, kelihatan darah masih lagi aktif keluar. Doktor yang melihat keadaan tu suruh nurse buat dressing dan setelah siap aku dia minta berjumpa semula dengannya di Bilik 7.

Selesai dressing luka, aku berjumpa semula dengan Dr. Ling. Dia memberikan preskripsi ubat Tranexamic Acid 250mg untuk cuba menghentikan pendarahan.


Hari ke-12 post op (Khamis - 05 Mei 2016). Rasa gembira juga pasal aku rasa ubat yang diberi macam berkesan. Bandage pun nampak lebih bersih, nda terlampau basah dengan cecair yang keluar dari luka.

Malamnya aku dan Acan diajak Kak Fiza dan Abang Surahman untuk membeli barangan dapur di GMart. Baru ja siok menengok ikan basung, darah bocor lagi! Baju aku basah dengan darah. Aku cepat-cepat beritahu Kak Fiza dan meminta untuk dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Papar. Kak Fiza sempat membelikan tuala untuk aku gunakan untuk menekan kawasan luka aku agar darah berhenti membasahi baju. Selepas menerima tuala dari Sajjad, aku terus kepit tuala tu di bawah ketiak aku. Yalah masa hari Isnin tu bahagian ketiak yang bocor jadi aku fikir mungkin di sana lagi bocor kembali.

Di hospital, selepas mendaftar dan mengambil nombor aku menanti di kerusi yang disediakan. Aku dipanggil untuk diperiksa tekanan darah, tapi seperti biasa kena periksa di bahagian kaki. Masih tinggi juga tekanan darah aku. Bila dorang nampak baju aku basah dengan darah, dorang suruh aku terus masuk ke dalam. Dr. Edwin yang bertugas malam tu bila nampak aku terus tanya, "Berdarah lagi?"

Aku jawab ya dan dia suruh nurse bawa aku ke bilik prosedur. Aku buka baju, Dr. Edwin masuk dan memeriksa luka dan cakap kena jahit sikit untuk menghentikan darah. Nurse pun mula bersedia untuk menjahit luka aku yang bocor. Nurse tu cakap perlu satu jahitan ja di bahagian ketiak jadi kalau bius tiga kali cucuk la aku. Jadi aku cakap sama dia, nda payah la bius. Adoi bestnya rasa kulit kena jahit. 

Bila selesai nurse tadi perasan ada pendarahan di bahagian bawah pula, berdekatan siku. Dia cakap kena jahit juga ni, aku pun dengan rela dijahit lagi tiga jahitan di bahagian sana. Maksudnya malam ini aku terima 4 jahitan tanpa bius! Bahagianya rasa di hati...

Siap dressing, aku nda pakai semula baju aku yang berlumuran darah. Aku hanya menutup badan aku dengan tuala yang Kak Fiza beli tadi. Kami seterusnya menyambung misi awal kami tadi iaitu membeli barang dapur di GMart. Kak Fiza keluar dulu untuk membelikan aku baju baru di GMart sementara aku dan Abang Surahman menunggu di kereta. Selepas pakai baju barulah aku join dorang untuk membeli barangan. Terima kasih Kak Fiza dan Abang Surahman, belanja beli barang dapur pula untuk aku dan Acan.

Kami singgah makan di kedai makan berhadapan CKS sebelum pulang ke rumah.


Hari ke-14 post op (Sabtu - 07 Mei 2016). Aku nda pergi cuci luka kelmarin, biar sahaja apa-apa cecair atau darah yang keluar berkumpul dan hanya hari ini aku pergi ke Hospital Papar untuk cuci luka di Bilik 9 Unit Pesakit Luar. Kelmarin dan hari ini memang terasa juga bekas jahitan tanpa bius tu, nyilu sekali sekala terasa. Aku ke hospital dengan Lai Lai sebab Bang Wan dan Kak Manis nda menjawab mesej aku pagi itu.

Bandage dibuka dan kelihatan darah masih lagi mengalir. Degil betul juga darah ni, nda berhenti mau mengalir. Nurse mencuci luka aku dan meletakkan dua lapis helaian kapas tebal berbentuk segi empat di bahagian luka untuk menyerap apa-apa darah atau cecair yang keluar sehinggalah hari untuk dressing semula iaitu Isnin, 09 Mei 2016.


Hari ke-16 post op (Isnin - 09 Mei 2016). Aku pergi ke hospital dengan Paci Pan pagi ni. Bandage kelihatan lebih bersih kerana sudah kurang cecair yang keluar. Aku katakan kepada nurse yang mungkin hari ni hari terakhir aku akan cuci di sana sebab hari Khamis aku ada temujanji di Klinik Plastik di Hospital Queen Elizabeth 1. Nurse tu cakap, datang lagi hari Rabu supaya bersih luka aku bila jumpa doktor nanti.


Hari ke-18 post op (Rabu - 11 Mei 2016). Paci Zan bawa aku ke hospital hari ni selepas menurunkan Paci Pan di pejabat. Lama juga menunggu giliran, sempat juga mengambil-ambil gambar untuk Instagram. Aku terserempak dengan Siti Laila hari ni yang bertugas di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Papar. Sempat juga bercerita sambil menunggu giliran dipanggil di Bilik 9.

Aku kelam kabut masuk bila melihat orang yang menunggu di hadapan Bilik 9 tadi sudah keluar. Hari ini sister yang cuci luka aku. Sister ni dari arwah bapa aku, arwah mama aku, sampailah aku masih setia bertugas di sini. Alhamdulillah bila bandage dibuka tiada lagi cecair yang keluar. Akhirnya berhenti juga!


Hari ke-19 post op (Khamis - 12 Mei 2016). Hari yang aku tunggu-tunggu telah tiba akhirnya! Hari untuk STO atau buka jahitan yang kebetulan sama dengan hari aku berjumpa doktor di Klinik Plastik, Hospital Queen Elizabeth 1.

Aku tumpang Paci Pan ke Pekan Papar. Sempat lagi aku beli-beli kuih sebagai bekalan ke Kota Kinabalu nanti. Di Hospital Queen Elizabeth 1, aku ke Unit Hasil dulu sebelum ke Klinik Plastik. Aku mendapat nombor giliran yang ke-4 dan nombor pesakit yang sedang bertemu doktor adalah nombor 3. Alhamdulillah tidak perlu menunggu lama.

Nombor aku dipanggil, aku pun masuk dan berjumpa Doktor Sobri. Aku terus diminta masuk ke satu bilik supaya Dr. Sobri boleh memeriksa bahagian yang dibedah hampir 3 minggu lepas. Dr. Sobri kelihatan lega melihat luka aku cuma risau sikit sebab ianya masih bengkak. Dia mengambil gambar untuk diberikan kepada Mr. Ramesh dan meminta nurse buka jahitan dan mencuci setelah dibuka. Alhamdulillah setelah sekian lama akhirnya aku bebas dari apa-apa staples atau jahitan benang.

Setelah siap aku diminta Dr. Sobri untuk menanti sebentar di luar sementara dia menunggu apa-apa keputusan dari Mr. Ramesh. Sempat aku makan kuih di luar waktu menanti. Kemudian Dr. Sobri sendiri memanggil aku masuk ke dalam. Dengan buku jadual pembedahan, kami memilih 12 Julai 2016 untuk peringkat seterusnya: Abdominoplasty!


Hari ke-27 post op (Jumaat - 20 Mei 2016). Aku ke hospital hari ini dihantar Paci Zan dengan menggunakan kereta Paci Pan. Isnin lepas (16 Mei 2016) aku rasa seperti demam di waktu malam. Susah betul aku mau tidur sebab tangan kanan aku yang terasa sangat sakit. Dari Isnin sehinggalah aku ke hospital hari ni, tangan aku terus membengkak.

Khamis (19 Mei 2016) ada juga aku bagitau Dr. Siti pasal tangan aku ni. Dia berpendapat mungkin jangkitan kuman dan syorkan aku ke HQE1 untuk berjumpa doktor Plastik. Aku telefon Klinik Plastik dan nurse di sana memberitahu aku kena pergi ke hospital berdekatan dahulu sebelum pergi terus ke sana. Lagipun memang tiada doktor di klinik. Hanya selepas hospital berdekatan tidak dapat buat apa-apa untuk membantu aku, barulah aku boleh terus ke Unit Kecemasan HQE1.

Itulah sebabnya aku berada di Hospital Papar hari ni. Tidak juga tunggu giliran lama sebab nda ramai pesakit pagi ni. Dr. Ling yang memeriksa aku berpendapat aku mendapat jangkitan kuman, jadi dia bagi prekripsi antibiotik (Cloxacillin 500 mg), anti-radang (Prolase) dan juga tahan sakit (Paracetamol 500 mg). Dia cakap kalau ada nanah keluar, terus ja pergi ke hospital.

Hampir sebulan post op, masih juga tangan kananku ini belum sembuh sepenuhnya. Doktor pun suruh aku jangan banyak buat kerja sementara tanganku masih bengkak ni.

Doakan kesembuhan yang pantas buat aku ya...
(swollen stil...)

*************************************************************************

Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan juga secara tidak langsung dalam pengembaraan aku ni. Terima kasih kepada para doktor, para jururawat, jururawat pelatih, attendant, sahabat handai serta keluargaku yang selalu memberikan doa, kata-kata semangat dan dorongan kepada aku.

Terima kasih Paci Zan!
Terima kasih Acan!
Terima kasih semua!