Monday, November 16, 2015

Japan Story - Week 3

Salam semua. Telah tiga minggu aku berada di Jepun. Seminggu sudah aku jadi pekerja sukarela (wwoofer) di Sonobe, Kyoto. Post ni agak panjang, jadi yang nda rajin membaca tu boleh scroll cepat-cepat tengok gambar ja ok hehe. Bagi yang belum membaca Japan Story - Week 1 dan Japan Story - Week 2 bolehlah klik di link yang aku bagi tu.


09 November 2015 (Isnin)

Seperti biasa aku bangun awal untuk subuh. Aku mandi awal untuk menyegarkan badan. Rasa teruja juga sebab inilah hari pertama aku sebagai wwoofer. Dalam jam 7.30 pagi Keiko mengajak kami semua untuk bersarapan bersama.

Bubur nasi dengan pelbagai topping serta nasi yang digaul cuka, gula, sayuran, dan bilis.

Keiko bagitau kami yang kami akan memulakan kerja hari itu pada jam 8.30 pagi. Selepas sarapan pasal ada lagi masa aku pusing-pusing kawasan rumah untuk menikmati pemandangan.

Pokok-pokok yang ada di hadapan rumah.

Pandangan hadapan pintu masuk rumah.

Lumut banyak tumbuh di sini mungkin kerana suhunya yang sejuk.

Kabus di waktu pagi.

Puncak yang dilitupi kabus.

Keiko cakap ni tempat macam yang dalam Totoro tu. Kalau buka pintu ja gelap sangat macam ada dust rabbit berlarian.

Old and new.

Tepat jam 8.30 pagi Keiko mengajak aku, Wilson dan Trevor ke ladang sayur. Ladang sayur tu dekat saja jalan kaki nda sempat ngos-ngos sudah sampai. Hari ni hujan jadi kena pakai baju hujan la kami semua. Keiko cakap walaupun hujan terpaksa juga kerja sebab ada pesanan yang kena dipenuhi. Aku dan Trevor duduk di belakang trak, manakala Keiko dan Wilson di dalam. Aku hanya mampu senyum ja la sama Trevor pasal baru jumpa kan, belum kenal lagi. Nda tau pun apa mau dicakap.

Sampai di ladang aku perhatikan ada pelbagai jenis sayuran yang ditanam. Semuanya segar-segar dan 100% organik. Aku nda berani mau ambil gambar masa kerja di ladang. Yalah baru sampai nda kan menggambar ja kerja aku. Tugas pertama kami adalah memetik lada. Sesudah itu kami masing-masing diberikan tugas untuk memetik sayuran. Keiko juga memperkenalkan kami sayur-sayuran yang ada di sana yang kena dipetik. Selepas lebih kurang sejam tugasan kami pun habis. Jadi kami kembali semula ke garaj dengan trak Keiko.

Radish dan lobak yang dipetik di ladang.

Hasil tuaian hari ini.

Sesampai di garaj Keiko kami diberikan tugas mencuci hasil tuaian. Keiko menunjukkan dengan tekun cara-cara mencuci dan mengeringkan radish dan lobak. Radish dan lobak dibungkus Keiko untuk diambil syarikat penghantaran yang akan menghantar tuaian hari ini segar ke Suita, Osaka.

Mana-mana hasil tuaian yang tidak mencapai standard dibawa pulang untuk kami makan.

Tuaian yang kena reject. Padahal kalau di Malaysia masih tahap baik masih.

Selepas Zuhur sementara menanti waktu makan tengahari aku pun ambik gambar di sekeliling bilik utama, bilik tidur Wilson yang juga tempat kami semua makan bersama.

Rumah ni rumah lama. Hampir seratus tahun jadi barangan pun memang antik.

Pintu shoji untuk bilik aku.

Jam 1 tengahari Keiko mengajak kami makan tengahari. Menunya adalah nasi putih dengan sup miso serta stew baki tempura semalam. Selain tu radish putih yang di parut dan radish merah yang dijeruk sebentar.

Menu makan tengahari. Oishikatta desu!

Hujan masih turun lagi membuatkan Keiko nda tau mau suruh kami buat apa. Akhirnya Keiko pun meminta kami untuk mengemas garajnya yang agak berserabut sementara dia pergi ke pekan untuk membeli bulb lampu dan beberapa barangan keperluan.

Sesudah selesai kami pun kembali ke rumah. Keiko menyuruh kami berehat sebentar sementara dia menyediakan makan malam. Aku sebenarnya mau betul menolong dia di dapur tapi dia awal-awal lagi bagitau yang beberapa kawasan adalah kawasan larangan, hanya dia saja yang boleh pegi. Dia cakap kalau dia masak dia ke hulu ke hilir jadi memang susah mau keep up dengan dia.

Dalam jam 6.40 makan malam sudah siap dihidangkan. Lepas isyak jugalah makan malam. Oh ya lupa mau bagitau waktu solat sini adalah: Subuh (5.00 pagi), Zuhur (11.41 pagi), Asar (2.34 petang), Maghrib (4.56 petang) dan Isyak (6.17 petang).

Sup bebola ikan sardin dengan sayuran dengan tauhu tumis, tomato ceri, jeruk radish, jeruk rumpai laut dan nasi putih.

Selepas makan aku, Wilson dan Trevor duduk bersama di kawasan snek sambil mula untuk tahu tentang diri masing-masing. Wilson yang paling awal sampai di rumah Keiko iaitu pada 30 Oktober, diikuti dengan Trevor pada 6 November dan aku pada 8 November. Jadi Wilson dan Trevor ni lebih rapat la sebab dorang lebih awal kenal. Aku nda kisah sebab aku tahu lama kelamaan kami akan mula kenal antara satu sama lain.

Trevor mempelawa aku dan Wilson minum teh herba yang dia bawa dari Hawaii. Lupa pula bagitau yang Trevor ni lahir di Seattle, Washington. Membesar di California dan beberapa tahun sudah menetap di Hawaii.

Teh herba yang Trevor bawa. Aku google kava ni rupanya macam daun kaduk tapi berlainan spesis.

Setelah lama berborak kami pun masuk ke bilik masing-masing untuk berehat.



10 November 2015 (Selasa)


Hari ini Keiko siap menyediakan sarapan pada jam 7.40 pagi. Menu sarapan hari ini adalah nasi putih, sup miso, ikan bilis, jeruk kucai, jeruk rumpai laut dan teh hijau.

Menu sarapan yang mudah tapi sedap!

Sesudah bersarapan kami berehat sebentar sebelum ke ladang. Ramalan kaji cuaca mengatakan hari ini akan mendung namun hujan tetap turun renyai-renyai. Kami ke ladang menaiki trak Keiko dengan aku dan Trevor di belakang trak dan Wilson dan Keiko di hadapan. 

Sesampai kami di ladang, Keiko mengarahkan Wilson dan Trevor untuk mengeluarkan barang serangga dan ulat dari tanaman. Sementara dia membawa aku ke pasar komuniti yang menjual hasil tanaman organik penduduk setempat. 

Aku dan Keiko meninggalkan Wilson dan Trevor di ladang sementara kami kembali ke rumah untuk membungkus sawi untuk di bawa ke pasar komuniti. Keiko mengajar aku cara-cara membersihkan sawi, menimbang dan membungkus. Keiko kemudian melekatkan tanda harga yang siap tertulis nama peladang. Harga sawi organik tersebut adalah 100 yen atau RM 3.55. Selesai membungkus kami pun meletakkan sayur di belakang trak dan menutupnya dengan tarp.

Hujan turun dengan agak lebat sepanjang perjalanan ke pasar komuniti. Dalam 15 minit kami sampai dari rumah ke pasar komuniti. Aku membantu Keiko membawa sayur ke dalam premis yang kecil tu. Keiko memperkenalkan aku kepada semua yang ada di sana. Semuanya melemparkan senyuman kepada aku. Sebab bahasa Jepun aku sudah hilang dari memori jadi nda la aku berani mau cakap banyak-banyak.

Seorang pakcik yang meletakkan buah Kaki @ persimmon di kedai tu memberikan secara percuma kepada Keiko dua biji buah Kaki yang berharga 100 yen setiap satu. Keiko rasa terhutang budi lalu membeli dua bungkus Kaki pakcik tu. Tapi pakcik tu top up lagi sebungkus Kaki. Masya Allah... Baik sungguh orang-orang di sini. Di Malaysia, jarang la kau kena bagi barang-barang percuma ni.

Selesai berurusan di pasar komuniti, kami beredar kembali ke ladang untuk mengambil Wilson dan Trevor yang sudah kebasahan ditimpa hujan. Sesampai di rumah, Keiko menyuruh kami berehat sebentar untuk menikmati buah Kaki yang dibeli dan diberi.


Kepuasan makan buah Kaki @ persimmon.

100 yen (RM 3.55) sebiji ok... Terima kasih pakcik!

Selesai berehat, kami dibawa ke garaj untuk membersihkan labu. Trevor ternampak basikal Keiko yang rosak lalu menawarkan diri untuk membaikinya. Aku dan Wilson membersihkan labu sementara Trevor membaiki basikal Keiko.

Trevor hampir selesai membaiki basikal. Memang campin ni anak.

Labu-labu yang hendak dibersihkan.

Oleh kerana kami kerja dengan pantas, Keiko bingung sekejap memikirkan apa lagi yang dia mau kami buat. Akhirnya Keiko meminta kami membersihkan halaman rumah sementara dia menyiapkan makan tengahari.

Halaman rumah yang dilitupi dedaunan gugur dan rumput yang menguning.

Wilson sedang mengakai rumput.

Dedaunan luruh di musim luruh.

Dalam jam 12.45 tengahari, makanan sudah sedia dimakan. Menu tengahari hari ini adalah ala Western.

Potato salad dan pickled radish.

Spaghetti with tomato sauce. 

Sesudah makan, kami berehat sebentar sebelum keluar semula ke ladang pada jam 1.45 petang. Tugas utama kami di ladang hari tu adalah untuk menjarakkan tanaman yang tumbuh dengan rapat. Pertama sekali kami menjarakkan tanaman lobak merah yang mana kata Keiko masa kecil perlu rapat, tapi masa besar perlu berjauhan untuk jadi lebih besar. Setiap pokok dijarakkan dalam seinci. Pokok lobak yang dicabut dikumpulkan untuk dijual. Selepas itu kami masing-masing ditugaskan untuk menjarakkan sayuran berbeza.

Pandangan ladang sayuran.

Sayuran organik tumbuh dengan subur.

Masa untuk pulang!

Mentari hampir turun.

Sungai dan udara yang segar. Memang sorga la...

Membayangkan di sini la kartun Totoro dibuat hehe.

Sesampai di garaj, kami diminta Keiko untuk mencuci lobak-lobak kecil yang kami cabut tadi. Ada dua kontena lobak-lobak kecil itu namun hanya satu yang kami dapat siapkan kerana hari sudah semakin gelap. Kami pun balik ke rumah yang hanya beberapa meter di belakang garaj. Kami diminta berehat-rehat dulu sementara Keiko menyediakan makan malam.

Dalam jam 6.40 Keiko sudah menyediakan makanan. Setakat ni Keiko sentiasa masak menu berlainan setiap kali. Keiko ni sangat pandai masak sekejap ja siap la masakan dia.

Menu makan malam: Nasi putih dengan stew tauhu dan sotong, jeruk radish dan ketumbar segar.
Keiko juga menyediakan sos-sos pedas untuk kami: paling rendah botolnya yang paling pedas bikin telinga merah. No. 2 pedas yang paling tinggi. No.3 yg tengah-tengah.

Kerana cuaca yang semakin sejuk, Keiko menyediakan pemanas yang menggunakan minyak tanah sebagai sumber bahan api. Bau yang dikeluarkan alat ni sama betul dengan dapur minyak tanah yang pernah kena pakai masa aku kecil-kecil dulu. Terus nostalgia terkenang masa lalu. Tersimbah air panas, aduhai...

Alat pemanas yang menggunakan minyak tanah.

Keiko menunjukkan aku cara memasang alat ni. Dia cakap kalau nda tahan sejuk, bawalah benda ni masuk ke bilik. Malam tu sejuknya masih boleh aku tahan jadi aku pun tidur tanpa pemanas tapi baju berlapis-lapis dan comforter dua helai hehehe.


11 November 2015 (Rabu)

Hari ini mentari pagi menyinari Sonobe, Kyoto. Berbeza dengan hari-hari sebelumnya yang malar mendung dan kekadang hujan. Setelah mandi dan bersiap aku keluar untuk menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi.

Cahaya mentari mula menampakkan diri.


Semuanya seolah disuluh cahaya.






Mentari yang akhirnya menunjukkan diri.

Selesai menikmati keindahan, aku memetik snake strawberry yang tumbuh meliar. Memang langsung nada rasa seperti mana Keiko beritahu. Tapi rasanya kalau bikin jem mesti sedap ni.

Snake Strawberry.

Dalam 7.40 pagi Keiko mengajak kami semua bersarapan. Menu pagi ini adalah bubur nasi dan sayur serta jeruk rumpai laut, jeruk kucai dan bilis.

Sarapan pagi. Simple tapi sedap!

Sesudah sarapan, dalam jam 8.30 pagi Keiko mengajak aku dan Trevor ke garaj untuk sambung semula mencuci lobak merah kecil yang masih berbaki dari kelmarin. Hari ini merupakan hari cuti buat Wilson, jadi hanya aku dan Trevor berdua sahaja melakukan tugasan mencuci lobak merah kecil. Keiko menghantar Wilson ke Stesen Sonobe yang jaraknya 14 km dari rumah kami tinggal, sementara kami memulakan kerja kami.

Trevor mencuci lobak merah kecil. Punya la sejuk air ni bikin begegar badan.

Sekembali Keiko dari menghantar Wilson, dia pun mula membungkus sayur-sayuran untuk penghantaran. Jadi setelah siap dibungkus sayur-sayuran tersebut akan diambil syarikat penghantaran untuk dihantar ke bandar yang mana akan membuatkan harga sayuran itu meningkat sehingga tiga kali ganda.

Lobak yang kami cuci kelmarin telah siap untuk penghantaran. Kotak dan plastik tu aku dan Trevor yang sediakan.

Sayur-sayuran lain yang dipetik kelmarin turut sedia dihantar. Sawi yang aku dan Keiko hantar ke pasar komuniti tiada orang beli jadi dia bagi free ja.

Melihat kembali senarai pesanan Keiko sedar ada lagi radish yang perlu dipetik. Jadi dia ke ladang untuk memetik radish sementara aku dan Trevor terus mencuci lobak merah kecil yang nda pandai habis.

Sekembalinya Keiko dari ladang, dia meminta kami mencuci radish yang dia petik terlebih dahulu kerana takut tidak sempat untuk dibungkus. Kemudian kami menyambung semula kerja kami. Jam 11.30 Keiko menyuruh kami berhenti mencuci lobak merah tu dan berehat sementara dia menyediakan makanan tengahari. Lupa pula bagitau si Trevor ni light vegetarian, jadi menu kami sama ja. Dia nda boleh makan telur dan produk tenusu. Jadi penyediaan makanan Keiko untuk kami berempat adalah berdasarkan pemakanan aku dan Trevor.

Hari ni makan tengahari agak lewat berbanding biasa. Menu makan tengahari adalah tauhu dengan bonito flakes, sup miso, dan nasi yang digaul cuka, sayuran dan sedikit gula.

Menu makan tenghari.

Jam 1.45 kami dibawa Keiko ke ladang. Keiko meninggalkan kami di sana setelah memberitahu apa yang perlu dibuat. Dia cakap dia banyak sangat urusan jadi kami perlu balik dengan berjalan kaki. Tugasan kami petang itu adalah untuk mencabut pokok-pokok tomato yang sudah melayu. Walaupun rasa sayang sebab tomato masih bergantungan, Keiko cakap ini masa untuk tumbuhan lain lagi. Sebanyak tiga baris yang perlu aku dan Trevor bersihkan. Kami menyiapkan kerja pembersihan dalam masa lebih kurang sejam. 

Kemudian kami menyambung tugasan kedua kami iaitu menggemburkan dua baris batas untuk tanaman. Penat juga mencangkul dan menggemburkan batas ni. 4.30 petang kami berhenti sepertimana yang diarahkan Keiko. Kami berjalan kaki sendiri ke rumah dengan cangkul dan pencakar masing-masing di bahu. Memang betul-betul nampak macam petani sudah kami. Trevor singgah lagi pergi ambil buah Kaki di bukit. Ntah siapa punya la dia pegi kebas tu. Alhamdulillah sebab kami berdua ja hari ni, kami lebih banyak mengenali antara kami. Lain juga tu kalau kami dua tapi diam ja, nda janggal ka tu?

Kami meletakkan peralatan di dalam garaj dan kembali ke rumah. Keiko masih belum balik lagi. Aku pun kelam kabut menunaikan solat asar kerana masa telah hampir habis. Aku seterusnya menunaikan solat maghrib. Keiko pun balik setelah beberapa ketika. 

Aku pun lepak dengan Trevor sementara Keiko menyediakan makan malam. Bilik utama iaitu bilik Wilson menjadi tempat pilihan kami lepak sebab dia ada kotatsu (meja yang ada pemanas di bawahnya). Selain itu, Keiko juga telah memasang sedia alat pemanas di sana. Jadi memang wajarlah di sana tempat pilihan kami untuk lepak.

Jam 6.40 malam makanan sudah tersedia. Makanan istimewa Keiko sediakan untuk kami malam itu; grilled salmon, salad dengan dressing ringan, grilled radish, sup labu merah, ikan bilis dan nasi putih.

Menu istimewa untuk aku dan Trevor.

Lepas makan kami lepak lagi di bilik Wilson. Lepas cerita-cerita sikit, Trevor baring dan memasukkan kaki di bawah kotatsu. Kami masing-masing melayan handphone. Masing-masing sudah penat, nda lama kemudian sudah terdengar dengkuran si Trevor. Aku pun meninggalkan dia tidur di sana kemudian mengangkat alat pemanas yang terletak di ruang makanan ringan masuk ke bilik. Aku menyalakan pemanas tersebut, menyediakan tempat tidur dan zzzzzz.


12 November 2015 (Khamis)

Oleh kerana tidur sangat awal, terbangun pun sangat awal. Ngam juga la sebab belum lagi sembahyang Isyak. Rasa lemas juga dengan bau yang dikeluarkan dari alat pemanas tu setelah habis minyaknya. Selepas sembahyang dan membuka pintu sedikit aku tidur semula.

Aku terbangun dalam 5.30 pagi, agak lewat berbanding hari-hari sebelumnya. Aku pun menunaikan solat subuh dan sesudah itu menaip entry dalam blog aku ni. Dalam jam 6.00 pagi aku pun mandi, selepas itu bersiap. Hari ini aku mencuci beberapa helai pakaian aku dengan mesin basuh automatik Keiko yang berada di luar rumah. Memang sejuk! Asap berkeluaran dari mulut (nda payah bervape segala) masa mencuci pakaian aku. Aku biarkan mesin basuh menjalankan tugasnya sementara aku sambung menaip entry dalam blog.

Jam 7.40 pagi Keiko telah siap menyediakan sarapan pagi. Menu sarapan hari ini adalah nasi putih, sup miso dengan bebola lembut berprotein, bilis, radish dengan sos ikan dan bubuk, jeruk rumpai laut dan jeruk daun perilla.


Menu sarapan.

8.30 pagi kami di bawa Keiko ke garaj. Tugasan pertama kami adalah memilih lobak-lobak kecil yang kami petik dan cuci sepanjang dua hari lepas untuk dibungkus mengikut saiz yang sesuai. Aku dan Wilson memilih lobak-lobak kecil mengikut saiz sementara Trevor membuang daun-daun yang kurang cantik sambil menimbang dan membungkus. Harga sebungkus lobak merah kecil itu adalah 150 yen atau RM 5.36 untuk pek 200 gram.

Setelah siap membungkus, Keiko meminta kami berjalan kaki ke ladang untuk menyiapkan semua tugasan yang dia telah tulis pada sekeping kertas. Keiko mengatakan banyak benda dia mau urus berkenaan trak.

Hari ini cuaca sangat indah, mentari panas menyinari bumi.

Tugasan pertama kami adalah menabur baja organik (tahi ayam) di atas batas-batas yang aku dan Trevor kerjakan kelmarin.


Batas-batas yang telah siap ditabur baja dan digemburkan.

Tugasan kami yang kedua adalah memetik buah tomato yang masak ranum. Pokok-pokok tomato ada yang tumbuh merata dan ada juga yang ditanam di batas. Buah tomato ini bukanlah untuk dijual tapi untuk dipakai di rumah.

Buah tomato yang masak ranum.

Setelah selesai memetik tomato, kami meneruskan lagi kerja menuai kacang tanah. Cuma tarik dari tanah dan terbalikkan dan petik kacang-kacang tanah yang baik. Kacang tanah ini sangat besar, sangat sedap bila direbus. Aku pun ambil beberapa biji dan makan mentah-mentah. Sedapnya!

Kacang-kacang yang perlu dipetik dari pokok.

Kacang tanah besar!

Keiko datang semula betul-betul masa kami sudah hampir habis menuai kacang tanah. Keiko meminta kami menyudahkan dan membawa kami pulang ke rumah. Setelah menyimpan semua hasil tuaian dan peralatan di garaj, kami pun kembali ke rumah untuk berehat.

Setelah solat zuhur, dan sementara menanti makan tengahari aku pun keluar menikmati cuaca panas di musim luruh. Memang indah bila terkena sinaran mentari yang telah lama bersembunyi di balik awan beberapa hari lepas.

Bumi Sonobe, Kyoto dilimpahi cahaya mentari.

Kekacang yang akan dijadikan biji benih dijemur.


Hutan yang berada di belakang rumah

Biji benih yang bercambah dan semakin membesar kian hari. Setiap hari kami simpan dan keluarkan biji-biji benih ni.

Aku berjalan menyeberang jalan sambil menikmati kehangatan mentari. Kalau di Malaysia teda pekdah mau berjemur segala, baik betapuk dalam rumah.

Suhu suam sambil dihembus sang bayu.

Di kawasan lembah dengan sungai mengalir, what more can I say?

Setelah puas menikmati alam buana (cyeh) aku pun kembali ke rumah. Makan tengahari pun siap disediakan Keiko pada jam 12.45 tengahari. Menu yang sekali lagi sangat lazat. Nasi digaul cuka, gula dan sayuran, nasi yang digaul minyak kelapa dan kelapa parut, salad sayur dengan dressing goma dofu (sorga betul rasa hidangan ni), ikan kembung jeruk, ikan bilis dan mihun sup.

Menu makan tengahari.

Punya la sedap mee Keiko pakai ni, nanti la aku tanya jenis mee dia pakai.

Selesai makan tengahari kami berehat sebentar sebelum dibawa ke garaj oleh Keiko. Di garaj Keiko memberikan kami setiap satu mesin pemotong rumput dan pelindung muka. Tugasan pertama kami petang itu adalah memotong rumput di ladang. Ada rasa takut juga pasal pertama kali menggunakan mesin pemotong rumput. Bukan kecil-kecil terus yang besar ah...

Keiko banyak sekali mengajar aku cara-cara menghidupkan mesin dan memotong rumput yang betul. Much respect untuk semua pemotong-pemotong rumput di luar sana! Kerja keras juga ni. Kami terus memotong rumput sehinggalah minyak dalam tangki habis.

Kemudian kami beralih ke tugasan kami yang seterusnya iaitu mengorek ubi kentang. Ada tiga jenis ubi kentang yang kami korek petang itu iaitu jenis biasa, yang berwarna merah jambu dan yang berwarna ungu. Seronok rasa mengorek ubi kentang sebab kita nda tau boleh dapat yang besar ka yang kecil. Ubi kentang sangat senang tercabut dari pokok jadi semua yang tercabut besar atau kecil hendaklah diambil.

Selesai menuai ubi kentang kami dibawa pulang oleh Keiko. Selepas meletakkan hasil tuaian dan aku mencuci cangkul dan pencakar kami disuruh kembali ke rumah oleh Keiko untuk berehat. Aku terus membersihkan diri untuk solat asar dan seterusnya solat maghrib. Wilson diminta Keiko untuk menukar bulb lampu yang rosak.

Sementara menanti makan malam, aku dan Trevor duduk betul-betul di hadapan pemanas. Tangan dan kaki lambat betul mau panas. Jadi lama la kami stay depan pemanas tu. Si Wilson pula sibuk menaip diarinya. Jam 6.45 malam Keiko siap menyiapkan makan malam.

Sup ikan, penkek lobak kecil (yang kami uruskan beberapa hari) dan nasi putih serta condiments daun ketumbar, sos cili manis, lada jeruk dan kicap.

Lepas makan kami semua buat hal masing-masing, bercerita sekejap ja kemudian masing-masing masuk ke bilik masing-masing. Setelah Keiko selesai mencuci pinggan mangkuk, dia mengajar aku cara-cara untuk mengisi semula minyak untuk alat pemanas. 

Kemudian aku sambung menaip blog. Penat pula mau tulis semua untuk setiap hari ni. Aku nda tau la orang-orang yang rajin betul tulis blog ni... banyak betul idea dorang. Dalam jam 12 tengah malam juga la baru aku tidur.


13 November 2015 (Jumaat)

Yahuuu! Hari ini adalah hari cuti aku. Sesudah subuh, mandi dan bersiap aku pun mencuci sarung tangan getah yang kian hari kian hitam kerana kerja-kerja di ladang. Aku cuci sebaik yang mungkin dan menyidainya di ampaian.

Jam 7.45 pagi sarapan pagi sudah siap dihidangkan. Sarapan hari ini adalah nasi putih dengan sup miso bertauhu, ikan goreng, ikan bilis, jeruk rumpai laut, kacang tanah stew dan jeruk plum. 


Sarapan pagi.

Selepas bersarapan aku bersiap sedia untuk bandar Kyoto. Destinasi utama, Kyoto Imperial Castle.

Sebelum menghantar aku ke Stesen Sonobe, Keiko membawa kami semua ke ladang di mana dia mengarahkan tugasan buat Wilson dan Trevor. Keiko langsung nda suruh aku turun dari trak yang membuatkan aku rasa betul-betul kurang selesa bila melihat dua orang kawan sedang berkerja.

Keiko menghantar aku terus ke Stesen Sonobe. Agak jauh juga Stesen Sonobe ni yang mana mengambil masa 20 minit perjalanan. Sepanjang perjalanan kami melintasi ladang sayur dan juga sawah padi yang terbentang luas.

Sesampai di Stesen Sonobe aku mengambil masa sedikit untuk membaca maklumat untuk tahu tren apa yang perlu aku naiki. Sudah  memastikan stesen yang aku tujui aku ke kaunter untuk membeli tiket. Tiket ke Stesen Kyoto menaiki tren JR Sagano Line berharga 580 yen atau RM 20.80 sehala. Mahal woo...


Tiket ke Stesen Kyoto.

View di dalam tren ke Kyoto.

Perkara pertama yang aku buat setelah sampai di Stesen Kyoto adalah mencari Kyoto Tourist Information Center di aras 2. Bagi aku ianya penting ke sana untuk mencari maklumat tempat-tempat menarik dan kemudahan pengangkutan yang boleh digunakan.

Senang ja cari ni, nampak dari jauh papan tanda dia si siring.

View depan Kyoto Tourist Information Center di bangunan Stesen Kyoto.

Maklumat bas, tren dan peta boleh didapati di sebelah kiri selepas masuk ke dalam.

Panduan peta, bas dan tren yang aku ambil.

Selepas meninjau di dalam pusat informasi tu, aku menuju ke kaunter. Di sana aku membeli pas subway yang membolehkan aku menaiki subway di bandar Kyoto sampai pucat untuk sehari. Pas ni berharga 600 yen atau RM 21.50. 

Ada dua line subway di bandar Kyoto ni iaitu Karasuma Line dan Tozai Line.

Dengan berbekal pas aku menuju ke gate subway. Kawasan menuju ke gate subway adalah sambung menyambung dengan bangunan sekitar Stesen Kyoto.

Keluasan kawasan ni membuatkan kita lupa yang kita berada di bawah tanah.

Untuk pergi ke Kyoto Imperial Castle, kita perlu menaiki subway ke Stesen Imadegawa. Stesen subway Kyoto mempunyai kod K11 manakala Stesen Imadegawa mempunyai Kod K06, iaitu perhentian ke lima dari Stesen Kyoto. Keluar dari Stesen Imadegawa kita akan berjumpa Doshisha University Imadegawa Campus.

Doshisha University Imadegawa Campus.

Keluar dari stesen, belok kiri jalan lurus ja untuk sampai ke Kyoto Imperial Castle

View sekitar Imadegawa.

Setelah berjalan beberapa minit, aku pun sampai ke taman yang mengeliling Kyoto Imperial Castle. Pintu gerbang yang tersergam indah menggamit ketibaanku.

Inilah pintu masuk.

Dari pintu masuk, belok ke kanan untuk pergi ke Information Office untuk Imperial Household Agency. Di sinilah pejabat yang menguruskan kebenaran untuk mengikuti guided tour untuk Kyoto Imperial Castle. Jangan lupa bawa passport pasal ianya wajib untuk mendaftar. Satu borang perlu diisi dan dikembalikan kepada petugas di sana. Ada dua masa tour iaitu jam 10 pagi dan jam 2 petang. Tour tambahan adalah pada jam 3.30 petang. Aku dapat mengikuti tour jam 3.30 petang kerana yang jam 2 telah penuh. Petugas di sana memberikan sehelai pas yang membolehkan aku mengikuti tour berkumpulan tu nanti.

Information office.

Aku habis berurusan di sana lebih kurang jam 11.30 pagi. Sekarang aku ada misi untuk mencari masjid di Kyoto ni. Aku memang sudah sedia  google map pada malam sebelumnya jadi aku memang tahu masjid tu nda berapa jauh. Berbekalkan google map aku meneruskan langkah.

Aku melangkah pantas kerana aku tahu waktu zuhur di Kyoto adalah pada jam 11.41. Akhirnya setelah pusing-pusing aku pun berjaya jumpa Masjid Kyoto atau lebih dikenali sebagai Islamic Culture Center.

Islamic Culture Center menjadi pusat bagi orang Islam pelbagai bangsa bergaul.

View dari tepi.

Ruang solat terletak di aras bawah. Aku turun dan berwudhu dan menanti waktu solat Jumaat. Rupanya solat Jumaat diadakan pada waktu yang telah ditetapkan iaitu jam 12.40 tengahari. Jadi hampir kesemua orang yang menanti waktu solat membaca Al-Quran. Ada yang menggunakan kitab, ada yang menggunakan handphone untuk membaca.

Laungan azan membuatkan aku sedikit sebak. Baru aku sedar yang aku rindu untuk mendengar seruan azan secara langsung. Khatib membaca khutbah Jumaat dalam bahasa Inggeris. Khatib juga la yang menjadi imam. Bacaannya memang padat, tiada lagu-lagu dan solat Jumaat berakhir dengan pantas.

Di tingkat atas, terdapat kedai kecil yang menjual produk halal untuk orang Islam. Terlihat juga beberapa produk Malaysia yang dijual di sana.

Antara produk-produk halal yang dijual.

Bermacam produk dijual di sini. Terdapat juga ayam dan daging sejuk beku.

Dari masjid aku berjalan ke Rose Cafe Restaurant. Signboard dia senang nampak jadi senang la mau cari. Ianya merupakan sebuah kafe restoran yang menyajikan makanan middle-east fusion. Pemiliknya merupakan seorang yang berasal dari Turki. Yang menjadi pelayan adalah gadis-gadis berbangsa Jepun. Rasanya sasaran dorang selain umat Islam adalah warga Jepun yang ingin merasai atau mencuba masakan halal.

Papan-papan yang mempromosikan set lunch dan set dessert.

Dijamin 100% halal.

Aku memilih set lunch paling murah iaitu 900 yen atau RM 32.30 (murah la sangat). Set terdiri daripada nasi yang sangat lembut dan sedap, kebab ayam, salad dan sup tomato dan dhal.

Set Lunch A. Ayam tu agak kering bagi aku, tapi nasinya memang heaven!

Selesai makan tengahari, aku mencari kedai 100 yen di google map. Dan yang paling hampir dengan Rose Cafe Restaurant hanyalah sejauh 950 meter. Aku pun mengikut arah yang ditunjuk google map sehingga sampai ke destinasi. 

Di kedai 100 yen aku membeli pemotong kuku, tisu basah dan tisu muka. Sesudah itu aku pun pergi dari satu kedai ke satu kedai. Aku pun nda tau, tapi memang hobi aku pusing-pusing tengok barangan di dalam kedai. Terutama sekali di supermarket. Sama juga masa aku di Malaysia memang lama la tu aku pusing-pusing di dalam.

Kemudian aku jalan-jalan lagi dengan hanya membiarkan kaki membawa diri aku. Aku membeli satu sisir pisang berharga 100 yen untuk alas perut aku bila lapar nanti. Aku jalan lagi lalu aku pun ternampak sebuah kedai membaiki kasut. Terus aku teringat Trevor yang cakap dia mau baiki kasut kesayangannya yang tapaknya telah hangus tanpa disedari terkena lava gunung berapi di Hawaii. Aku pun mengambil gambar kedai dan menyimpan alamatnya di google map.

Tanpa aku sedari masa sangat cepat berlalu. Walaupun kelam kabut masih juga aku berhenti sekejap melihat sistem parking lot di Kyoto ni yang seolah-olah bagaikan vending machine. Kagum aku melihatnya!

Aduhai... majunya!

Tour untuk Kyoto Imperial Castle yang bermula jam 3.30 petang memerlukan pengunjung supaya berada di ruang menanti 20 minit lebih awal. Di pintu masuk Seishomon Gate, pengunjung hendaklah menunjukkan pas yang diberikan di Information Office. Kemudian menyerahkan pas tersebut kepada pegawai yang menanti, dia akan memberikan risalah pengenalan tempat tersebut dan meminta kita untuk menanti di kawasan menanti.

Tepat jam 3.30 petang seorang pemandu tour pun memulakan acara petang itu.

Gishumon Gate

View tepi.

Okurumayose

Shodaibunoma.

Gekkamon Gate.

Kenreimon Gate. Pintu masuk Maharaja Jepun dan orang-orang penting dunia.

Jomeimon Gate yang betul-betul berhadapan Kenreimon Gate. Yang belakang tu Shishinden.

Pokok-pokok yang sudah berusia di tepi pagar.

Kenshunmon Gate.

Shunkoden

Kogosho

View tepi Kogosho.

Bumbung Kogosho dan Ogakumonjo yang bersebelahan.

Ogakumonjo.

Pertemuan dua sudut.


Kogosho.

Ogakumonjo


Otsunegoten.

Pandangan depan Ogakumonjo.

Omima (belah kanan) dan Otsunegoten (yang lebih tinggi).

Kogomon Gate. Permaisuri Jepun dan anak-anak masuk dari sini.

Pagar yang mengelilingi Kyoto Imperial Castle.

Dedaunan yang luruh di taman.

Pagar ni sangat la panjang, guna landscape kalau ambil gambar pakai handphone baru dapat.

Pengalaman ini mungkin tidak aku ulangi lagi! Tour yang sepatutnya selama sejam dipendekkan ke 35 minit. Jadi memang rasa macam kena sorong-sorong ja. Langsung nda dapat menikmati keindahan senibina kompleks istana ni. 

Aku meninggalkan Kyoto Imperial Castle dengan perasaan sedikit kecewa. Aku rasa inilah kali terakhir untuk aku ikut guided tour. Pelancong terlampau ramai, semuanya mau ambil gambar (termasuk aku hehehe). Aku sebenarnya lebih suka keadaan yang mana ianya lebih tenang dan sunyi.

Aku berjalan menuju ke Stesen Imadegawa dan menaiki subway menuju ke Stesen Kyoto. 

Tren subway sampai di Stesen Imadegawa.

Pekara pertama yang aku lakukan setelah sampai di Stesen Kyoto adalah melihat jadual perjalanan tren JR Sagano Line dari Stesen Kyoto ke Stesen Sonobe pasal aku berjanji dengan Keiko untuk sampai di sana pada jam 8 malam.

Jadual perjalanan JR Sagano (San-in) Line.

Pasal masih awal lagi, aku pun cuba jalan-jalan cari makan. Ianya sangat-sangat sukar mencari makanan halal yang murah di Stesen Kyoto. Memang hotel-hotel ada menyediakan, tapi aku mana la ada duit mau makan di hotel. Jadi misi aku adalah mencari supermarket di mana ada kemungkinan boleh dapat makanan halal-friendly yang murah.

Jalan punya jalan, aku biarkan kaki aku membawa diri, masuk ke bangunan Kyoto Tower. Aku langsung nda tau bangunan yang aku masuk tu Kyoto Tower. Aku ternampak booth tiket naik ke puncak bangunan. Walau yuran dia 770 yen (RM 27.60) aku nda peduli sudah pasal kecewa dengan lawatan di Kyoto Imperial Castle tadi.

Kyoto Tower.

Masa membayar, kakak tu bawa aku cakap Jepun. Ni pertama kali la orang ingat aku orang Jepun. Aku cakap, aku dari Malaysia hehe. Aku pun naik ke tingkat 11 dimana aku disambut gadis-gadis cantik yang mempelawa aku masuk dan mengarahkan laluan aku. Sempat lagi kena ambil gambar bersama maskot Kyoto Tower. Dorang cakap kalau versi kecil ja kena bagi free, versi yang besar bayar 1000 yen (RM 35.85) sekeping, terima kasih ja la...

Tiket, risalah dan gambar percuma yang diberi.

Setelah diambil gambar aku pun diminta masuk ke dalam lif yang membawa aku terus ke Observation Deck. Orang-orang yang gayat kalau takut nda payah la pegi sini. Tapi rasa selamat la dalam menara ni. Jadi jangan takut!

Bandar Kyoto dari Kyoto Tower.

Hujan turun jadi cermin dibasahi titisan air.

Higashi Honganji Temple.

Bangunan Stesen Kyoto betul-betul bersebelahan Kyoto Tower.

Eh, ada pula muka aku dalam gambar ni.

Perhentian teksi dan bas di bahagian bawah tengah dan kanan gambar.

Hujan semakin reda, pandangan makin jelas.

Kerlipan lampu di malam hari menggamit perhatian.


Setelah puas melihat sekeliling Observation Deck di Kyoto Tower aku pun turun ke aras basement yang mana menyambung semua bangunan dengan Stesen Kyoto. Aku pun menyambung misi mencari makanan yang boleh aku makan. Kemudian aku terlihat pokok Krismas besar, terus aku teringat cakap Wilson yang di Stesen Kyoto ni ada persembahan cahaya. Jadi aku pun bergerak menghampiri pokok Krismas gergasi tu.


Indah berkerlipan.

Punyalah besar pokok Krismas ni!

Tangganya sangatlah banyak, 171 anak tangga. Nasib ada eskalator.

Di bumbung Stesen Kyoto. Boleh ternampak puncak Kyoto Tower.

Kemudian aku pun menyedari masa yang pantas berlalu dan aku belum menjumpai lagi makanan yang boleh aku makan. Alhamdulillah waktu pusing-pusing ternampak sebuah supermarket kecil yang menjual makanan secara pek-pek mudah bawa. Lama juga aku membelek-belek makanan yang dijual di sana. Syukurlah ada google translate yang membolehkan aku membaca isi kandungan sesuatu makanan. Aku memilih onigiri rumpai laut dan onigiri bonito yang langsung tiada menggunakan cuka. Jadi aku yakin ianya boleh dimakan. Aku juga berkata dalam hati, kalau onigiri ni nda boleh makan, minta-mintalah ada orang terlanggar dan ia jatuh. Pok minta petanda la ni. Tapi nda juga aku kena langgar jadi aku yakin la untuk makan. Aku juga beli sebotol air mineral untuk minuman.

Selepas makan satu dari tiga onigiri yang aku beli dan minum sedikit. Aku pun pergi berdekatan mesin beli tiket. Lama juga aku perhati cara orang membeli, tapi nda juga berani cuba. Kemudian berdiri di sebelah aku ada tiga orang Malaysia sedang mau beli tiket. Aku pun tengok ja la, pok minta bantuan dorang mana tau dorang pandai. Sambil-sambil tu aku baca juga cara-cara yang ditulis berdekatan mesin lalu aku cuba sendiri aku di mesin sendiri dan perempuan Malaysia tu di mesin sebelah. Nda sangka mudah ja pakai mesin tu. Tekan butang "English", baru pilihlah English. Kemudian tekan harga tiket untuk destinasi. Harga tiket untuk destinasi memang ada kena tulis dalam huruf roman (biasanya di tepi mesin). Kasi masuk duit, sama ada duit kertas atau syiling. Automatik dia bagi baki dan tiket. Ambil tiket tu, dan siap!

Aku pun tengok perempuan tadi tu masih terkial-kial. Kawan dia dua orang lelaki pun macam nda tau mau buat apa. Rupanya dorang ni baru sampai. Aku pun menyibuk la sikit kalau aku boleh bantu dorang apa-apa. Aku pun offer untuk cari di google map destinasi yang mereka tujui iaitu Stesen Fujinomori. Dorang cakap maklumat yang dorang terima adalah tiket berharga 190 yen tapi tertera 270 yen. Aku tengok memang pun 270 yen dalam google map kos untuk ke Stesen Fujinomori. Jadi aku rasa harga tu untuk dua tren, iaitu dorang kena transfer di satu stesen sebelum sampai ke Stesen Fujinomori. Tapi aku nda dapat mau terangkan pada mereka pasal aku mengejar waktu untuk menaiki tren ke Stesen Sonobe. Aku pun ucapkan semoga berjaya kepada mereka semua dan meninggalkan mereka masih terkial-kial mencari solusi.

Aku terus menuju ke Platform 32 iaitu tempat menanti tren JR Sagano Line ke Sonobe. 


Berbaris menanti tren sampai.

Tren sampai dan tepat jam 7.18 malam ianya bertolak ke Sonobe. Sesampainya aku di Stesen Sonobe, aku pun makan sebiji lagi onigiri dan sebiji pisang sebab perut sudah lapar. Dalam jam 7.50 Keiko sudah sampai di Stesen Sonobe untuk membawa aku pulang ke rumahnya. Keiko memberi tahu awal kepada aku yang keesokan hari angin kuat dijangka melanda, jadi tiada kerja ladang. Cuma buat kerja-kerja pembersihan di rumah saja esok. 

Hari sudah sangat gelap diiringi hujan renyai-renyai. Keiko menyuluh jalan untuk kami berdua. Aku meletakkan barang, lepak sebentar cerita sedikit pengalaman day-off aku dengan Trevor dan Wilson, kemudian mandi dan solat. Aku makan beberapa buah yang ibu bapa Keiko bawa bila dorang datang melawat di waktu siang. Kemudian aku masuk ke bilik dan menghabiskan baki onigiri aku. Tidak lama selepas itu aku pun memasang alat pemanas dan menyediakan tempat tidur dan terus berlayar...




14 November 2015 (Sabtu)

Hari ini juga terasa bagaikan hari cuti buat aku. Dengan hanya pembersihan bilik masing-masing sebagaimana dikatakan Keiko, aku pun nda tau mau buat apa. Jadi setelah mandi aku pun mula menggumpulkan pakaian untuk dicuci. Terlalu benda mau ditaip diblog ni untuk hari kelmarin jadi banyak masa aku habiskan menaip. 

Hari ini sarapan pagi agak lewat iaitu pada jam 8.20 pagi. Kami mengalas perut sementara menanti sarapan dengan makanan-makanan yang tersedia di bahagian snek. Keiko menyediakan cukup buah-buahan dan snek untuk kami. Ditambah lagi buah-buahan yang dibawa ibu bapa Keiko bila mereka datang melawat kelmarin. Sayangnya ketika itu aku berada di bandar Kyoto.

Menu sarapan pagi hari ini adalah nasi beras perang, sup miso dengan bebola berprotein, salad tomato, salad sayur segar dan pelbagai lagi condiments yang biasa dihidangkan.

Sarapan pagi yang osem!

Setelah bersarapan, aku berehat sebentar sebelum memulakan pembersihan bilik tidur aku. Setelah selesai bilik aku aku sambung pula membersihkan ruang snek, kawasan genkan (tempat kita buka kasut) dan kawasan depan rumah.

Sesudah itu setelah siap aku pun menyambung menaip entry blog. Menaip panjang-panjang bikin stress pula jadi aku pun keluar rumah dan mendapati si Trevor sedang sibuk membersihkan kawasan belakang, kawasan berhampiran mesin basuh. Aku pun gembira pasal aku memang sudah lama geram tengok rumput-rumput di sebelah tepi rumah jadi aku pun memulakan projek memotong rumput dengan menggunakan sabit pendek. Aku teruskan usaha membersihkan sehingga la hujan mulai turun. Kebetulan juga Keiko sudah siap menyediakan makan tengahari.

Kari sayuran, ikan kembung bakar, salad timun dan tomato serta nasi beras perang.

Hujan terus turun membuatkan aku rasa sangat mengantuk. Peliknya hujan ni tidaklah membawa suhu sejuk, malahan aku rasa suhunya seperti hujan di Malaysia. Kami menanti hujan reda kerana Keiko meminta Wilson membawa aku ke onsen (tempat mandi air panas) yang berada 6.3 km dari rumah. Kami pun mengajak Trevor sekali ke sana. Selepas aku menunaikan solat asar, aku pun bertanya Wilson bila hendak ke kolam air panas tu. Dia cakap sekarang pun ok.

Kami pun bersiap, si Trevor ambil masa sikit sebab dia mau pegi mandi di sana. Wilson tanya aku, kau nda mandi ka? Best tu. Aku bagitau dia tahun depan la kali lepas kena buang semua kulit-kulit bergantungan ni. Trevor pun keluar dan kami semua bersama-sama menuju ke trak Keiko dengan hujan masih turun renyai-renyai.

Trevor meletakkan basikal dan beg di bahagian belakang dan menutupnya dengan kain tarp. Aku mula-mula fikir seorang kena duduk di belakang trak sebab trak Keiko ni sangat la comel, 2-seaters saja ok. Memang lucu bila kami dapat muat dalam trak tu. Trevor la yang kesian duduk di tengah-tengah dengan penukar gear di celah pahanya. Aku duduk di sebelah kiri dan Wilson (yang ada lesen memandu Jepun) sebagai pemandu di sebelah kanan.

Kami bergerak menuju ke Ruri River Hot Springs dengan menjamu mata keindahan pemandangan di kiri dan kanan. Pemanduan Wilson lebih banyak guna gear 3 saja pasal susah mau tukar gear di celah paha Trevor hahaha.

Kami sampai ditempat yang dituju dengan hujan masih turun. Trevor menurunkan basikal dan mengambil begnya di belakang trak. Wilson seolah mau balik terus selepas menghantar Trevor. Aku bagitau dia, marilah kita ambil-ambil gambar dulu sebelum pulang dan dia pun bersetuju.

Ruri River Hot Springs

View dari depan pintu masuk.

Wilson kemudiannya mengajak aku masuk ke kedai cenderamata. Kebetulan si Trevor pun ngam-ngam terjumpa jadi kami semua masuk sama-sama.

Banyaknya barang... Kebanyakkannya produk tempatan. Tuuuu na si Trevor.

Aku boleh habiskan sangat banyak masa kalau tengok barang-barang makanan begini.

Setelah puas melihat-lihat, kami pun meninggalkan Trevor di situ. Sebenarnya aku perasan si Trevor ni mau kami lepak lama-lama di sana. Tapi Wilson pula mungkin sebab dia sudah pergi tempat tu, mau cepat ja pulang. Aku dan Wilson mula bergerak keluar namun hujan turun lebat pula. Jadi Wilson pun suggest yang kami tunggu hujan reda sedikit barulah bergerak. Aku pun meminta Wilson supaya ajar aku set ID Line. Hehe aku ni lama sudah ada Line tapi jarang betul guna. Wilson pun ajar aku, rupanya senang ja pula. Kami pun menjadi kawan di Line ketika itu... Untuk pembaca di luar sana yang mau add aku di Line, ni ID nya: iryan1983

Hujan semakin reda dan kami pun bergerak ke trak. Siok ja si Wilson jalan pegi kereta sebelah, kenapa ni anak dalam hati aku. Salah kereta da dia... Hahaha yang bikin malu, owner kereta tu sedang mau naik kereta dia. Kami hanya tertawa dalam trak dengan kejadian tu. 

Kemudian Wilson pun terus membawa aku melihat-lihat sekitar dengan trak. Sebab hujan, Wilson cakap view nda berapa cantik pasal banyak kabus. Jadi kami pun bergerak pulang. Dalam perjalanan pulang kami pun berhenti sekejap di tepi jalan supaya aku dapat mengambil gambar.

Kabus. Rasanya di situlah Ruri River Hot Springs tu tadi.

Sawah padi diapit jalan raya dan gunung-ganang.

Kami pun sampai ke rumah. Hujan masih turun dan kami disambut dengan suhu suam di dalam rumah yang memberikan kelegaan. Aku pun menghadap buah-buahan yang berada di ruangan snek. Selepas makan aku pun menyambung menaip entry blog kelmarin yang sangat-sangat panjang. 

Sesudah maghrib, keadaan sudah sangat gelap gelita. Hujan masih turun dengan agak lebat. Ada rasa kerisauan juga akan Trevor yang hanya berbasikal untuk pulang ke rumah. Takut juga nda tau jalan ka atau terjadi apa-apa. Alhamdulillah dalam jam 6 petang Trevor sampai ke rumah.

Dalam jam 6.25 malam Keiko siap menyediakan makan malam. Menu makan malam hari ini adalah nasi beras perang, kari sayuran, labu rebus dengan kuah bubuk, dan burger ikan (isi ikan dicampur dengan tauhu dan sayuran).

Burger ikan tu memang marvellous! Bungkus dengan daun salad dan ngap.

Setelah makan kami bertiga berbual-bual kecil. Bertanya Trevor pengalamannya mandi di kolam air panas dan rancangannya untuk hari cutinya esok. Wilson menghantar gambar kami bertiga yang kami ambil semasa di dalam trak. Aku dan Trevor pun menjadi kawan dalam Line malam tu.  


15 November 2015 (Ahad)

Semalam tidur agak awal. Terjaga sekitar jam 2.30 pagi aku pun menunaikan solat isyak. Aku pun tidur semula dan bangun kembali pada jam 5 pagi pasal sudah set alarm awal. Sesudah subuh aku pun mengemas bilik dan kemudiannya mandi dan bersiap.

Jam 7.30 pagi sarapan pagi telah siap dihidangkan Keiko. Menu seperti sama setiap hari tapi sentiasa ada perubahan yang Keiko buat. Menu pagi ini adalah nasi beras perang, topping biasa dan sup miso dengan burger ikan semalam dicampur di dalamnya. Keiko juga menyediakan Black Salt untuk kami. Dia cakap ianya sesuai di makan dengan nasi. Rasanya seperti garam buluh.



Sarapan pagi.
Black salt.

8.30 pagi aku dan Wilson diminta Keiko ke garaj. Hari ini hari cuti Trevor, jadi Keiko akan menghantar dia ke Stesen Sonobe sambil dia menghantar kacang tanah ke pasar komuniti. Keiko meminta kami membawa alatan yang sesuai untuk kerja yang dia mau kami buat iaitu mengumpul batang besi dan membuka lapisan plastik batas-batas tomato yang aku dan Trevor kerjakan beberapa hari lepas. Aku dan Wilson berjalan kaki ke ladang hari ini dengan cuaca yang mendung, gelap dan kelam. Apa yang kami perasan kalau hujan, suhu nda pula terlampau sejuk, suhu lebih tinggi berbanding hari tidak hujan.

Sesampainya kami di ladang, aku pun menunjukkan Wilson di mana kerja yang patut kami lakukan hari ini. Kami pun memulakan tugas mungkin terlalu pantas sampai kami kena cari idea untuk buat kerja lain. Jadi aku cadangkan kepada Wilson untuk membersihkan kawasan antara batas yang ditumbuhi rumput.

Setelah selesai, hujan mulai turun dan Wilson mencadangkan kami untuk balik ke rumah sementara menanti Keiko. Aku bersetuju dengan cadangannya. Sesampainya kami di garaj kami dapati terdapat sebuah kereta Vellfire yang berhenti di sana. Rupanya pemilik bisnes dan bos kepada Keiko serta seorang lagi rakan lama Keiko. Keiko sebenarnya bekerja untuk dorang. Rumah ni dorang yang bayar sewa, elektrik dan air. Dorang la pemilik ladang Keiko bekerja dan Keiko hanya perlu urus perkara-perkara berkenaan ladang. Dan sekarang Keiko kena urus lagi satu perkara iaitu WWOOFER seperti aku, Wilson dan Trevor.

Pemilik bisnes adalah Mr. Kaji. Bos Keiko adalah Chiaki (masih pelajar jurusan alam sekitar di Kobe University). Rakan lama Keiko yang turut datang adalah Mr. Ueno. Kami berkenalan sebentar lalu kami membantu mereka memunggah keluar barang dari kereta kemudian memunggah masuk peralatan yang akan kami gunakan ke dalam trak.

Keiko pun sampai selepas menghantar Trevor ke Stesen Sonobe. Dia membelikan takoyaki dan kuih berintikan kacang hitam. Dia cakap, jangan risau tiada bahan-bahan daging atau alkohol dalam makanan-makanan tu.

Takoyaki.

Rasa macam penkek dengan inti kacang hitam. Ala-ala dorayaki juga la...

Kami semua menunggu seorang lagi yang akan sampai sebelum kami semua (kecuali Keiko) berangkat ke ladang. Orang yang dinantikan pun sampai. Dia bernama Kentaro Araki, berusia 31 tahun dan ada ladang sendiri.

Kentaro (berbaju kelabu). Itu baju merah Mr. Kaji, Vellfire tu dia punya la.

Kemudian kami semua bergerak ke ladang. Mr. Kaji, Mr. Ueno dan Chiaki pakai Vellfire, Kentaro pakai Mazda nya dan aku dan Wilson pakai trak. Sesampai di ladang, Kentaro menunjukkan cara menukar bilah mesin pemotong rumput. Kemudian dia meminta Wilson menukar bilah mesin yang akan dia gunakan. Kemudian giliran aku. Alhamdulillah aku dapat belajar sesuatu hari ini.


Mesin rumput yang aku gunakan dan topeng keselamatan.

Kami mempunyai tugas memotong separuh daripada sepetak kawasan yang ditumbuhi rumput-rumput panjang. Kami menghabiskan banyak masa untuk menyiapkan separuh padang tu pasal rumputnya terlalu panjang.


Sebelum.
Selepas.

Setelah selesai kami pun berehat untuk makan tengahari. Makan tengahari hari ini adalah bento asli buatan Jepun. Mr. Kaji membeli bento dengan lauk ikan sahaja untuk kami semua dan bento untuk Wilson istimewa sedikit pasal ada oing-oing hahaha. Bangga dorang dapat makan sama-sama makanan halal-friendly dengan aku.

Bento makan tengahari.Nasi putih, salmon panggang, isi ikan goreng tepung, jeruk sayuran dan rumpai laut.

Sesudah makan tengahari kami pun berehat sebentar sebelum menyambung tugas menggumpulkan rumput-rumput tadi dan meletaknya di tepian padang. Sesetengah rumput kami taburkan untuk menutup beberapa kawasan yang tanahnya terdedah kerana bimbang kalau hujan berterusan, kawasan itu akan basah. Sebenarnya kami memotong rumput adalah untuk persediaan perkelahan 170 orang budak-budak tadika yang akan datang esok. 

Kentaro pula sambung memotong rumput di separuh lagi padang. Namun dia hanya memotong untuk membuat laluan padang sesat (lost maze) untuk kanak-kanak tadika tu. Petang tu seorang lagi datang ke ladang, Obe-kun iaitu kawan kepada Chiaki. Dia ni banker, bawa Audi tu...

Chiaki cakap kalau penat bolehlah berehat. Aku tengok si Wilson pun macam mau habis bateri sudah. Tapi pelik aku rasa aku masi banyak tenaga, mungkin pasal aku makan vitamin-vitamin dan mineral yang dibekalkan Hospital Queen Elizabeth. Terima kasih Dr. Siti!

Waktu berehat aku pun mengambillah sedikit gambar dari tapak kerja kami petang itu.


Sungai jernih yang mengalir di tepi ladang.

Air terus menuruni lembah.

Trak Keiko di kejauhan. Wilson masih berehat di dalamnya, kepenatan.

Bahagian rumput yang dipotong sebagai tapak perkelahan budak-budak tadika dan bahagian depan sebagai "lost maze".

Hujan yang datang menghampiri. Terlihat Chiaki di sana.

Selesai semua tugasan, aku dan Wilson pun pulang ke rumah dengan trak. Semuanya turut berhenti di garaj. Kami memunggah keluar semua peralatan yang telah digunakan dan meletakkannya di dalam garaj. Sempat juga la bercerita sedikit dengan Kentaro tu. Mr. Ueno menghadiahkan semua wwoofer lampu yang berfaedah untuk mengembara. Ianya lampu XtraFlex LED Music Light jenama Mighty Bright.


Lampu Mighty Bright. Aku tengok di laman web dia harganya USD 14.99 atau RM 65.90.

Sesampai di rumah aku pun mandi untuk menyegarkan badan kerana sangat lama berada di ladang hari ini. Setelah solat, aku pun menanti makan malam disiapkan Keiko. 

Makan malam memang istimewa malam ni pasal oleh kerana Trevor tiada, bolehlah Keiko menggunakan telur dan produk tenusu. Jadi menu malam ini adalah nasi putih bersama kacang tanah, telur dimasak dengan tomato, ubi kentang dengan keju dan sup sayur.

Nasi yang dimasak dengan kacang tanah.
Telur dengan tomato dan sup sayuran serta ketumbar segar.
Ubi kentang dengan keju dan ketumbar.

Badan sudah rasa letih, mungkin terlampau letih sampai nda boleh tidur. Jadi aku pun meluangkan banyak waktu menulis dalam blog ni. Dalam jam 9 malam Keiko kembali dari Stesen Sonobe selepas menjemput Trevor. Merah-merah muka si Trevor, ketara masih excited dengan hari cutinya di bandar Kyoto. Setelah bercerita serba sedikit tentang harinya, Trevor pun meminta diri untuk tidur. Aku masih meneruskan kerja menaip aku. Jam 12 tengah malam baru lah aku memasang alat pemanas dan bersedia untuk tidur.

Macamana bah rupa si Wilson dan Trevor ni? Penasaran? Hahaha aku sengaja nda bagi gambar dorang ni, kalau ada pun sipi-sipi dan jauh-jauh ja. Tunggu blog minggu depan ya, barulah akan didedahkan rupa Wilson dan Trevor.

To be continued: Japan Story - Week 4

1 comment:

  1. Sangat enjoy saya baca blog ni.. terima kasih. Harap dapat baca lagi new entry๐Ÿ‘๐Ÿ’•

    ReplyDelete