Tuesday, January 12, 2016

Japan Story - Week 11

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog aku. Kebanyakan yang membaca pasal aku selalu promosi di Whatsapp dan baru juga minggu lepas mula promosi di Facebook. Ya tiada rahsia lagi, sudah bongkar yang aku sekarang berada di Jepun. Memang aku nda mau kasi tau dunia (melalui Facebook) yang aku berada di Jepun. Tapi sebab sudah bongkar, biar bongkar semua hahaha.

Minggu ke-10 berlalu dan sekarang sudah masuk minggu ke-11. Untuk pengetahuan pembaca sekalian aku mula menaip ni pada hari Khamis. Tiada juga yang aku mau taip, jadi biarlah aku kumpul dulu biar taip banyak sekaligus. Lama-lama stress sendiri bah ni banyak mau diingat hehehe. Apapun minggu ni adalah minggu aku mula membayar baki puasa nazar aku. Banyak lagi aku kena bayar jadi ngam jugalah aku buat di sini sebab masa siangnya singkat jadi puasa sekejap berbanding Malaysia. Lagi satu cuaca sejuk jadi nda lah rasa haus atau lapar.

Tiada lagi kerja wwoofing yang aku dapat sekarang. Aku pun redha sudah pasal kebanyakan host tiada kerja waktu musim sejuk ni. Kalau aku dapat host pun macam singkat sangat sudah masa aku berkerja untuk dorang. Malaysia sudah melambai-lambai aku untuk kembali. Dan aku sudah bersedia menyahut lambaiannya.


04 Januari 2016 (Isnin)

Aku bangun awal untuk bersahur hari ini. Hari ini merupakan hari pertama untuk aku berpuasa membayar nazar aku yang sudah sekian lama aku sudah abaikan. Bagus jugalah aku berpuasa di sini agar masa aku dapat diisi dengan sesuatu yang berfaedah dan insya Allah dapat pahala.

Kak Ari juga berpuasa hari ini untuk membayar puasa Ramadannya yang lepas. Jadi sama-samalah kami berpuasa hari ini. Lepas sahur aku makan juga ubat gatal jadi lepas subuh memang mengantuklah aku jadi tidur balik lah.

Setelah zuhur aku pergi ke Senri Chuo. Kak Ari  seperti biasa mengirim 5 bantal roti putih buatan Little Mermaid. Selain itu dia juga mengirim sandwich Subway. Lima juga, 3 sandwich tuna, satu sandwich telur dan satu lagi sandwich sayur dan keju. Suhu hari ini kurang sejuk, agak suam juga semasa perjalanan aku. Jadi dalam perjalanan baju sejuk aku nda aku zip pun sebab kepanasan.

Sesampai di Senri Chuo tempat pertama aku pergi adalah kedai bakeri Little Mermaid.  Agak lama juga aku di kedai Little Mermaid tu sebab roti biasa yang 6 hiris tiada di rak. Aku lama sebab cuba mengingat perkataan "keping" dalam Bahasa Jepun. Kalau nda silap aku "mai" kalau keping tapi aku kurang yakin jadi minta bantuan Encik Google Translate lah aku dan memang "mai" lah. Tapi aku masih juga kurang yakin mau pakai Bahasa Jepun untuk berkomunikasi dengan pekerja di sana. Aku ambil pek roti putih yang ada 5 hirisan dan bawa ke kaunter. Aku tunjuk dengan pekerja di sana pek roti tu dan cakap dalam Bahasa Jepun sangat broken hahaha, "Roku mai, hoshi. Go!". Sambil angkat tangan aku tunjuk lima jari. Maksud yang aku cakap tadi; Saya mau yang 6 keping. Lima! Hehehe hancur bah Bahasa Jepun aku ni... Sorry Sensei Nadia Ike, ingatan Bahasa Jepun aku semuanya sudah terbang...

Dua kali juga pekerja tadi cuba kompomkan order aku dan nasib baik aku faham apa dia cakap dan mengiyakan. Jadi dia pun minta rakan sekerjanya memotongkan buku-buku roti untuk memenuhi pesanan aku. Satu pek roti tu samada 4, 5, atau 6 hirisan sama juga harga dia iaitu 288 yen atau RM 10.80 satu bantal. Mahal bagi kita tapi murahlah bagi orang Jepun. Bayangkan ja 100 yen tu macam RM 1 kita. Jadi roti tu satu bantal RM2.90 lah. Sekarang bayangkan kamu pergi kedai 100 yen, kiranya dorang beli barang harga RM 1 ja lah di sana... Murahlah bah bagi dorang ni, sangat-sangat berkemampuan orang-orang Jepun untuk membeli berdasarkan gaji bulanan dorang.

Selepas membayar jumlah untuk lima bantal roti putih aku menunggu untuk ianya siap dipotong. Yang tukang potong tu buat kerja dengan sangat pantas, sekejap ja dia membungkus lima bantal roti putih untuk aku. Selepas itu aku pergi pula ke Subway untuk membeli sandwich.

Menu di Subway yang ada di Senri Chuo.

Harga Tuna Sandwich adalah 430 yen (RM 16.10), Egg Sandwich adalah 390 yen (RM 14.60) dan Veggie & Cheese Sandwich adalah 340 yen (RM 12.70). Pekerja lelaki di Subway ni sangat fasih berbahasa Inggeris. Sangat mudah untuk aku memberitahu pesanan aku dengan dia.

Selepas itu aku pun menghala balik ke rumah. Sesudah solat asar, aku pun menanti waktu berbuka puasa. Alhamdulillah puasa aku berjalan lancar hari ini walaupun dalam beg semasa dalam perjalanan ke Senri Chuo tadi ada air dan juga jajan takut-takut tiba-tiba kurang gula pula bila puasa.

Hari ini berbuka puasa dengan teh hijau, nasi putih, ikan goreng, sayur campur tumis dan budu. Adoi sedapnya budu tu... Sampai tangan pun berbau dibuatnya hehehe. Aku juga makan tuna sandwich yang aku beli tadi. Aku solat dulu sebelum makan jadi nda lah berat perut semasa solat.

Selepas berehat sekejap dan memastikan tangan aku bebas bau budu aku pun berjalan ke Supermarket Gyomu di Hotarugaike. Rindunya aku mau pergi sana. Bukannya mau shopping pun, saja ja berjalan tengok-tengok barang. Di sana barang pun masih sedang kena susun-susun, yalah baru buka selepas bercuti panjang. Setelah puas pusing-pusing dalam supermarket aku pun bergerak pulang. Puas hati dapat melepas rindu dengan supermarket yang telah lama aku nda pergi. Inilah kali pertama selepas aku kembali dari Nara!

Sampai di rumah aku layan cerita yang pernah Trevor cadangkan untuk tengok masa di Sonobe, Kyoto dulu. Hahaha lama betul sudah baru hari ni aku terbuka hati mau tengok. Wayang anime bertajuk "The Girl Who Leapt Through Time." yang memang best sangat! Boleh cari di Youtube wayang ni... Adoi kenapalah wayang anime Jepun ni best-best ah... Wayang Melayu Malaysia mau lawan cerita kartun Jepun macam jauh panggang dari api aku rasa... Jalan cerita bah yang dorang pentingkan di Jepun ni. Di Malaysia gimik ja yang lebih... Sikit ja yang betul-betul ada kualiti, yang lebihnya hampas ja. Sorry but that's just my two cents!


05 Januari 2016 (Selasa)

Hari kedua aku berpuasa membayar nazar! Seperti biasa aku bangun awal untuk bersahur. Sahur makan roti ja pun dan jajan sikit dan minum air. Malas mau makan berat-berat pagi-pagi ni. Aku kira mau berjalan awal sebab aku merancang untuk pergi hiking pagi ni. Namun kesan ubat gatal yang aku makan, aku tertidur semula sesudah subuh. 

Aku memulakan perjalanan jauh aku pagi ini lebih kurang jam 7.50 pagi. Tempat tujuan adalah Kotsuo-ji Temple yang mengikut Encik Google Maps adalah sejauh 9.5 km berjalan kaki yang mengambil masa 2 jam 22 minit berjalan kaki. Suhu diramal suam juga hari ini jadi aku hanya memakai t-shirt dan satu baju sejuk.

Mentari menyinarkan cahayanya.

Di awal-awal perjalanan sempat berchatting dengan Trevor melalui Line. Awal pula budak ni bangun mau chat sama aku. Susah juga sambil berjalan sambil menaip di handphone ni. Sejam juga kami berchat, yalah dia tu bukan ada talian selalu kalau sedang berbasikal. Tunggu ada tempat ada wifi baru lah mesej sampai dan dia balas tu yang lama betul berchat sama dia ni. Lainlah aku ni yang ada pelan data di Jepun dan tidak bergantung sangat dengan wifi di luar rumah. Entah aku rasa aku ada bagitau di blog lepas-lepas yang Trevor ni mengembara di Jepun naik basikal. Beratus-ratus kilometer dia mengembara dengan basikal yang dia bawa dari Hawaii tu. Nda lama lagi dia sambung mengembara ke Korea Selatan pula, kira mau perbaharui visa untuk sambung kembara di Jepun lah tu. Tertanya juga macamana dia ada cukup simpanan untuk mengembara lama-lama ni. Dia cakap dia kerja di kedai kopi ja dulu masa di Hawaii. Banyak juga duit dia kerja kedai kopi ni...

Ok, ok cukup pasal Trevor. Sekarang sambung pula dengan pengembaraan aku hiking pagi-pagi ni. Nasib lah hari ni aku banyak ambil gambar, jadi nda payah mau ingat banyak-banyak hehehe. Matahari yang semakin naik membawa suhu yang suam. Terasa seolah masih musim luruh lagi suhunya ni. Kebanyakan orang mengatakan musim sejuk kali ini adalah musim sejuk yang nda sejuk, suam. Macam tiada harapan aku mau tengok salji turun dengan lebat sampai berkumpul di tanah. Aku hanya mampu berdoa ada lah kesempatan aku untuk tengok ianya berlaku. Antara sebab aku lama di Jepun adalah untuk tengok salji turun dengan lebat dan berkumpul di tanah lah. Tapi setakat ni belum tercapai lagi hajat tu.

Encik Google Maps mula membawa aku menaiki kaki bukit dengan jalan tidak berturap. Lebih kurang jam 9.15 pagi aku mula meninggalkan hutan batu kepada hutan pokok pine. Selamat tinggal udara berjerebu, aku ingin menghirup udara segar!

Jalan raya yang sudah ditutup kerana sering berlaku tanah runtuh.

Hutan pine yang tinggi memenuhi segenap bukit.

Seolah mendapat semangat baru dengan udara segar di sini!

Laluan dengan sungai yang mengalir di tepinya.

Bunga yang seolah-olah diletak sebagai hiasan di tengah laluan aku.

Bagai di alam mimpi.

Laluan melalui akar-akar pokok.

Tin cola yang sudah pasti sudah sangat lama kerana sudah berkarat!

Mong pun ada juga chatting melalui Line dengan aku semasa pendakian aku. Dia mau kirim barang dari Jepun. Ngam betul timing dia chat sama aku pasal lebih kurang jam 10.40 pagi akhirnya aku pun sampai ke puncak bukit yang aku daki. Di puncak bukitlah aku sambung chat sama Mong hehehe. Aku nda sangka pula akan dapat melihat bangunan tinggi Senri Chuo dari sini.

Sayangnya jerebu menghalang pemandangan aku untuk melihat keseluruhan bandar.

Setelah berehat sebentar aku menyambung misi untuk ke Kotsuo-ji Temple. Perjalanan yang sepatutnya hanya 2 jam 22 minit sudah pasti lebih kerana jalan yang aku gunakan tidak termasuk dalam peta Encik Google Maps. Aku menggunakan laluan hiking yang bersimpang siur dan kebanyakan masanya tiada talian telefon untuk memeriksa kedudukan aku yang sebenar.

Akhirnya pada jam 11 pagi aku bertemu semula dengan ketamadunan setelah sekian lama di dalam hutan pine.

Laluan keluar/masuk hiking ke hutan pine. 20 minit ke puncak dari sini.

Lega dapat jumpa ketamadunan sebab boleh periksa Google Maps di mana aku sekarang.

Laluan No. 5 untuk ke Kotsuo-ji Temple.

Aku memilih untuk melalui jalan hutan lagi berbanding laluan jalanraya.

Laluan hiking No.5 ni mengambil masa lebih kurang 20 minit sahaja untuk sampai ke destinasi tujuan aku iaitu Kotsuo-ji Temple. Perjalanan yang kononnya 2 jam 22 minit menurut Encik Google Maps memerlukan aku selama lebih kurang 3 jam 20 minit untuk sampai dari Shibaraha, Toyonaka.

Di pintu masuk aku diberikan satu dahan buluh yang diikat kertas merah. Mungkin untuk upacara sembahyang mereka. Aku pun masuk dan terpesona dengan persekitaran Kotsuo-ji Temple ini.


Benten Pond dengan Benzaiten.


Bunyi air ni sangat menenangkan.


Benzaiten - God of Fortune.

Kannon dan Taho-to Pagoda.

Patung Daruma yang pengunjung percaya boleh memberikan "winner's luck".

Daruma dolls yang pelbagai saiz.

Main Hall.

Pengunjung menulis hajat dan mengikatnya di sini.

Mereka berdoa sebentar kemudian membunyikan loceng.

Patung-patung kecil (daruma) ni ada sahaja di sekeliling tokong.

They have the best view!

Papan-papan yang tertulis hajat pengunjung di Kotsuo-ji Temple ni.


5 altar persembahan untuk mereka sembahyang.

Pengunjung membeli beberapa benda sesuai dengan apa yang mereka hajati untuk tahun baru. 

Temple Gate.


Temple Gate di samping air pancut yang memberikan pemandangan menarik.

Sebelum mengikuti laluan hiking No. 5 tadi, aku dapat melihat laluan No. 4 akan membawa aku ke Mino Park jadi itulah destinasi aku yang seterusnya sebab aku berhajat untuk menaiki tren dari Stesen Mino ke Stesen Ishibashi sebab berjalan kaki ke rumah adalah sangat mengambil masa aku yang sedang berpuasa ini.

Aku nda sangka laluan hiking No. 4 membawa lebih banyak pemandangan indah sepanjang perjalanan. Suhu sebenarnya agak panas sudah ketika ini. Aku sudah mula rasa kurang selesa dengan baju sejuk yang aku pakai sebab aku sudah berpeluh.



Pokok yang berdiri dikelilingi pokok yang tumbang. Pemandangan yang sukar dipercayai!


Among the pine trees.

Aku akhirnya bertemu satu kolam takungan air. Memang sudah masuk waktu zuhur jadi aku pun berhenti sekejap untuk solat. Line tiada untuk periksa kiblat jadi guna bayang-bayang sendiri yang samar-samar kelihatan untuk mengagak arah kiblat. Semoga Allah menerima ibadahku.


Kolam takungan di tengah hutan tempat aku berwudhu.

Kepanasan jadi tinggal t-shirt ja. Wudhu membuatkan aku lebih segar dan sejuk.


Setelah solat aku menyambung kembara aku untuk sampai ke Mino Park. Memang sebenarnya aku sudah berada di dalam Mino Park tapi arah tujuan aku adalah Mino Waterfall sebab dari sana aku sudah tahu jalan untuk ke Stesen Mino. Aku mengikuti laluan hiking No. 3 kemudian menyambung ke laluan hiking No. 2.

Jambatan di laluan hiking No. 3.

Permulaan laluan hiking No. 2

Tangkal pokok pine yang dililit tali, pemandangan yang sangat-sangat indah!

Kelibat monyet menandakan aku sudah hampir dengan Mino Waterfall.

Kelihatan Mino Waterfall dari jauh membuatkan hati aku gembira!

Sampai di laluan yang aku sudah kenali, langkah kaki aku pun semakin pantas. Aku mempercepatkan lagi langkah sebab aku ada misi untuk ke tandas hehehe. Sakit sudah perut aku berjalan lama-lama. Selepas dari tandas aku pun terus berjalan menuju ke Stesen Mino.

Dalam perjalanan terlihat pokok yang telah tumbuh menelan pagar.

Restoran di Mino Park.

Sampai ja di Stesen Mino aku terus membeli tiket ke Stesen Ishibashi yang berharga 150 yen (RM 5.60). Aku menaiki tren yang bertolak pada jam 3.30 petang. Sampai ja di Stesen Ishibashi aku pun terus guna Google Maps untuk tahu jalan pulang. Setelah ia membawa aku sampailah berdekatan padang Osaka University aku pun mematikan panduan Google Maps dan berjalan sendiri menuju ke Food Net Mart yang berdekatan kerana Kak Ari ada mengirim untuk membelikan tiga pek telur ayam. Siap membeli aku pun terus balik ke rumah dan terus wudhu untuk solat asar. 

Aku mengisi minyak alat pemanas di bawah setelah Kak Ari meminta aku menolongnya. Aku berbuka puasa bersama Kak Ari hari ini dengan nasi lemak! Sedapnya makan nasi lemak panas-panas dengan telur yang baru aku beli tadi hehehe. Terima kasih Kak Ari!

Menu berbuka puasa yang osem!

Setelah solat isyak aku terlelap, penat sangat dengan pengembaraan siang tadi.


06 Januari 2016 (Rabu)

Macam dua hari sebelumnya aku bangun awal untuk bersahur. Hari ini aku ada misi, misi mencari kasut untuk Mong hehehe. Ngam jugalah sambil-sambil aku bersenam jalan kaki, bolehlah aku tengok-tengokkan kasut yang Mong mahukan.


Destinasi pilihan aku adalah Senri Chuo sebab ianya tidaklah berapa jauh dan di sana tu banyak juga kedai. Sampai di Senri Chuo akupun terus melakukan misi aku mencari kasut Converse untuk Mong. Jumpa satu kedai di sana terus masuk dan gembira bila nampak dorang ada jual jenama Converse. Aku tengok kotak-kotak yang ada dekat kasut-kasut tu ada tulis Made in Indonesia dan Made in Vietnam. Adoi... apalah makna beli kasut di Jepun ni kalau bukan Made in Japan.

Aku pun terus hantar mesej dengan Mong bagitau dia pasal kasut tu. Dia pun rasa nda berbaloi beli kalau bukan Made in Japan. Hahaha tiba-tiba teringat cerita pensyarah aku Miss Bamini, jauh-jauh beli laptop di US sekalinya Made in Malaysia. Aku pun bagitau Mong kalau aku pergi bandar aku tolong tengokkan lagi.

Aku singgah sebentar melihat barangan 2nd hand yang ditawarkan di Jumble Store. Di luar kedai kena longgok beg-beg tangan wanita dengan harga paling mahal 540 yen atau RM20.30. Gila lah sekejap perempuan-perempuan yang suka beg-beg begini.

Beg ni berharga 324 yen atau RM 12.20 hahaha.

Alang-alang di Senri Chou ni aku pergilah ke Labi Senri. Di sana ada tempat jual barangan untuk handphone. Aku teringat permintaan Sofiah untuk mencarikan powerbank dengan kuasa solar di sini. Susah juga mau cari tu... Satu ja aku jumpa dan cuma ada 1,300 mAh. Harga aku nda tanya lagi tapi berdasarkan pemerhatian aku memang sangat-sangat tidak berbaloi beli aksesori handphone di Jepun ni. Mahal satu hal, lagi satu kebanyakannya Made in China. Lebih baik beli ja di Malaysia, murah lagi dan banyak juga pilihan. Sofiah, baik kau beli ja di Lazada. Banyak pilihan dan jauh lebih murah berbanding Jepun ni.

Aku singgah di kedai 100 yen sebelum balik untuk beli gel rambut. Bida betul sudah rambut aku yang panjang ni. Kena pakai gel sikit untuk kasi kemas. Aku pun menghala balik ke rumah selepas itu. Suhu masih lagi terasa bagaikan di musim luruh. Cuma bezanya di musim luruh pokok-pokok dihiasi dedaunan yang cantik berwarna kuning atau oren. Sekarang pokok-pokok kebanyakannya macam ayam togel, daun-daun tiada sudah.

Aku nda keluar ke mana-mana di waktu petang kerana ada sambutan hari jadi Aliah hari ini. Aliah anak sulung Abang Amin dan Kak Ari menyambut hari ulang tahunnya yang ke-10. Cepatnya masa berlalu... Masih ingat lagi aku dukung-dukung dia masa di kampung dulu, comel dan montel dia masa tu. Sekarang menyampah ja tengok hahaha nda bah...

Aku berbuka puasa dengan minum air sahaja dulu dan terus solat. Sambutan hari jadi Aliah kami mulakan setelah aku turun sesudah solat. Banyak makanan yang Abang Amin dan Kak Ari sediakan hari ini. Ada spageti dengan sos tomato, pizza dan kek coklat yang ditempah khas dari pelajar Malaysia.

Kek coklat yang osem!



Birthday girl, Aliah.

Pesta makanan malam ni.

Acara memotong kek.

Alhamdulillah sedap semua makanan yang disediakan malam ini. Kalori masuk ke badan dengan pantas hehehe. Kira-kira masih juga dalam 1,500 kalori  untuk satu hari ni... mengkali la hahaha.

Gigi Akif hari ni sudah patah. Tercabut juga akhirnya setelah dia goyang-goyang sendiri. Hari jadi Aliah yang ke-10, gigi Akif pertama tercabut hehehe.


07 Januari 2016 (Khamis)

Bersahur agak berat hari ini, makan udon dengan kuah spageti semalam serta satu biji telur goreng. Seperti biasa selepas subuh aku tidur semula. Pagi ini Kak Ari dan Abang Amin membawa Akif ke klinik. Untuk apa, aku pun nda tau.

Setelah dorang kembali dari klinik, Abang Amin dan Kak Ari pergi semula untuk ke City Hall di Bandar Osaka. Jadi siang ni aku jadi babysitter lah untuk anak-anak dorang ni sekejap. Budak-budak ni langsung nda makan, nda minum. Macam dorang pun puasa. Semuanya sibuk dengan iPad dan laptop. Akil ja lah yang dua kali aku buatkan susu. Yang lain-lain semua kenyang menghadap skrin.

Sudah ada Kak Ari dan Abang Amin barulah dorang rasa mau makan sesuatu. Setelah asar aku mengambil keputusan untuk berjalan-jalan. Walaupun hujan seketika ianya tidak mematahkan semangat aku untuk berjalan membakar kalori. Aku pergi tanpa memberitahu Kak Ari yang tidur (kepenatan berpuasa dan pergi ke bandar) dan Abang Amin yang sibuk dengan anak-anak.

Hujan hanya renyai-renyai sahaja dan sekejap-sekejap ianya pandai terhenti. Aku singgah di Conan, hanya untuk ke tandas seketika dan melihat-lihat barang sedikit. Kemudian aku meneruskan perjalanan ke kedai 100 yen di Hotarugaike. Aku membeli buku jadual 2016 di sana. 

Buku yang aku beli di kedai 100 yen.

Selepas itu aku pusing-pusing sekejap di supermarket di bangunan Luciole di sebelah dan kemudiannya menghala ke Supermarket Gyomu. 

Namun ketika di persimpangan jalan berhampiran Lawson aku melihat jam dan memutuskan untuk pulang sahaja sebab aku nda akan sempat berbuka di rumah sekiranya aku pergi ke Gyomu. Aku mempercepatkan langkah pulang ke rumah. Waktu berbuka telah masuk ketika aku berada lebih kurang 100 meter dari rumah. Hehehe ngam jugalah timing aku pergi jalan-jalan kaki ni. Hampir ngam-ngam waktu sungkai aku sampai di rumah.

Aku masuk ke ruang tamu dan Kak Ari terus tanya; "Kau mau keluarkah?" Aku jawab, mungkin. Aik macamana dia tau aku mau keluar lagi selepas maghrib ni? Rupanya pasal aku punya pakaian lengkap dia ingat aku baru mau keluar. Hehehe aku lupa yang aku nada bagitau dorang aku keluar tadi.

Setelah solat dan makan, aku berjalan pergi ke Food Net Mart yang sangat dekat untuk melihat-lihat barang. Beli lah kopi dan biskut yang memang tengah kena jual murah. Sebagai bekalan untuk taip blog nanti. Yang hari ini baru aku start taip dan memori aku sudah hilang!


08 Januari 2016 (Jumaat)

Aku terjaga selepas diberikan mimpi untuk membaca surah Al-Ma'idah. Aku menangis bila membaca terjemahannya kerana apa yang ada pada surah tu macam merangkumi kisah aku di Jepun ni. Pasal makanan halal, jumpa orang Yahudi dan macam-macam lagi yang membuatkan aku sebak kerana diberikan hadiah sebegini. Aku benar-benar rasa nda layak untuk mendapat mimpi ni. Aku hanya mampu berdoa aku akan jadi hamba yang lebih baik dari diri aku yang sekarang. 

Aku nda dapat tidur semula sebab waktu subuh pun nda lama lagi mau masuk. Lagi satu, dari malam semalam aku sudah memasang niat untuk pergi ke Bandar Osaka dengan berjalan kaki. Encik Google Maps menyatakan aku perlu berjalan sejauh 13 kilometer atau 2 jam 32 minit untuk sampai ke Stesen Hankyu-Umeda. Ala... sedangkan Kotsuo-ji Temple yang hampir 3 jam menaiki bukit aku boleh sampai, inikan pula Bandar Osaka yang tanah rata.

Selepas subuh aku terus mandi dan bersiap. Aku memulakan perjalananku lebih kurang 7.10 pagi. Aku meninggalkan Kak Ari yang sedang menyediakan anak-anak yang mula bersekolah hari ini. Suhu awal pagi yang masih sejuk membuatkan aku perlu memakai sarung tangan. Sepanjang perjalanan aku hanya melihat sahaja pemandangan baru yang aku nampak sehinggalah sudah hampir ke bandar di mana aku melihat kediaman dan kedai yang dibina di bawah jejambat. Teruslah kamera pun aku keluarkan.

Rumah, bengkel, kedai dibuka di bawah jejambat.

Apabila nilai hartanah sangat tinggi, setiap inci ruang digunakan.


Lebih kurang jam 9.15 pagi, aku sampai di jambatan yang menyeberangi Yodo River.

Jambatan untuk kenderaan dan pejalan kaki menyeberangi Yodo River.

Jambatan keretapi Hankyu di sebelah kiri.

Umeda Sky Building (tengah).

Insya Allah kalau ada rezeki akan ke sana.


Jambatan-jambatan yang menyeberangi Yodo River.

Aku meneruskan perjalanan aku ke Stesen Hankyu-Umeda dan pada jam 9.45 pagi aku pun sampai. 2 jam 35 minit juga perjalanan aku dari rumah di Shibahara ke stesen ni, mungkin lebih cepat kalau aku nda ambil-ambil gambar lagi.

Sebenarnya aku ke bandar ada satu misi, mau cari kedai gunting rambut yang aku ada limpas hari tu. Aku nda tau di mana ianya terletak tapi dengan daya ingatan aku yang dapat cam beberapa tempat aku dapat berjumpa dengan kedai gunting tersebut. Bukan susah pun sebab jalan ni lurus ja, jadi kalau sudah jumpa jalan tu memang kompom akan jumpa kedai gunting rambut ni. Perjalanan dari Stesen Hankyu-Umeda ke kedai gunting rambut ni mengambil masa lebih kurang 25 minit berjalan kaki.

Kedai gunting rambut yang menawarkan harga 1,100 yen (RM 41.50) untuk potong rambut sahaja. Sangat murah ni untuk kedai gunting di Jepun.

Untuk cari kedai gunting ni, pergi Google Maps dan taip Osakahigobashi PO. Memang berdekatan sana la kedai gunting ni.


Hari ini aku cuba bercakap Jepun sikit. Aku mula-mula bagitau tukang gunting tu aku orang asing; "Watashi wa gaijin desu." Bila dia tanya gunting macamana, aku jawab; "Kariage." atau kasi nipis tepi dan belakang. Dia pun faham dan terus ja potong rambut aku. Lepas potong terus pakai vakum sedut rambut-rambut terpotong dari kepala. Siok juga la kena vakum-vakum ni hehehe.

Setelah memotong rambut aku pun pergi semula ke Yodabashi yang berhampiran Stesen Hankyu-Umeda kerana ada misi untuk mencari kasut Converse Mong. Aku naik ke tingkat 4 yang menjual pakaian dan juga kasut dan aksesori. Aku pun jumpa satu kedai yang menjual pelbagai jenama kasut. Nampak jenama Converse dari jauh aku pun gembira. Sekali tengok kotak-kotaknya tertulis Made in Indonesia, Made in Myanmar, Made in Vietnam dan Made in China. Satu pun tiada Made in Japan. Adoi rasanya satu Osaka ni tiada kasut Converse yang Made in Japan bila tengah bandar pun tiada yang jual.

Kemudian aku turun ke tingkat 1 untuk mencari powerbank berkuasa solar untuk Sofiah. Satu tingkat ni penuh dengan aksesori telefon bimbit tapi satu pun tiada yang jual powerbank yang aku cari tu. Sini aksesori Made in China pun mahal gila, langsung nda berbaloi beli. Bagus lagi cari di Kota Damansara sana tempat ustaz tu yang jual gila punya murah tu.

Sebenarnya kaki aku sangat letih sudah berjalan kaki. Jadi aku memilih untuk menaiki tren untuk pulang. Dalam tren aku mematikan app Noom Walk aku yang sedang track berapa langkah kaki aku hari ini. Aku turun di Stesen Toyonaka sebab aku ternampak sebuah kedai yang aku mau tinjau semasa berjalan kaki pagi tadi. Turun dari tren aku menghidupkan semula app Noom Walk aku. Aku pun keluar dari stesen dan menaip di Google Maps restoran CoCo Ichibanya yang aku nampak pagi tadi. Rupanya dekat sangat ja pun dari Stesen Toyonaka ni. Aku masuk ke kedai dan bertanya tentang menu. Memang ada nasi kari sayuran tapi kuah karinya ditambah khinzir! Ia berbeza dengan CoCo Ichibanya di Bandar Osaka yang menegaskan menu vegetarian mereka adalah 100% vegetarian dan tidak menggunakan sebarang binatang dalam resepi mereka. Baiklah, pok konon kalau mau makan nasi kari yang dekat pergi di Toyonaka saja... rupanya kena pergi ke bandar jugalah kalau mau makan nasi kari Jepun.

Kemudian aku menyambung perjalanan balik aku. Ternampak sebuah supermarket bernama Mandai, akupun singgah. Wah ada supermarket lagi berdekatan rumah ni... Ianya jauh lebih dekat berbanding Gyomu Supermarket di Hotarugaike. Tapi berdasarkan barangan yang ditawarkan di sini, Gyomu tetap juga menjadi pilihan hatiku hehehe.

Sesampai di rumah aku terus solat. Kemudian aku mandi sebab aku ada bergunting tadi. Gembira melaporkan hari ini aku berjalan sebanyak 30,976 langkah!

Belanja selfie rambut baru satu.

Selepas itu aku berehat sementara menanti maghrib. Setelah solat maghrib, barulah makan bersama-sama Kak Ari dengan menu osem, Nasi Arab Mandy.

Nasi Arab Mandy yang fuh sedap!!!


09 Januari 2016 (Sabtu)

Berpuasa lagi hari ini. Berbuka puasa tahu sudah di mana sebab semalam Kak Ari ada bagitau yang malam nanti selepas maghrib kami akan pergi ke rumah Abang Sarizam sempena majlis housewarming dia di International House.

Hari ini aku ada misi untuk ke kedai Little Mermaid sebab mau beli roti putih untuk percutian kami esok. Mau pergi mana kami esok? Entry esok lah baru aku taip. Dalam 10.30 pagi juga baru aku bergerak ke Senri Chou sebab aku tertidur selepas solat subuh. Suhu terasa agak sejuk, mungkin silap suhu yang diberi Google yang membuatkan aku hanya memakai t-shirt dan jaket aku yang nipis sangat penebat suhunya tu. Sarung tangan pun aku tinggalkan di rumah. 

Kesejukan pada badan masih dapat ditahan namun pada tangan yang terdedah memang rasa nda best. Solusi jangka pendek untuk tangan yang sejuk adalah mengenggam tangan semasa berjalan. Mau masuk tangan dalam seluar, jeans aku ni ketat sangat. Mau masuk tangan dalam jaket, poket jaket penuh dengan kamera, dompet, beg duit syiling dan handphone hehehe.

Kawasan yang terdedah pada matahari sepanjang perjalanan memberikan sedikit kelegaan pada suhu sejuk tu. Suhu tu sebenarnya nda terlalu sejuk tapi angin yang bertiuplah yang membuatkan kita mengigil. Sesampainya di Senri Chou aku tidak terus ke kedai Little Mermaid sebaliknya singgah di kedai Jumble Store sebab aku ternampak ada promosi jualan murah dari 8 Januari sehingga 11 Januari 2016. Aku pun terus masuk dan window shopping. Best juga tengok-tengok barang di sini. Ada yang sampai 70% diskaun dia! Aku nda sangka aku cakap Bahasa Jepun lagi hari ini. Aku bertanya harga yang tertera pada tanda harga dengan salah seorang pekerja di sana. Hmm... rugi juga aku baru sekarang berani sikit-sikit guna Bahasa Jepun ni. Mungkin aku mengambil semangat dari Noam yang berani mencuba berkomunikasi dengan Bahasa Jepun dan akhirnya boleh walaupun tidak sempurna.

Selepas itu aku terus ke kedai Little Mermaid. Dan sekali lagi dengan Bahasa Jepun minta roti putih 6 hirisan dengan pekerja di sana. Tapi dia cakap lebih kurang sejam lagi baru siap masak roti tu. Aku pun keluar dari kedai dan mengambil keputusan untuk balik dulu dan solat zuhur dan akan kembali semula ke sana sesudah itu. Aku balik dengan menaiki monorel supaya aku cepat solat zuhur. Sesudah solat aku memakai baju panas sehelai sebab takut kesejukan. Aku juga membawa sarung tangan aku mana tahu aku memerlukannya kelak.

Di kedai Little Mermaid, aku cuba membeli roti putih. Aku pandai cakap 6 hirisan dalam Bahasa Jepun tapi nda pandai cakap 6 buku roti hahaha. Mula-mula ada miscommunication juga sama dorang di sana. Dorang bagi aku satu pek ja. Dengan bahasa isyarat aku minta 6 pek dengan dorang. Akhirnya seorang dari pekerja tu cakap Bahasa Inggeris dengan aku, ah lega... Aku pun bagitau dia aku mau 6 pek roti putih yang 6 hirisan. Setelah siap urusniaga, aku pun minta ajar dengan dia kalau Bahasa Jepun,  "x" buku roti apa mau cakap. Dia bilang "kin" adalah yang patut digunakan. Jadi kalau mau minta 6 pek roti boleh cakap; "Pan no roku kin." 

Aku singgah di kedai Daikako Drug untuk mencari gunting rambut yang dipesan Abang Amin. Nasib baik ada di sana. Aku ada cari juga di Daiso, tapi nda jumpa. Aku kemudiannya menghala balik dan dalam perjalanan Kak Ari mesej yang dia dan keluarga sudah keluar dan meninggalkan rumah tanpa dikunci. Dorang pergi mana, aku pun nda tahu. Aku mempercepatkan langkah sesuai dengan lagu-lagu yang aku dengar melalui earphones. Hehe aku pun terikut sudah dengan orang Jepun di sini. Jalan pegi mana-mana telinga bersumbat dengan earphones atau tertutup dengan headphones.

Sampai ke rumah setelah pergi dua kali ke Senri Chou hari ini, aku terus menunaikan solat asar. Kemudiannya menanti waktu berbuka dan berbuka hanya dengan minum air. Setelah itu aku pun solat. Kak Ari, Abang Amin pun solat maghrib dulu sebelum kami pergi ke rumah Abang Sarizam sempena housewarming dia di International House.

Sesampai di rumah Abang Sarizam, tanpa segan silu terus menuju ke meja makan dan mula mengaut makanan. Hehehe lapar bah puasa kan tadi siang. Banyak menu yang disediakan antaranya nasi kerabu, mee kari, takoyaki, dinner rolls (sedap cicah dengan kuah kari). Ada biskut dan buah oren yang sangat manis juga. Banyak aku makan buah oren tu. Takoyaki yang dihidang tu adalah yang sejuk beku, halal-friendly. Abang Sarizam beli di Gyomu Supermarket. Dinner rolls tu pula dia beli dari Costco di Amagasaki.

Takoyaki sejuk beku yang halal-friendly.

Rumah ni memang kiut, jadi kalau ramai orang memang sesak lah. Ramai pelajar-pelajar phD geng-geng Abang Amin yang datang. Pelajar buat master dan bachelor degree pun ada yang datang. Sesak berabis bila kebanyakannya datang bersama pasangan dan anak-anak.

Hari ini aku jumpa secara berdepan dengan Kak Ayin, seorang doktor yang cuti tanpa gaji kerana suaminya Azrul sambung phD di sini. Aku pun menunjukkan gatal-gatal pada kulit aku kepada dia. Dia cakap aku mungkin terkena suatu virus yang sudah masuk sistem darah. Gatal ni mungkin petanda antibodi aku melawan virus tu lah. Jadi aku kena tahan ja lah gatal ni sampai virus tu keluar dari sistem. Kak Ayin mengesyorkan aku terus makan pil yang kena beli minggu lepas tu dan juga dapatkan krim calamine. Adoi, punya banyak krim calamine aku di kampung... Kan bagus kalau aku ada bawa pegi Jepun ni.

Lama juga kami di rumah Abang Sarizam dalam 2 jam lebih juga. Kami pulang dengan perut yang sangat kenyang. Deretan kereta pelajar Malaysia di Jepun ni memang membanggakan. Pelajar phD semuanya sudah berkeluarga jadi mereka memang perlukan kereta.

Fuh! Kereta bukan alang-alang oh...

Sampai di rumah, anak-anak di suruh tidur awal untuk perjalanan jauh esok hari.


10 Januari 2016 (Ahad)

Hari ini hari jadi abang aku, Irfan. Semoga dimurahkan rezeki kapal di laut, gedung di darat. Semoga hidup diberkati Allah di dunia dan akhirat.

Hari ini aku bangun awal, sudah terbiasa bangun awal sebab bersahur untuk beberapa hari. Aku menghantar mesej dan menelefon Kak Ari untuk mengejutkannya. Setelah dia bangun, aku pun ikut turun ke bawah untuk memulakan kerja membuat sandwich. Macam biasa buat sandwich telur, sandwich tuna dan sandwich coklat. Kak Ari pula goreng nasi, sosej dan nugget ayam. Semua bekalan makanan dan minuman disediakan, kami semua ganti-ganti mandi dan bersiap.

8.35 pagi kami mula keluar dari rumah. Barangan yang kami bawa menunjukkan kami betul-betul takut lapar hehehe.

Aliah mengangkat beg ke luar rumah.

Melihat perkembangan pembinaan rumah berdekatan sebelum bergerak.

Kami bergerak dan menunggu Azrul, Kak Ayin dan anak-anak di parking lot di sebuah convenience store. Setelah mereka tiba kami pun berkonvoi sama-sama. Destinasi kami adalah Mount Rokko di Kobe, Hyogo.


Kereta milik Azrul.

Lebih kurang jam 10 pagi kami sampai di tempat meletak kereta berhadapan Rokko Cable Shita Station.

Rokko Cable Shita Station.

Kelam kabut juga Abang Amin dan Azrul membeli pakej tiket perjalanan pergi balik menaiki kereta kabel dan bas serta tiket masuk ke Rokko Snow Park sebab kami sampai di stesen tu seminit lagi sebelum kereta kabel naik ke atas. Terpaksalah lambat kereta kabel tu naik sebab menunggu kami. Terima kasih sangat kepada petugas di sana yang sanggup menunggu kami orang Malaysia ni hehe.

Harga pakej untuk dewasa untuk Rokko Cable Car dan Rokko Sanjo Bus adalah 1,350 yen (RM 50.80) pergi balik. Manakala untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun berharga 680 yen (RM25.60). Harga tiket masuk untuk Rokko Snow Park adalah 2,100 yen (RM 79.00) untuk dewasa dan 1,050 yen (RM 39.50) untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 11 tahun.

Kami kelam kabut menaiki kereta kabel yang menunggu khas buat kami. Aku duduk bersama Kak Ari dan Akil, Aliah dan Ariana duduk depan aku. Akif duduk dengan keluarga Azrul dan Abang Amin berdiri ja.

Teruja naik kereta kabel.

Ayin dan Abang di samping Rocco Cable Car.

Perjalanan menaiki bukit ni mengambil masa selama 10 minit. Sampai di Rokko Sanjo Station, kami menaiki pula Rokko Sanjo Bus yang sudah sedia menanti. Memang ramai penumpang dalam bas tu, ada juga kumpulan dari Indonesia.

Kami sampai di pintu depan Rokko Snow Park dengan disambut angin sejuk. Kami terus beratur untuk masuk ke dalam dan oleh kerana telah membeli tiket masuk di Rokko Shita Station tadi, tidak perlu beratur panjang.

Masuk terus dihidangkan dengan pemandangan mukadimah hehehe. Ski lift untuk orang-orang bermain ski.

Ski lift di Rokko Snow Park.

Azrul dan anak-anak terus pergi ke tempat salji sebab anak-anak sudah ada snow jacket dan but salji. Abang Amin, aku dan anak-anak kecuali Akil yang dijaga Kak Ari pergi ke tempat menyewa pakaian dan kasut. Mahal gila sewa snow gear di sini ni... Aku, Aliah, Ariana dan Akif ja yang menyewa pakaian dan but. Abang Amin juga menyewa 2 snow sled untuk anak-anak bermain.

Lupa bagitau di sini ni masa kami datang salji buatan ja... Memang kalau tiada salji turun, salji mesin ja lah dorang pakai. Aku pergi ke bahagian orang bermain ski manakala Abang Amin, Kak Ari dan anak-anak pergi ke bahagian snow sled. Azrul dan keluarga pula di bahagian buat snow man.

Kanak-kanak belajar bermain ski.

Budak kecil pun ada juga yang belajar.

Sebab nda ramai yang betul-betul campin main ski untuk aku tengok, aku pun pergi, menghala ke tempat Kak Ari. Kak Ari tanya aku, aku nda mau main ski ka? Aku bilang nda sebab aku bukannya pandai hehehe. Malu aku nanti kalau balik-balik terjatuh. Aku ternampak Aliah, Ariana dan Akif sedang bermain sled jadi aku pun pergi ke sana untuk mengambil gambar. Ariana nampak aku terus dia ajak aku main sama-sama. What the heck kan, sudah sewa baju mahal-mahal baik ikut main juga sama budak-budak ni. Aku bergilir naik sled, mula-mula dengan Akif, kemudian Ariana dan terakhir sekali dengan Aliah. Memang best sangat main sled ni! Patutlah orang selalu main di tempat yang ada salji. 


Aku nda main lama pasal perut aku lapar betul sudah. Aku pun kembali ke tempat Kak Ari sebab bekal makanan kami ada berdekatan dia. Kerusi tempat kami duduk tu memang matahari ngam-ngam menyinari jadi walaupun angin sangat sejuk, adanya matahari tu kiranya memberi kelegaan jugalah. Aku dan Kak Ari mula makan, kemudian disertai anak-anak, seterusnya disertai Ayin, Azrul dan anak-anak dan Abang Amin.

Akil nda mau dipasangkan hood walaupun sejuk.

Puas main sled, jadi lapar dan datang untuk makan.

Rombongan Malaysia sedang berpiknik sama-sama.

Selepas makan, Aliah, Ariana dan Akif menyambung main snow sled. Orang dewasa banyak bercerita ja la. Akil pula tidur, mungkin kerana cuaca sejuk ni bikin dia kurang aktif. Azrul pun kemudian menyewa snow sled juga dan bermain dengan anaknya. Tapi nda lama dorang main dan mereka kembali ke kerusi tempat kami lepak.

Aku pergi solat di puncak bukit. Selepas berwudhu aku pun menaiki bukit untuk mencari tempat sesuai untuk bersolat. Mujur ada line telefon di sini jadi senang cari kiblat guna app. Semasa menaiki bukit, aku menerima mesej dari seseorang melalui facebook. Kami setkan akan bertemu keesokan harinya di Osaka. Siapakah dia dan untuk apa aku jumpa dia, tunggulah ceritanya minggu depan. Dalam waktu yang sama juga aku bermesej dengan Wilson yang berada di Taiwan. Dia sudah mendapat pekerjaan! Wow, sangat pantas dan mudah dia dapat kerja. Siapa yang dapat dia sebagai pekerja memang beruntung sebab dia ni nampak rajin dan baik sangat. Kalau aku ada syarikat besar, memang aku akan ambil dia sebagai pekerja aku.

Aku menunaikan solat di tanah rata di atas bukit. Tenang ja rasa tanpa suara riuh rendah orang bermain salji buatan di bawah. Setelah solat aku pun turun semula ke tempat lepak kami. Azrul dan Ayin dan Abang pun solat juga, tapi di sana saja mereka solat. Setelah mereka selesai baru Abang Amin dan Kak Ari pula solat.

Matahari yang bersinar membuatkan ianya pasti seronok untuk baring dan tidur. Ok pasal sudah bayar gila mahal punya baju, aku pun baring ja la di rumput. Wah bestnya... Barulah tahu kenapa orang putih ni suka berjemur di bawah matahari. Aku ternampak di facebook yang menunjukkan Sabah dijangka dilanda El Nino tahap kuat sehingga Mac nanti. Hihihi balik Sabah nanti, ada lah orang yang kapar-kapar ni kepanasan. Di Jepun, wah bukan main lagi berjemur-jemur segala. Balik Sabah nanti kompom betapuk (sembunyi) saja dalam rumah ni takut hangus.

Dekat jam 3 petang kami pun mula mau bergerak keluar dari Rokko Snow Park ni setelah membiarkan anak-anak puas bermain. Kami pun mengambil gambar kenang-kenangan bersama di sini.
Dua keluarga bercuti bersama. Akil tidur masa ni dalam stroller.

Tukar jurugambar pula.

Kak Ari dengan Ariana dan Aliah.

Setelah memulangkan snow gear yang kami sewa, Abang Amin mendapatkan semula deposit yang dibayar bagi setiap sewaan. Kami pun beratur di perhentian bas dan menanti Rokko Sanjo Bus yang akan membawa kami ke Rokko Sanjo Station.

Bas sampai dan punyalah ramai orang yang naik bas tu. Sesak sangat sampai berdiripun nda banyak ruang. Apa boleh buat, semuanya pun mau lekas sampai ke destinasi. Sejuk tu menunggu lama di perhentian bas!

Kami sampai di Rokko Sanjo Station lebih kurang jam 4 petang. Kereta kabel yang seterusnya akan bertolak pada jam 4.20 petang. Jadi ada banyak masa untuk aku mengambil gambar pemandangan bawah dari atas bukit ni.

Pemandangan panorama dari tempat tinjau Rokko Sanjo Station. Boleh nampak Bandar Kobe dan Bandar Osaka dari sini.

Kereta kabel berlepas turun tepat pada waktunya. Aku memilih duduk di hadapan untuk merakam video kereta kabel ini menuruni bukit. Ahli rombongan yang lain semuanya duduk di bahagian belakang kereta kabel.

Pemandangan dari dalam kereta kabel.

Kereta kabel yang kami naiki menuruni bukit menuju Rokko Shita Station.


Kami bergerak keluar dari tempat meletak kereta dan menuju ke Bandar Kobe. Destinasi kami adalah Masjid Kobe untuk menunaikan solat. Kami sampai di masjid kebetulan ketika jemaah baru hendak memulakan solat maghrib. Alhamdulillah sempat ikut berjemaah dengan mereka. Aku sebenarnya memang ada rancangan hendak ke Masjid Kobe minggu depan. Nda sangka minggu ni aku sudah sampai!

Masjid Kobe, tersergam indah.

Selepas bersolat kami menuju ke Harborland untuk makan malam. Azrul mengajak kami makan di Fisherman's Market yang terletak dalam pusat membeli belah umie yang menawarkan menu buffet halal-friendly. Pilih makanan seafood sahaja, yang ada ayam dan daging tu elaklah dari ambil.

Pintu masuk Fisherman's Market.

Papan tanda Fisherman's Market.

Menu yang ditawarkan dalam bentuk model plastik. Nampak sedap juga walaupun palsu...

Kami masuk setelah tempat duduk telah disediakan. Selepas tahu tempat duduk, apa lagi kami pun teruslah menerjah buffet lines. Nama pun Fisherman's Market jadi pilihan makanan laut memang banyaklah! Berbaloilah dengan harganya 2,807 yen (RM 104.30) untuk dewasa, 1,295 yen (RM 48.10) untuk pelajar sekolah rendah, 539 yen (RM 20) untuk kanak-kanak belum bersekolah dan percuma untuk budak berumur 2 tahun ke bawah. Harga tu aku sudah kira dengan cukainya sekali. Kata Azrul hujung minggu memang harganya mahal, kalau hari biasa ianya lebih murah.

Antara makanan yang aku ambil. Kaki ketam tu bah besar gila!

Sushi!

Lama kami di sana. Hampir sampai juga time limit selama dua jam yang diberikan. Sakit perut aku makan banyak sangat. Sayang tu kalau nda makan dengan harga macam tu! Sayang punya pasal last-last muntah hahaha. Pertama kali lah aku muntah selepas aku kena bedah tahun 2014 dulu. Baiklah, pengajaran untuk aku lah ni, walaupun namanya buffet bukan lesen untuk aku kasi sumbat makanan, sekian.

Kak Ari bawa Akil ke kereta dulu sebab dia sudah mengantuk dan meragam. Setelah keluar dari Fisherman's Market aku, Abang Amin dan anak-anak singgah sekejap di kedai yang menjual barangan Ultraman sahaja. Fuh peminat Ultraman teruja kali dengan kedai ni. Di sebelah pula kedai menjual barangan Hello Kitty.

Kami turun dan melihat keindahan cahaya Bandar Kobe. Lagu-lagu moden kedengaran dari ice-skating ring yang berada betul-betul menghadap laut.

Pemandangan dari umie Mall di Harborland. Pemandangan indah untuk kesudahan hari yang indah!

Kami bergerak balik ke Osaka setelah Ayin kembali dari urusannya di Koban. Jam tangannya telah tertinggal dan hilang semasa dia ke tandas tadi. Kami pula tertinggal baju sejuk Akil di tempat duduk di Fisherman's Market. Azrul yang kerap ke Kobe memandu tanpa GPS menunjukkan arah untuk kembali ke Osaka. Abang Amin hanya memandu di belakang dan mengikut sahaja Azrul. Kami membelok di suatu persimpangan dan kedua-dua keluarga berpisah dan pulang ke rumah masing-masing.

****************************************************************
Siapa yang akan aku jumpa Isnin minggu depan di Osaka? Tunggu ja lah ah ceritanya minggu depan...



To be continued: Japan Story - Week 12

No comments:

Post a Comment